Memaparkan catatan dengan label Juz 28. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Juz 28. Papar semua catatan

Jumaat, 24 April 2020

66:10-12 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 10-12.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا لِلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَامْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ (١٠) وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا لِلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (١١) وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ (١٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"10. Allah telah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang kafir," 

Pergaulan, hubungan atau kedekatan orang kafir dengan orang mukmin tidaklah berguna dan tidak membawa manfaat apa-apa baginya dan tidak dapat membela mereka di hadapan Allah, jika iman tidak meresap ke dalam hati mereka.

Pergaulan, hubungan atau kedekatan orang mukmin dengan orang kafir tidaklah merugikannya sedikit pun jika orang mukmin itu tetap melaksanakan kewajibannya.

"isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya di bawah dua orang hamba dari hamba-hamba Kami dua orang soleh;" 

Seperti isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami. Iaitu dua orang nabi lagi rasul yang sentiasa menemani keduanya dan menjadi teman hidup keduanya di siang dan malam hari. Keduanya teman semakan, teman seketiduran, dan teman sepergaulan, sebagaimana layaknya pergaulan antara suami dan isteri.

"lalu keduanya berkhianat kepada mereka berdua," 

Kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya dengan kafir kepada agama suaminya. Iaitu dalam hal keimanan. Keduanya tidak seiman dengan suaminya masing-masing, dan tidak membenarkan kerasulan keduanya. Maka semuanya itu tidak dapat memberi manfaat apa pun bagi keduanya dan tidak dapat menyelamatkan keduanya dari hal-hal yang harus dihindari.

"maka tidak mampu keduanya mereka berdua dari Allah sedikit pun;" 

Kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun dari siksa Allah, kerana keduanya kafir. Ayat ini menunjukkan bahawa para nabi pun tidak dapat membela isteri-isterinya atas azab Allah apabila mereka menentang agama.

"dan dikatakan, "Masuklah kalian berdua neraka bersama orang-orang yang masuk.""

Dikatakan kepada kedua isteri itu, "Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)."

"11. Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, isteri Fir’aun," 

Iaitu Asiah binti Muzahim r.a., dia beriman kepada Musa a.s. hingga akhirnya dia disiksa oleh Fir’aun.

"ketika dia berkata, "Tuhanku, bangunkan untukku di sisiMu sebuah rumah dalam syurga" 

Ketika isteri Fir’aun berdoa, "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga." Menurut para ulama, isteri Fir'aun memilih jiran sebelum memilih rumah.

"dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya" 

Iaitu bebaskanlah aku dari Fir’aun, kerana sesungguhnya aku berlepas diri kepada Engkau dari semua perbuatannya.

"dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim." 

Maka Allah s.w.t. mengabulkan doanya, dia pun hidup di atas keimanan yang sempurna, keteguhan yang sempurna dan keselamatan dari segala fitnah (cobaan).

Nabi s.a.w. bersabda, “Lelaki yang sempurna banyak, sedangkan wanita yang sempurna hanyalah Asiah isteri Fira’un dan Maryam binti Imran, dan sesungguhnya kelebihan Aisyah daripada wanita lain adalah seperti kelebihan makanan tsarid (roti yang direndam dalam kuah) di atas makanan yang lain.”

"12. Dan Maryam puteri Imran yang memelihara kemaluannya," 

Al ihsan bermaksud memelihara kesucian dirinya dan kehormatannya. Ingatlah Maryam puteri Imran yang memelihara dan menjaga kehormatannya kerana sempurnanya agamanya, ‘iffah (sikap menjaga diri dari yang haram) dan kebersihannya.

"maka Kami tiupkan ke dalamnya sebahagian dari roh Kami" 

Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari roh ciptaan Kami. Iaitu melalui Malaikat Jibril.

Allah mengutus Jibril kepadanya dalam rupa seorang manusia yang sempurna, dan memerintahkan kepada Jibril agar meniupkan ke dalam baju kurungnya sekali tiup dengan mulutnya.

Maka tiupan itu turun ke bawah dan memasuki farjinya, lalu terjadilah kehamilan kerananya, iaitu mengandung Isa a.s.

"dan dia membenarkan dengan kalimat Tuhannya dan kitab-kitabNya" 

Iaitu beriman kepada takdir dan syariatNya. Ini merupakan sifat bagi Maryam, iaitu berilmu dan berpengetahuan, kerana membenarkan kalimat Allah mencakup kalimat Allah yang terkait agama maupun taqdir.

Membenarkan kitab-kitabNya menghendaki mengetahui sesuatu yang dengannya tercapai sikap membenarkan dan hal itu tidak boleh kecuali dengan ilmu dan amal.

"dan dia termasuk orang-orang yang taat." 

Dia termasuk orang-orang yang taat, iaitu kepada Allah dan selalu taat dengan rasa takut dan khusyu’. Ini merupakan sifat untuk Maryam iaitu amalnya yang sempurna, kerana Beliau adalah siddiqah (wanita yang sangat membenarkan), sedangkan siddiqah adalah kesempurnaan dalam ilmu dan amal.

Selesai tafsir surah At Tahrim dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Akhir juz 28.

Isnin, 13 April 2020

66:8-9 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 8-9.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ يَوْمَ لا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٨) يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"8. Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kalian kepada Allah Taubat Nasuha," 

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, iaitu taubat yang sebenar-benarnya lagi pasti.

Taubat nasuha atau taubat yang murni ialah bila seseorang menghentikan dirinya dari perbuatan dosa di saat itu juga, kemudian dia menyesali apa yang telah dilakukannya di masa lalu, dan bertekad di masa mendatang dia tidak akan mengerjakan hal itu lagi.

Kemudian jika hak yang dilanggarnya berkaitan dengan hak Adami, maka dia diharuskan mengembalikannya dengan cara yang berlaku. Tujuan taubat nasuha ini adalah mencari keridhaanNya, mendekatkan diri kepadaNya dan tetap terus di atasnya dalam semua keadaannya.

Maka akan terhapuslah semua kesalahan yang terdahulu. Dan taubat yang sebenarnya dapat merapikan diri pelakunya dan menyegarkannya kembali serta menjadi benteng bagi dirinya dari mengerjakan perbuatan-perbuatan yang rendah.

"boleh jadi Tuhan kalian bahawa akan menghapus dari kalian kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai," 

Mudah-mudahan Tuhan kalian akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kalian, dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Lafaz 'asa yang ertinya boleh jadi atau mudah-mudahan, bila dari Allah bererti suatu kepastian.

"hari Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersamanya; cahaya mereka bersinar di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka," 

Pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman yang bersama dengannya di hari kiamat; sedangkan cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka. Mereka takut kalau cahaya itu padam seperti yang menimpa orang-orang munafik.

"mereka mengatakan, "Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami""

Sambil mereka memohon kepada Allah, "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami." Iaitu agar sampai ke syurga.

"dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Kuasa."

Ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu. Lalu Allah mengabulkan doa mereka dan menyampaikan mereka dengan cahaya dan keyakinan mereka ke syurga yang penuh kenikmatan. Ini semua merupakan pengaruh dari taubat nasuha.

Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya Muhammad s.a.w. untuk berjihad,

"9. Wahai Nabi! Perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah atas mereka." 

Perangilah orang-orang kafir dengan senjata dan perang, dan perangilah orang-orang munafik dengan kata-kata, hujjah dan menegakkan hukum-hukum Allah atas mereka. Bersikap keraslah terhadap mereka di dunia ini.

Jihad di sini mencakup melawan mereka dengan menegakkan hujjah terhadap mereka, mengajak mereka dengan nasihat yang baik, membatalkan kesesatan yang mereka pegang selama ini, dan melawan mereka dengan senjata bagi yang enggan memenuhi seruan Allah dan enggan tunduk kepada hukumNya. Orang yang enggan inilah yang dijihadi dan dikerasi, adapun yang pertama adalah didakwahi dengan cara yang baik.

"Dan tempat tinggal mereka neraka jahannam dan seburuk-buruk tempat kembali."

Tempat mereka adalah neraka Jahannam, dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali di akhirat, di mana orang-orang yang sengsara dan rugi akan kembali ke sana.

Jumaat, 3 April 2020

66:6-7 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 6-7.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ (٦) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ كَفَرُوا لا تَعْتَذِرُوا الْيَوْمَ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"6. Wahai orang-orang yang beriman!" 

Iaitu wahai orang-orang yang Allah kurniakan keimanan, kerjakanlah hal yang menjadi lazim (bahagian) dari keimanan serta syarat-syaratnya.

"Jagalah diri kalian" 

Peliharalah diri kalian, iaitu dengan mendorong diri kita untuk menaati Allah s.w.t. dan menjauhi laranganNya, bertaubat dari sesuatu yang membuat Allah murka dan mendatangkan azabNya.

"dan keluarga kalian" 

Dan keluarga kalian, iaitu dengan menta’dib (mengajarkan adab) dan mengajari mereka agama serta mendorong mereka melaksanakan perintah Allah. Oleh kerana itu, seorang hamba tidaklah akan selamat sampai dia dapat melaksanakan perintah Allah pada dirinya dan pada orang yang berada di bawah kekuasaannya seperti isteri, anak dan sebagainya.

"api neraka yang bahan bakarnya manusia" 

Dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia seperti orang-orang kafir. Waqud bermaksud bahan bakarnya yang dimasukkan ke dalamnya, iaitu tubuh-tubuh anak Adam.

"dan batu;" 

Menurut suatu pendapat, batu bermaksud berhala-berhala yang dahulunya dijadikan sesembahan, kerana ada firman Allah s.w.t. yang mengatakan, "Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam." (Al-Anbiya: 98) Allah s.w.t. menyifati neraka dengan sifat-sifat ini agar hamba tidak meremehkan perintahNya.

Ada yang mengatakan bahawa batu yang dimaksud adalah batu kibrit (fosfor). Ada yang mengatakan bahawa batu itu lebih busuk baunya daripada bangkai.

"atasnya malaikat yang kasar, yang keras," 

Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, iaitu kasar akhlaknya dan keras bentakannya sehingga mereka takut ketika mendengar suaranya dan melihat mereka. Jumlahnya ada sembilan belas malaikat.

Telah dicabut dari hati mereka rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang kafir kepada Allah. Mereka juga keras, iaitu bentuk rupa mereka sangat keras, bengis, dan berpenampilan sangat mengerikan.

"mereka tidak menderhakai Allah apa yang Dia perintahkan pada mereka dan mereka mengerjakan apa yang mereka diperintahkan."

Apa pun yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka, maka mereka segera mengerjakannya tanpa terlambat barang sekejap pun, dan mereka memiliki kemampuan untuk mengerjakannya: tugas apa pun yang dibebankan kepada mereka, mereka tidak mempunyai kelemahan. Itulah Malaikat Zabaniyah atau juru siksa, semoga Allah melindungi kita dari mereka.

"7. Wahai orang-orang yang kafir! Janganlah kalian mengemukakan uzur hari ini." 

Wahai orang-orang kafir! Janganlah kalian mengemukakan alasan pada hari ini, kerana sesungguhnya tidak akan diterima hal itu dari kalian. Penghuni neraka akan dicela dengan celaan ini pada hari Kiamat. Kalimat ini diucapkan kepada mereka ketika mereka dimasukkan ke dalam neraka.

