Jumaat, 31 Januari 2020

65:1-3 Tafsir Surah Ath Thalaq, ayat 1-3.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلا يَخْرُجْنَ إِلا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا (١) فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (٢) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا (٣)

Nabi s.a.w. didahulukan mendapat khitab (perintah) dari ayat ini sebagai penghormatan dan kemuliaan baginya, kemudian menyusul buat kaum mukmin atau umatnya sesudahnya.

Rasulullah s.a.w. pernah menceraikan Hafsah, lalu Hafsah pulang ke rumah keluarganya. Maka Allah menurunkan firmanNya,

"1. Wahai Nabi! Apabila kalian mentalak isteri-isteri," 

Wahai Nabi! Apabila kalian menceraikan isteri-isteri kalian, janganlah segera mentalak ketika ada sebabnya tanpa memperhatikan perintah Allah.

"maka tatkala mereka iddah mereka" 

Hendaklah kalian ceraikan mereka pada waktu mereka dapat menghadapi iddahnya yang wajar. Maksudnya, isteri-isteri itu hendaklah ditalak diwaktu suci sebelum dicampuri. Jika ditalak dalam keadaan haidh, maka dia tidak menghitung dengan haidh yang dijatuhkan talak ketika itu dan masa ‘iddahnya semakin lama kerananya.

Begitu juga jika mentalaknya dalam keadaan suci yang telah dijima’i, maka tidak aman terhadap kehamilannya sehingga tidak jelas dengan iddah yang mana yang harus dia jalani.

Maka dikatakan kepada Nabi s.a.w., "Rujukilah dia, kerana sesungguhnya dia (Hafsah) adalah seorang wanita yang banyak berpuasa dan banyak solatnya, dan dia termasuk salah seorang dari isteri-isterimu di syurga nanti." Kemudian Beliau s.a.w. merujuknya kembali.

"dan hitunglah iddah itu."

Hitunglah waktu iddah itu. Iaitu peliharalah dan ketahuilah permulaan dan batas berakhirnya, agar masa iddah tidak memanjang bagi si isteri, yang berakibat terhalang dari melakukan perkawinan.

Hitunglah dengan haidh jika wanita itu haidh atau dengan bulan jika dia tidak haidh dan tidak hamil. Di antara manfaatnya adalah agar kamu dapat merujuknya sebelum habisnya.

Menghitungnya terdapat pemenuhan terhadap hak Allah, hak suami yang menalak, hak orang yang akan menikahinya setelahnya dan hak wanita dalam hal nafkah dan sebagainya.

Jika ‘iddahnya telah dihitung, maka keadaannya dapat diketahui, kewajiban yang wajib dipenuhinya serta haknya juga diketahui.

Perintah menghitung masa ‘iddah ini tertuju kepada suami dan kepada isterinya jika isterinya mukallaf (sudah baligh dan berakal), jika belum maka tertuju kepada walinya.

"Dan bertakwalah kepada Allah Tuhan kalian."

Bertakwalah kepada Allah Tuhan kalian dalam hal tersebut. Taatilah perintahNya dan jauhilah laranganNya dalam semua urusan serta takutlah kepadaNya dalam hal hak isteri yang ditalak.

"Janganlah kalian mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka dan janganlah mereka keluar" 

Janganlah kalian keluarkan mereka dari rumah mereka selama masa ‘iddah, bahkan mereka (kaum wanita) harus tetap di rumah suaminya yang mentalaknya. Dalam masa iddahnya dia berhak mendapatkan tempat tinggal yang dibebankan kepada pihak suami selama isterinya masih menjalani iddah darinya, si suami tidak boleh mengusirnya dari tempat tinggalnya.

Janganlah mereka di izinkan keluar, iaitu mereka tidak boleh keluar dari rumah itu kerana terikat dengan hak suaminya juga.

Larangan mengeluarkannya adalah kerana tempat tinggal wajib ditanggung suami untuk isterinya agar dia menyempurnakan ‘iddahnya di rumah itu yang menjadi salah satu haknya.

Di samping itu, keluarnya isteri dapat menyia-nyiakan hak suami dan tidak menjaganya. Larangan mengeluarkan isteri dari rumah ini berlangsung terus sampai sempurna ‘iddahnya.

"kecuali bahawa mereka mendatangkan dengan kekejian yang jelas."

Kecuali kalau mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang, iaitu terbukti perbuatan kejinya. Maka dia baru boleh diusir dari tempat tinggalnya.

