Memaparkan catatan dengan label 062. Al Jumu'ah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 062. Al Jumu'ah. Papar semua catatan

Khamis, 18 Oktober 2018

62:9-11 Tafsir Surah Al Jumu’ah, ayat 9-11.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (٩) فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الأرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (١٠) وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (١١)

Hari Jumaat dinamakan Jumu'ah kerana berakar dari kata al jam'u. Kaum muslim berkumpul sekali dalam seminggu di dalam masjid-masjid yang besar. Pada hari Jumaat semua makhluk telah sempurna diciptakan, dan hari Jumaat itu merupakan hari keenam dari tahun yang Allah menciptakan padanya langit dan bumi.

Pada hari Jumaat juga Allah menciptakan Adam, pada hari Jumaat Adam dimasukkan ke dalam syurga, pada hari Jumaat Adam dikeluarkan dari syurga, dan pada hari Jumaat juga hari kiamat terjadi.

Di dalam hari Jumaat terdapat suatu saat yang tiada seorang hamba pun yang beriman dapat menjumpainya, sedangkan dia dalam keadaan memohon kebaikan kepada Allah di dalamnya, melainkan Allah akan mengabulkan apa yang dimintanya.

Menurut bahasa orang-orang kuno, hari Jumaat disebut juga dengan nama hari 'Arubah. Umat-umat sebelum kita telah diperintahkan untuk menghormati hari Jumaat, maka mereka memuliakannya.

Tetapi orang-orang Yahudi memilih hari Sabtu yang tidak bertepatan dengan hari penciptaan Adam, sedangkan orang-orang Nasrani memilih hari Ahad yang padanya dimulai penciptaan makhluk. Allah s.w.t. memilih bagi umat ini hari Jumaat yang padanya Allah telah menyempurnakan penciptaan makhluk(Nya).

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kita adalah orang-orang yang terakhir, tetapi yang paling terdahulu kelak di hari kiamat, hanya saja mereka diberi kitab sebelum kita. Kemudian sesungguhnya hari (Jumaat) ini adalah hari mereka yang telah difardukan oleh Allah atas mereka, tetapi mereka berselisih pendapat mengenainya. Dan Allah menunjuki kita padanya, maka orang-orang lain mengikut kita padanya; orang-orang Yahudi esok dan orang-orang Nasrani sesudah esok."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah membutakan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka bagi orang-orang Yahudi hari Sabtu, dan bagi orang-orang Nasrani hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan menunjuki kita kepada hari Jumaat, dan Allah menjadikan hari Jumaat, hari Sabtu, dan hari Ahad (berurutan). Begitu juga kelak di hari kiamat, mereka mengikut kepada kita. Kita adalah orang-orang yang terakhir dari kalangan penduduk dunia, tetapi yang paling pertama mendapat peradilanNya di antara sesamanya kelak di hari kiamat sebelum semua makhluk."

Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin untuk berkumpul untuk mengerjakan ibadah kepadaNya di hari Jumaat. Maka Dia berfirman,

"9. Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli."

Apabila imam telah naik mimbar dan muazzin telah menyerukan azan keduanya di hari Jumaat, maka kalian wajib bersegera memenuhi panggilan muazzin itu, menghadiri, melaksanakan solat Jumaat dan meninggalkan semua pekerjaan kalian.

Seruan yang dimaksudkan ini adalah seruan kedua yang biasa dilakukan di hadapan Rasulullah s.a.w. apabila Beliau keluar dari rumahnya dan duduk di atas mimbarnya, maka pada saat itulah azan diserukan di hadapannya.

Dahulu di masa Rasulullah s.a.w., Abu Bakar r.a., dan Umar r.a., seruan azan pada hari Jumaat dilakukan hanya sekali, iaitu di saat imam muncul dan duduk di atas mimbarnya.