"Sungguh hanyalah kalian diberi balasan apa yang kalian kerjakan." 

Sesungguhnya pada hari ini kalian hanya diberi balasan menurut amal perbuatan kalian. Ketika itu yang ada adalah pembalasan terhadap amal, sedangkan amal yang kamu sediakan wahai orang-orang kafir untuk hari Kiamat ini adalah kekafiran kepada Allah, mendustakan ayat-ayatNya, memerangi para rasulNya dan para waliNya.

Jumaat, 20 Mac 2020

66:1-5 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ تَبْتَغِي مَرْضَاةَ أَزْوَاجِكَ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١) قَدْ فَرَضَ اللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ وَاللَّهُ مَوْلاكُمْ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (٢) وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَى بَعْضِ أَزْوَاجِهِ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتْ بِهِ وَأَظْهَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَنْ بَعْضٍ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِ قَالَتْ مَنْ أَنْبَأَكَ هَذَا قَالَ نَبَّأَنِيَ الْعَلِيمُ الْخَبِيرُ (٣) إِنْ تَتُوبَا إِلَى اللَّهِ فَقَدْ صَغَتْ قُلُوبُكُمَا وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمَلائِكَةُ بَعْدَ ذَلِكَ ظَهِيرٌ (٤)عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا (٥)

Aisyah r.a. mengatakan bahawa dahulu Nabi s.a.w. suka minum madu (putih) di rumah Zainab binti Jahsy, lalu tinggal bersamanya di rumahnya. Maka aku (Aisyah) dan Hafsah sepakat untuk melakukan suatu tindakan, bahawa kepada siapa pun di antara kami berdua Beliau s.a.w. masuk, maka hendaklah dia mengatakan kepadanya, "Engkau telah makan magafir (madu putih yang rasanya enak, tetapi baunya tidak enak), kerana sesungguhnya aku mencium bau magafir darimu." Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak, tetapi aku baru saja meminum madu biasa di rumah Zainab binti Jahsy, maka aku tidak akan meminumnya lagi; dan sesungguhnya aku telah bersumpah untuk itu, maka janganlah engkau ceritakan hal ini kepada siapa pun. Maka Allah menurunkan firmanNya, "kamu mencari keridhaan isteri-isterimu?" (At Tahrim: 1)

Aisyah r.a. bercerita bahawa Rasulullah s.a.w. dahulu suka tinggal di tempat Zainab binti Jahsy dan minum madu di rumahnya. Maka Aku (Aisyah dan Hafsah) mengadakan kesepakatan bahawa kepada siapa pun di antara kami berdua Nabi s.a.w. menggilirnya, hendaklah dia mengatakan kepadanya, "Sesungguhnya aku mencium darimu bau magafir, engkau pasti telah makan magafir." Lalu Nabi s.a.w. menggilir salah seorang dari keduanya, maka isteri yang digilirnya mengatakan kepadanya hal tersebut, lalu Nabi s.a.w. berkata kepadanya, "Tidak, bahkan aku hanya minum madu di rumah Zainab binti Jahsy, dan aku tidak akan meminumnya lagi." Maka turunlah firman Allah s.w.t., "Wahai Nabi! Kenapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu;? (At-Tahrim: 1) sampai dengan firmanNya, "Jika kalian bertaubat kepada Allah, maka sungguh condong hati kalian;" (At-Tahrim: 4)  Kamu berdua ini ditujukan kepada Aisyah dan Hafsah. "Dan ketika merahsiakan Nabi kepada sebahagian isteri-isterinya pembicaraan," (At Tahrim: 3) ' Ini kerana ada sabda Nabi s.a.w. yang mengatakan, "Tidak, aku telah minum madu."

Menurut suatu pendapat, ayat ini diturunkan berkenaan dengan peristiwa Mariyah Al Qibtiyyah, lalu Rasulullah s.a.w. mengharamkannya bagi dirinya (iaitu tidak akan menggaulinya lagi). Maka turunlah firman Allah s.w.t., "Wahai Nabi! Kenapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu; kamu mencari keridhaan isteri-isterimu?" (At Tahrim: 1), hingga akhir ayat.

Anas menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai seorang hamba perempuan yang beliau gauli, lalu Aisyah dan Hafsah terus-menerus dengan gencarnya menghalang-halangi Nabi s.a.w. untuk tidak mendekatinya lagi hingga pada akhirnya Nabi s.a.w. mengharamkan hamba itu atas dirinya. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Wahai Nabi! Kenapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu?" (At-Tahrim: 1), hingga akhir ayat.

Zaid ibnu Aslam menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggauli ibu Ibrahim di rumah salah seorang isteri Beliau s.a.w. Maka isteri Beliau s.a.w. berkata, "Hai Rasulullah, teganya engkau melakukan itu di rumahku dan di atas ranjangku." Maka Nabi s.a.w. mengharamkan ibu Ibrahim itu atas dirinya. Lalu isteri Beliau s.a.w. bertanya, "Hai Rasulullah, mengapa engkau haramkan atas dirimu hal yang halal bagimu?" Dan Nabi s.a.w. bersumpah kepada isterinya itu bahawa dia tidak akan menggauli hamba perempuannya itu lagi. Maka Allah menurunkan firmanNya, "Wahai Nabi! Kenapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu?" (At-Tahrim: 1)

Boleh juga ayat tersebut turun kerana dua sebab secara bersamaan, iaitu kerana sebab pengharaman Beliau terhadap madu dan kerana pengharaman Beliau terhadap hambanya. Kedua sebab tersebut adalah sahih terhadap turunnya ayat tersebut, dan penggabungan keduanya adalah boleh kerana terjadinya dua cerita; cerita tentang madu dan cerita tentang Mariyah.

Dan bahawa Al Qur’an turun kerana keduanya secara bersamaan, dan pada masing-masing dari keduanya (kedua asbaabun nuzul) disebutkan bahawa Beliau membicarakan secara rahsia suatu peristiwa kepada salah seorang isterinya.

Ayat ini merupakan kritik dari Allah s.w.t. kepada NabiNya Muhammad s.a.w. ketika Beliau mengharamkan hambanya ‘Mariyah’ atau mengharamkan meminum madu kerana ingin menyenangkan hati isteri-isterinya sebagaimana telah disebutkan dalam asbabun nuzul (sebab turunnya)nya, maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini.

"1. Wahai Nabi! Kenapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu;" 

Wahai Nabi, iaitu wahai orang yang diberi nikmat oleh Allah dengan kenabian, wahyu dan risalah. Mengapa kamu mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu? Iaitu sesuatu yang baik-baik yang Allah kurniakan kepadamu dan kepada umatmu.

"kamu mencari keridhaan isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Kamu ingin menyenangkan hati istri-istrimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ayat ini merupakan penegasan bahawa Allah s.w.t. mengampuni RasulNya dan mengangkat celaan terhadapnya serta merahmatinya, dan pengharaman tersebut menjadi sebab pensyariatan hukum yang umum untuk manusia iaitu hukum yang diterangkan dalam ayat selanjutnya.

"2. Sungguh Allah mewajibkan bagi kalian pembebasan sumpah-sumpah kalian;" 

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada kalian membebaskan diri dari sumpah kalian. Apabila seseorang bersumpah mengharamkan yang halal maka wajib atasnya membebaskan diri dari sumpahnya itu dengan membayar kaffarat, seperti yang disebutkan dalam surah Al Maaidah, ayat 89.

"dan Allah pelindung kalian" 

Allah adalah Pelindung kalian, iaitu yang mengurus urusan kalian dan mengajarkan kalian dengan pengajaran yang sebaik-baiknya dalam urusan agama maupun dunia serta mengajarkan sesuatu yang dengannya seseorang dapat terhindar dari keburukan. Oleh kerana itulah, Dia mewajibkan membebaskan diri kalian dari sumpah agar lepas tanggung jawab kalian.

"dan Dia Maha Mengetahui Maha Bijaksana." 

Dia Maha Mengetahui lagi Mahabijaksana. IlmuNya meliputi zahir dan batin kalian dan Dia Mahabijaksana dalam ciptaanNya dan dalam keputusanNya, oleh kerana itulah Dia mensyariatkan beberapa hukum untuk kalian yang dari sana dapat diketahui bahawa hal itu sesuai dengan maslahat kalian dan keadaan kalian.

"3. Dan ketika merahsiakan Nabi kepada sebahagian isteri-isterinya pembicaraan," 

Ingatlah ketika secara rahsia Nabi membicarakan suatu peristiwa kepada salah seorang isterinya (Hafsah), iaitu pengharaman Mariyah, dan Beliau berkata kepada Hafsah, “Jangan memberitahukan kepada seorang pun.”

"maka tatkala dia memberitakan tentang peristiwa itu dan Allah menyatakannya kepadanya," 

Maka tatkala Hafsah menceritakan peristiwa itu kepada Aisyah kerana mengira bahawa hal itu tidak berdosa, dan Allah memberitahukan pembicaraan Hafsah dan Aisyah kepada Nabi.

"dia beritahukan sebahagiannya dan dia palingkan dari sebahagian." 

Lalu Nabi memberitahukan kepada Hafsah sebahagian dan menyembunyikan sebahagian yang lain kerana keramahan Beliau dan santunnya.

"Maka tatkala dia memberitahukannya tentang berita itu dia berkata, "Siapa yang memberitahumu ini?""

Maka ketika Nabi memberitahukan pembicaraan antara Hafsah dan Aisyah itu, Hafsah bertanya, "Siapa yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?"

"Dia berkata, "Memberitakan padaku Maha Mengetahui Maha Teliti.""

Nabi menjawab, "Yang memberitahukan kepadaku adalah Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."

"4. Jika kalian bertaubat kepada Allah, maka sungguh condong hati kalian;" 

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong untuk menerima kebaikan.

Ayat ini tertuju kepada dua isteri Nabi s.a.w. yang mulia, iaitu Aisyah dan Hafsah r.a., dimana keduanya menjadi sebab Nabi s.a.w. mengharamkan untuk dirinya sesuatu yang Beliau sukai, lalu Allah s.w.t. menawarkan keduanya untuk bertaubat dan mencela atas sikap mereka berdua itu serta memberitahukan bahawa hati mereka berdua telah menyimpang dari sikap yang seharusnya dilakukan iaitu sikap wara’ dan beradab terhadap Rasulullah s.a.w., menghormatinya dan tidak menyusahkannya.

"dan jika kalian berdua bantu membantu atasnya, maka sungguh Allah Dia Pelindungnya dan Jibril dan orang yang baik orang-orang yang beriman; dan malaikat setelah itu penolong." 

Jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah menjadi Pelindungnya, begitu juga Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain itu malaikat-malaikat adalah penolongnya juga. Jika mereka itu yang menjadi penolongnya, maka jelaslah bahawa yang ditolong itulah yang menang.

Dalam ayat ini terdapat keutamaan dan kemulian Nabi Muhammad s.a.w. Juga terdapat peringatan terhadap dua isteri Nabi s.a.w. tersebut, dan pada ayat selanjutnya terdapat peringatan yang lebih besar lagi, iaitu talak (cerai).

