Jumaat, 24 April 2020

66:10-12 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 10-12.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا لِلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَامْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ (١٠) وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا لِلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (١١) وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ (١٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"10. Allah telah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang kafir," 

Pergaulan, hubungan atau kedekatan orang kafir dengan orang mukmin tidaklah berguna dan tidak membawa manfaat apa-apa baginya dan tidak dapat membela mereka di hadapan Allah, jika iman tidak meresap ke dalam hati mereka.

Pergaulan, hubungan atau kedekatan orang mukmin dengan orang kafir tidaklah merugikannya sedikit pun jika orang mukmin itu tetap melaksanakan kewajibannya.

"isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya di bawah dua orang hamba dari hamba-hamba Kami dua orang soleh;" 

Seperti isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami. Iaitu dua orang nabi lagi rasul yang sentiasa menemani keduanya dan menjadi teman hidup keduanya di siang dan malam hari. Keduanya teman semakan, teman seketiduran, dan teman sepergaulan, sebagaimana layaknya pergaulan antara suami dan isteri.

"lalu keduanya berkhianat kepada mereka berdua," 

Kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya dengan kafir kepada agama suaminya. Iaitu dalam hal keimanan. Keduanya tidak seiman dengan suaminya masing-masing, dan tidak membenarkan kerasulan keduanya. Maka semuanya itu tidak dapat memberi manfaat apa pun bagi keduanya dan tidak dapat menyelamatkan keduanya dari hal-hal yang harus dihindari.

"maka tidak mampu keduanya mereka berdua dari Allah sedikit pun;" 

Kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun dari siksa Allah, kerana keduanya kafir. Ayat ini menunjukkan bahawa para nabi pun tidak dapat membela isteri-isterinya atas azab Allah apabila mereka menentang agama.

"dan dikatakan, "Masuklah kalian berdua neraka bersama orang-orang yang masuk.""

Dikatakan kepada kedua isteri itu, "Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)."

"11. Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, isteri Fir’aun," 

Iaitu Asiah binti Muzahim r.a., dia beriman kepada Musa a.s. hingga akhirnya dia disiksa oleh Fir’aun.

"ketika dia berkata, "Tuhanku, bangunkan untukku di sisiMu sebuah rumah dalam syurga" 

Ketika isteri Fir’aun berdoa, "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga." Menurut para ulama, isteri Fir'aun memilih jiran sebelum memilih rumah.

"dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya" 

Iaitu bebaskanlah aku dari Fir’aun, kerana sesungguhnya aku berlepas diri kepada Engkau dari semua perbuatannya.

"dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim." 

Maka Allah s.w.t. mengabulkan doanya, dia pun hidup di atas keimanan yang sempurna, keteguhan yang sempurna dan keselamatan dari segala fitnah (cobaan).

Nabi s.a.w. bersabda, “Lelaki yang sempurna banyak, sedangkan wanita yang sempurna hanyalah Asiah isteri Fira’un dan Maryam binti Imran, dan sesungguhnya kelebihan Aisyah daripada wanita lain adalah seperti kelebihan makanan tsarid (roti yang direndam dalam kuah) di atas makanan yang lain.”

"12. Dan Maryam puteri Imran yang memelihara kemaluannya," 

Al ihsan bermaksud memelihara kesucian dirinya dan kehormatannya. Ingatlah Maryam puteri Imran yang memelihara dan menjaga kehormatannya kerana sempurnanya agamanya, ‘iffah (sikap menjaga diri dari yang haram) dan kebersihannya.

"maka Kami tiupkan ke dalamnya sebahagian dari roh Kami" 

Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari roh ciptaan Kami. Iaitu melalui Malaikat Jibril.

Allah mengutus Jibril kepadanya dalam rupa seorang manusia yang sempurna, dan memerintahkan kepada Jibril agar meniupkan ke dalam baju kurungnya sekali tiup dengan mulutnya.

Maka tiupan itu turun ke bawah dan memasuki farjinya, lalu terjadilah kehamilan kerananya, iaitu mengandung Isa a.s.

"dan dia membenarkan dengan kalimat Tuhannya dan kitab-kitabNya" 

Iaitu beriman kepada takdir dan syariatNya. Ini merupakan sifat bagi Maryam, iaitu berilmu dan berpengetahuan, kerana membenarkan kalimat Allah mencakup kalimat Allah yang terkait agama maupun taqdir.

Membenarkan kitab-kitabNya menghendaki mengetahui sesuatu yang dengannya tercapai sikap membenarkan dan hal itu tidak boleh kecuali dengan ilmu dan amal.

"dan dia termasuk orang-orang yang taat." 

Dia termasuk orang-orang yang taat, iaitu kepada Allah dan selalu taat dengan rasa takut dan khusyu’. Ini merupakan sifat untuk Maryam iaitu amalnya yang sempurna, kerana Beliau adalah siddiqah (wanita yang sangat membenarkan), sedangkan siddiqah adalah kesempurnaan dalam ilmu dan amal.

Selesai tafsir surah At Tahrim dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Akhir juz 28.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...