Ketika masa pemerintahan Usman ibnu Affan r.a. telah berlangsung beberapa masa dan penduduk bertambah ramai, dia memerintahkan agar dilakukan seruan azan pertama, iaitu sebelum imam muncul hingga semua orang telah berkumpul.

Maka ditambahkanlah seruan azan di atas semua rumah yang disebut Az Zaura, rumah yang tertinggi di Madinah pada masa itu berada di dekat masjid.

Sesungguhnya yang diperintahkan untuk menghadiri solat Jumaat itu hanyalah kaum lelaki yang merdeka, bukan hamba, wanita dan kanak-kanak. Dan dimaafkan untuk tidak melakukan solat Jumaat bagi orang musafir, pesakit, perawat pesakit dan uzur lain yang diterima.

Bersegera (sa'yu) di sini bukanlah bermaksud berjalan cepat, terburu-buru dan tergesa-gesa menuju tempat solat. Sesungguhnya hal itu dilarang. Berjalan menuju tempat solat hendaklah melangkah dengan tenang dan anggun.

Bersegera di sini kaitannya adalah dengan hati, niat, dan kekhusyukan. Ia bermaksud berjalanlah dengan hati dan amalmu, perhatikanlah, tuluskanlah niat, bulatkanlah tekad, pentingkanlah, utamakanlah, laksanakan ibadah kepadaNya dan tinggalkanlah kesibukan yang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seseorang dari kamu mendatangi solat Jumaat, hendaklah (disunatkan) dia mandi terlebih dahulu."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mencuci dan mandi pada hari Jumaat dan berpagi hari, dan berangkat dengan segera serta jalan kaki tidak berkenderaan, dan mendekati imam, dan mendengarkan serta tidak melakukan hal yang laga (melenyapkan pahala Jumaat), maka baginya untuk tiap langkahnya pahala satu tahun puasa dan qiyam (solat)nya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandinya untuk jinabah, kemudian berangkat pada saat yang pertama, maka seakan-akan dia mengorbankan seekor unta. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang kedua, maka seakan-akan dia mengorbankan seekor lembu betina. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang ketiga, maka seakan-akan mengorbankan seekor kambing gibasy yang bertanduk. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang keempat, maka seakan-akan mengorbankan seekor ayam. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang kelima, maka seakan-akan mengorbankan sebuah telur. Dan apabila imam muncul, maka para malaikat hadir mendengarkan zikir."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mandi pada hari Jumaat dan memakai wewangian keluarganya jika mempunyainya, dan mengenakan pakaian yang terbaiknya, kemudian dia keluar hingga sampai di masjid, lalu melakukan solat (sunat) jika dia menginginkannya, dan tidak mengganggu seorang pun, kemudian diam dengan penuh perhatian di saat imamnya muncul hingga salat ditunaikan. Maka hal itu menjadi kifarat baginya terhadap dosa-dosa yang ada antara hari itu sampai dengan Jumaat berikutnya."

Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada orang ramai pada hari Jumaat, lalu Beliau melihat mereka mengenakan pakaian nimar (harian), kemudian Beliau s.a.w. bersabda, "Tidak dibebankan bagi seseorang dari kamu jika dia mempunyai keluasan untuk mengambil sepasang pakaian untuk solat Jumaatnya selain sepasang pakaian untuk kerjanya."

Para ulama sepakat bahawa haram melakukan jual beli sesudah azan kedua. Tetapi mereka berselisih pendapat mengenai masalah jual beli secara muatah (bayar dan terima tanpa ijab kabul). Ada dua pendapat mengenainya. Menurut makna lahiriah ayat, hal itu tidak sah juga.

"Demikian itu lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui."

Bersegera untuk mengingat Allah dan solat itu lebih baik bagi kehidupan dunia dan akhirat kalian daripada kalian sibuk berjual-beli atau bekerja, jika kalian mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal, dan bahawa barang siapa yang mengutamakan dunia di atas akhirat, maka sesungguhnya dia telah rugi dengan kerugian yang hakiki.