Umar ibnul Khattab berkata, "Ketika Nabi s.a.w. menjauhi isteri-isterinya, aku pun masuk ke masjid ternyata orang-orang sedang melempari kerikil dan berkata, "Rasulullah s.a.w. telah mentalak isteri-isterinya." Hal itu terjadi ketika mereka belum diperintahkan berhijab. Umar berkata, "Saya akan beritahukan hal itu hari ini." Maka saya menemui Aisyah dan berkata, "Wahai puteri Abu Bakar, apakah engkau sampai menyakiti Rasulullah s.a.w.?" Aisyah menjawab, "Apa urusanmu terhadapku wahai Ibnul Khattab, urusilah aibmu sendiri." Umar berkata, "Maka saya menemui Hafsah binti Umar dan berkata kepadanya, "Wahai Hafsah! Apakah engkau sampai menyakiti Rasulullah s.a.w. Demi Allah, sesungguhnya saya tahu bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menyukaimu. Kalau bukan kerana saya, tentu Rasulullah s.a.w. sudah mentalakmu." Hafsah pun menangis dengan tangisan yang begitu serius. Saya pun bertanya kepadanya, "Di mana Rasulullah s.a.w.?" Dia menjawab, "Dia sedang berada di dekat almarinya di kamar." Saya pun masuk, ternyata saya menemui Ribah pelayan Rasulullah s.a.w. sedang duduk di palang (kayu bawah) pintu kamar sambil memanjangkan kakinya di atas kayu berlubang, iaitu batang pohon kurma yang dipakai tangga oleh Rasulullah s.a.w. untuk naik dan turun. Ribah melihat ke kamar, lalu melihatku dan tidak berkata apa-apa, kemudian saya keraskan suara sambil berkata, "Wahai Ribah, izinkan saya di bersamamu untuk menghadap Rasulullah s.a.w., kerana saya mengira bahawa Rasulullah s.a.w. mengira bahawa saya datang kerana Hafshah. Demi Allah, jika Rasulullah s.a.w. memerintahkan aku memenggal lehernya, tentu saya penggal lehernya." Saya keraskan suara saya. Ia pun berisyarat kepadaku agar masuk kepadanya, maka saya masuk menemui Rasulullah s.a.w., ternyata Beliau sedang berbaring di atas tikar, saya pun duduk, lalu Beliau mendekatkan kainnya dan Beliau tidak mengenakan apa-apa selain itu. Ketika itu, tikarnya membekas pada rusuk Beliau. Saya melihat dengan mata saya lemari Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam, ternyata di sana terdapat segenggam gandum seukuran satu shaa' (4 mud/kaupan), demikian juga daun salam di pojok kamar serta ada kulit yang digantungkan. Saya pun meneteskan air mata, lalu Beliau bertanya, "Apa yang membuatmu menangis, wahai Ibnul Khattab?" Aku menjawab, "Wahai Nabi Allah, mengapa saya tidak menangis, sedangkan tikar ini membekas pada rusukmu. Sedangkan lemarimu tidak menyimpan apa-apa selain yang saya lihat. Berbeda dengan Kaisar dan Kisra yang memperoleh banyak buah dan berada di dekat sungai yang mengalir. Sedangkan engkau utusan Allah dan pilihan-Nya dengan keadaan lemari seperti ini." Beliau bersabda, "Wahai Ibnul Khattab, tidakkah kamu ridha, untuk kita akhirat dan untuk mereka dunia?" Saya menjawab, "Ya." Ketika saya masuk menemuinya, saya melihat tampak marah di mukanya, maka saya berkata, "Wahai Rasulullah, para isteri tidak akan menyusahkan dirimu. Jika engkau mentalak mereka, maka sesungguhnya Allah bersamamu, demikian pula, malaikat-Nya, Jibril, Mikail, saya, Abu Bakar, dan kaum mukmin bersamamu. " Saya tidaklah berbicara –wal hamdulillah- kecuali saya berharap agar dibenarkan oleh Allah.

Ketika itu turunlah ayat takhyir (pemberian pilihan), "Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, Maka Sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, Maka Sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. ---Jika Nabi menceraikan kamu, boleh Jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh,...dst."(Terj. At Tahrim: 4-5)

Ketika itu Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah saling bantu-membantu menyusahkan Nabi s.a.w. terhadap isteri-isteri yang lain. Saya pun berkata, "Wahai Rasulullah, apakah engkau mentalak mereka?" Beliau menjawab, "Tidak." Saya berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya masuk ke masjid sedangkan kaum muslim sedang melempari kerikil sambil berkata, "Rasulullah s.a.w. mentalak isteri-isterinya." Bolehkah saya turun agar saya memberitahukan mereka bahawa Engkau tidak mentalak mereka?" Beliau menjawab, "Ya, jika engkau mahu." Saya senantiasa berbicara dengan Beliau sampai hilang marah dari mukanya dan sampai Beliau memperlihatkan giginya dan tersenyum, dan Beliau adalah orang yang paling bagus giginya. Nabi Allah pun turun dan aku turun bersandar dengan batang tersebut. Rasulullah s.a.w. turun tampak seperti berjalan di tanah, di mana Beliau tidak menyentuhnya (batang tersebut) dengan tangannya, lalu saya berkata, "Wahai Rasulullah, Engkau berada di kamar hanya 29 hari?" Beliau bersabda, "Sesungguhnya sebulan itu 29 hari." Saya pun berdiri di pintu masjid dan menyeru dengan suara keras, "Rasulullah s.a.w. tidak mentalak isteri-isterinya." Ketika itu turunlah ayat, "Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan ulil Amri)…dst." Sayalah yang mengetahui perkara itu, dan Allah menurunkan ayat takhyir (pilihan).

"5. Boleh jadi Tuhannya, jika dia menceraikan kalian bahawa Dia akan menggantikannya isteri-isteri lebih baik dari kalian, yang patuh," 

Jika Nabi menceraikan kalian, boleh Jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik dari kalian, perempuan-perempuan yang patuh, iaitu melaksanakan syariat Islam yang tampak.

"yang beriman, yang taat, yang bertaubat" 

Yang beriman, iaitu yang melaksanakan syariat Islam yang tidak tampak (batin) berupa ‘aqidah (keyakinan) dan amalan hati. Yang taat, iaitu yang selalu taat. Yang bertaubat dari apa yang dibenci Allah s.w.t. Allah menyifati mereka dengan mengerjakan apa yang dicintai Allah dan bertaubat dari apa yang dibenciNya.

"yang beribadah, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan." 

Yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan. Penganekaragaman ini lebih menambah dorongan selera dan lebih menyenangkan hati Beliau.

Ketika isteri-isteri Nabi s.a.w. mendengar peringatan ini, maka segeralah mereka mencari keridhaan Rasulullah s.a.w. dan sifat mulia pun menjadi melekat pada diri mereka sehingga mereka menjadi wanita mukminah paling utama.

Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa Allah s.w.t. tidaklah memilih untuk RasulNya s.a.w. kecuali wanita yang keadaannya yang paling utama dan bahawa isteri-isteri Beliau adalah wanita paling baik dan paling utama.

Isnin, 2 Mac 2020

65:8-12 Tafsir Surah Ath Thalaq, ayat 8-12.

وَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ عَتَتْ عَنْ أَمْرِ رَبِّهَا وَرُسُلِهِ فَحَاسَبْنَاهَا حِسَابًا شَدِيدًا وَعَذَّبْنَاهَا عَذَابًا نُكْرًا (٨) فَذَاقَتْ وَبَالَ أَمْرِهَا وَكَانَ عَاقِبَةُ أَمْرِهَا خُسْرًا (٩) أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ الَّذِينَ آمَنُوا قَدْ أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكُمْ ذِكْرًا (١٠) رَسُولا يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِ اللَّهِ مُبَيِّنَاتٍ لِيُخْرِجَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا قَدْ أَحْسَنَ اللَّهُ لَهُ رِزْقًا (١١) اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الأرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا (١٢)

Allah s.w.t. berfirman mengancam orang yang menentang perintahNya, mendustakan rasulNya, dan menempuh jalan yang tidak disyari'atkan olehNya, sambil memberitakan terhadapnya tentang apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu sebagai akibat dari perbuatan mereka yang melampaui batas dan mendustakan para rasul,

"8. Dan berapa banyak dari negeri menderhakai dari perintah Tuhannya dan rasul-rasulNya," 

Betapa banyaknya penduduk negeri yang menderhakai perintah Tuhan mereka dan rasul-rasulNya, iaitu membangkang, melampaui batas, dan angkuh, tidak mahu mengikuti perintah Allah dan tidak mahu mengikuti rasul-rasulNya.

"maka Kami hisabkannya hisab yang keras, dan Kami mengazabnya azab yang mengerikan." 

Maka Kami perhitungkan penduduk negeri itu dengan perhitungan yang keras atau ketat, dan Kami azab mereka dengan siksaan yang mengerikan lagi hebat. Jumlah mereka yang banyak dan kekuatan mereka itu tidak bermanfaat sedikit pun bagi mereka.

"9. Maka mereka merasakan akibat buruk perbuatannya dan ada akibat perbuatannya kerugian." 

Sehingga mereka merasakan akibat yang buruk dari perbuatannya, iaitu akibat dari sikap mereka yang menentang, dan akhirnya mereka menyesali perbuatannya di saat tiada gunanya lagi bagi mereka penyesalan. Akibat perbuatan mereka itu adalah kerugian yang besar.

"10. Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras," 

Allah menyediakan azab yang keras bagi mereka di akhirat di samping azab di dunia yang menimpa diri mereka. Diulangi lagi ancaman azab kepada mereka sebagai taukid (penguatan), atau Allah s.w.t. menghukum mereka di dunia dan di akhirat; di dunia sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 8 sebelumnya, dan azab di akhirat sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 10 ini.

"maka bertakwalah kepada Allah, wahai yang mempunyai akal," 

Janganlah kalian menjadi orang-orang seperti mereka, kerana akibatnya kalian akan tertimpa azab sebagaimana azab yang menimpa diri mereka, wahai orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mempunyai pemahaman yang lurus.

Iaitu orang-orang yang memahami ayat-ayat Allah dan pelajaran yang disampaikanNya, dan bahawa pembinasaan terhadap orang-orang yang mendustakan tidak hanya berlaku terhadap orang-orang sebelum mereka, bahkan berlaku juga terhadap orang-orang yang setelah mereka.

"orang-orang yang beriman. Sungguh, Allah telah menurunkan kepada Allah kalian peringatan." 

Iaitu orang-orang yang membenarkan Allah dan rasul-rasulNya. Sesungguhnya Allah telah menurunkan Al Qur’an peringatan kepada kalian.

"11. Seorang Rasul membacakan kepada kalian ayat-ayat Allah yang menjelaskan, kerana Dia akan mengeluarkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kegelapan kepada cahaya."

Dengan mengutus seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Allah yang jelas, terang lagi nyata kepada kalian yang menerangkan bermacam-macam hukum, agar Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan beramal kebajikan dari kegelapan kekafiran, kebodohan dan kemaksiatan kepada cahaya keimanan, pengetahuan dan ketaatan.

Sesungguhnya Allah s.w.t. menyebutkan wahyu yang Dia turunkan dengan nama nur atau cahaya, kerana dengan cahaya orang mendapat petunjuk. Sebagaimana Dia menamakannya juga dengan sebutan roh, kerana dengannya hati manusia menjadi hidup.

"Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, Dia memasukkannya syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sungguh, Allah membaguskan kepadanya rezeki."

