Memaparkan catatan dengan label 056. Al Waqi'ah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 056. Al Waqi'ah. Papar semua catatan

Khamis, 30 Januari 2020

56:88-96 Tafsir Surah Al Waqiah, ayat 88-96.

فَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنَ الْمُقَرَّبِينَ (٨٨) فَرَوْحٌ وَرَيْحَانٌ وَجَنَّةُ نَعِيمٍ (٨٩) وَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ الْيَمِينِ (٩٠) فَسَلامٌ لَكَ مِنْ أَصْحَابِ الْيَمِينِ (٩١) وَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنَ الْمُكَذِّبِينَ الضَّالِّينَ (٩٢) فَنُزُلٌ مِنْ حَمِيمٍ (٩٣) وَتَصْلِيَةُ جَحِيمٍ (٩٤) إِنَّ هَذَا لَهُوَ حَقُّ الْيَقِينِ (٩٥) فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ (٩٦)

Allah s.w.t. di awal surah telah menyebutkan tiga golongan; golongan orang-orang yang didekatkan, golongan kanan dan golongan kiri (golongan yang mendustakan lagi sesat) dan keadaan mereka di akhirat. Selanjutnya di akhir surah ini, Allah menyebutkan keadaan mereka menjelang wafat.

Keadaan ini merupakan kepastian yang dialami oleh manusia saat menghadapi kematiannya. Adakalanya dia termasuk orang yang didekatkan kepada Allah, atau bukan termasuk golongan kanan, dan adakalanya termasuk orang yang mendustakan kebenaran lagi sesat dari jalan petunjuk dan tidak mengerti tentang perintah Allah. Untuk itu maka disebutkan oleh firmanNya,

"88. Maka adapun jika dia termasuk orang-orang yang didekatkan,"

Jika orang yang sedang menghadapi kematiannya itu termasuk yang didekatkan kepada Allah, iaitu mereka yang mengerjakan perkara wajib dan sunat, meninggalkan yang haram, yang makruh dan perkara mubah yang berlebihan.

"89. Maka ketenteraman, dan rezeki, dan syurga kenikmatan."

Maka dia mendapat ketenteraman, iaitu ketenangan, kesenangan, kegembiraan dan kenikmatan lahir-batin. Ada yang mengatakan bahawa rauh bermaksud beristirahat dari dunia, kebebasan dan rahmat.

Dia juga mendapat rezeki yang baik. Raihan di sini adalah nama yang mencakup segala kenikmatan yang diterima badan, berupa makanan, minuman, dan lain-lain.

Dia juga mendapat syurga yang penuh kenikmatan, iaitu yang menggabung rauh (ketenteraman) dan raihan, dimana di dalamnya terdapat sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas di hati manusia.

Orang yang mati dalam keadaan didekatkan kepada Allah, maka para malaikat menyampaikan berita gembira ini kepadanya semasa dia menghadapi kematiannya, berita gembira yang membuat rohnya melayang dari jasad kerana gembira dan suka.

Disebutkan di dalam hadis Al Barra bahawa sesungguhnya para malaikat rahmat mengatakan, "Hai roh yang baik yang ada di dalam tubuh yang baik yang kamu huni, keluarlah kamu menuju kepada ketenteraman, kesenangan, dan menemui Tuhan yang tidak murka."

"90. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan,"

Iaitu jika orang yang sedang menjelang kematiannya itu termasuk golongan kanan, iaitu mereka yang mengerjakan kewajiban dan meninggalkan hal yang haram, walaupun terjadi pengurangan pada sebahagian hak yang tidak merosak tauhid dan iman mereka.

"91. Maka, "Salam bagi kamu dari golongan kanan.""

Para malaikat menyampaikan berita gembira kepadanya dengan berkata, "Salaimun laka" ertinya kamu dalam keadaan baik-baik saja dan selamat dari azab Allah, kamu termasuk golongan kanan.

Boleh juga maksudnya, “Salam bagimu dari saudara-saudaramu yang berada di golongan kanan,” iaitu mereka (golongan kanan) akan mengucapkan salam dan menyambutnya ketika dia sampai dan bertemu dengan mereka.

Atau maksudnya, “Salam bagimu dari musibah, cobaan dan azab kerana engkau termasuk golongan kanan yang selamat dari dosa-dosa yang membinasakan.”

"92. Dan adapun jika dia termasuk orang-orang yang mendustakan yang sesat,"

Iaitu jika orang yang sedang menjelang kematiannya itu termasuk orang yang mendustakan kebenaran lagi sesat dari jalan petunjuk.

"93. Maka hidangan dari air panas mendidih,"

Maka dia mendapat hidangan air yang mendidih, yang menghancurkan semua isi perut dan kulitnya.

"94. Dan dimasukkan ke neraka."

Dia dibakar di dalam neraka yang mengepungnya dari segala penjuru. Apinya membakar sampai ke hati. Apabila mereka meminta minuman kerana sangat haus, maka mereka mereka diberi minuman seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah. Kemudian Allah s.w.t. berfirman,

"95. Sesungguhnya ini sungguh dia benar keyakinan."

Sesungguhnya yang disebutkan ini, iaitu berita tentang pemberian balasan terhadap kebaikan dan keburukan yang dilakukan hamba serta rinciannya ini adalah suatu keyakinan yang benar, tiada keraguan lagi, bahkan benar dan pasti terjadi.

Allah s.w.t. telah memberikan buktinya baik dari dalil ‘aqli (akal) maupun naqli yang menunjukkan demikian sehingga hal itu di kalangan orang-orang yang berakal seakan-akan dirasakan oleh mereka dan disaksikannya.

Maka mereka memuji Allah s.w.t. atas nikmat yang dikurniakanNya kepada mereka berupa hidayah irsyad (petunjuk) maupun hidayah taufiq (bantuan dari Allah untuk menjalankan petunjuk itu). Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"96. Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Mahabesar."

Maka bertasbihlah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Mahabesar. Maka Mahasuci Allah Tuhan kita Yang Mahaagung dari apa yang diucapkan orang-orang yang zalim dan ingkar dengan ketinggian yang besar, dan segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam dengan pujian yang banyak, baik lagi diberkahi.

Ketika diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ayat ini, iaitu firmanNya," Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Mahabesar." Maka beliau s.a.w. bersabda, "Jadikanlah bacaan tasbih ini dalam rukuk kalian." Dan ketika turun kepada Beliau s.a.w. firmanNya, "Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Mahatinggi." Maka Beliau s.a.w. bersabda, "Jadikanlah bacaan ini dalam sujud kalian."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mengucapkan,

 سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

(Mahasuci Allah Yang Mahabesar dan dengan memuji kepadaNya), maka ditanamkan baginya sebuah pohon kurma di dalam syurga."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ada dua kalimah yang ringan di mulut, berat dalam timbangan amal perbuatan, lagi disukai oleh Tuhan Yang Maha Pemurah iaitu,

 سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

(Mahasuci Allah dan dengan memuji kepadaNya, Mahasuci Allah Yang Maha Besar.)"