"10. Maka apabila telah diselesaikan solat, maka bertebaranlah di bumi; dan carilah kurnia Allah"

Apabila solat telah dilaksanakan, maka kalian diizinkan bertebaran di muka bumi untuk mencari kurnia Allah atau rezeki. Sebahagian ulama Salaf mengatakan bahawa barang siapa yang melakukan jual beli pada hari Jumaat sesudah menunaikan solat Jumaat, maka Allah s.w.t. akan memberkahi jual belinya sebanyak tujuh puluh kali, kerana ada ayat ini.

Tetapi kesibukan untuk bekerja dan berdagang biasanya membuat lalai dari mengingat Allah, maka Dia berfirman,

"dan ingatlah Allah banyak agar kalian beruntung."

Ingatlah Allah banyak-banyak, baik ketika berjual beli, memberi, menerima, berdiri, duduk maupun berbaring. Banyak berzikir merupakan sebab terbesar untuk beruntung. Janganlah kalian disibukkan oleh urusan dunia kalian hingga kalian melupakan hal yang bermanfaat bagi kalian di negeri akhirat nanti.

Barang siapa yang memasuki sebuah pasar, lalu mengucapkan, "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata, tiada sekutu bagiNya, milikNyalah semua Kerajaan dan segala puji, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu," maka Allah akan mencatat baginya satu juta kebaikan dan menghapuskan darinya sejuta keburukan (dosa).

Pada suatu hari ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah, datanglah iringan kafilah perniagaan ke Madinah. Barang dagangan tersebut adalah milik Dihyah ibnu Khalifah sebelum dia masuk Islam, dia memakai genderang dalam menjajakan barang dagangannya.

Datanglah seorang lelaki masuk ke dalam kumpulan jamaah solat Jumaat, lalu memberitakan bahawa Dihyah ibnu Khalifah telah tiba dengan membawa barang dagangan. Dia bermaksud menganjurkan mereka bubar dan menyambut kafilah tersebut.

Akhirnya mereka menoleh kepadanya, bubar menuju ke tempat perniagaan itu dan meninggalkan Rasulullah s.a.w. yang sedang berkhutbah di atas mimbarnya, kecuali dua belas orang yang tidak terpengaruh.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, seandainya kalian semua terpengaruh hingga tiada seorang pun dari kalian yang tersisa, nescaya lembah ini akan mengalirkan api membakar kalian semua."

Menurut riwayat lain, Wanita-wanita gadis apabila mereka menikah, maka mereka melintas dengan iringan tabuhan gendang dan seruling, dan mereka (sebahagian kaum muslimin) meninggalkan Nabi s.a.w. dalam keadaan berdiri di atas mimbar dan pergi kepadanya.

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya mengecam orang-orang yang bubar meninggalkan khutbah Jumaat itu,

"11. Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka menuju kepadanya"

Apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka segera bubar untuk menuju kepadanya. Di antara kedua belas orang yang tetap mendengarkan khutbah Rasulullah s.a.w. adalah Abu Bakar dan Umar r.a.

Menurut suatu pendapat, kisah ini terjadi ketika Rasulullah s.a.w. mendahulukan solat Jumaat atas khutbahnya. Dahulu Rasulullah s.a.w. melakukan solat Jumaatnya sebelum khutbahnya, seperti solat dua hari raya.

"dan meninggalkanmu berdiri."

Mereka tinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang berdiri di atas mimbar berkhutbah Jumaat. Ayat ini dalil yang menunjukkan bahawa imam melakukan khutbahnya pada hari Jumaat dengan berdiri.

Nabi s.a.w. melakukan dua khutbah, dan duduk di antara keduanya. Di dalam khutbahnya Beliau s.a.w. membaca Al Qur'an dan memberikan peringatan kepada manusia.