Barang siapa beriman kepada Allah dan mengerjakan amal yang kebajikan yang wajib maupun yang sunat, nescaya Dia akan memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sungguh, Allah memberikan rezeki yang baik kepadanya.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang kekuasaanNya yang sempurna dan pengaruhNya yang besar. Dimaksudkan agar hal ini menjadi pendorong bagi umat manusia untuk mengagungkan agama yang lurus yang telah disyariatkan olehNya.

"12. Allah Yang menciptakan tujuh langit dan dari bumi seperti itu. Berlaku perintah di antara mereka" 

Allah yang menciptakan tujuh lapis langit dan seperti itu juga bumi, tujuh lapis. Perintah Allah berlaku padanya. Ada yang menafsirkan, bahawa maksudnya wahyu turun di antara langit dan bumi, dibawa oleh malaikat Jibril dari langit ketujuh sampai ke bumi.

Atau maksudnya berlaku syariat dan hukum-hukum agama yang Allah wahyukan kepada para rasulNya untuk mengingatkan mereka dan menasihati mereka, begitu juga berlaku perintah-perintah yang kauni qadari (takdirNya terhadap alam semesta) yang dengannya Allah mengatur hamba-hambaNya.

Semua itu dimaksudkan agar para hamba mengenalNya dan mengetahui meliputnya kekuasaan Allah dan pengetahuanNya terhadap segala sesuatu. Apabila mereka telah mengenaliNya dengan sifat-sifatNya yang suci dan nama-namaNya yang indah, beribadah kepadaNya, mencintaiNya dan memenuhi hakNya, maka bererti dia telah melaksanakan maksud yang diinginkan dari adanya penciptaan dan perintah.

Iaitu mengenal Allah dan beribadah kepadaNya. Orang-orang yang mendapatkan taufiq dari kalangan hamba-hamba Allah yang soleh dapat menjalankannya, sedangkan orang-orang yang zalim berpaling darinya.

"agar kalian mengetahui bahawasanya Allah atas segala sesuatu Mahakuasa, dan bahawasanya Allah sungguh telah meliputi dengan segala sesuatu ilmu." 

Agar kalian mengetahui bahawa Allah Mahakuasa atas segala sesuatu, dan ilmu Allah benar-benar meliputi segala sesuatu.

Selesai tafsir surah Ath Thalaq dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Jumaat, 14 Februari 2020

65:4-7 Tafsir Surah Ath Thalaq, ayat 4-7.

وَاللائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِنْ نِسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا (٤) ذَلِكَ أَمْرُ اللَّهِ أَنْزَلَهُ إِلَيْكُمْ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعْظِمْ لَهُ أَجْرًا (٥)أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِنْ كُنَّ أُولاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُمْ بِمَعْرُوفٍ وَإِنْ تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَى (٦) لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا مَا آتَاهَا سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا (٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"4. Dan wanita-wanita yang putus dari haid di antara isteri-isteri kalian jika kalian ragu-ragu, maka iddah mereka tiga bulan," 

Perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara isteri-isteri kalian jika kalian ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka iddahnya adalah tiga bulan.

"dan wanita-wanita yang tidak haid."

Begitu juga perempuan-perempuan yang tidak haid, misalnya kerana belum mencapai usia baligh, maka ‘iddahnya selama tiga bulan. Adapun wanita-wanita yang haidh, maka ‘iddahnya sebanyak tiga kali quru’.

"Sedangkan wanita yang mempunyai kandungan waktu mereka sampai melahirkan kandungan mereka."

Sedangkan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu sampai mereka melahirkan kandungannya, baik kerana ditalak maupun kerana ditinggal wafat suaminya.

"Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya dari urusannya mudah."

Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya, iaitu memudahkan urusannya dan mengadakan baginya penyelesaian dan jalan keluar yang dekat (tidak lama).

"5. Demikian itu perintah Allah yang diturunkanNya kepada kalian."

Itulah perintah Allah yang diturunkanNya kepadamu, iaitu hukum dan syariatNya, Dia telah menurunkannya kepadamu melalui Rasulullah s.a.w. agar kalian berjalan di atasnya, mengikutinya dan memuliakannya.

"Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menutupi darinya kesalahan-kesalahannya dan Dia memperbesar baginya pahala." 

Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menghapuskan semua kesalahannya dan akan melipatgandakan atau melimpahkan pahala kepadanya, walaupun yang diamalkannya mudah dan sedikit.

"6. Tempatkanlah mereka di mana kalian bertempat tinggal menurut kemampuan kalian"

Apabila kalian menceraikan isteri-isteri kalian, tempatkanlah mereka di mana kalian tinggal menurut kemampuan kalian hingga iddahnya habis.

"dan janganlah kalian menyusahkan mereka untuk menyempitkan atas mereka."

Janganlah kalian menyusahkan mereka ketika mereka menempati tempat tinggal itu untuk menyempitkan hati mereka, baik dengan kata-kata maupun perbuatan dengan maksud agar mereka bosan sehingga mereka keluar dari rumah sebelum sempurna ‘iddahnya. Itu bererti kalian sama saja mengeluarkan mereka dari rumah kalian.

Kesimpulan ayat ini adalah larangan mengeluarkan mereka dari rumah, dan larangan bagi mereka (wanita yang ditalak) keluar dari rumah suami mereka serta perintah untuk memberi mereka tempat tinggal dengan cara yang tidak menimbulkan bahaya dan kesulitan, dan hal ini dikembalikan kepada ‘uruf (kebiasaan yang berlaku).

"Dan jika mereka mempunyai kandungan, maka berilah nafkah atas mereka hingga mereka melahirkan kandungan mereka."

Jika isteri-isteri yang sudah ditalak itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin. Hal itu kerana kandungan yang ada di perutnya jika wanita itu ditalak ba’in, namun jika ditalak raj’i, maka infak itu kerana wanita itu dan kandungannya, dan nafkah berakhir sampai wanita itu melahirkan kandungannya.

"Maka jika mereka menyusukan bagi kalian, maka berilah mereka upah mereka."

Apabila mereka telah bersalin, sedangkan mereka telah diceraikan dengan talak tiga, maka mereka telah terpisah selamanya dari suaminya apabila iddah mereka habis (iaitu melahirkan kandungannya).

Dan bagi wanita yang bersangkutan diperbolehkan menyusui anaknya atau menolak untuk menyusuinya, tetapi sesudah dia memberi air susu pertamanya kepada bayinya yang merupakan keperluan si bayi.

Jika dia mahu menyusui bayinya, maka dia berhak untuk mendapatkan upah yang sepadan, dan dia berhak mengadakan transaksi dengan ayah si bayi atau walinya sesuai dengan apa yang disepakati oleh kedua belah pihak mengenai jumlah upahnya.

"Dan musyawarahkanlah di antara kalian dengan baik." 

Musyawarahkanlah di antara kalian segala sesuatu dengan baik, iaitu hendaknya masing-masing dari suami dan isteri serta selain dari keduanya bermusyawarah dengan baik untuk membuat kesepakatan terhadap upah yang diberikan.

Atau bermusyawarah untuk hal yang bermanfaat dan bermaslahat di dunia dan akhirat bagi keduanya dan bagi anak mereka, kerana melalaikannya dapat menimbulkan keburukan dan bahaya yang banyak yang tidak diketahui kecuali oleh Allah s.w.t.

Di samping itu, dalam bermusyawarah terdapat tolong-menolong terhadap kebaikan dan takwa. Termasuk yang perlu diterangkan juga di sini adalah bahawa suami dan isteri ketika berpisah di masa ‘iddah, khususnya apabila lahir anak dari keduanya, biasanya terjadi pertengkaran dalam hal menafkahi si wanita dan si anak, iaitu ketika sudah berpisah yang biasanya terjadi kerana kebencian, dimana dari kebencian timbul banyak masalah.

Oleh kerana itulah, mereka diperintahkan bermusyawarah, berbuat baik, bermu’amalah secara baik, tidak bermusuhan dan sebagainya. Hendaklah semua urusan yang ada di antara kalian dimusyawarahkan dengan baik dan bertujuan baik, tidak merugikan diri sendiri dan tidak juga merugikan pihak lain.

"Dan jika kalian menemui kesulitan, maka akan menyusukan kepadanya yang lain."

Jika kalian menemui kesulitan, iaitu apabila pihak lelaki dan pihak wanita berselisih tentang upah menyusukan anak itu dan tidak terjadi kesepakatan agar si ibu menyusukan anaknya, maka boleh dicarikan wanita lain untuk menyusukan anak itu untuknya.

Tetapi seandainya pihak si ibu bayi rela dengan upah yang sama seperti yang diberikan kepada perempuan lain, maka yang paling berhak menyusui bayi itu adalah ibunya.

Jika si anak tidak menerima selain susu ibunya, maka ibunya ditetapkan untuk menyusukannya dan diwajibkan kepadanya. Jika si ibu menolak, maka dipaksa, dan dia akan mendapat imbalan standar jika tidak terjadi kesepakatan terhadap jumlah imbalannya.

Selanjutnya Allah s.w.t. menentukan nafkah sesuai keadaan suami.

"7. Agar memberi nafkah yang mempunyai keluasan menurut kemampuannya."

Hendaklah orang tua si bayi atau walinya yang mempunyai keluasan atau kemampuan memberi nafkah kepada bayinya menurut kemampuannya. Jangan sampai dia memberikan nafkah seperti nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang fakir jika dia adalah orang yang kaya.

"Dan barang siapa yang disempitkan atasnya rezekinya, maka hendaknya memberi nafkah dari apa yang Allah berikan kepadanya." 

Orang yang terbatas rezekinya, hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya.

"Allah tidak memikulkan seseorang kecuali apa yang Dia berikannya."

Allah hanya membebani seseorang sesuai dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Hal ini sesuai sekali dengan hikmah dan rahmat Allah, dimana Dia menetapkan masing-masingnya sesuai dengan keadaannya, Dia meringankan orang yang kesulitan dan tidak membebani kecuali sesuai dengan kemampuannya baik dalam hal nafkah maupun lainnya.

"Allah akan menjadikan sesudah kesulitan kemudahan."

Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan. Ayat ini merupakan berita gembira terhadap orang-orang yang kesulitan, bahawa Allah s.w.t. akan menghilangkan kesulitan mereka dan mengangkat penderitaan mereka, kerana sesungguhnya setelah kesulitan ada kemudahan. Ini merupakan janji dari Allah, dan janjiNya itu benar dan tidak akan disalahiNya.

Jumaat, 31 Januari 2020

65:1-3 Tafsir Surah Ath Thalaq, ayat 1-3.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلا يَخْرُجْنَ إِلا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا (١) فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (٢) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا (٣)

Nabi s.a.w. didahulukan mendapat khitab (perintah) dari ayat ini sebagai penghormatan dan kemuliaan baginya, kemudian menyusul buat kaum mukmin atau umatnya sesudahnya.

Rasulullah s.a.w. pernah menceraikan Hafsah, lalu Hafsah pulang ke rumah keluarganya. Maka Allah menurunkan firmanNya,

"1. Wahai Nabi! Apabila kalian mentalak isteri-isteri," 

Wahai Nabi! Apabila kalian menceraikan isteri-isteri kalian, janganlah segera mentalak ketika ada sebabnya tanpa memperhatikan perintah Allah.