Selesai tafsir surah Al Waqi’ah dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamin.

Jumaat, 10 Januari 2020

56:75-87 Tafsir Surah Al Waqiah, ayat 75-87.

فَلا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ (٧٥) وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ (٧٦) إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ (٧٧) فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ (٧٨) لا يَمَسُّهُ إِلا الْمُطَهَّرُونَ (٧٩) تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٨٠) أَفَبِهَذَا الْحَدِيثِ أَنْتُمْ مُدْهِنُونَ (٨١) وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ (٨٢) فَلَوْلا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ (٨٣) وَأَنْتُمْ حِينَئِذٍ تَنْظُرُونَ (٨٤) وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَكِنْ لا تُبْصِرُونَ (٨٥) فَلَوْلا إِنْ كُنْتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ (٨٦) تَرْجِعُونَهَا إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٨٧)

Allah s.w.t. bersumpah,

"75. Lalu Aku bersumpah dengan tempat turun bintang-bintang."

Maka aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Allah s.w.t. bersumpah dengan bintang dan mawaaqi’, iaitu jatuhnya di tempat tenggelamnya dan apa yang Allah adakan pada waktu itu berupa kejadian-kejadian yang menunjukkan kebesaranNya, keagunganNya dan keesaanNya. Dan pada ayat selanjutnya, Dia perbesar perkara sumpah ini.

"76. Dan sungguh ia benar-benar sumpah jika kalian mengetahui yang besar."

Sesungguhnya sumpah yang Aku katakan ini benar-benar sumpah yang besar, jika kalian mengetahui. Seandainya kalian mengetahui kebesarannya, tentulah kalian memuliakan apa yang disebutkan di dalamnya.

Sumpah ini dipandang besar kerana pada bintang dan peredarannya serta jatuhnya di tempat tenggelamnya terdapat ayat-ayat dan pelajaran yang tidak dapat dijumlahkan. Sedangkan isi sumpahnya adalah mengukuhkan Al Qur’an, dan bahawa ia adalah benar tanpa ada keraguan lagi.

"77. Sungguh ia Al Qur'an yang mulia,"

Sesungguhnya Al Qur’an ini adalah bacaan yang sangat mulia, yang banyak kebaikan dan pengetahuannya. Bahkan setiap kebaikan dan ilmu diambil dan digali darinya. Al Qur'an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar kitab yang besar.

"78. Dalam kitab yang terpelihara."

Ia dimuliakan tersimpan di dalam kitab yang dimuliakan lagi terpelihara dan diagungkan, dan tertutup dari penglihatan makhluk, iaitu Lauh Mahfuz. Maksudnya, Al Qur’an ini tertulis dalam Lauh Mahfuz, dimuliakan di sisi Allah dan di sisi para malaikatNya.

Boleh juga maksud ‘kitab yang terpelihara’ adalah kitab yang berada di tangan-tangan para malaikat, dimana Allah menurunkan mereka dengan membawa wahyuNya. Sedangkan maksud ‘terpelihara’ adalah tertutup dari syaitan, dimana mereka tidak sanggup (tidak mampu) merubahnya, mengurangi dan mencurinya.

"79. Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan."

Tidak ada yang dapat (mampu) menyentuh Kitab Al Qur’an yang ada di langit kecuali hamba-hamba yang disucikan, iaitu para malaikat yang yang mulia. Allah s.w.t. menyucikan mereka dari dosa-dosa dan cacat.

Adapun di dunia, maka sesungguhnya Al Qur'an itu dapat dipegang oleh orang Majusi yang najis dan orang munafik yang kotor. Ada yang mengatakan, tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan, bukan kamu orang-orang yang berdosa.

Orang-orang Quraisy mempunyai dugaan bahawa Al Qur'an ini diturunkan oleh syaitan. Maka Allah menerangkan bahawa hanya hamba-hambaNya yang disucikan saja yang dapat menyentuhnya. Ia bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Tidaklah patut mereka membawanya turun, mereka tidak akan kuasa dan mereka benar-benar dijauhkan dari mendengarnya.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah tidak dapat merasakan makna dan manfaat Al Qur'an kecuali orang-orang yang beriman kepadanya.

Menurut sebahagian ulama, ayat ini mengingatkan bahawa tidak boleh menyentuh Al Qur’an kecuali orang yang suci. Oleh kerana itu, ada yang berpendapat, bahawa ayat ini walaupun bentuknya berita, namun terdapat larangan, iaitu tidak boleh menyentuh Al Qur’an (mushaf) kecuali orang yang suci dari jinabah dan hadas.

Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang bepergian membawa Al Qur'an ke negeri musuh kerana dikhuatirkan Al Qur'an itu dirampas oleh musuh. Selain itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak boleh menyentuh Al Qur’an kecuali orang yang suci."

"80. Diturunkan dari Tuhan semesta alam."

Al Qur’an yang telah disebutkan sifatnya itu diturunkan dari Allah. Bukanlah seperti apa yang disangka oleh mereka bahawa Al Qur'an adalah sihir, tenung atau syair. Bahkan Al Qur’an itu benar yang tiada keraguan padanya.

Allah Tuhan Yang Mengurus seluruh alam. Dia mengurus hamba-hambaNya dengan nikmat-nikmat dunia dan agama. Di antara kepengurusanNya kepada mereka yang paling besarnya adalah dengan menurunkan Al Qur’an ini. Di dalamnya terdapat petunjuk agar mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Hal ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. setelah menciptakan mereka, Dia tidak membiarkan mereka begitu saja, bahkan tetap mengurus mereka dengan nikmat-nikmatNya baik nikmat dunia berupa rezeki maupun nikmat agama berupa petunjuk.

Dengan Al Qur’an Allah berikan rahmat kepada hamba-hambaNya yang mereka tidak sanggup untuk mensyukurinya. Oleh kerana itu, mereka harus menjunjung tinggi isi Al Qur’an, mengamalkannya dan mendakwahkannya.

"81. Maka apakah dengan ini pembicaraan kalian menganggap remeh?"

Maka adakah kalian menganggap remeh saja berita atau Al Qur’an ini? Adakah terhadap kitab yang agung dan peringatan yang bijaksana ini kalian meremehkan; kalian menyembunyikannya kerana takut kepada manusia, takut celaan dan cercaan mereka? Ini tidaklah patut.

Yang patut diremehkan adalah berita yang tidak dapat dipercaya orang yang menceritakannya. Adapun Al Qur’anul Karim, maka ia adalah kebenaran, dimana tidak ada yang melawannya kecuali ia akan kalah. Oleh kerana itu, ia layak untuk diberitakan dan disampaikan secara terang-terangan.

