Isnin, 10 Oktober 2016

9:111-112 Tafsir Surah At Taubah Ayat 111-112.

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١١١) التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (١١٢)

Abdullah ibnu Rawwahah r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w. pada malam 'Aqabah, "Berilah persyaratan bagi Tuhanmu dan bagi dirimu sesuka hatimu." Maka Rasulullah s.a.w. menjawab melalui sabdanya, "Aku memberikan syarat bagi Tuhanku, hendaklah kalian menyembahNya dan janganlah kalian mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun. Dan aku memberikan syarat bagi diriku, hendaklah kalian membelaku sebagaimana kalian membela diri dan harta benda kalian sendiri."

Para sahabat bertanya, "Apakah yang akan kami peroleh jika kami mengerjakan hal tersebut?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Syurga." Mereka berkata, "Jual beli yang menguntungkan, kami tidak akan mundur dan tidak akan mengundurkan diri."

Lalu turunlah firmanNya,

"111. Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, diri mereka dan harta mereka, kerana sesungguhnya bagi mereka syurga." 

Setiap orang muslim terkalungkan bai'at kepada Allah pada lehernya yang harus ia tunaikan atau ia mati dalam keadaan tidak menunaikannya.

Allah s.w.t. membeli atau menerima dari hamba-hambaNya yang beriman, diri dan harta benda mereka yang telah mereka korbankan di jalan Allah  Allah menukarnya dengan pahala yang ada di sisiNya dari kurniaNya iaitu syurga. Hal ini termasuk kurnia, kemurahan dan kebajikanNya kepada mereka.

"Mereka berperang di jalan Allah; maka mereka membunuh dan mereka dibunuh," 

Untuk mengerahkan semua itu dalam ketaatan kepadaNya, seperti berjihad melawan musuhNya demi menegakkan kalimatNya dan memenangkan agamaNya. Baik mereka terbunuh atau membunuh, atau keduanya mereka alami, maka sudah menjadi ketetapan bagi mereka mendapat balasan syurga.

Di dalam hadis Sahihain disebutkan, "Allah menjamin bagi orang yang berangkat berjihad di jalanNya, yang tidak sekali-kali ia berangkat melainkan untuk berjihad di jalanKu dan membenarkan rasul-rasulKu; bahawa jika Allah mewafatkannya, maka Dia akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya pulang ke tempat tinggalnya yang ia berangkat darinya seraya memperoleh pahala yang digondolnya atau ganimah."

"kerana janji atasnya yang benar dalam Taurat, dan Injil, dan Al Qur'an." 

Hal ini merupakan pengukuhan dari janji tersebut, dan sebagai berita bahawa Allah telah mencatat janji yang telah Dia ikrarkan kepada diriNya ini, lalu Dia menurunkannya kepada rasul-rasulNya melalui kitab-kitabNya yang besar, iaitu Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s., Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s., dan Al Qur'an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Semua kitab yang besar ini sepakat terhadap janji tersebut.

"Dan siapakah yang lebih menepati janjinya dari Allah?" 

Allah tidak pernah mengingkari janji. Dialah yang paling memenuhi janji dan paling benar perkataanNya.

"Maka bergembiralah kalian dengan jual beli kalian yang kalian berjual beli dengannya," 

Bergembiralah orang yang menjalani jual beli dan menunaikan janji ini, kerana mereka akan mendapat keuntungan yang besar dan nikmat yang kekal. Beritakanlah kepada yang lain serta berikanlah dorongan.

"dan demikianlah itu ia keuntungan yang besar."

Itulah kemenangan yang agung. Tidak ada kejayaan yang lebih besar dan lebih agung selainnya. Kejayaan tersebut mengandung kebahagiaan yang abadi, kesenangan yang kekal, dan keridhaan dari Allah yang merupakan nikmat syurga yang paling besar.

Betapa besarnya jual beli ini. Pembelinya adalah Allah Azza wa Jalla, bayarannya adalah syurga, dan yang dibeli adalah jiwa dan harta yang merupakan sesuatu yang paling dicintai manusia.

Kaum mukmin yang mendapat berita gembira dari Allah dengan masuk ke dalam syurga dan mendapat berbagai karamah (keutamaan) itu mempunyai sifat-sifat yang baik dan pekerti yang agung, iaitu,

"112. Orang-orang yang bertaubat," 

Mereka bertaubat dari semua dosa dan meninggalkan semua perbuatan yang keji.

"orang-orang yang beribadah," 

Mereka adalah ahli ibadah yang beribadah dengan ikhlas lillah. Mereka sentiasa taat dengan mengerjakan kewajiban dan mengerjakan perkara yang dianjurkan di setiap waktu. Mereka menegakkan ibadahnya kepada Allah dan memeliharanya dengan baik, baik ibadah yang berkaitan dengan ucapan maupun pekerjaan.

"orang-orang yang memuji," 

Hamdalah adalah ibadah lisan yang khusus kepada Allah. Mereka memuji Allah dalam setiap keadaan, baik di waktu lapang maupun sempit, yang mengenali nikmat-nikmat yang diberikan Allah kepada mereka baik yang nampak mapun yang tersembunyi, yang menyanjungNya dengan menyebut namaNya dan mengingatNya di waktu malam dan siang.

"orang-orang yang mengembara," 

As sa ihun atau siyahah bermaksud mengembara untuk ibadah seperti mencari ilmu, berjihad, berhijrah, berhaji, berumrah, silaturrahim dan sebagainya. Barang siapa yang berangkat di jalan Allah, bererti dia telah berbai'at kepada Allah. Dia menerima jual belinya dan akan memenuhi balasannya. Mereka yang berjihad di jalan Allah, telah berjual beli kepada Allah, lalu Dia memahalkan harganya.

Menurut pendapat lain as sa ihun bermaksud berpuasa, menahan diri dari kelazatan makan dan minum serta bersetubuh. Mereka berpuasa di bulan Ramadan dan kebanyakan hari-hari lainnya.

"orang-orang yang rukuk, orang-orang yang sujud," 

Keduanya merupakan bahagian dari solat. Maksudnya adalah mereka banyak melakukan solat.

"orang-orang yang menyuruh kepada yang ma'ruf," 

Mereka mengerjakan dan menyuruh perbuatan yang ma’ruf atau kebaikan, iaitu perbuatan wajib dan sunat.

"dan orang-orang yang mencegah dari yang mungkar," 

Mereka melarang dan menjauhi semua yang dilarang Allah.

"dan orang-orang yang memelihara hukum-hukum Allah." 

Mereka mempelajari, taat, mengamalkan dan menegakkan perintah atau hal-hal yang difardukan oleh Allah.

"Dan berilah khabar gembira orang-orang yang beriman."

Gembirakanlah orang-orang yang mukmin itu dengan syurga. Dikatakan demikian kerana iman mencakup semua sifat tersebut, dan kebahagiaan yang paling puncak ialah bagi orang yang memiliki sifat-sifat itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...