"maka tatkala mereka iddah mereka" 

Hendaklah kalian ceraikan mereka pada waktu mereka dapat menghadapi iddahnya yang wajar. Maksudnya, isteri-isteri itu hendaklah ditalak diwaktu suci sebelum dicampuri. Jika ditalak dalam keadaan haidh, maka dia tidak menghitung dengan haidh yang dijatuhkan talak ketika itu dan masa ‘iddahnya semakin lama kerananya.

Begitu juga jika mentalaknya dalam keadaan suci yang telah dijima’i, maka tidak aman terhadap kehamilannya sehingga tidak jelas dengan iddah yang mana yang harus dia jalani.

Maka dikatakan kepada Nabi s.a.w., "Rujukilah dia, kerana sesungguhnya dia (Hafsah) adalah seorang wanita yang banyak berpuasa dan banyak solatnya, dan dia termasuk salah seorang dari isteri-isterimu di syurga nanti." Kemudian Beliau s.a.w. merujuknya kembali.

"dan hitunglah iddah itu."

Hitunglah waktu iddah itu. Iaitu peliharalah dan ketahuilah permulaan dan batas berakhirnya, agar masa iddah tidak memanjang bagi si isteri, yang berakibat terhalang dari melakukan perkawinan.

Hitunglah dengan haidh jika wanita itu haidh atau dengan bulan jika dia tidak haidh dan tidak hamil. Di antara manfaatnya adalah agar kamu dapat merujuknya sebelum habisnya.

Menghitungnya terdapat pemenuhan terhadap hak Allah, hak suami yang menalak, hak orang yang akan menikahinya setelahnya dan hak wanita dalam hal nafkah dan sebagainya.

Jika ‘iddahnya telah dihitung, maka keadaannya dapat diketahui, kewajiban yang wajib dipenuhinya serta haknya juga diketahui.

Perintah menghitung masa ‘iddah ini tertuju kepada suami dan kepada isterinya jika isterinya mukallaf (sudah baligh dan berakal), jika belum maka tertuju kepada walinya.

"Dan bertakwalah kepada Allah Tuhan kalian."

Bertakwalah kepada Allah Tuhan kalian dalam hal tersebut. Taatilah perintahNya dan jauhilah laranganNya dalam semua urusan serta takutlah kepadaNya dalam hal hak isteri yang ditalak.

"Janganlah kalian mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka dan janganlah mereka keluar" 

Janganlah kalian keluarkan mereka dari rumah mereka selama masa ‘iddah, bahkan mereka (kaum wanita) harus tetap di rumah suaminya yang mentalaknya. Dalam masa iddahnya dia berhak mendapatkan tempat tinggal yang dibebankan kepada pihak suami selama isterinya masih menjalani iddah darinya, si suami tidak boleh mengusirnya dari tempat tinggalnya.

Janganlah mereka di izinkan keluar, iaitu mereka tidak boleh keluar dari rumah itu kerana terikat dengan hak suaminya juga.

Larangan mengeluarkannya adalah kerana tempat tinggal wajib ditanggung suami untuk isterinya agar dia menyempurnakan ‘iddahnya di rumah itu yang menjadi salah satu haknya.

Di samping itu, keluarnya isteri dapat menyia-nyiakan hak suami dan tidak menjaganya. Larangan mengeluarkan isteri dari rumah ini berlangsung terus sampai sempurna ‘iddahnya.

"kecuali bahawa mereka mendatangkan dengan kekejian yang jelas."

Kecuali kalau mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang, iaitu terbukti perbuatan kejinya. Maka dia baru boleh diusir dari tempat tinggalnya.

Perbuatan keji (fahisyah) di sini bermaksud mengerjakan perbuatan-perbuatan pidana seperti zina sehingga dia keluar untuk ditegakkan had terhadapnya, atau berkelakuan tidak sopan terhadap mertua, ipar, dan sebagainya yang layak untuk dikeluarkan seperti menyakiti dengan kata-kata dan perbuatan. Termasuk juga apabila seorang wanita bersikap nusyuz (derhaka) kepada suaminya.

Dalam keadaan seperti ini, mereka boleh dikeluarkan kerana dia yang menyebabkan dirinya berhak dikeluarkan. Memberikan tempat tinggal ini apabila talaknya talak raj’i (masih boleh rujuk), adapun dalam talak ba’in, maka isteri tidak berhak mendapatkan tempat tinggal, kerana tempat tinggal mengikuti nafkah, sedangkan nafkah wajib diberikan kepada wanita yang ditalak raj’i, bukan dilatak ba’in.

"Dan itu hukum-hukum Allah."

Itulah hukum-hukum Allah, iaitu hukum-hukum syariatNya dan batasan-batasan haramNya yang telah ditetapkan kepada hamba-hambaNya serta diperintahkanNya mereka untuk tetap memperhatikannya.

"Dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sungguh telah berbuat zalim dirinya." 

Barang siapa melanggar hukum-hukum Allah, iaitu keluar dan menyimpang darinya ke jalan lain dan tidak mahu mengikutinya, maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri dengan perbuatannya itu dan menyia-nyiakannya keberuntungan yang diperolehnya jika mengikuti hukum-hukum Allah, iaitu kebaikan di dunia dan akhirat.

"Kamu tidak mengetahui barang kali Allah mengadakan yang baru sesudah itu perkara."

Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu hal atau ketentuan yang baru. Suatu hal yang baru bermaksud keinginan dari suami untuk rujuk kembali apabila talaknya baru dijatuhkan sekali atau dua kali.

Sesungguhnya Kami biarkan wanita yang diceraikan tetap berada di tempat tinggal suaminya dalam masa idahnya, kerana barangkali si suami menyesali talak yang telah dijatuhkannya, dan Allah menggerakkan hati suami untuk merujuknya. Bila demikian, maka urusannya mudah.

Ini adalah salah satu hikmah disyariatkannya ‘iddah. Hikmah lainnya adalah bahawa masa ‘iddah adalah masa menunggu untuk diketahui kosong rahimnya.

"2. Maka apabila telah sampai waktu iddah," 

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya atau hampir menyelesaikan masa idahnya, tetapi masa idahnya masih belum berakhir secara maksimal, maka pada saat itulah pihak suami adakalanya bertekad untuk kembali memegangnya dan mengembalikannya ke dalam ikatan pernikahan serta meneruskan kehidupan rumah tangganya semula.

Hal itu, kerana apabila mereka telah keluar dari masa ‘iddah, maka suami tidak ada kesempatan memilih untuk menahan (merujuk) atau menceraikan.

"maka tahanlah mereka dengan baik" 

Maka rujuklah mereka dengan baik, tidak bermaksud membahayakan isteri, menimpakan keburukan dan mengekangnya. Iaitu memperbaiki kembali hubungannya dengan isterinya dan menggaulinya dengan cara yang baik.

"atau ceraikanlah mereka dengan baik"

Adakalanya si suami bertekad tetap menceraikannya dengan cara yang baik juga, iaitu tanpa melakukan perbuatan yang dilarang, memburuk-burukkan isterinya, mencaci makinya, mengecamnya, bertengkar dan memaksa isteri agar memberikan harta yang telah menjadi miliknya, bahkan menceraikannya dengan cara yang baik dan penyelesaian yang bagus.

"dan persaksikanlah dua orang mempunyai keadilan di antara kalian" 

Persaksikanlah dengan dua orang saksi yang muslim dan adil di antara kalian untuk rujuk atau talaknya. Mengangkat saksi dapat menutup pintu pertengkaran dan menutup sikap menyembunyikan dari keduanya sesuatu yang mesti dijelaskan.

"dan tegakkanlah kesaksian kerana Allah."

Hendaklah kalian tegakkan kesaksian itu kerana Allah, iaitu tegakkanlah persaksian itu sesuai keadaan yang sebenarnya tanpa kurang tanpa lebih, dan niatkanlah untuk mencari keridhaan Allah, serta tidak memperhatikan kerabat kerana kedekatannya atau kawan kerana disenanginya.

"Demikian itu diberi pengajaran dengannya orang yang dia beriman kepada Allah dan hari akhir."

Demikianlah pengajaran itu diberikan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Iaitu apa yang telah Kami perintahkan kalian untuk menjalankannya, iaitu menggunakan saksi dan menegakkan persaksian, tiada lain orang yang mahu melakukannya hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Dan sesungguhnya Allah s.w.t. mensyariatkan hukum ini bagi orang yang takut terhadap siksa Allah di hari akhirat nanti. Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir akan segera sedar terhadap nasihat Allah, menyiapkan amal soleh yang boleh dilakukannya untuk akhirat.

Berbeda dengan orang yang iman telah berpindah dari hatinya, maka dia tidak peduli terhadap perbuatannya yang disiapkan untuk akhirat baik atau buruk, dia juga tidak memuliakan nasihat-nasihat Allah.

Seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang dikenal dengan nama Auf ibnu Malik Al Asyja'i mempunyai seorang putera yang tertawan di kalangan kaum musyrik. Dan anaknya itu berada di tangan kaum musyrik, sedangkan ayahnya selalu mendatangi Rasulullah s.a.w. mengadukan nasib yang dialami oleh puteranya itu dan juga tentang kemiskinan yang menimpa dirinya. Dan Rasulullah s.a.w. selalu menganjurkan kepadanya untuk bersabar menghadapi semua musibah itu dan bersabda kepadanya, "Sesungguhnya Allah akan menjadikan bagimu jalan keluar." Tidak lama kemudian ternyata puteranya itu dapat meloloskan diri dari tangan musuh dan melarikan diri, kemudian dia bersua dengan iringan ternak kambing milik musuhnya, maka dia menggiring ternak kambing itu dan pulang ke rumah ayahnya dengan membawa ternak kambing hasil jarahannya. Lalu diturunkanlah ayat berikut berkenaan dengan peristiwa ini, iaitu firmanNya,

"Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar."

Barang siapa yang bertakwa kepada Allah dalam semua apa yang diperintahkan kepadanya dan meninggalkan semua apa yang dilarang baginya, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dari urusannya.

Maka orang yang bertakwa kepada Allah dan mengutamakan keridhaanNya dalam semua keadaannya, Allah s.w.t. akan membalasnya di dunia dan akhirat. Di antara sekian balasannya adalah Allah s.w.t. berikan dan bukakan jalan keluar dari setiap kesulitan dan kesempitan.
Sedangkan orang yang tidak bertakwa kepada Allah, akan terjatuh ke dalam kesempitan, beban dan belenggu yang sulit keluar dan lolos darinya.

Digunakan talak sebagai contohnya, kerana talak terkadang membuat seseorang merasakan kesempitan, kesedihan dan penderitaan. Jika seorang tidak bertakwa kepada Allah dalam masalah talak, misalnya dia menjatuhkan talak dengan cara yang diharamkan seperti langsung tiga kali, maka dia tentu akan menyesal dengan penyesalan yang tidak mungkin dapat dikejar lagi.

Oleh kerana itu, apabila seseorang ingin mentalak, lalu dia menjatuhkannya sesuai syariat, iaitu menjatuhkannya sekali tidak pada masa isteri haidh atau masa suci yang telah dicampuri, maka urusannya tidak akan sempit, bahkan Allah s.w.t. memberikan celah dan jalan keluar agar dia dapat merujuk isterinya jika dia menyesal melakukan talak.