Ada yang mengatakan bahawa mudhinun bermaksud mendustakan dan tidak membenarkan. Ada yang mengatakan mengatakan berdiplomasi.

"82. Dan kalian menjadikan rezeki sesungguhnya kalian mendustakan."

Kalian mengganti atau membalas rezeki yang Allah berikan kepada kalian dengan mendustakanNya. Ungkapan terima kasih atau rasa syukur kalian ialah dengan mendustakanNya.

Zaid ibnu Khalid Al Juhani yang mengatakan bahawa kami solat Subuh bersama Rasulullah s.a.w. di Hudaibiyah, seusai turun hujan di malam harinya. Setelah selesai, Beliau membalikkan tubuhnya menghadap kepada kami (para makmum), lalu bertanya, "Tahukah kalian, apakah yang dikatakan oleh Tuhan kalian?" Mereka menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah berfirman, "Di pagi hari ini ada sebahagian hamba-hambaKu yang beriman kepadaKu dan sebahagian lainnya kafir. Adapun orang yang mengatakan, "Kami diberi hujan berkat kurnia Allah dan rahmatNya," maka dia adalah orang yang beriman kepadaKu dan kafir kepada bintang-bintang. Dan adapun orang yang mengatakan, "Kami diberi hujan oleh bintang ini dan itu," maka dia adalah orang yang kafir kepadaKu dan percaya kepada bintang-bintang.”

Hal ini sama saja mendustakan dan mengkufuri nikmat Allah kerana menyandarkan nikmat kepada selain yang memberinya.

Oleh kerana itu, mengapa kalian tidak bersyukur kepada Allah atas ihsanNya kepada kalian kerana telah menurunkan kepada kalian kurniaNya, padahal sikap kufur dan mendustakan dapat mencabut nikmat itu dan menggantinya dengan azab.

"83. Maka mengapa tidak apabila sampai kerongkongan?"

Maka kalau begitu mengapa semasa seseorang mengalami ihtidar (sekarat)nya, kalian tidak cegah nyawa atau rohnya yang telah sampai di kerongkongan?

"84. Dan kalian ketika itu kalian melihat."

Padahal ketika itu kalian melihat kepada orang yang sedang ihtidar dan sakaratulmaut yang dialaminya.

"85. Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kalian. Akan tetapi kalian tidak melihat."

Kami lebih dekat kepadanya daripada kalian, iaitu dengan ilmu Kami dan malaikat-malaikat Kami. Akan tetapi kalian tidak nampak mereka.

"86. Maka mengapa jika kalian tidak dikuasai,"

"87. Kalian dikembalikan dia jika kalian orang-orang yang benar?"

Maka jika kalian merasa bahawa kalian tidak berada dalam kekuasaan Allah, mengapa kalian tidak mengembalikan roh atau nyawa yang telah sampai di kerongkongan itu ke tempatnya atau jasadnya semula, jika kalian orang-orang yang benar?

Ada yang mengatakan bahawa madinin bermaksud dihisab. Ada yang mengatakan tidak meyakini, tidak diazab dan tidak dikalahkan. Maka jika kalian tidak percaya bahawa kalian akan dibalasi, dibangkitkan, dihisab dan diberi balasan, maka kembalikanlah roh yang telah sampai di kerongkongan itu ke tempatnya semula, jika kalian orang-orang yang benar?

Ketika itu, kalian di antara dua pilihan; membenarkan apa yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w., atau tetap membangkang setelah mengetahui kebenarannya dan kalian akan mendapat tempat kembali yang buruk.

Sabtu, 21 Disember 2019

56:57-74 Tafsir Surah Al Waqiah, ayat 57-74.

نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلا تُصَدِّقُونَ (٥٧) أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ (٥٨) أَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ (٥٩) نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ (٦٠) عَلَى أَنْ نُبَدِّلَ أَمْثَالَكُمْ وَنُنْشِئَكُمْ فِي مَا لا تَعْلَمُونَ (٦١) وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ النَّشْأَةَ الأولَى فَلَوْلا تَذَكَّرُونَ (٦٢) أَفَرَأَيْتُمْ مَا تَحْرُثُونَ (٦٣) أَأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ أَمْ نَحْنُ الزَّارِعُونَ (٦٤) لَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَاهُ حُطَامًا فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ  (٦٥) إِنَّا لَمُغْرَمُونَ (٦٦) بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ (٦٧) أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ (٦٨) أَأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ (٦٩) لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنَاهُ أُجَاجًا فَلَوْلا تَشْكُرُونَ (٧٠) أَفَرَأَيْتُمُ النَّارَ الَّتِي تُورُونَ (٧١) أَأَنْتُمْ أَنْشَأْتُمْ شَجَرَتَهَا أَمْ نَحْنُ الْمُنْشِئُونَ (٧٢) نَحْنُ جَعَلْنَاهَا تَذْكِرَةً وَمَتَاعًا لِلْمُقْوِينَ (٧٣) فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ (٧٤)

Allah s.w.t. menetapkan adanya hari kemudian dan menyanggah orang-orang yang mendustakannya dari kalangan ahli kesesatan dan kaum ateis, iaitu mereka yang mengatakan, "Apakah apabila kami mati dan menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan kembali?" (Al Waqi'ah 56:47)

Ucapan mereka ini bernada mendustakan dan tidak percaya. Maka Allah s.w.t. menjawab mereka dengan menyebutkan dalil ‘aqli (akal) yang menunjukkan adanya kebangkitan melalui firmanNya,

"57. Kami telah menciptakan kalian, maka mengapa kalian tidak membenarkan?"

Kamilah yang telah menciptakan kalian sejak permulaan. Sebelum itu kalian tidak ada. Bukankah Tuhan Yang mampu menciptakan pada permulaannya mampu untuk mengembalikan? Bahkan mengulangi penciptaan kembali itu adalah lebih mudah. Maka mengapa kalian tidak percaya dengan adanya hari berbangkit?

"58. Maka apakah kalian perhatikan apa yang kalian tumpahkan?"

Pernahkah kalian memerhatikan awal penciptaan kalian yang berasal dari nutfah (mani)? Maka terangkanlah kepadaKu tentang mani yang kalian pancarkan di rahim isteri-isteri kalian.

"59. Apakah kalian menciptakannya, atau Kami yang menciptakan?"

Kaliankah atau Kamikah yang menciptakan mani itu, yang menetapkannya di dalam rahim dan apa yang terjadi setelahnya, iaitu menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging dan menjadi manusia (anak)?

"60. Kami telah menentukan di antara kalian kematian" 

Kami telah mengatur kematian masing-masing kalian. Tidak ada bedanya antara penghuni langit dan bumi, dalam hal ini semuanya mengalami kematian.

"dan tidaklah Kami dikalahkan,"

Kami tidak lemah dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan.

