Ahad, 12 Ogos 2018

62:5-8 Tafsir Surah Al Jumu’ah, ayat 5-8.

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (٥) قُلْ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ هَادُوا إِنْ زَعَمْتُمْ أَنَّكُمْ أَوْلِيَاءُ لِلَّهِ مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٦) وَلا يَتَمَنَّوْنَهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (٧) قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"5. Perumpamaan orang-orang yang dibebankan Taurat, kemudian tidak memikulnya seperti keldai membawa kitab-kitab yang tebal."

Allah s.w.t. mencela orang-orang Yahudi. Mereka telah diberi kitab Taurat dan telah Dia bebankan kepada mereka kitab Taurat itu untuk diamalkan ajarannya. Tetapi mereka tidak mengamalkannya isinya, antara lain tidak membenarkan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

Kerana itu mereka diumpamakan seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal di atas belakangnya. Ia tidak memahami kitab-kitab yang dipikulnya dan tidak mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Kitab-kitab itu tidak bermanfaatnya baginya.

Begitu juga halnya dengan mereka yang telah diberi Al Kitab, mereka hanya dapat menghafalnya secara harfiyah, tetapi tidak memahaminya, tidak mengamalkan pesan-pesan, perintah-perintah dan larangan-larangan yang terkandung di dalamnya.

Bahkan mereka menakwilkannya dengan takwilan yang menyimpang dan menggantinya dengan yang lain. Keadaan mereka jauh lebih buruk daripada keldai, kerana keldai adalah haiwan yang tidak berakal, sedangkan mereka adalah makhluk yang berakal, tetapi tidak menggunakannya.

"Seburuk-buruk perumpamaan kaum yang mendustakan pada ayat-ayat Allah."

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah yang menunjukkan kebenaran Rasul kita Muhammad s.a.w. dan apa yang dibawanya.

"Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang zalim."

Allah tidak akan memberi petunjuk kepada hal yang bermaslahat bagi mereka selama sifat zalim dan keras kepala masih melekat pada mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang berbicara pada hari Jumaat, padahal imam sedang berkhutbah, maka perumpamaannya sama dengan keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal. Dan orang yang berkata kepadanya, "Diamlah!" Maka tiada (pahala) Jumaat baginya."

Di antara kezaliman orang-orang Yahudi dan keras kepalanya mereka adalah bahawa mereka sudah tahu berada di atas kebatilan namun menyangka di atas kebenaran dan menganggap bahawa diri mereka adalah para wali Allah.

Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. mencabar mereka melakukan mubahalah, iaitu mereka diminta untuk melakukan sumpah dengan musuh mereka bahawa siapa yang sesat dari mereka semoga ditimpa oleh laknat Allah, adakah diri mereka atau musuh mereka.

"6. Katakanlah, "Wahai orang-orang Yahudi, jika kalian mengira bahawasanya kalian kekasih-kekasih bagi Allah dari selain manusia, maka harapkanlah kematian, jika kalian orang-orang yang benar.”"

Orang-orang yang menganut agama Yahudi mendakwakan bahawa diri mereka berada dalam petunjuk, mereka saja kekasih Allah dan syurga itu khusus untuk mereka, sedangkan orang-orang lain terutamanya Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya bukan kekasih Allah dan berada dalam kesesatan.

Maka mereka diperintahkan mendoakan kematian bagi golongan yang sesat di antara mereka, jika mereka adalah para wali Allah dan jika mereka orang-orang yang benar dalam pengakuan itu. Wali Allah tentu akan lebih mengutamakan akhirat daripada dunia.

Ini adalah perintah yang ringan. Jika mereka mengetahui bahawa mereka berada di atas kebenaran, tentu mereka tidak akan mundur terhadap cabaran yang Allah jadikan sebagai dalil atau bukti terhadap kebenarannya ini.

Allah s.w.t. berfirman,

"7. Mereka tidak mengharapkannya selama-lamanya disebabkan perbuatan tangan mereka."

Mereka tidak akan berani mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan disebabkan kejahatan, kekafiran, perbuatan aniaya dan perbuatan derhaka yang telah mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri untuk diri mereka sendiri, seperti kafirnya mereka kepada Nabi s.a.w. Maka dapat diketahui secara pasti bahawa mereka mengetahui berada di atas kebatilan.

"Dan Allah Maha Mengetahui pada orang-orang yang zalim."

Allah Maha Mengetahui orang-orang yang zalim. Tidak samar bagiNya sedikit pun kezaliman mereka.

"8. Katakanlah, "Sesungguhnya kematian yang kalian lari darinya, maka pasti ia menemui kalian, kemudian kalian dikembalikan kepada Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia menerangkan terhadap apa yang kalian kerjakan.""

Walaupun kalian tidak suka kepada kematian bahkan berusaha melarikan diri darinya, kematian itu akan tetap datang menimpa kalian walau di mana pun kalian berlindung. Kemudian kalian akan dikembalikan kepada Allah.

Dia Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dia akan beritakan kepada kalian semua perbuatan kalian yang baik maupun yang buruk.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...