"3. Dan Dia memberi rezeki dari arah mana tidak disangka-sangka." 

Allah memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya, iaitu dari arah yang tidak terdetik dalam hatinya.

"Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Dia mencukupinya."

Barang siapa yang bertawakkal kepada Allah dalam urusan agama dan dunianya, iaitu dengan bersandar kepada Allah dalam mendatangkan manfaat dan menolak madharrat serta percaya kepadaNya dalam mewujudkan semua itu, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.

Jika urusannya dalam tanggungan Allah Yang Mahakaya, Mahaperkasa lagi Maha Penyayang, maka keperluannya sangat mudah sekali terpenuhi. Akan tetapi terkadang hikmah ilahi menghendaki perkara itu ditunda sampai waktu yang tepat. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"Sesungguhnya Allah menyampaikan urusanNya."

Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya, iaitu melaksanakan ketetapan-ketetapan dan hukum-hukumNya terhadap makhlukNya menurut apa yang dikehendaki dan yang diinginkanNya. Qadha’ dan qadarNya pasti terlaksana.

"Sungguh Allah menjadikan bagi tiap-tiap sesuatu ketentuan." 

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu. Dia telah menentukan waktunya dan ukurannya, tidak lebih dan tidak kurang.

Sabtu, 11 Januari 2020

64:14-18 Tafsir Surah At Taghabun, ayat 14-18.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٤) إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ (١٥) فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لأنْفُسِكُمْ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (١٦) إِنْ تُقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ (١٧) عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (١٨)

Ibnu Abbas telah ditanya oleh seorang lelaki tentang makna firmanNya, "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya dari isteri-isteri kalian dan anak-anak kalian musuh bagi kalian, Maka berhati-hatilah terhadap mereka;" (At Taghabun 64:14) bahawa ada sejumlah lelaki yang telah masuk Islam di Mekah; ketika mereka hendak bergabung dengan Rasulullah s.a.w. di negeri hijrah, maka isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak mahu ditinggalkan. Pada akhirnya setelah mereka datang kepada Rasulullah s.a.w. (sesudah penaklukan Mekah), mereka melihat orang ramai telah mendalami agama mereka. Kemudian mereka melampiaskan kemarahannya kepada isteri-isteri dan anak-anak mereka yang menghalang-halangi mereka untuk hijrah. Dan ketika mereka hendak menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka, Allah menurunkan firmanNya, "dan jika kalian memaafkan, dan berhati lapang, dan mengampuni, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." (At Taghabun 64:14)

Allah s.w.t. berfirman,

"14. Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya dari isteri-isteri kalian dan anak-anak kalian musuh bagi kalian."

Sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak-anak kalian ada yang menjadi musuh bagi kalian. Maksudnya, terkadang isteri atau anak dapat menjerumuskan suami atau ayahnya untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak dibenarkan agama, atau menghalanginya dari mengerjakan kebaikan seperti berjihad dan berhijrah.

"Maka berhati-hatilah terhadap mereka;"

Adakalanya isteri dan anak-anak mendorong seseorang untuk memutuskan tali persaudaraan, atau berbuat suatu maksiat terhadap Tuhannya, kerana cintanya kepada isteri dan anak-anaknya terpaksa dia menaatinya dan tidak kuasa menolaknya.

Berwaspadalah kalian, janganlah kalian dilalaikan oleh isteri-isteri dan anak-anak kalian. Tetaplah kalian melakukan perintah Allah, mengutamakan keridhaanNya kerana di sisiNya ada pahala yang besar dan mengutamakan akhirat daripada dunia yang fana.

Oleh kerana larangan menaati isteri dan anak jika di sana terdapat bahaya terhadap seorang hamba memberikan kesan agar bersikap keras kepada mereka, maka Allah s.w.t. berfirman menghilangkan kesan ini,

"dan jika kalian memaafkan, dan berhati lapang, dan mengampuni,"

Iaitu kalian memaafkan, menyantuni atau tidak memarahi, dan mengampuni mereka. Sikap memberi maaf terdapat banyak maslahat.

"maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Hal itu, kerana balasan disesuaikan dengan jenis amalan. Barang siapa yang memaafkan, maka Allah akan memaafkannya, barang siapa yang mengampuni, maka Allah akan mengampuninya, dan barang siapa yang bermu’amalah dengan Allah dengan amal yang dicintaiNya, maka Allah akan mencintainya, begitu juga barang siapa yang bermu’amalah dengan manusia dengan amal yang dicintai mereka nescaya manusia mencintainya.

"15. Sungguh hanyalah harta-harta kalian dan anak-anak kalian hanyalah fitnah;"

Sesungguhnya harta-harta dan anak-anak kalian hanyalah ujian dan cobaan bagi kalian yang melalaikan kalian dari akhirat. Demikian itu agar dapat dijelaskan siapa yang taat kepadaNya dan siapa yang derhaka terhadapNya.

"dan Allah di sisiNya pahala yang besar."

Di sisi Allahlah kelak di hari kiamat pahala yang besar. Oleh kerana itu, janganlah kalian luputkan pahala kalian kerana disibukkan oleh harta dan anak.

Ketika Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepadaNya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam." (Ali Imran 3:102), kaum muslim beramal dengan sekuat-kuatnya. Mereka terus-menerus mengerjakan qiyam (solat sunat) hingga tumit kaki mereka bengkak dan kening mereka bernanah. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini untuk meringankan mereka (kaum muslim), iaitu firmanNya,

"16. Maka bertakwalah kepada Allah menurut kesanggupan kalian"

Bertakwalah kalian kepada Allah menurut kemampuan kalian, iaitu menurut batas maksimal kemampuan kalian. Ayat ini menunjukkan bahawa setiap kewajiban yang seorang hamba tidak dapat melakukannya, maka kewajiban itu gugur darinya.

Jika seseorang mampu melakukan sebahagian perintah dan tidak mampu melakukan sebahagian lagi, maka yang mampu dia lakukan dilakukannya dan yang tidak mampu maka gugur darinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kuperintahkan kepada kalian suatu perkara, maka kerjakanlah hal itu olehmu menurut kesanggupanmu; dan apa saja yang aku larang kalian mengerjakannya, tinggalkanlah."

"dan dengarlah, dan taatilah;"

Dengarlah nasihat Allah kepada kalian serta hukum-hukum yang disyariatkanNya. Ketahuilah hal itu dan ikutlah. Tunduk patuhlah kalian kepada apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, janganlah kalian menyimpang darinya.

Taatlah kalian kepada Allah dan RasulNya dalam semua urusan kalian. Janganlah kalian mendahului Allah dan RasulNya, janganlah kalian ketinggalan dari apa yang diperintahkan olehNya dan janganlah kalian mengerjakan apa yang dilarang olehNya.

"dan infakkanlah baik bagi diri kalian."

Nafkahkanlah atau infakkanlah harta yang baik untuk diri kalian. Belanjakanlah dari sebahagian harta yang Allah rezekikan kepada kalian kepada kaum kerabat, orang-orang fakir, orang-orang miskin, dan orang-orang yang memerlukan bantuan.

Infakkanlah baik infak yang wajib maupun yang sunat, tentu hal itu lebih baik bagi kalian di dunia dan akhirat, kerana kebaikan terletak dalam mengikuti perintah Allah, menerima nasihatnya dan tunduk kepada syariatNya, sedangkan keburukan terletak pada selain itu.

Berbuat baiklah kalian kepada sesama makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kalian, nescaya hal ini lebih baik bagi kalian buat kehidupan dunia dan kehidupan akhirat kalian. Jika kalian tidak melakukannya, maka menjadi keburukanlah bagi kalian dalam kehidupan dunia dan akhirat kalian.

Namun di sana ada penyakit yang menghalangi kebanyakan manusia dari berinfak, iaitu sifat kikir yang manusia diciptakan di atasnya.

"Dan barang siapa yang dipelihara kekikiran dirinya, maka mereka itulah mereka orang-orang yang beruntung."

Barang siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Mereka akan mendapatkan apa yang mereka inginkan dan selamat dari hal yang tidak mereka inginkan.

"17. Jika kalian meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik,"

Iaitu kalian menyedekahkan harta dengan hati yang puas dan rela dari harta yang halal dengan maksud, tujuan atau niat mencari keridhaan Allah. Apa pun yang telah kalian infakkan, maka Dia akan menggantikannya; dan apa pun yang kalian sedekahkan, maka Dialah yang akan membalas pahalanya.

"Dia melipatgandakan bagi kalian"

Allah akan melipatgandakan pembalasannya kepada kalian dari sepuluh menjadi tujuh ratus, bahkan boleh jadi lebih.

"dan Dia mengampuni bagi kalian."

Allah juga akan menghapuskan dosa-dosa atau kesalahan-kesalahan kalian kerana sebab infak dan sedekah, kerana dosa dapat terhapus dengan sedekah dan amal soleh lainnya.

"Dan Allah Maha Mensyukuri Maha Penyantun."

Allah Maha Pembalas Jasa atau Maha Mensyukuri. Dia menerima amal yang sedikit dari hamba-hambaNya dan memberinya balasan dengan pahala yang banyak. Dia bersyukur kepada orang yang rela berkorban keranaNya dan sedia memikul beban-beban berat. Barang siapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik.

Dia Maha Penyantun. Dia memaaf, mengampuni, menutupi dan menghapuskan dosa-dosa, kesalahan-kesalahan, keburukan-keburukan, dan kealpaan-kealpaan. Dia tidak segera menyiksa orang-orang yang derhaka kepadaNya, bahkan memberinya tangguh dan kesempatan untuk bertaubat.

"18. Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Mahaperkasa Mahabijaksana."

Allah mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dia Mahaperkasa, Dia tidak dapat dikalahkan, bahkan Dia mengalahkan dan menundukkan segala sesuatu. Dia Mahabijaksana dalam ciptaan dan perintahNya, Dia meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.

Selesai tafsir surah At Taghabun dengan pertolongan Allah dan taufiqNya wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin. Hanya milikNya semua puji-pujian dan semua anugerah.

Ahad, 22 Disember 2019

64:11-13 Tafsir Surah At Taghabun, ayat 11-13.

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (١١) وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَإِنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلاغُ الْمُبِينُ (١٢) اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (١٣)

Allah s.w.t. berfirman,

"11. Tidak menimpa dari musibah kecuali dengan izin Allah."

Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa diri seseorang, hartanya, anaknya, kekasihnya dan sebagainya kecuali dengan izin atau perintah Allah, iaitu dengan taqdir, kekuasaan dan kehendakNya. Semua ini dengan qadha’ Allah dan qadarNya yang telah diketahui oleh Allah, ditulisNya, dikehendakiNya dan sejalan dengan hikmahNya.

Namun, adakah seorang hamba dapat memikul tugasnya (bersabar) dalam keadaan ini atau tidak. Barang siapa yang mampu memikulnya dengan bersabar, maka dia akan mendapat pahala yang besar di dunia dan akhirat.

"Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, Dia memberi petunjuk ke dalam hatinya."

Iaitu seseorang yang ditimpa musibah lalu dia beriman atau mengetahui bahawa musibah itu berasal dari sisi Allah, dengan qadha’ dan qadarNya, sehingga dia pun bersabar, ridha, menerimanya dan mengharap pahala.