"61. Atas untuk Kami gantikan yang serupa kalian" 

Untuk menggantikan kalian dengan orang-orang yang seperti kalian di dunia dan untuk mengubah bentuk kalian di hari kiamat nanti.

"dan menciptakan kalian dalam apa yang kalian tidak ketahui."

Dan membangkitkan kalian kelak di akhirat dalam keadaan yang tidak kalian ketahui, iaitu dengan sifat dan keadaan yang berlainan.

"62. Dan sungguh kalian mengetahui penciptaan yang pertama," 

Sesungguhnya kalian telah mengetahui penciptaan yang pertama. Sesungguhnya kalian telah mengetahui bahawa Allahlah Yang menciptakan kalian dari tiada menjadi ada. Dia menciptakan kalian dan menjadikan bagi kalian pendengaran, penglihatan dan hati.

"maka mengapa tidak kalian mengambil pelajaran?"

Maka mengapakah kalian tidak mengambil pelajaran untuk penciptaan yang kedua? Maka mengapa kalian tidak ingat dan tidak menyedari bahawa Tuhan yang mampu menciptakan semuanya itu pada permulaan, mampu untuk menciptakannya kembali, iaitu mengulanginya, bahkan mengulangi itu lebih mudah daripada memulai.

"63. Maka apakah kalian perhatikan apa yang kalian tanam?"

Pernahkah kalian memerhatikan benih yang kalian tanam? Iaitu dengan mencangkul tanah, membajaknya dan menaburkan benih padanya. Iaitu bertani atau bercucuk tanam. Maka terangkanlah kepadaKu tentang benih itu.

"64. Apakah kalian yang menanamnya, atau Kami penanamnya?"

Kaliankah atau Kamikah yang menetapkannya di tempatnya, mengeluarkannya, menumbuhkannya dari dalam bumi (tanah), mengeluarkan tangkai dan buahnya sehingga menjadi biji yang dapat dituai dan buah yang dapat dipetik?

Bahkan Kami sendiri yang melakukannya dan memberi kalian nikmat dengannya. Kamilah yang menumbuhkannya dengan belas kasihan dan rahmat Kami, dan Kami membiarkannya tumbuh untuk kalian sebagai rahmat dari Kami buat kalian.

Perbuatan kalian hanyalah menggarap tanah, menabur benih dan menyiraminya selanjutnya kalian tidak mengetahui apa yang terjadi dan kalian tidak berkuasa lagi setelahnya. Sesungguhnya tanaman kalian sedia menerima bahaya jika Allah tidak menjaganya dan memeliharanya, agar menjadi bahan makanan bagi kalian sampai waktu tertentu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan sekali-kali kamu katakan, "aku telah menanam," tetapi katakanlah, "aku telah bertani.""

"65. Jika Kami menghendaki, nescaya Kami menjadikannya hancur;" 

Kalau Kami kehendaki, tentu Kami timpakan musibah terhadapnya, Kami hancurkan tanaman kalian bersama buahnya sampai lumat, atau Kami jadikan ia kering sebelum masa kemasakan dan musim tuainya, sehingga tidak bermanfaat dan tidak menjadi rezeki untuk kalian.

"maka jadilah kalian hairan tercengang."

Maka jadilah kalian hairan terhadap kenyataan yang ada, terkejut, sedih, kerana dijadikanNya hancur setelah kalian bersusah payah menanamnya. Kalian pun menyesali belanja yang telah kalian keluarkan atau menyesali dosa-dosa yang pernah kalian kerjakan, sambil kalian berkata macam-macam dan saling mencela. Adakalanya kalian mengatakan,

"66. Sungguh kami menderita kerugian,"

Sesungguhnya kami benar-benar tersiksa, kami menderita kerugian, kami terhempas ke dalam keburukan, nasib kami sedang mengalami kesialan atau harta kami telah lenyap. Dan adakalanya kalian mengatakan,

"67. Bahkan kami tidak mendapat hasil."

Bahkan kami menjadi orang yang tidak mendapat hasil apa-apa, iaitu tidak beruntung.

Oleh kerana itu, pujilah Allah s.w.t. kerana Dia telah menumbuhkannya untuk kalian, menjaganya dan memeliharanya hingga sempurna dan tidak mengirimkan musibah yang membuat kalian tidak dapat mengambil manfaat dan kebaikannya.

"68. Maka apakah kalian perhatikan air yang kalian minum."

Pernahkah kalian memperhatikan air tawar, sedap, sejuk, segar dan menyegarkan yang kalian minum? Maka terangkanlah kepadaKu tentang air itu.

"69. Apakah kalian yang menurunkannya dari awan atau Kami yang menurunkannya?"

Al muzn bermaksud awan. Kaliankah atau Kamikah yang menurunkan air itu dari awan? Bahkan Kamilah yang menurunkannya.

"70. Jika Kami menghendaki, nescaya Kami jadikannya masin," 

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami jadikan dia masin lagi pahit, tidak layak dan tidak sedap untuk diminum, dan tidak layak untuk pengairan tanaman.

"maka mengapa tidak kalian bersyukur?"

Mengapa kalian tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmatNya yang dilimpahkan kepada kalian?

Nabi s.a.w. apabila usai dari minumnya membaca doa berikut, "Segala puji bagi Allah Yang telah memberi kami minum air yang tawar lagi menyegarkan berkat rahmatNya, dan tidak menjadikannya masin lagi pahit kerana dosa-dosa kami."

"71. Maka apakah kalian perhatikan api yang kalian nyalakan?"

Pernahkah kalian memperhatikan tentang api yang kalian nyalakan dengan kayu? Iaitu dengan menggosok-gosokkan kayu yang kalian ambil dari dahan pohon sebagai pemantik api hingga kalian dapat mengeluarkan api. Maka terangkanlah kepadaKu tentang kayu itu.

"72. Apakah kalian menumbuhkan pohonnya atau Kami yang menumbuhkannya?"

Kaliankah yang menjadikan kayu itu atau Kami yang menjadikannya? Bahkan Kamilah yang menjadikannya mengandung api. Bagi orang Arab di masa lampau ada dua jenis kayu untuk keperluan ini, iaitu kayu Al Marakh dan kayu Al 'Ifar. Apabila dari masing-masing ranting keduanya diambil satu batang yang masih hijau, lalu satu dengan yang lainnya digosokkan, maka dari gesekan keduanya keluarlah percikan api.

"73. Kami menjadikannya peringatan" 

Kami menjadikan api itu sebagai peringatan terhadap nikmat-nikmat Kami, peringatan terhadap api yang maha besar, iaitu api neraka Jahanam yang Kami sediakan untuk orang-orang yang bermaksiat, dan sebagai cemeti untuk menggiring hamba-hamba Kami menjauhi neraka menuju negeri yang penuh kenikmatan (syurga).