Perbuatan keji (fahisyah) di sini bermaksud mengerjakan perbuatan-perbuatan pidana seperti zina sehingga dia keluar untuk ditegakkan had terhadapnya, atau berkelakuan tidak sopan terhadap mertua, ipar, dan sebagainya yang layak untuk dikeluarkan seperti menyakiti dengan kata-kata dan perbuatan. Termasuk juga apabila seorang wanita bersikap nusyuz (derhaka) kepada suaminya.

Dalam keadaan seperti ini, mereka boleh dikeluarkan kerana dia yang menyebabkan dirinya berhak dikeluarkan. Memberikan tempat tinggal ini apabila talaknya talak raj’i (masih boleh rujuk), adapun dalam talak ba’in, maka isteri tidak berhak mendapatkan tempat tinggal, kerana tempat tinggal mengikuti nafkah, sedangkan nafkah wajib diberikan kepada wanita yang ditalak raj’i, bukan dilatak ba’in.

"Dan itu hukum-hukum Allah."

Itulah hukum-hukum Allah, iaitu hukum-hukum syariatNya dan batasan-batasan haramNya yang telah ditetapkan kepada hamba-hambaNya serta diperintahkanNya mereka untuk tetap memperhatikannya.

"Dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sungguh telah berbuat zalim dirinya." 

Barang siapa melanggar hukum-hukum Allah, iaitu keluar dan menyimpang darinya ke jalan lain dan tidak mahu mengikutinya, maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri dengan perbuatannya itu dan menyia-nyiakannya keberuntungan yang diperolehnya jika mengikuti hukum-hukum Allah, iaitu kebaikan di dunia dan akhirat.

"Kamu tidak mengetahui barang kali Allah mengadakan yang baru sesudah itu perkara."

Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu hal atau ketentuan yang baru. Suatu hal yang baru bermaksud keinginan dari suami untuk rujuk kembali apabila talaknya baru dijatuhkan sekali atau dua kali.

Sesungguhnya Kami biarkan wanita yang diceraikan tetap berada di tempat tinggal suaminya dalam masa idahnya, kerana barangkali si suami menyesali talak yang telah dijatuhkannya, dan Allah menggerakkan hati suami untuk merujuknya. Bila demikian, maka urusannya mudah.

Ini adalah salah satu hikmah disyariatkannya ‘iddah. Hikmah lainnya adalah bahawa masa ‘iddah adalah masa menunggu untuk diketahui kosong rahimnya.

"2. Maka apabila telah sampai waktu iddah," 

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya atau hampir menyelesaikan masa idahnya, tetapi masa idahnya masih belum berakhir secara maksimal, maka pada saat itulah pihak suami adakalanya bertekad untuk kembali memegangnya dan mengembalikannya ke dalam ikatan pernikahan serta meneruskan kehidupan rumah tangganya semula.

Hal itu, kerana apabila mereka telah keluar dari masa ‘iddah, maka suami tidak ada kesempatan memilih untuk menahan (merujuk) atau menceraikan.

"maka tahanlah mereka dengan baik" 

Maka rujuklah mereka dengan baik, tidak bermaksud membahayakan isteri, menimpakan keburukan dan mengekangnya. Iaitu memperbaiki kembali hubungannya dengan isterinya dan menggaulinya dengan cara yang baik.

"atau ceraikanlah mereka dengan baik"

Adakalanya si suami bertekad tetap menceraikannya dengan cara yang baik juga, iaitu tanpa melakukan perbuatan yang dilarang, memburuk-burukkan isterinya, mencaci makinya, mengecamnya, bertengkar dan memaksa isteri agar memberikan harta yang telah menjadi miliknya, bahkan menceraikannya dengan cara yang baik dan penyelesaian yang bagus.

"dan persaksikanlah dua orang mempunyai keadilan di antara kalian" 

Persaksikanlah dengan dua orang saksi yang muslim dan adil di antara kalian untuk rujuk atau talaknya. Mengangkat saksi dapat menutup pintu pertengkaran dan menutup sikap menyembunyikan dari keduanya sesuatu yang mesti dijelaskan.

"dan tegakkanlah kesaksian kerana Allah."

Hendaklah kalian tegakkan kesaksian itu kerana Allah, iaitu tegakkanlah persaksian itu sesuai keadaan yang sebenarnya tanpa kurang tanpa lebih, dan niatkanlah untuk mencari keridhaan Allah, serta tidak memperhatikan kerabat kerana kedekatannya atau kawan kerana disenanginya.

"Demikian itu diberi pengajaran dengannya orang yang dia beriman kepada Allah dan hari akhir."