"Katakanlah, "Apa yang di sisi Allah lebih baik dari permainan dan dari perniagaan,""

Balasan dan pahala di negeri akhirat untuk orang yang sentiasa melazimi kebaikan dan menyabarkan dirinya untuk beribadah kepada Tuhannya, lebih baik daripada permainan dan perdagangan. Walaupun sebahagian maksud mereka tercapai, namun sangat sedikit sekali berbanding kebaikan akhirat yang luput kerana mengutamakannya.

"dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki."

Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik bagi orang yang bertawakal kepadaNya dan mencari rezeki tepat pada waktunya. Sabar di atas ketaatan kepada Allah tidaklah menghilangkan rezeki. Barang siapa bertakwa kepada Allah, maka dia akan diberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Selesai tafsir Surah Al Jumu'ah dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Ahad, 12 Ogos 2018

62:5-8 Tafsir Surah Al Jumu’ah, ayat 5-8.

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (٥) قُلْ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ هَادُوا إِنْ زَعَمْتُمْ أَنَّكُمْ أَوْلِيَاءُ لِلَّهِ مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٦) وَلا يَتَمَنَّوْنَهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (٧) قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"5. Perumpamaan orang-orang yang dibebankan Taurat, kemudian tidak memikulnya seperti keldai membawa kitab-kitab yang tebal."

Allah s.w.t. mencela orang-orang Yahudi. Mereka telah diberi kitab Taurat dan telah Dia bebankan kepada mereka kitab Taurat itu untuk diamalkan ajarannya. Tetapi mereka tidak mengamalkannya isinya, antara lain tidak membenarkan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

Kerana itu mereka diumpamakan seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal di atas belakangnya. Ia tidak memahami kitab-kitab yang dipikulnya dan tidak mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Kitab-kitab itu tidak bermanfaatnya baginya.

Begitu juga halnya dengan mereka yang telah diberi Al Kitab, mereka hanya dapat menghafalnya secara harfiyah, tetapi tidak memahaminya, tidak mengamalkan pesan-pesan, perintah-perintah dan larangan-larangan yang terkandung di dalamnya.

Bahkan mereka menakwilkannya dengan takwilan yang menyimpang dan menggantinya dengan yang lain. Keadaan mereka jauh lebih buruk daripada keldai, kerana keldai adalah haiwan yang tidak berakal, sedangkan mereka adalah makhluk yang berakal, tetapi tidak menggunakannya.

"Seburuk-buruk perumpamaan kaum yang mendustakan pada ayat-ayat Allah."

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah yang menunjukkan kebenaran Rasul kita Muhammad s.a.w. dan apa yang dibawanya.

"Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang zalim."

Allah tidak akan memberi petunjuk kepada hal yang bermaslahat bagi mereka selama sifat zalim dan keras kepala masih melekat pada mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang berbicara pada hari Jumaat, padahal imam sedang berkhutbah, maka perumpamaannya sama dengan keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal. Dan orang yang berkata kepadanya, "Diamlah!" Maka tiada (pahala) Jumaat baginya."

Di antara kezaliman orang-orang Yahudi dan keras kepalanya mereka adalah bahawa mereka sudah tahu berada di atas kebatilan namun menyangka di atas kebenaran dan menganggap bahawa diri mereka adalah para wali Allah.

Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. mencabar mereka melakukan mubahalah, iaitu mereka diminta untuk melakukan sumpah dengan musuh mereka bahawa siapa yang sesat dari mereka semoga ditimpa oleh laknat Allah, adakah diri mereka atau musuh mereka.

"6. Katakanlah, "Wahai orang-orang Yahudi, jika kalian mengira bahawasanya kalian kekasih-kekasih bagi Allah dari selain manusia, maka harapkanlah kematian, jika kalian orang-orang yang benar.”"

Orang-orang yang menganut agama Yahudi mendakwakan bahawa diri mereka berada dalam petunjuk, mereka saja kekasih Allah dan syurga itu khusus untuk mereka, sedangkan orang-orang lain terutamanya Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya bukan kekasih Allah dan berada dalam kesesatan.