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hai kaumku, api kalian ini yang kalian nyalakan merupakan satu bahagian dari tujuh puluh bahagian api neraka Jahanam." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya sebahagian kecil darinya saja sudah mencukupi." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya (pada mulanya) api itu dicelup sebanyak dua kali di laut agar dapat dimanfaatkan oleh manusia dan manusia dapat mendekat kepadanya."

"dan bahan yang berguna bagi para musafir."

Muqwin bermaksud Musafirin. Ada yang mengatakan bahawa al muqwin dalam ayat ini bermaksud orang yang lapar. Ada yang mengatakan bahawa al muqwin bermaksud bagi siapa saja yang memanfaatkannya.

Kami juga menjadikan api itu sebagai bahan yang berguna bagi musafir di padang pasir, di tengah hutan dan jauh dari keramaian. Sesungguhnya baik orang yang ada di tempat maupun orang yang sedang musafir, baik yang kaya maupun yang miskin, semuanya memerlukan api untuk keperluan memasak, memanggang, berdiang, penerangan dan keperluan lainnya yang cukup banyak.

Termasuk belas kasihan Allah s.w.t. kepada makhlukNya iaitu Dia telah menyimpan api dalam batu-batu pemantik dan besi murni hingga seorang yang musafir dapat membawanya di dalam barang bawaannya dan dapat dikantongi pada kantong bajunya. Apabila suatu waktu dia memerlukannya di dalam rumahnya, maka dia tinggal mengeluarkan alat tersebut (pemantik api), lalu menyalakannya.

Disebutkan musafir secara khusus walaupun maknanya bersifat umum mencakup semua orang kerana musafir lebih banyak memerlukannya daripada selainnya. Atau maksudnya, kerana dunia ini tempat safar, bukan tempat menetap, maka seorang hamba dari sejak dilahirkan maka dia sedang bermusafir atau mengadakan perjalanan menuju Tuhannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang-orang muslim itu bersekutu dalam tiga perkara, iaitu api, penggembalaan, dan air."

Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ada tiga perkara yang tidak boleh dimonopoli, iaitu air, penggembalaan, dan api."

"74. Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Mahabesar."

Sucikanlah Tuhanmu Yang Mahabesar, yang sempurna nama dan sifatNya, banyak ihsan dan kebaikanNya. Pujilah Dia dengan hatimu, lisanmu dan anggota badanmu, kerana Dia layak memilikinya, Dia berhak disyukuri tidak dikufuri, Dia berhak disebut namaNya tidak dilupakan dan Dia berhak ditaati dan tidak diderhakai.

Ahad, 24 November 2019

56:41-56 Tafsir Surah Al Waqiah, ayat 41-56.

وَأَصْحَابُ الشِّمَالِ مَا أَصْحَابُ الشِّمَالِ (٤١) فِي سَمُومٍ وَحَمِيمٍ (٤٢) وَظِلٍّ مِنْ يَحْمُومٍ (٤٣) لا بَارِدٍ وَلا كَرِيمٍ (٤٤) إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُتْرَفِينَ (٤٥) وَكَانُوا يُصِرُّونَ عَلَى الْحِنْثِ الْعَظِيمِ (٤٦) وَكَانُوا يَقُولُونَ أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَئِنَّا لَمَبْعُوثُونَ (٤٧) أَوَآبَاؤُنَا الأوَّلُونَ (٤٨) قُلْ إِنَّ الأوَّلِينَ وَالآخِرِينَ (٤٩) لَمَجْمُوعُونَ إِلَى مِيقَاتِ يَوْمٍ مَعْلُومٍ (٥٠) ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا الضَّالُّونَ الْمُكَذِّبُونَ (٥١) لآكِلُونَ مِنْ شَجَرٍ مِنْ زَقُّومٍ (٥٢) فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ (٥٣) فَشَارِبُونَ عَلَيْهِ مِنَ الْحَمِيمِ (٥٤) فَشَارِبُونَ شُرْبَ الْهِيمِ (٥٥) هَذَا نُزُلُهُمْ يَوْمَ الدِّينِ (٥٦)

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan perihal golongan kanan, lalu mengiringinya dengan menyebutkan perihal golongan kiri. Untuk itu Dia berfirman,

"41. Dan golongan kiri, alangkah sengsara kaum yang kiri."

Golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Siapakah yang termasuk ke dalam golongan kiri itu? Golongan kiri di sini adalah penghuni neraka. Lalu dalam ayat berikutnya Allah s.w.t. berfirman menggambarkan keadaan mereka dan menyebutkan azab yang ditimpakan kepada mereka kerana keadilanNya.

"42. Dalam angin amat panas dan air panas yang mendidih,"

Samum bermaksud angin yang amat panas, dan hamim bermaksud air yang sangat panas. Mereka dalam siksaan angin yang sangat panas dan air yang mendidih, yang memotong usus-usus mereka.

"43. Dan naungan dari asap hitam."

Mereka berada di dalam naungan asap yang hitam. Yahmum bermaksud asap yang hitam pekat lagi sangat panas.

"44. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan."

Tidak menyejukkan tiupannya dan tidak menyenangkan rasanya, atau tidak indah dipandang. Makanan dan minumannya tidak sedap. Di sana terdapat kesedihan, kecemasan dan kegelisahan serta keburukan, dan suasananya panas, berbeda dengan naungan-naungan yang lain.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman menyebutkan bahawa mereka berhak mendapatkannya dan menyebutkan amal yang membuat mereka sampai ke tempat itu.

"45. Sungguh mereka, adalah mereka sebelum itu dalam kesenangan."

Mereka sebelum itu dahulu hidup bermewah-mewah, iaitu semasa di dunia mereka hidup senang dan bergelimangan dalam kemewahan, dan mengejar kesenangan diri mereka tanpa melirik dengan sebelah mata pun kepada apa yang disampaikan kepada mereka oleh para rasul.

Mereka tidak mahu mengerjakan amal soleh dan dilalaikan oleh dunia. Yang ada di benak mereka adalah keinginan hidup enak di dunia, sehingga mereka kerahkan fikiran dan tenaga untuk mendapatkannya sampai lupa terhadap akhirat.

"46. Dan mereka terus-menerus atas pelanggaran yang besar."

Mereka juga sentiasa bersikeras dengan sikapnya mengerjakan dosa besar. Dosa besar dalam ayat ini bermaksud syirik atau mempersekutukan Allah. Ada yang mengatakan sumpah palsu. Mereka kafir kepada Allah dan menjadikan berhala-berhala dan tandingan-tandingan sebagai tuhan-tuhan selain Allah, dan melakukan dosa-dosa besar yang lain.

Mereka tidak bertaubat darinya dan tidak menyesal terhadapnya, bahkan mereka sentiasa mengerjakan perbuatan yang membuat murka Tuhan mereka sehingga mereka menemuiNya (mati) dengan membawa dosa-dosa yang besar, wal ‘iyaadz billah.

"47. Dan mereka mengatakan, "Apakah apabila kami telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sungguh kami sungguh akan dibangkitkan?""