Maka Allah s.w.t. mengganti terhadap apa yang luput baginya dari dunia dengan petunjuk dan keyakinan yang benar di dunia, sehingga dia mengetahui bahawa apa yang ditetapkan menimpanya maka tidak akan meleset dan apa yang tidak akan menimpanya, maka tidak akan mengenainya.

Dia akan mengembalikan segala sesuatunya kepada Allah dan beristirja', iaitu mengucapkan, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya kami milik Allah, dan hanya kepadaNya kami dikembalikan)."

Allah s.w.t. akan menunjuki hatinya sehingga dia pun tenang dan tidak akan gelisah ketika ada musibah. Allah juga mengurniakan kepadanya tsabat (keteguhan) ketika musibah itu datang, dan dia mampu memikul tugasnya, iaitu bersabar sehingga dia mendapat pahala yang segera disamping pahala yang Allah simpan untuknya pada hari pembalasan.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Sungguh mengagumkan orang mukmin itu, tiadalah Allah memutuskan suatu keputusan baginya kecuali adalah kebaikan belaka baginya. Jika dia tertimpa kedukaan, maka dia bersabar, dan bersabar itu adalah baik baginya. Dan jika dia mendapat kesukaan, maka bersyukurlah ia dan bersyukur itu lebih baik baginya. Dan hal itu tidak didapati pada seorang pun kecuali pada diri orang mukmin."

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu bertanya, "Amal apakah yang paling utama?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Iman kepada Allah, membenarkanNya dan berjihad di jalanNya." Lelaki itu bertanya lagi, "Aku bermaksud hal yang lebih ringan daripada semuanya itu, wahai Rasulullah." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Janganlah kamu berburuk sangka kepada Allah terhadap sesuatu yang telah ditetapkanNya atas dirimu."

Barang siapa yang tidak beriman kepada Allah ketika ada musibah, iaitu dia tidak melihat kepada qadha’ Allah dan qadarNya, bahkan berhenti di hadapan sebab, maka dia akan ditelantarkan. Allah s.w.t. akan menyerahkannya kepada dirinya sendiri dan tidak menunjuki hatinya.

Maka tidak ada yang dia lakukan selain keluh kesah dan gelisah yang merupakan hukuman yang disegerakan kepada seorang hamba sebelum hukuman di akhirat kerana dia melalaikan kewajiban sabar.

Pada asalnya tsabat (keteguhan) adalah tetapnya hati, sabar dan yakinnya dia ketika datang semua fitnah. Oleh kerana itu, orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang paling mendapat petunjuk hatinya, paling kukuh saat menghadapi peristiwa yang menggoncangkan hatinya kerana keimanan yang ada padanya.

"Dan Allah dengan segala sesuatu Maha Mengetahui."

Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

"12. Dan taatilah Allah dan taatilah Rasul,"

Taatlah kepada Allah dan Rasul dengan mengerjakan syariat agamaNya, melaksanakan perintahNya, serta meninggalkan apa yang dilarang dan diharamkanNya. Sesungguhnya taat kepada Allah dan Rasul merupakan pusat kebahagiaan dan tanda keberuntungan.

"maka jika kalian berpaling, maka sungguh hanyalah atas Rasul Kami penyampaian yang terang."

Jika kalian berpaling dari taat kepada Allah dan Rasul, iaitu membangkang tidak mahu mengamalkannya, maka sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menjalankan apa yang ditugaskan kepadanya, iaitu menyampaikan amanah Allah atau risalah dengan terang dan jelas sehingga hujjah tegak.

Kalian diwajibkan mendengar dan menaatinya. Beliau tidak dapat menjadikan kalian mendapatkan hidayah taufiq selain hidayah irsyad (menerangkan yang hak dan yang batil sejelas-jelasnya) dan dia bukan yang menghisab kalian, bahkan yang menghisab kalian adalah Allah s.w.t. yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata.

"13. Allah, tidak ada Tuhan kecuali Dia."

Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, bergantung kepadaNya segala sesuatu, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Esakanlah penyembahan itu hanya bagiNya, dan ikhlaskanlah ketaatan itu hanya kepadaNya. Segala sesuatu yang diibadahi selainNya adalah batil.

"Dan kepada Allah hendaklah bertawakkal orang-orang mukmin."

Hendaklah orang-orang beriman bersandar kepada Allah saja dalam semua masalah yang menimpa mereka dan dalam hal yang ingin mereka kerjakan. Tidak ada satu urusan pun yang mudah kecuali dengan pertolongan Allah.

Seseorang tidaklah sempurna bersandar kepada Allah sampai dia berhusnuzan (bersangka baik) kepada Allah, percaya bahawa Dia akan mencukupinya. Tingkat tawakkal seseorang hamba sesuai dengan keimanannya, setiap kali imannya menguat, maka semakin kuatlah tawakkalnya.

Isnin, 25 November 2019

64:7-10 Tafsir Surah At Taghabun, ayat 7-10.

زَعَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ لَنْ يُبْعَثُوا قُلْ بَلَى وَرَبِّي لَتُبْعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلْتُمْ وَذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ (٧) فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالنُّورِ الَّذِي أَنْزَلْنَا وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (٨) يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ ذَلِكَ يَوْمُ التَّغَابُنِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٩) وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ خَالِدِينَ فِيهَا وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (١٠)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal keras kepalanya orang-orang kafir, orang-orang musyrik, dan orang-orang yang atheis, persangkaan mereka yang batil dan pendustaan mereka kepada kebangkitan tanpa ilmu dan petunjuk serta tanpa kitab yang menerangi,

"7. Mengira orang-orang yang kafir bahawa tidak akan mereka dibangkitkan."

Mereka menyangka dan mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Allah s.w.t. memerintahkan kepada manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad s.a.w. untuk bersumpah atas nama Tuhannya,

"Katakanlah, "Ya, demi Tuhanku, kalian dibangkitkan, kemudian diberitakan dengan apa yang kalian kerjakan.”"

Tidak demikian, demi Tuhanku, sesungguhnya hari berbangkit pasti terjadi dan ia benar-benar ada. Kalian pasti akan dibangkitkan, kemudian diberitakan kepada kalian semua amal perbuatan yang telah kalian lakukan, baik yang besar maupun yang kecil dan baik yang ringan maupun yang berat. Amal buruk dan pendustaan kalian kepada kebenaran akan mendapat balasan.

"Dan demikian itu bagi Allah mudah."

Membangkitkan kalian dan membalas amal perbuatan kalian adalah teramat mudah bagi Allah. Apabila Dia menghendaki sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya, “Jadilah” maka jadilah ia.

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan pengingkaran orang-orang yang mengingkari kebangkitan dan bahawa hal itu sama saja mereka kafir kepada Allah dan ayat-ayatNya, maka Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hambaNya untuk melakukan sesuatu yang dapat menjaga mereka dari kebinasaan dan kesengsaraan,

"8. Maka berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan kepada cahaya yang Kami turunkan."

Maka berimanlah kalian kepada Allah dan RasulNya, dan kepada cahaya yang telah Kami turunkan, iaitu Al Qur'an. Beriman kepada Allah, RasulNya dan kitabNya menghendaki keyakinan yang pasti serta beramal terhadap kesan dari pembenaran itu berupa mengerjakan perintah dan menjauhi larangan.

Allah s.w.t. menamai kitabNya dengan “cahaya” kerana keadaannya yang menyinari gelapnya kebodohan dan kesesatan, dan dengannya seseorang dapat berjalan di tengah kegelapan-kegelapan itu.

"Dan Allah dengan apa yang kalian kerjakan Mahateliti."

Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan. Dia akan membalas amal kalian yang baik dan yang buruk. Tiada sesuatu pun dari amal perbuatan kalian yang tersembunyi bagiNya.

"9. Hari Dia mengumpulkan kalian di hari pengumpulan,"

Ingatlah pada hari ketika Allah mengumpulkan kalian pada hari berhimpun untuk dihisab, iaitu hari Kiamat. Pada hari itu dihimpunkan oleh Allah s.w.t. semua orang yang terdahulu dan yang terkemudian di suatu lapangan, suatu tempat yang menegangkan. Suara penyeru terdengar oleh mereka semua dan tiada sesuatu pun yang menghalangi pandangan mereka.

Allah s.w.t. memberitahukan kepada mereka amal yang mereka kerjakan. Ketika itulah kelihatan perbedaan antara makhluk. Sebahagian kaum ditempatkan ke tempat-tempat yang tinggi (syurga) yang penuh kesenangan dan sebahagian kaum ditempatkan ke tempat yang rendah (neraka) yang menjadi tempat kesedihan, kegundahan, kesengsaraan dan azab yang keras sebagai hasil dari apa yang mereka kerjakan untuk diri mereka.

"itu hari ditampakkan kesalahannya."

Itulah hari atau waktu pengungkapan atau ditampakkan kesalahan-kesalahan. Taghabun merupakan salah satu dari nama lain bagi hari kiamat. Demikian itu kerana ahli syurga membuat ahli neraka merasa iri hati.

Tiada iri hati yang lebih besar daripada saat ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga dan ahli neraka dimasukkan ke dalam neraka, iaitu saat itulah ahli neraka menyedari kesalahan-kesalahan yang telah dilakukannya.

Ada yang menafsirkan bahawa dikatakan hari Kiamat dengan ‘taghaabun’ kerana pada hari itu orang-orang mukmin mengalahkan orang-orang kafir dengan mengambil tempat tinggal dan calon isteri mereka di syurga yang sudah disediakan jika mereka beriman.

Seakan-akan ada pertanyaan, “Kerana apa mereka mendapat keberuntungan dan kenikmatan atau kesengsaraan dan azab?” Maka pada lanjutan ayat ini Allah s.w.t. sebutkan sebabnya.

"Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, Dia akan menghapus darinya kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya syurga mengalir di bawahnya sungai-sungai," 

Barang siapa yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amal soleh, baik yang wajib maupun yang sunat, baik berupa memenuhi hak Allah maupun hak hamba-hambaNya, nescaya Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

"mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Demikian itu keuntungan yang besar."

Di dalamnya terdapat apa yang disenangi jiwa, enak dipandang mata, disukai hati dan menjadi akhir cita-cita. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.

"10. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." 

Mereka mengingkarinya tanpa sandaran syar’i maupun ‘aqli (akal), bahkan datang kepada mereka dalil-dalil dan bukti, namun mereka tetap mendustakan dan menentangnya. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

"Dan seburuk-buruk tempat kembali."

Neraka itu tempat kembali yang paling buruk. Hal itu, kerana di neraka menghimpun semua keburukan, kesengsaraan dan azab.

Jumaat, 13 September 2019

64:5-6 Tafsir Surah At Taghabun, ayat 5-6

أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ فَذَاقُوا وَبَالَ أَمْرِهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٥) ذَلِكَ بِأَنَّهُ كَانَتْ تَأْتِيهِمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالُوا أَبَشَرٌ يَهْدُونَنَا فَكَفَرُوا وَتَوَلَّوْا وَاسْتَغْنَى اللَّهُ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (٦)

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan apa yang dilakukanNya terhadap umat-umat terdahulu,

"5. Apakah belum datang kepada kalian berita orang-orang yang kafir sebelumnya?"

Apakah belum sampai kepada kalian (hai orang-orang kafir) kisah orang-orang kafir dahulu dan apa yang telah mereka alami? Berita-berita mereka selalu dibicarakan oleh orang-orang yang datang kemudian.

