Khamis, 30 Januari 2020

56:88-96 Tafsir Surah Al Waqiah, ayat 88-96.

فَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنَ الْمُقَرَّبِينَ (٨٨) فَرَوْحٌ وَرَيْحَانٌ وَجَنَّةُ نَعِيمٍ (٨٩) وَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ الْيَمِينِ (٩٠) فَسَلامٌ لَكَ مِنْ أَصْحَابِ الْيَمِينِ (٩١) وَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنَ الْمُكَذِّبِينَ الضَّالِّينَ (٩٢) فَنُزُلٌ مِنْ حَمِيمٍ (٩٣) وَتَصْلِيَةُ جَحِيمٍ (٩٤) إِنَّ هَذَا لَهُوَ حَقُّ الْيَقِينِ (٩٥) فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ (٩٦)

Allah s.w.t. di awal surah telah menyebutkan tiga golongan; golongan orang-orang yang didekatkan, golongan kanan dan golongan kiri (golongan yang mendustakan lagi sesat) dan keadaan mereka di akhirat. Selanjutnya di akhir surah ini, Allah menyebutkan keadaan mereka menjelang wafat.

Keadaan ini merupakan kepastian yang dialami oleh manusia saat menghadapi kematiannya. Adakalanya dia termasuk orang yang didekatkan kepada Allah, atau bukan termasuk golongan kanan, dan adakalanya termasuk orang yang mendustakan kebenaran lagi sesat dari jalan petunjuk dan tidak mengerti tentang perintah Allah. Untuk itu maka disebutkan oleh firmanNya,

"88. Maka adapun jika dia termasuk orang-orang yang didekatkan,"

Jika orang yang sedang menghadapi kematiannya itu termasuk yang didekatkan kepada Allah, iaitu mereka yang mengerjakan perkara wajib dan sunat, meninggalkan yang haram, yang makruh dan perkara mubah yang berlebihan.

"89. Maka ketenteraman, dan rezeki, dan syurga kenikmatan."

Maka dia mendapat ketenteraman, iaitu ketenangan, kesenangan, kegembiraan dan kenikmatan lahir-batin. Ada yang mengatakan bahawa rauh bermaksud beristirahat dari dunia, kebebasan dan rahmat.

Dia juga mendapat rezeki yang baik. Raihan di sini adalah nama yang mencakup segala kenikmatan yang diterima badan, berupa makanan, minuman, dan lain-lain.

Dia juga mendapat syurga yang penuh kenikmatan, iaitu yang menggabung rauh (ketenteraman) dan raihan, dimana di dalamnya terdapat sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas di hati manusia.

Orang yang mati dalam keadaan didekatkan kepada Allah, maka para malaikat menyampaikan berita gembira ini kepadanya semasa dia menghadapi kematiannya, berita gembira yang membuat rohnya melayang dari jasad kerana gembira dan suka.

Disebutkan di dalam hadis Al Barra bahawa sesungguhnya para malaikat rahmat mengatakan, "Hai roh yang baik yang ada di dalam tubuh yang baik yang kamu huni, keluarlah kamu menuju kepada ketenteraman, kesenangan, dan menemui Tuhan yang tidak murka."

"90. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan,"

Iaitu jika orang yang sedang menjelang kematiannya itu termasuk golongan kanan, iaitu mereka yang mengerjakan kewajiban dan meninggalkan hal yang haram, walaupun terjadi pengurangan pada sebahagian hak yang tidak merosak tauhid dan iman mereka.

"91. Maka, "Salam bagi kamu dari golongan kanan.""

Para malaikat menyampaikan berita gembira kepadanya dengan berkata, "Salaimun laka" ertinya kamu dalam keadaan baik-baik saja dan selamat dari azab Allah, kamu termasuk golongan kanan.

Boleh juga maksudnya, “Salam bagimu dari saudara-saudaramu yang berada di golongan kanan,” iaitu mereka (golongan kanan) akan mengucapkan salam dan menyambutnya ketika dia sampai dan bertemu dengan mereka.

Atau maksudnya, “Salam bagimu dari musibah, cobaan dan azab kerana engkau termasuk golongan kanan yang selamat dari dosa-dosa yang membinasakan.”

"92. Dan adapun jika dia termasuk orang-orang yang mendustakan yang sesat,"

Iaitu jika orang yang sedang menjelang kematiannya itu termasuk orang yang mendustakan kebenaran lagi sesat dari jalan petunjuk.

"93. Maka hidangan dari air panas mendidih,"

Maka dia mendapat hidangan air yang mendidih, yang menghancurkan semua isi perut dan kulitnya.

"94. Dan dimasukkan ke neraka."

Dia dibakar di dalam neraka yang mengepungnya dari segala penjuru. Apinya membakar sampai ke hati. Apabila mereka meminta minuman kerana sangat haus, maka mereka mereka diberi minuman seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah. Kemudian Allah s.w.t. berfirman,

"95. Sesungguhnya ini sungguh dia benar keyakinan."

Sesungguhnya yang disebutkan ini, iaitu berita tentang pemberian balasan terhadap kebaikan dan keburukan yang dilakukan hamba serta rinciannya ini adalah suatu keyakinan yang benar, tiada keraguan lagi, bahkan benar dan pasti terjadi.

Allah s.w.t. telah memberikan buktinya baik dari dalil ‘aqli (akal) maupun naqli yang menunjukkan demikian sehingga hal itu di kalangan orang-orang yang berakal seakan-akan dirasakan oleh mereka dan disaksikannya.

Maka mereka memuji Allah s.w.t. atas nikmat yang dikurniakanNya kepada mereka berupa hidayah irsyad (petunjuk) maupun hidayah taufiq (bantuan dari Allah untuk menjalankan petunjuk itu). Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"96. Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Mahabesar."

Maka bertasbihlah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Mahabesar. Maka Mahasuci Allah Tuhan kita Yang Mahaagung dari apa yang diucapkan orang-orang yang zalim dan ingkar dengan ketinggian yang besar, dan segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam dengan pujian yang banyak, baik lagi diberkahi.

Ketika diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ayat ini, iaitu firmanNya," Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Mahabesar." Maka beliau s.a.w. bersabda, "Jadikanlah bacaan tasbih ini dalam rukuk kalian." Dan ketika turun kepada Beliau s.a.w. firmanNya, "Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Mahatinggi." Maka Beliau s.a.w. bersabda, "Jadikanlah bacaan ini dalam sujud kalian."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mengucapkan,

 سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

(Mahasuci Allah Yang Mahabesar dan dengan memuji kepadaNya), maka ditanamkan baginya sebuah pohon kurma di dalam syurga."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ada dua kalimah yang ringan di mulut, berat dalam timbangan amal perbuatan, lagi disukai oleh Tuhan Yang Maha Pemurah iaitu,

 سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

(Mahasuci Allah dan dengan memuji kepadaNya, Mahasuci Allah Yang Maha Besar.)"

Selesai tafsir surah Al Waqi’ah dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...