Mereka selalu berkata mengingkari adanya kebangkitan, "Apabila kami sudah mati, menjadi tanah dan tulang-belulang, adakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan kembali?”

"48. Atau apakah bapa-bapa kami terdahulu?"

Adakah nenek moyang kami yang terdahulu dibangkitkan kembali juga? Mereka selalu mengatakan demikian dengan nada mendustakan dan menganggap mustahil kejadian hari berbangkit. Maka Allah s.w.t. menjawab mereka melalui firmanNya,

"49. Katakanlah, "Sesungguhnya orang-orang terdahulu dan orang-orang yang kemudian.""

Beritakanlah kepada mereka wahai Muhammad, bahawa orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian dari Bani Adam kelak akan dikumpulkan di Padang Mahsyar pada hari kiamat nanti; tiada seorang pun dari mereka yang ketinggalan.

"50. Sungguh mereka dikumpulkan pada waktu-waktu tertentu hari diketahui."

Mereka semua pasti akan dikumpulkan di waktu yang telah ditetapkan, tidak dapat dimajukan, tidak dapat diundurkan, tidak dapat ditambahi dan tidak dapat dikurangi, pada hari yang diketahui, dikenali atau dimaklumi, iaitu pada hari Kiamat; hari dimana Allah s.w.t. membalas amal yang mereka kerjakan selama di dunia.

"51. Kemudian sungguh kalian wahai orang-orang yang sesat lagi pendusta,"

Iaitu orang-orang yang sesat dari petunjuk, baik ilmu maupun amal, lagi mendustakan Rasulullah s.a.w. dan mendustakan kebenaran, janji dan ancaman yang Beliau bawa.

"52. Pasti memakan dari pohon dari zaqqum,"

Kalian pasti akan memakan pohon zaqqum, pohon yang paling buruk, paling busuk dan tidak sedap dipandang. Pohon ini tumbuh di neraka, yang mengakibatkan derita yang luar biasa bagi pemakannya. Ia tidak membuat pemakannya gemuk dan tidak menutupi dirinya dari lapar.

"53. Maka menjadi penuh darinya perut-perut."

Maka kalian akan ditangkap, lalu diseret ke dalam neraka dan dipaksa untuk memakan buah zaqqum hingga perut kalian penuh dengannya.

"54. Maka akan meminum atasnya dari air panas yang mendidih."

Setelah itu kalian akan meminum minuman yang paling buruk, iaitu air yang sangat panas mendidih.

"55. Maka kamu meminum minuman unta."

Maka kalian meminumnya seperti unta yang sangat haus minum. Him ertinya unta yang sangat kehausan. Ada yang mengatakan bahawa al him adalah suatu penyakit yang menghinggapi unta, akibatnya unta yang dihinggapinya sentiasa merasa kehausan selamanya hingga ia mati.

Begitu juga keadaan ahli neraka Jahanam, mereka tidak pernah merasa kenyang dari minum air yang panas mendidih itu.

"56. Inilah hidangan mereka pada hari pembalasan.”

Apa yang telah disebutkan di atas merupakan sajian untuk mereka di hadapan Tuhannya pada hari mereka menjalani hisab.

Rabu, 11 September 2019

56:27-40 Tafsir Surah Al Waqiah, ayat 27-40.

وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ (٢٧) فِي سِدْرٍ مَخْضُودٍ (٢٨) وَطَلْحٍ مَنْضُودٍ (٢٩) وَظِلٍّ مَمْدُودٍ (٣٠) وَمَاءٍ مَسْكُوبٍ (٣١) وَفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ (٣٢) لا مَقْطُوعَةٍ وَلا مَمْنُوعَةٍ (٣٣) وَفُرُشٍ مَرْفُوعَةٍ (٣٤) إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً (٣٥) فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا (٣٦) عُرُبًا أَتْرَابًا (٣٧) لأصْحَابِ الْيَمِينِ (٣٨) ثُلَّةٌ مِنَ الأوَّلِينَ (٣٩) وَثُلَّةٌ مِنَ الآخِرِينَ (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan apa yang Dia sediakan untuk Ashabul yamin, iaitu golongan kanan, yang berbakti (takwa) dan yang berada di bawah kedudukan orang-orang yang didekatkan kepadaNya.

"27. Dan golongan kanan, alangkah mulia golongan kanan."

Dan golongan kanan, alangkah mulianya atau bahagianya golongan kanan itu. Iaitu siapakah golongan kanan itu dan keadaan mereka, serta bagaimanakah tempat kembali mereka?

"28. Di pohon bidara tidak berduri."

Mereka berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, iaitu terpotong duri dan dahan yang buruk yang membahayakan, lalu diganti dan dipenuhi dengan buah yang enak. Pohon bidara memiliki kelebihan, naungannya dapat menaungi dan seseorang dapat beristirehat di bawahnya.

Pohon bidara di dunia penuh dengan duri dan sedikit buahnya, tetapi di akhirat pohon bidara tidak berduri dan banyak buahnya yang membuat pohonnya berat dengan buah-buah yang dikeluarkannya.

"29. Dan pohon pisang bersusun-susun."

Dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya.

"30. Dan naungan yang terbentang luas."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Di dalam syurga terdapat sebuah pohon yang seorang pengendara berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun masih belum dapat menempuhnya."

"31. Dan air mengalir."

Dan air yang tercurah terus-menerus baik dari mata air, sungai yang mengalir maupun air-air yang memancar. Ada yang mengatakan bahawa makna yang dimaksud ialah air yang mengalir bukan dari parit, iaitu luapannya.

"32. Dan buah-buahan yang banyak."

Pada mereka terdapat buah-buahan yang banyak lagi beraneka ragam warnanya yang termasuk di antara apa yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, dan belum pernah terdetik dalam hati seorang manusia pun.

"33. Tidak terputus dan tidak terlarang." 

Buah-buahan itu tidak terputus, tidak berhenti berbuah dan tidak bermusim. Buahnya sentiasa ada selamanya dan tidak terlarang mengambilnya. Apabila mereka menginginkannya, buah-buahan syurga sentiasa ada dan mereka dapat menjumpainya, tiada suatu buah pun yang menolak terhadap mereka berkat kekuasaan Allah.

Tiada yang mencegah mereka dari memetiknya, baik itu ranting, duri, ataupun jarak yang jauh. Apabila seseorang memetik buah, maka saat itu juga dari tempat yang dipetiknya itu muncul buah lain yang baru.

"34. Dan kasur-kasur yang ditinggikan."

Iaitu kasur-kasur (tilam-tilam) yang tebal, empuk, lagi lembut. Boleh juga diertikan, dan kasur-kasur yang ditinggikan di atas ranjang (tempat tidur). Kasur-kasur tersebut dari sutera, emas, mutiara dan lainnya yang tidak diketahui kecuali oleh Allah s.w.t.