Maka mereka diperintahkan mendoakan kematian bagi golongan yang sesat di antara mereka, jika mereka adalah para wali Allah dan jika mereka orang-orang yang benar dalam pengakuan itu. Wali Allah tentu akan lebih mengutamakan akhirat daripada dunia.

Ini adalah perintah yang ringan. Jika mereka mengetahui bahawa mereka berada di atas kebenaran, tentu mereka tidak akan mundur terhadap cabaran yang Allah jadikan sebagai dalil atau bukti terhadap kebenarannya ini.

Allah s.w.t. berfirman,

"7. Mereka tidak mengharapkannya selama-lamanya disebabkan perbuatan tangan mereka."

Mereka tidak akan berani mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan disebabkan kejahatan, kekafiran, perbuatan aniaya dan perbuatan derhaka yang telah mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri untuk diri mereka sendiri, seperti kafirnya mereka kepada Nabi s.a.w. Maka dapat diketahui secara pasti bahawa mereka mengetahui berada di atas kebatilan.

"Dan Allah Maha Mengetahui pada orang-orang yang zalim."

Allah Maha Mengetahui orang-orang yang zalim. Tidak samar bagiNya sedikit pun kezaliman mereka.

"8. Katakanlah, "Sesungguhnya kematian yang kalian lari darinya, maka pasti ia menemui kalian, kemudian kalian dikembalikan kepada Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia menerangkan terhadap apa yang kalian kerjakan.""

Walaupun kalian tidak suka kepada kematian bahkan berusaha melarikan diri darinya, kematian itu akan tetap datang menimpa kalian walau di mana pun kalian berlindung. Kemudian kalian akan dikembalikan kepada Allah.

Dia Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dia akan beritakan kepada kalian semua perbuatan kalian yang baik maupun yang buruk.

Khamis, 7 Jun 2018

62:1-4 Tafsir Surah Al Jumu’ah, ayat 1-4.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ (١) هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأمِّيِّينَ رَسُولا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٢) وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٣) ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Bertasbih kepada Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi."

Semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, baik yang berakal maupun yang tidak berakal bertasbih kepada Allah, tunduk kepada perintahNya dan beribadah kepadaNya.

"Raja, Mahasuci,"

Dia Maharaja langit dan bumi. MilikNya alam bahagian atas maupun bawah, semua milikNya dan di bawah pengaturanNya dengan hukumNya. Mahasuci Dia dari semua yang tidak layak bagiNya dan dari segala kekurangan lagi menyandang semua sifat yang sempurna.

"Mahaperkasa Mahabijaksana."

Dia Mahaperkasa yang menundukkan segala sesuatu. Dia Mahabijaksana dalam ciptaan dan perintahNya. Sifat-sifat agung yang disebutkan dalam ayat ini mengajak untuk beribadah kepada Allah saja; tidak ada sekutu bagiNya.

"2. Dialah yang mengutus pada kaum yang buta huruf rasul di antara mereka,"

Dialah yang mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul kepada bangsa Arab di masa itu yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri. Mereka telah mengetahui nasabnya, sifat-sifatnya yang baik, amanahnya dan kejujurannya. Anugerah ini terasa oleh mereka lebih menyentuh dan lebih banyak berkahnya berbanding dengan selain mereka.

"dia membacakan atas mereka ayat-ayatNya, dan dia menyucikan mereka,"

Allah s.w.t. menurunkan kepada kitabNya. Beliau s.a.w. membacakan ayat-ayat Allah s.w.t. kepada mereka. Beliau menyucikan jiwa mereka dari syirik, mendorong mereka berakhlak mulia dan mencegah mereka dari akhlak yang buruk.

"dan dia mengajar mereka Kitab dan Hikmah,"

Beliau s.a.w. mengajarkan kepada mereka Al Qur'an dan As Sunnah.