Demikianlah pengajaran itu diberikan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Iaitu apa yang telah Kami perintahkan kalian untuk menjalankannya, iaitu menggunakan saksi dan menegakkan persaksian, tiada lain orang yang mahu melakukannya hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Dan sesungguhnya Allah s.w.t. mensyariatkan hukum ini bagi orang yang takut terhadap siksa Allah di hari akhirat nanti. Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir akan segera sedar terhadap nasihat Allah, menyiapkan amal soleh yang boleh dilakukannya untuk akhirat.

Berbeda dengan orang yang iman telah berpindah dari hatinya, maka dia tidak peduli terhadap perbuatannya yang disiapkan untuk akhirat baik atau buruk, dia juga tidak memuliakan nasihat-nasihat Allah.

Seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang dikenal dengan nama Auf ibnu Malik Al Asyja'i mempunyai seorang putera yang tertawan di kalangan kaum musyrik. Dan anaknya itu berada di tangan kaum musyrik, sedangkan ayahnya selalu mendatangi Rasulullah s.a.w. mengadukan nasib yang dialami oleh puteranya itu dan juga tentang kemiskinan yang menimpa dirinya. Dan Rasulullah s.a.w. selalu menganjurkan kepadanya untuk bersabar menghadapi semua musibah itu dan bersabda kepadanya, "Sesungguhnya Allah akan menjadikan bagimu jalan keluar." Tidak lama kemudian ternyata puteranya itu dapat meloloskan diri dari tangan musuh dan melarikan diri, kemudian dia bersua dengan iringan ternak kambing milik musuhnya, maka dia menggiring ternak kambing itu dan pulang ke rumah ayahnya dengan membawa ternak kambing hasil jarahannya. Lalu diturunkanlah ayat berikut berkenaan dengan peristiwa ini, iaitu firmanNya,

"Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar."

Barang siapa yang bertakwa kepada Allah dalam semua apa yang diperintahkan kepadanya dan meninggalkan semua apa yang dilarang baginya, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dari urusannya.

Maka orang yang bertakwa kepada Allah dan mengutamakan keridhaanNya dalam semua keadaannya, Allah s.w.t. akan membalasnya di dunia dan akhirat. Di antara sekian balasannya adalah Allah s.w.t. berikan dan bukakan jalan keluar dari setiap kesulitan dan kesempitan.
Sedangkan orang yang tidak bertakwa kepada Allah, akan terjatuh ke dalam kesempitan, beban dan belenggu yang sulit keluar dan lolos darinya.

Digunakan talak sebagai contohnya, kerana talak terkadang membuat seseorang merasakan kesempitan, kesedihan dan penderitaan. Jika seorang tidak bertakwa kepada Allah dalam masalah talak, misalnya dia menjatuhkan talak dengan cara yang diharamkan seperti langsung tiga kali, maka dia tentu akan menyesal dengan penyesalan yang tidak mungkin dapat dikejar lagi.

Oleh kerana itu, apabila seseorang ingin mentalak, lalu dia menjatuhkannya sesuai syariat, iaitu menjatuhkannya sekali tidak pada masa isteri haidh atau masa suci yang telah dicampuri, maka urusannya tidak akan sempit, bahkan Allah s.w.t. memberikan celah dan jalan keluar agar dia dapat merujuk isterinya jika dia menyesal melakukan talak.

"3. Dan Dia memberi rezeki dari arah mana tidak disangka-sangka." 

Allah memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya, iaitu dari arah yang tidak terdetik dalam hatinya.

"Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Dia mencukupinya."

Barang siapa yang bertawakkal kepada Allah dalam urusan agama dan dunianya, iaitu dengan bersandar kepada Allah dalam mendatangkan manfaat dan menolak madharrat serta percaya kepadaNya dalam mewujudkan semua itu, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.

Jika urusannya dalam tanggungan Allah Yang Mahakaya, Mahaperkasa lagi Maha Penyayang, maka keperluannya sangat mudah sekali terpenuhi. Akan tetapi terkadang hikmah ilahi menghendaki perkara itu ditunda sampai waktu yang tepat. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"Sesungguhnya Allah menyampaikan urusanNya."

Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya, iaitu melaksanakan ketetapan-ketetapan dan hukum-hukumNya terhadap makhlukNya menurut apa yang dikehendaki dan yang diinginkanNya. Qadha’ dan qadarNya pasti terlaksana.

"Sungguh Allah menjadikan bagi tiap-tiap sesuatu ketentuan." 

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu. Dia telah menentukan waktunya dan ukurannya, tidak lebih dan tidak kurang.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...