"35. Sungguh Kami jadikan mereka dengan kejadian,"

Sesungguhnya Kami menciptakan bidadari-bidadari dengan langsung. Iaitu mereka diciptakan secara langsung atau tanpa melalui kelahiran. Mereka langsung dijadikan gadis-gadis perawan, atau maksudnya Allah menciptakan mereka (wanita-wanita penghuni syurga) dalam keadaan sempurna dan tidak menerima kebinasaan.

"36. Maka Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan,"

Lalu Kami jadikan mereka perawan-perawan, baik wanita yang masih kecil maupun yang sudah tua di dunia, Allah menjadikan mereka di akhirat dalam keadaan muda. Hal ini mencakup bidadari-bidadari dan wanita-wanita penghuni syurga, dan bahawa keperawanan ini sentiasa ada pada mereka walaupun mereka telah digauli oleh suami mereka.

"37. Penuh cinta," 

Al 'urb bermaksud yang penuh cinta, mereka mencintai suami-suami mereka dan suami-suami mereka mencintai mereka. Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah manja. Ada yang mengatakan wanita yang bersikap baik kepada suaminya.

Ada yang mengatakan baik dan indah tutur katanya. Apabila mereka berbicara, maka mereka berbicara dengan lafaz yang indah dan menarik sikapnya, cantik dan penuh rasa cinta sehingga memikat akal suami mereka dan ingin terus mendengar kata-katanya, terlebih ketika mereka bernyanyi dengan suaranya yang merdu.

Apabila suami mereka melihat adab dan sifatnya, tentu hati mereka akan dipenuhi rasa gembira dan senang. Ketika bidadari-bidadari tersebut pindah dari tempat yang satu ke tempat yang lain, maka tempat yang mereka tinggalkan penuh dengan wangi dan cahaya.

"sebaya."

Al atrab bermaksud rata sebaya atau berusia sama, iaitu tiga puluh tiga tahun, dan akhlak mereka di antara sesamanya rukun dan damai, tidak saling bermusuhan, tidak saling bersaing dan tidak ada rasa dengki atau iri hati di antara sesama mereka seperti yang terjadi di antara para madu di dunia ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya bidadari-bidadari yang bermata jeli itu bernyanyi di dalam syurga, "Kami adalah bidadari bermata jeli yang cantik-cantik diciptakan untuk suami-suami yang mulia.”"

"38. Untuk golongan kanan,"

Kami ciptakan, simpankan atau kahwinkan bidadari-bidadari itu untuk golongan kanan.

"39. Segolongan besar dari orang-orang terdahulu,"

Golongan kanan itu terdiri daripada sejumlah besar dari orang-orang yang terdahulu.

"40. Dan segolongan besar dari orang-orang kemudian."

Golongan kanan itu juga terdiri daripada sejumlah besar dari orang-orang yang datang kemudian.

Rabu, 29 Mei 2019

56:13-26 Tafsir Surah Al Waqi'ah, ayat 13-26.

ثُلَّةٌ مِنَ الأوَّلِينَ (١٣) وَقَلِيلٌ مِنَ الآخِرِينَ (١٤) عَلَى سُرُرٍ مَوْضُونَةٍ (١٥) مُتَّكِئِينَ عَلَيْهَا مُتَقَابِلِينَ (١٦) يَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ (١٧) بِأَكْوَابٍ وَأَبَارِيقَ وَكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ (١٨) لا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنْزِفُونَ (١٩) وَفَاكِهَةٍ مِمَّا يَتَخَيَّرُونَ (٢٠) وَلَحْمِ طَيْرٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ (٢١) وَحُورٌ عِينٌ (٢٢) كَأَمْثَالِ اللُّؤْلُؤِ الْمَكْنُونِ (٢٣) جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٢٤) لا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلا تَأْثِيمًا (٢٥) إِلا قِيلا سَلامًا سَلامًا (٢٦)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal al Muqarrabun (orang-orang yang paling dahulu didekatkan kepadaNya),

"13. Segolongan besar dari orang-orang terdahulu."

Mereka itu segolongan besarnya dari al awwalin, iaitu orang-orang terdahulu atau yang pertama.

"14. Dan segolongan dari orang-orang kemudian."

Dan segolongan kecilnya dari al akhirin, iaitu orang-orang kemudian atau yang terakhir.

Menurut suatu pendapat, segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu bermaksud segolongan besarnya dari kalangan permulaan umat Nabi Muhammad s.a.w., dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian bermaksud segolongan kecil dari kalangan generasi selanjutnya dari umat Beliau s.a.w.

Menurut pendapat lain, segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu bermaksud segolongan besar dari orang-orang terdahulu dari setiap umat, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian bermaksud segolongan kecil dari orang-orang kemudian dari setiap umat.

Menurut pendapat lain, segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu bermaksud segolongan besar dari umat-umat terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian bermaksud segolongan kecil dari umat Nabi Muhammad s.a.w.

"15. Di atas dipan-dipan yang bertahtakan emas permata,"

Mereka berada di atas pelamin-pelamin yang dihiasi atau dilapisi emas, perak, mutiara, permata dan perhiasan lainnya yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t. Ada yang mengatakan bahawa pelamin-pelamin itu terbuat dari permata dan yaqut.

"16. Mereka bertelekan di atasnya berhadap-hadapan."

Mereka bersandar dengan tenang dan santai di atasnya berhadap-hadapan. Wajah sebahagian dari mereka berhadapan dengan wajah sebahagian yang lain, tiada seorang pun yang berada di belakang yang lainnya.

"17. Mengelilingi atas mereka anak-anak muda yang kekal."

Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang kekal dan tetap muda, tetap kekal dalam rupa yang sama, tidak menua, tidak bertambah usianya tidak beruban dan tidak berubah. Anak-anak muda ini melayani dan memenuhi keperluan penghuni syurga. Anak-anak muda ini terlalu indah seperti mutiara yang berhamburan.

"18. Dengan membawa gelas-gelas, dan cerek-cerek, dan piala-piala berisi dari mata air."

Akwab ialah gelas yang tidak ada pemegang dan moncongnya. Abdriq ialah yang menghimpun kedua spesifikasi tersebut, iaitu cerek atau teko yang mempunyai pemegang. Anak-anak muda itu membawa membawa gelas-gelas, cerek-cerek dan piala-piala.

Semuanya diisi dengan khamr (arak) dari air yang mengalir, iaitu sungai khamr yang ada di dalam syurga, bukan dari botol minuman, bahkan langsung dari sumbernya yang terus-menerus mengalir.

"19. Mereka tidak sakit kerananya dan tidak mabuk,"

Mereka tidak sakit kepala, tidak pening, tidak mabuk dan tidak menutup atau menghilangkan akal sihat mereka kerana meminumnya, bahkan tetap normal disertai dengan pengaruh yang menyenangkan dan merasakan kelazatan minumannya.

