Rabu, 25 Mac 2020

4:15-16 Tafsir Surah An Nisa, ayat 15-16.

وَاللاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِنْ نِسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِنْكُمْ فَإِنْ شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلا (١٥) وَاللَّذَانِ يَأْتِيَانِهَا مِنْكُمْ فَآذُوهُمَا فَإِنْ تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّابًا رَحِيمًا (١٦) 

Allah s.w.t. berfirman,

"15. Dan wanita-wanita yang mendatangi perbuatan keji dari isteri-isteri kalian," 

Terhadap para perempuan yang melakukan perbuatan keji di antara perempuan-perempuan kalian. Perbuatan keji menurut jumhur mufassirin ialah perbuatan zina, sedangkan menurut pendapat yang lain ialah segala perbuatan kotor, seperti zina, homoseks dan yang sejenisnya. Menurut pendapat Muslim dan Mujahid yang dimaksud dengan perbuatan keji ialah musahaqah (lesbian).

"maka datangkanlah saksi-saksi atas mereka empat orang di antara kalian." 

Hendaklah ada empat orang saksi yang adil diantara kalian yang menyaksikannya. Jika terdiri dari beberapa orang wanita saja, maka tidak diterima, begitu juga jika wanita dengan lelaki atau jumlah para saksi kurang dari empat orang, bahkan harus empat orang lelaki mukmin yang adil di samping harus secara tegas menyebutkan persaksian; tidak secara sindiran atau kinayah (tidak tegas).

"Maka jika mereka bersaksi, maka tahanlah mereka dalam rumah hingga mewafatkan mereka kematian," 

Apabila mereka telah memberi persaksian, maka kurunglah mereka perempuan-perempuan itu dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya. Cegahlah mereka dari bergaul dengan orang lain.

Ketetapan hukum di masa permulaan Islam menyatakan bahawa seorang wanita itu apabila nyata melakukan perbuatan zina melalui bukti yang adil, maka dia ditahan di dalam rumah dan tidak dapat keluar darinya hingga dia mati (iaitu dikurung) sampai mati.

"atau Allah menjadikan bagi mereka jalan."

Atau sampai Allah memberi jalan yang lain kepadanya, iaitu ayat lain yang menasakh (merevisi) hukum ini. Menurut jumhur mufassirin jalan yang lain itu itu ialah dengan turunnya ayat 2 surah An Nur. Allah mengadakan jalan yang lain untuk mereka, iaitu dengan mendera orang yang belum menikah seratus kali dan mengasingkannya selama setahun, sedangkan bagi yang sudah menikah lantas berzina, maka dirajam. Semua ulama bersepakat bahawa ayat ini dimansukh.

Ubadah ibnus Samit menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila turun wahyu kepadanya, hal itu mempengaruhinya dan Beliau tampak susah serta wajahnya berubah (kerana beratnya wahyu). Maka pada suatu hari Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepadanya; setelah selesai dan keadaan Beliau menjadi seperti sediakala, Beliau bersabda, "Ambillah dariku! Sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi mereka (wanita-wanita itu) jalan yang lain; janda dengan duda, dan jejaka dengan perawan. Janda (duda) dikenai hukuman dera seratus kali dan dirajam dengan batu, sedangkan jejaka (perawan) dikenai hukuman dera seratus kali dan dibuang (diasingkan) selama satu tahun."

Imam Ahmad ibnu Hambal berpegang kepada makna hadis ini, iaitu yang menggabungkan antara hukuman dera dan rajam terhadap duda atau janda yang berzina. Sedangkan menurut jumhur ulama, janda atau duda yang berzina hanya dikenai hukuman rajam saja, tanpa hukuman dera.

Mereka mengatakan demikian dengan alasan bahawa Nabi s.a.w. telah merajam Ma’iz dan Al Gamidiyyah serta kedua orang Yahudi (yang telah berbuat zina) dan Beliau tidak mendera mereka. Maka hal ini menunjukkan bahawa hukuman dera bukan merupakan suatu keputusan yang pasti dan tidak dapat diganggu gugat lagi melainkan ia dimansukh. Demikianlah menurut pendapat mereka (jumhur ulama).

"16. Dan dua orang yang melakukannya di antara kalian, maka berilah mereka berdua hukuman." 

Terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji di antara kalian, iaitu zina atau homoseks, maka kalian harus menghukum keduanya, seperti dengan dicela, dicerca dan dipukuli sandal atau disebat. Pada mulanya memang demikian hukumnya sebelum Allah menasakhnya dengan hukuman dera dan hukuman rajam.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang kalian lihat sedang melakukan perbuatan kaumnya Nabi Lut, maka bunuhlah si pelaku dan yang dikerjainya."

"Maka jika keduanya bertaubat dan keduanya memperbaiki diri, maka berpalinglah dari keduanya." 

Jika keduanya bertaubat dari dosa yang dilakukannya, insaf, menyesalinya, berhenti dari perbuatannya dan berniat keras untuk tidak mengulangi lagi, dan mereka memperbaiki dirinya dan amal perbuatannya menjadi baik, maka biarkanlah mereka.

Janganlah kalian mengerasi keduanya dengan kata-kata yang buruk sesudah itu, kerana orang yang telah bertaubat dari dosanya sama dengan orang yang tidak berdosa.

"Sesungguhnya Allah, Dia Maha Penerima Taubat Maha Penyayang." 

Di dalam kitab Sahihain disebutkan, "Apabila hamba perempuan seseorang di antara kalian berbuat zina, maka hendaklah dia menderanya sebagai hukuman had, tetapi dia tidak boleh mencacinya."

Iaitu mencaci makinya kerana perbuatannya, setelah dia menjalani hukuman had yang merupakan penghapus dosa dari perbuatannya itu.

Berdasarkan ayat ini dan ayat sebelumnya, bahawa di awal-awal Islam lelaki yang melakukan perbuatan keji disakiti sampai mahu bertaubat dan memperbaiki diri, sedangkan wanita dikurung dalam rumah sampai tiba ajalnya.

Dari ayat ini dapat diambil kesimpulan bahawa menghukum dengan menyakiti baik dengan lisan dan tindakan serta menghukum dengan cara mengurung dalam rumah termasuk cara ta'zir terhadap maksiat yang dapat membuat pelakunya insaf.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...