Rabu, 13 September 2017

54:23-32 Tafsir Surah Al Qamar, ayat 23-32.

كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِالنُّذُرِ (٢٣) فَقَالُوا أَبَشَرًا مِنَّا وَاحِدًا نَتَّبِعُهُ إِنَّا إِذًا لَفِي ضَلالٍ وَسُعُرٍ (٢٤) أَؤُلْقِيَ الذِّكْرُ عَلَيْهِ مِنْ بَيْنِنَا بَلْ هُوَ كَذَّابٌ أَشِرٌ (٢٥) سَيَعْلَمُونَ غَدًا مَنِ الْكَذَّابُ الأشِرُ (٢٦) إِنَّا مُرْسِلُو النَّاقَةِ فِتْنَةً لَهُمْ فَارْتَقِبْهُمْ وَاصْطَبِرْ (٢٧) وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ الْمَاءَ قِسْمَةٌ بَيْنَهُمْ كُلُّ شِرْبٍ مُحْتَضَرٌ (٢٨) فَنَادَوْا صَاحِبَهُمْ فَتَعَاطَى فَعَقَرَ (٢٩) فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ (٣٠) إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ صَيْحَةً وَاحِدَةً فَكَانُوا كَهَشِيمِ الْمُحْتَظِرِ (٣١) وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (٣٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"23. Telah mendustakan Samud dengan peringatan." 

Kaum Samud adalah sebuah kabilah yang terkenal di daerah Hijr. Nabi yang Allah utus kepada mereka adalah Saleh a.s. Beliau mengajak mereka beribadah kepada Allah saja serta memperingatkan mereka dengan azab Allah jika mereka menderhakaiNya. Namun mereka mendustakannya dan bersikap sombong terhadapnya.

"24. Maka mereka berkata, "Apakah manusia dari kita sendiri kita mengikutinya?""

Mereka enggan mengikuti seorang manusia biasa di antara mereka, yang bersendirian, bukan raja, dan tidak dianggap besar oleh mereka.

"Sungguh kita jika demikian benar-benar dalam kesesatan dan dalam."

Mereka mengatakan bahawa mereka benar-benar akan kecewa dan rugi jika mereka serahkan kepemimpinan mereka kepada seseorang dari mereka dalam hal ini. Jika mereka mengikuti Saleh a.s. sedangkan Beliau seperti itu keadaannya, maka mereka benar-benar telah sesat dan gila.

Ucapan mereka ini tidak lain kerana kebodohan mereka, mereka enggan dengan sombong untuk mengikuti Rasul mereka dari kalangan manusia, tetapi mereka tidak enggan menjadi penyembah makhluk yang lebih lemah dari mereka, iaitu pohon, batu dan rupaka.

"25. Apakah diturunkan peringatan atasnya dari antara kita?" 

Ini merupakan sanggahan dan syubhat yang biasa digunakan oleh orang-orang yang mendustakan para rasul. Mereka merasa hairan terhadap wahyu yang hanya diturunkan kepada Saleh a.s. saja, sedangkan tidak kepada mereka. Mereka tidak nampak Saleh a.s. mempunyai kelebihan dari mereka.

Para rasul sememangnya dari kalangan manusia seperti mereka. Akan tetapi Allah memberi kurnia kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Allah s.w.t. berikan mereka sifat, akhlak dan kesempurnaan agar mereka dapat mengemban risalahNya dan diistimewakanNya dengan wahyuNya.

Demikian itu termasuk rahmat Allah dan kebijaksanaanNya. Jika para rasul dari kalangan malaikat, tentu manusia tidak dapat mengambil ilmu dari mereka dan tentu Allah s.w.t. akan menyegerakan azab bagi orang-orang yang mendustakan.

"Bahkan dia seorang pendusta yang sombong." 

Mereka menuduh Saleh a.s. sebagai seorang yang telah melampaui batas dalam kedustaannya. Maka Allah s.w.t. berfirman menjawab tuduhan mereka terhadap NabiNya,

"26. Mereka akan mengetahui besok siapa yang pendusta sombong." 

Kelak mereka akan mengetahui, Saleh a.s. atau merekalah yang sebenarnya amat pendusta lagi sombong. Ini mengandung ancaman yang keras dan pasti ditujukan kepada mereka. Kemudian Allah s.w.t. berfirman,

"27. Sungguh Kami mengirimkan unta betina cobaan bagi mereka," 

Allah s.w.t. telah mengeluarkan bagi mereka seekor unta betina yang besar berikut anak-anaknya dari sebuah batu yang amat besar, seperti yang mereka minta. Unta betina itu dikirimkan oleh Allah s.w.t. sebagai tanda atau mukjizat yang membenarkan kerasulan Saleh a.s. dalam menyampaikan risalahNya kepada mereka, sebagai ujian bagi mereka dan sebagai nikmat untuk mereka. Mereka dapat memerah susunya yang mencukupi mereka semua. Kemudian Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada hambaNya Saleh a.s.,

"maka tunggulah mereka dan bersabarlah." 

Tunggulah apa tindakan mereka, apa yang akan mereka lakukan, adakah mereka beriman atau tetap kafir, tungguah akibat dari perbuatan mereka dan tunggulah apa yang akan menimpa mereka.

Bersabarlah terhadap gangguan mereka dan tetap teruslah berdakwah. Sesungguhnya pada akhirnya kesudahan yang baik hanyalah bagimu dan juga pertolongan Allah bagimu di dunia dan akhirat.

"28. Dan beritakan kepada mereka bahawa air itu terbahagi di antara mereka" 

Air itu dibahagi antara mereka dengan unta betina itu, sehari untuk mereka dan sehari lagi untuk unta betina. Lama-kelamaan mereka bosan dengannya lalu berniat membunuh unta betina itu.

"tiap-tiap minum dihadiri." 

Setiap orang berhak mendapat giliran minum. Apabila unta itu pergi barulah mereka mendatangi sumber air itu. Apabila unta itu datang (tiba gilirannya), maka mereka boleh memerah air susunya.

"29. Maka mereka memanggil kawan mereka, lalu dia berbuat nekad, maka dia membunuh." 

Mereka memanggil orang yang paling jahat dan paling celaka di antara mereka. Dia adalah si penyembelih unta betina itu, namanya Qaddar ibnu Salif. Lalu dia menangkap unta itu,  melumpuhkannya dan menyembelihnya. Lalu Allah s.w.t. menghukum mereka.

"30. Maka bagaimana ada azabKu dan ancamanKu?" 

Betapa dahsyatnya azab dan peringatan Allah s.w.t. atas mereka. Demikian itu sebagai pembalasan atas kekufuran mereka kepadaNya dan kedustaan mereka kepada rasulNya.

"31. Sungguh Kami kirimkan atas mereka suara keras sekali," 

Allah s.w.t. mengirimkan atas mereka satu bunyian yang kuat mengguntur dan gempa, yang membinasakan mereka sampai orang yang terakhir, sampai keakar-akarnya dan tiada seorang pun dari mereka yang tersisa.

"maka jadilah mereka seperti rumput kering yang lapuk." 

Mereka mati dan kaku seperti batang-batang, rumput-rumput atau daun-daunan kering dan lapuk yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang. Allah s.w.t. menyelamatkan Saleh a.s. dan orang-orang yang beriman bersamanya.

"32. Dan sungguh Kami mudahkan Al Qur'an untuk peringatan, maka adakah dari orang yang memikirkan?" 

Sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...