Ia tidak seperti arak di dunia, peminumnya mengalami empat hal kerana pengaruhnya, iaitu mabuk, pening, muntah, dan buang air kecil. Sifat arak di syurga terbebas dari semua pengaruh tersebut.

Walhasil, semua kenikmatan di syurga yang ada jenisnya di dunia, maka kenikmatan tersebut ketika di syurga tidak memiliki kekurangan.

"20. Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih."

Buah-buahan apa pun yang mereka pilih, mereka dapat memperolehnya dengan keadaannya yang sempurna. Para pelayan syurga itu mengelilingi mereka dengan membawa segala macam buah-buahan yang dipilih oleh mereka.

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan boleh memakan buah-buahan dengan memilihnya terlebih dahulu sebelum menyantapnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya seseorang itu apabila memetik suatu buah dari syurga, maka dari tempat yang dipetiknya itu muncul lagi buah lainnya."

"21. Dan daging burung dari apa yang mereka inginkan."

Burung-burung syurga itu besarnya seperti unta. Makanannya buah-buahan syurga dan minumannya dari sungai-sungai syurga. Mereka terbang dengan bebasnya di pohon-pohon syurga. Mereka benar-benar burung yang hidupnya senang, dan orang yang memakannya merasa lebih senang darinya.

Burung-burung itu berbaris kepada seorang penghuni syurga. Apabila dia menginginkan sesuatu dari burung itu, maka burung tersebut hinggap di hadapannya dan dia memakan bahagian luar dan bahagian dalam (yang diingininya), sesudah itu burung itu terbang kembali dalam keadaan tidak kurang dari sesuatu pun (iaitu tubuhnya utuh kembali).

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abdullah ibnu Mas'ud, "Sesungguhnya engkau benar-benar memandang kepada burung (yang sedang terbang) di syurga yang kamu ingini dagingnya, maka dengan serta merta burung itu terjatuh di hadapanmu dalam keadaan telah terpanggang (sudah masak)."

"22. Dan bidadari-bidadari yang bermata jeli."

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang bermata indah, sangat jelas hitam bola matanya dan sangat putih pinggirnya.

"23. Seperti mutiara tersimpan dengan baik."

Penampilan mereka dalam hal keputihan dan kejernihannya seakan-akan laksana mutiara yang tersimpan baik. Demikianlah bidadari itu, tidak ada cacatnya, bahkan sempurna sifatnya.

"24. Balasan bagi apa yang mereka kerjakan."

Semua sajian yang Kami hidangkan kepada mereka merupakan balasan bagi amal baik yang telah mereka kerjakan selama di dunia. Oleh kerana mereka memperbaiki amalnya, maka Allah memperbaiki balasanNya.

"25. Mereka tidak mendengar di dalamnya hal yang sia-sia dan tidak menimbulkan dosa."

Di dalam syurga mereka tidak pernah mendengar percakapan yang sia-sia, yang tiada gunanya atau yang mengandungi makna yang kotor atau rendah. Mereka juga tidak pernah mendengar percakapan yang mengandungi keburukan, yang menimbulkan dosa.

"26. Kecuali perkataan salam, salam."

Tetapi mereka hanya mendengar ucapan salam (selamat) yang mereka ucapkan di antara sesama mereka. Hal itu kerana syurga adalah tempat orang-orang yang baik dan tidak ada di sana selain semua yang baik.

Hal itu juga menunjukkan bahawa bagusnya adab penghuni syurga dalam percakapan di antara sesama mereka, dan bahawa ucapan mereka adalah ucapan yang paling baik, bersih, menyenangkan jiwa dan selamat dari sesuatu yang sia-sia, buruk dan berdosa.

Semoga Allah memasukkan kita ke syurga dan menjauhkan kita dari neraka.

Selasa, 26 Februari 2019

56:1-12 Tafsir Surah Al Waqi'ah, ayat 1-12.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ (١) لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ (٢) خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ (٣) إِذَا رُجَّتِ الأرْضُ رَجًّا (٤) وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا (٥) فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا (٦)وَكُنْتُمْ أَزْوَاجًا ثَلاثَةً (٧) فَأَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ (٨)وَأَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ (٩) وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ (١٠) أُولَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ (١١) فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ (١٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Apabila terjadi Al Waqi'ah."

Apabila terjadi peristiwa yang besar. Al Waqi'ah adalah salah satu nama dari nama-nama hari kiamat. Dinamakan demikian kerana ia pasti akan terjadi.

"2. Tidak tentang terjadinya seorang yang mendustakan."

Terjadinya kiamat itu tidak dapat didustakan atau disangkal, walaupun sebelum terjadinya disangkal atau didustakan oleh sebahagian manusia. Tiada yang dapat memalingkan atau menolaknya bila Allah s.w.t. telah menghendaki kejadiannya.

Tidak ada keraguan padanya kerana begitu jelas dalil-dalilnya baik secara akal maupun naql, juga ditunjukkan oleh hikmah (kebijaksanaan) Allah s.w.t."

"3. Yang merendahkan dan yang meninggikan."

Kejadian itu merendahkan satu golongan dengan masuk ke tempat yang paling rendah, iaitu neraka. Kejadian itu juga meninggikan golongan yang lain dengan masuk ke tempat yang paling tinggi, iaitu syurga.

"4. Apabila digoncangkan bumi goncangan yang keras."

Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya.

"5. Dan dihancurkan gunung-gunung sehancur-hancurnya."

Gunung-gunung dihancurluluhkan sehancur-hancurnya.

"6. Maka jadilah ia debu yang beterbangan."

Jadilah gunung-gunung itu debu yang beterbangan sehingga bumi menjadi rata, tidak ada tempat yang tinggi dan tidak ada tempat yang rendah.

"7. Dan kalian pasangan tiga."

Kalian menjadi tiga golongan sesuai amal yang kalian kerjakan selama di dunia.

"8. Maka golongan kanan, alangkah golongan kanan itu."

Golongan kanan ialah mereka yang menerima buku catatan amal dengan tangan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu.

"9. Dan golongan kiri, alangkah golongan kiri itu."

Golongan kiri ialah mereka yang menerima buku catatan amal dengan tangan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu.

"10. Dan orang-orang yang terdahulu, adalah orang-orang yang terdahulu."

Orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu masuk syurga. Ada yang mengatakan bahawa orang-orang yang bersegera kepada kebaikan ketika di dunia, maka mereka itulah orang-orang yang bersegera di akhirat untuk masuk syurga.

"11. Mereka itu orang-orang yang dekat."

Merekalah orang-orang yang dekat kepada Allah s.w.t. Mereka ini adalah makhluk-makhluk pilihan Allah s.w.t.

"12. Dalam syurga yang penuh kenikmatan."

Mereka berada di dalam syurga kenikmatan yang berada di tempat yang paling tinggi (‘Illiyyin).

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...