"Maka mereka merasakan akibat buruk perbuatan mereka"

Maka mereka merasakan hukuman dan kehinaan dalam kehidupan dunia ini akibat kedustaan mereka dan amal perbuatan mereka yang jahat.

"dan bagi mereka azab yang pedih."

Mereka mendapat azab yang pedih di negeri akhirat nanti di samping azab dunia yang telah menimpa mereka.

"6. Demikian itu kerana sesungguhnya ada datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan,"

Azab di dunia dan akhirat itu adalah kerana sesungguhnya ketika rasul-rasul datang kepada mereka membawa alasan-alasan, dalil-dalil dan ayat-ayat yang jelas yang menunjukkan mana yang benar dan mana yang batil, mereka mendustakannya, membencinya, menentangnya, dan menyombongkan diri.

"lalu mereka berkata, "Apakah manusia memberi petunjuk kepada kami?”" 

Apakah patut manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami? Mereka menganggap mustahil bila rasul itu dari kalangan manusia, dan petunjuk mereka berada di tangan manusia yang sama seperti mereka.

Maksud mereka, jika rasul itu manusia, maka tidak ada kelebihannya di atas kami dan kerana sebab apa Allah s.w.t. melebihkan para rasul itu di atas kami?

Pertanyaan ini telah dijawab Allah s.w.t. dalam ayat yang lain, “Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka, "Kami tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, akan tetapi Allah memberi kurnia kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Dan tidak patut bagi Kami mendatangkan suatu bukti kepada kamu melainkan dengan izin Allah. dan hanya kepada Allah sajalah hendaknya orang-orang mukmin bertawakkal.” (Ibrahim 14:11)

Mereka yang menolak seruan rasul kerana alasan demikian sesungguhnya sama saja hendak mencegah kurnia Allah dan nikmatNya kepada para nabiNya berupa nikmat menjadi para rasul(utusan)Nya kepada manusia, mereka telah sombong untuk tunduk kepada para rasul sehingga mereka ditimpa musibah dengan menyembah batu, pohon dan sebagainya.

"Lalu mereka ingkar dan berpaling;"

Lalu mereka ingkar dan berpaling dari taat kepada Allah. Mereka mendustakan perkara yang hak dan membangkang, tidak mahu mengamalkannya.

"dan Allah tidak memerlukan."

Padahal Allah tidak memerlukan mereka, keimanan mereka dan pengamalan mereka.

"Dan Allah Mahakaya Maha Terpuji."

Allah Mahakaya. Dia tidak perlu kepada semua makhlukNya. Dia Maha Terpuji dalam perkataanNya, perbuatanNya dan sifat-sifatNya.

Isnin, 3 Jun 2019

64:1-4 Tafsir Surah At Taghabun, ayat 1-4.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

  يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١) هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ فَمِنْكُمْ كَافِرٌ وَمِنْكُمْ مُؤْمِنٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (٢) خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ بِالْحَقِّ وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ (٣) يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُونَ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi;"

Semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi senantiasa bertasbih menyucikan Allah, Tuhan yang telah menciptakan mereka dan yang memiliki mereka.

"bagiNya kerajaan dan bagiNya segala puji;"

MilikNya semua kerajaan. Hanya Dialah Yang mengatur semua makhluk. Tidak ada satu pun makhluk yang keluar dari milikNya.

BagiNya semua puji-pujian. Dia terpuji dalam semua yang diciptakan dan yang ditetapkanNya. Dia terpuji kerana sifat-sifat sempurna yang dimilikiNya, apa yang diwujudkanNya, hukum-hukum yang disyariatkanNya dan nikmat-nikmat yang diberikanNya.

"dan Dia atas segala sesuatu Mahakuasa."

Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Apa pun yang dikehendakiNya pasti ada, tanpa ada yang menolak atau menghalang-halangiNya, dan apa saja yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi. KekuasaanNya menyeluruh. Semua yang ada tidak lepas dari kekuasaanNya. Tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan keinginanNya.

"2. Dialah Yang menciptakan kalian, maka di antara kalian orang yang kafir dan di antara kalian orang yang beriman."

Dialah Yang menciptakan kalian. Maka sudah dipastikan adanya orang yang beriman dan orang yang kafir. Dia membebankan perintah dan larangan atas kalian. Maka di antara kalian ada yang kafir dan ada yang beriman.

Keimanan dan kekafiran kalian adalah dengan qadha’ Allah dan qadarNya. Dialah yang menghendaki hal itu dengan memberikan kepada kalian kemampuan dan keinginan sehingga kalian dapat melakukan apa yang kalian inginkan. Namun apa yang Dia kehendaki tidak semestinya dicintaiNya.

"Dan Allah dengan apa yang kalian kerjakan Maha Melihat."

Allah Maha Melihat siapakah yang berhak mendapat hidayah (petunjuk) dan siapakah dari kalian yang berhak mendapat kesesatan. Dia Maha Menyaksikan semua amal perbuatan hamba-hambaNya, dan kelak Dia akan mengadakan pembalasan terhadap mereka atas semuanya itu dengan pembalasan yang sempurna.

"3. Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak,"

Allah menciptakan langit dan bumi dan semua yang ada di sana dengan tujuan yang benar, iaitu dengan hikmah (tepat), tujuan yang diinginkanNya, adil dan bijaksana.

"dan Dia membentuk rupa kalian lalu Dia baguskan bentuk kalian,"

Dia membentuk rupa kalian lalu memperbaguskan rupa kalian, iaitu Dia menjadikan indah rupa dan bentukmu. Oleh kerana itu, manusia adalah makhluk yang paling baik rupanya dan paling indah dipandang.

"dan kepadaNyalah tempat kembali."

Hanya kepadaNyalah kalian dipulangkan dan dikembalikan pada hari Kiamat, lalu Dia membalas keimanan dan kekafiran kalian dan menanyakan kepada kalian tentang berbagai nikmat yang diberikanNya kepada kalian, adakah kalian mensyukurinya atau tidak.

"4. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi,"

PengetahuanNya merata dan meliputi semua makhlukNya yang ada di langit dan di bumi serta semua jiwa.

"dan Dia mengetahui apa yang kalian rahsiakan dan apa yang kalian nyatakan."

Dia mengetahui baik yang kalian rahsiakan maupun yang kalian tampakkan, yang ghaib maupun yang nyata.

"Dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang ada dalam dada."

Allah Maha Mengetahui segala isi hati, baik rahsia yang baik maupun yang buruk, niat yang baik maupun yang buruk dan keyakinan. Orang-orang yang berakal dan berpandangan tajam akan berusaha menjaga batinnya dari akhlak yang buruk serta menyifatinya dengan akhlak yang mulia.

Jumaat, 1 Mac 2019

63:9-11 Tafsir Surah Al Munafiqun, ayat 9-11.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (٩) وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ (١٠) وَلَنْ يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (١١)

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman untuk banyak mengingatNya kerana mengingat Allah terdapat keuntungan dan kebaikan yang banyak.

"9. Wahai orang-orang yang beriman, jangan melalaikan kalian harta-harta kalian dan jangan anak-anak kalian dari mengingat Allah."

Janganlah kalian menyibukkan diri dengan harta-harta dan anak-anak kalian sehingga kalian lalai dari mengingat Allah, seperti dari solat yang lima waktu, solat Jumaat dan sebagainya.

Sesungguhnya harta-harta dan anak-anak hanyalah cobaan bagi kalian. Jiwa manusia diciptakan dengan keadaannya yang suka kepada harta dan anak, namun jika sampai melebihi kecintaan dan ketaatan kepada Allah, maka akan mengakibatkan kerugian yang besar.

"Dan barang siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah, mereka orang-orang yang rugi."

Barang siapa yang terlena dengan kesenangan dunia dan perhiasannya hingga melupakan ketaatan kepada Tuhannya dan mengingatNya yang merupakan tujuan utama dari penciptaan dirinya, maka sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarganya kelak di hari kiamat.

Mereka tidak mendapat kebahagiaan yang abadi dan kenikmatan yang kekal kerana mereka lebih mengutamakan kenikmatan yang fana’ (sebentar). Di sisi Allahlah pahala yang besar. Kemudian Allah s.w.t. berfirman menganjurkan untuk berinfak dijalan ketaatan kepadaNya.

"10. Dan nafkahkanlah dari apa yang telah Kami rezekikan pada kalian"

Nafkahkanlah, belanjakanlah atau infakkanlah sebahagian dari rezeki yang telah Allah berikan kepada kalian. Termasuk dalam hal ini belanja, nafkah atau infak yang wajib maupun yang sunat.

Yang wajib seperti zakat, kaffarat, nafkah kepada isteri dan sebagainya. Sedangkan yang sunat seperti mengorbankan harta untuk segala yang bermaslahat.

Nafkah, belanja atau infak yang Allah bebankan agar kalian mengeluarkannya tidaklah menyusahkan kalian, bahkan Dia memerintahkan kalian agar mengeluarkan sebahagian dari rezeki yang Dia kurniakan kepada kalian.

Dia telah mempermudahkannya untuk kalian dan mempermudahkan sebab-sebabnya. Hendaknya kalian bersyukur kepada Allah yang telah memberikan kepada kalian rezeki itu, iaitu dengan membantu saudara-saudara kalian yang memerlukan dan bersegera melakukannya.

"sebelum bahawa datang salah seorang dari kalian kematian;"

Apabila datang kematian kepada salah seorang dari kalian, maka dia tidak dapat lagi mengejar amal soleh yang telah dia lalaikan. Setiap orang yang melalaikan kewajiban pasti akan merasa menyesal di saat meregang nyawanya.

"maka dia berkata, "Tuhanku, mengapa tidak Engkau tangguhkan aku sampai waktu yang dekat, maka aku akan bersedekah dan aku menjadi orang-orang yang soleh.”"

Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda kematianku untuk sedikit waktu lagi, aku akan mengerjakan perkara yang diperintahkan dan menjauhi larangan supaya aku dapat selamat dari azab dan dapat mendapat banyak pahala.

Aku akan mengejar amal soleh yang telah aku lalaikan seperti menunaikan zakat harta yang telah mencapai nisab (ukuran wajib zakat), menunaikan haji ketika sudah mampu dan sebagainya.

Dia meminta agar usianya dipanjangkan walaupun hanya sebentar untuk bertaubat dan menyusul semua amal yang dilalaikannya. Tetapi alangkah jauhnya kerana sudah terlambat. Masing-masing orang akan menyesali kelalaiannya.

"11. Dan tidak akan Allah menunda seseorang apabila datang ajalnya."

Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seorang pun apabila datang waktu kematiannya.

"Dan Allah Mahateliti dengan apa yang kalian kerjakan."

Allah Maha Mengetahui siapa yang jujur dan siapa yang khianat. Dia mengetahui semua niat, ucapan dan amal kalian, baik atau buruk, lalu Dia membalasnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan menangguhkan usia seseorang apabila telah tiba saat ajalnya. Sesungguhnya penambahan usia itu hanyalah bila Allah memberi kepada seseorang hamba keturunan yang soleh yang mendoakan untuknya, maka doa mereka sampai kepadanya di alam kuburnya."

Selesai Surah Al Munafiqun dengan pertolongan Allah dan taufiqNya wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...