Ayat ini merupakan ijabah dari Allah terhadap kekasihnya (Ibrahim a.s.). Beliau telah berdoa semoga Allah mengutus di kalangan penduduk Mekah seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan mereka, mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Hikmah.

"dan meskipun mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,"

Sesungguhnya sebelum Beliau s.a.w. diutuskan, mereka benar-benar tidak berilmu dan tidak di atas kebaikan, bahkan mereka berada di dalam kebodohan yang dalam terhadap ilmu para nabi dan di dalam kesesatan yang nyata. Mereka menyembah patung, batu dan pepohonan serta berakhlak seperti binatang, di mana yang kuat memakan yang lemah.

Setelah ta’lim (pengajaran) dan pembersihan ini mereka (para sahabat) menjadi manusia yang berilmu, bahkan menjadi imam dalam ilmu dan agama, sempurna akhlaknya, paling baik petunjuk dan jalannya.

Mereka juga dijadikan rujukan yang benar oleh Rasulullah s.a.w. dalam beragama ketika terjadi perselisihan di zaman setelah Beliau sebagaimana sabdanya, “Kerana barang siapa yang hidup di antara kamu (setelah ini), maka dia akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham, dan jauhilah perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesat."

"3. Dan yang lain dari mereka belum bertemu dengan mereka."

Allah s.w.t. juga memberikan nikmat kepada kaum yang lain selain orang-orang Arab yang datang setelah mereka, dan dari kalangan Ahli Kitab yang belum berhubungan dengan mereka sehingga mereka juga beriman.

Boleh juga maksudnya, bahawa mereka belum berhubungan dengan mereka dalam hal keutamaan (belum sampai seperti mereka dalam keutamaan).

Dan boleh juga maksudnya, bahawa mereka belum berhubungan dengan mereka dalam hal waktu, iaitu sisa-sisa dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. di kemudian hari.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam sulbi, sulbi, sulbi kaum lelaki dan kaum wanita dari kalangan umatku terdapat orang-orang yang kelak akan masuk syurga tanpa hisab." Kemudian Nabi s.a.w. membaca firmanNya, "Dan yang lain dari mereka belum bertemu dengan mereka."

Misi risalah Rasulullah s.a.w. adalah umum ke seluruh manusia. Maka Beliau s.a.w. mengirimkan surat-suratnya menyeru penduduk negeri Persia, Romawi, dan umat-umat lainnya menyembah Allah s.w.t. dan mengikuti apa yang disampaikan olehnya.

Semua maksud itu adalah benar, kerana mereka yang mendapat kiriman rasul oleh Allah menyaksikan Rasul tersebut dan mengikuti dakwahnya, maka mereka mendapat keutamaan dan kelebihan yang tidak dicapai oleh yang lain.

"Dan Dia Mahaperkasa Mahabijaksana."

Dialah Tuhan Yang mempunyai keperkasaan dan kebijaksanaan dalam syariat dan ketentuanNya. Di antara keperkasaan dan kebijaksanaanNya adalah Dia tidak membiarkan hamba-hambaNya begitu saja, bahkan Dia mengutus rasul kepada mereka, memerintah dan melarang.

"4. Demikian itu kurnia Allah, Dia memberikannya siapa yang Dia kehendaki;"

Kenabian besar yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan pengutusan Beliau s.a.w. secara khusus kepada umatnya merupakan kurniaNya yang besar yang Dia berikan kepada hamba-hambaNya.

Bahkan yang demikian merupakan nikmatNya yang paling besar berbanding nikmat sihat, rezeki dan nikmat-nikmat duniawi lainnya. Dia memberikan kurnia itu kepada Beliau s.a.w. dan orang-orang yang disebutkan bersamanya.

"dan Allah mempunyai kurnia yang besar."

Tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat agama. Di sanalah letaknya keuntungan dan kebahagiaan yang abadi.

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...