Sabtu, 25 April 2020

74:49-56 Tafsir Al Muddassir, ayat 49-56.

فَمَا لَهُمْ عَنِ التَّذْكِرَةِ مُعْرِضِينَ (٤٩) كَأَنَّهُمْ حُمُرٌ مُسْتَنْفِرَةٌ (٥٠) فَرَّتْ مِنْ قَسْوَرَةٍ (٥١) بَلْ يُرِيدُ كُلُّ امْرِئٍ مِنْهُمْ أَنْ يُؤْتَى صُحُفًا مُنَشَّرَةً (٥٢) كَلا بَلْ لا يَخَافُونَ الآخِرَةَ (٥٣) كَلا إِنَّهُ تَذْكِرَةٌ     (٥٤) فَمَنْ شَاءَ ذَكَرَهُ (٥٥) وَمَا يَذْكُرُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ هُوَ أَهْلُ التَّقْوَى وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ (٥٦)

Setelah Allah s.w.t. menerangkan tentang tempat kembali orang-orang yang menyimpang dan menakut-nakuti manusia dengan tindakanNya terhadap mereka yang menyimpang, maka Allah s.w.t. menyambung dengan celaan kepada mereka yang masih hidup yang belum mendapatkan seperti yang mereka dapatkan.

"49. Maka mengapa bagi mereka dari peringatan berpaling?" 

Maka mengapa orang-orang kafir berpaling dari peringatan Allah? Iaitu mengapa orang-orang kafir itu berpaling dari seruan dan peringatan yang kamu tujukan kepada mereka?

"50. Seakan-akan mereka keldai yang terkejut." 

Seakan-akan mereka itu keldai liar yang lari terkejut.

"51. Ia lari dari singa." 

Ia lari dari singa. Iaitu seakan-akan antipati mereka terhadap perkara yang hak dan berpalingnya mereka darinya adalah seperti keldai liar yang lari dari haiwan pemangsa yang mengintainya, sedia untuk menerkamnya. Atau dari pemburu yang telah sedia menembaknya. Di samping mereka menjauhi kebenaran, mereka juga menuntut tuntutan-tuntutan yang besar.

"52. Bahkan menghendaki tiap-tiap seseorang dari mereka bahawa diberi lembaran-lembaran yang terbuka." 

Bahkan setiap orang dari orang-orang musyrik itu menginginkan agar diberikan kepadanya kitab yang terbuka yang turun dari langit, sebagaimana kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Mereka berkata, "Kami sekali-kali tidak akan mempercayaimu sehingga engkau turunkan atas kami sebuah kitab yang boleh kami baca.”

Mereka juga berkata, "Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah."

Ada yang mengatakan bahawa mereka menginginkan agar diberi pembebasan tanpa amal perbuatan.

Mereka menyangka, bahawa dengan cara seperti itu, mereka akan beriman dan tunduk kepada kebenaran. Padahal mereka berdusta, kerana walaupun setiap ayat datang kepada mereka, mereka tetap tidak akan beriman sampai mereka melihat azab yang pedih.

Kalau sekiranya, dalam diri mereka terdapat kebaikan, tentu mereka akan beriman kerana setiap rasul telah membawa bukti terhadap kebenarannya yang biasanya diimani oleh manusia.

"53. Sekali-kali tidak. Bahkan mereka tidak takut akhirat." 

Sekali-kali tidak. Sebagai penolakan terhadap keinginan mereka agar diturunkan kitab langsung dari langit, kerana maksud mereka hanyalah untuk melemahkan bukan untuk mencari dan mengikuti kebenaran.

Sebenarnya mereka tidak takut kepada akhirat. Sesungguhnya yang merosakkan mereka tiada lain ketidakpercayaan mereka kepada hari akhirat, dan mereka mendustakan keberadaannya. Kalau sekiranya mereka takut kepada akhirat, tentu mereka tidak akan berkata dan berbuat seperti itu.

"54. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya ia peringatan." 

Sekali-kali tidak demikian halnya. Sesungguhnya Al Qur'an itu benar-benar peringatan.

"55. Maka barang siapa yang dia menghendaki, mengingatnya." 

Maka barang siapa menghendaki, tentu Dia mengambil pelajaran dari Al Qur'an kerana Allah s.w.t. telah menerangkan jalan dan dalilnya kepadanya.

"56. Dan tidak mengingat kecuali bahawa Allah menghendaki." 

Mereka tidak akan mengambil pelajaran dari Al Qur'an kecuali jika Allah menghendakinya. Yang demikian kerana kehendak Allah berlaku dan merata di alam semesta, dimana tidak ada sesuatu pun yang terjadi kecuali dengan kehendakNya.

Dalam ayat ini dan sebelumnya terdapat bantahan terhadap golongan Qadariyyah yang mengatakan bahawa manusia bebas berkehendak dan tidak ada yang berkuasa terhadapnya, dan terdapat bantahan terhadap Jabariyyah yang mengatakan bahawa manusia tidak memiliki kehendak, maka di ayat di atas Allah s.w.t. menetapkan kehendak bagi manusia secara hakiki dan menjadikan hal tersebut mengikuti kehendak Allah s.w.t.

"Dia Pemilik takwa" 

Allah adalah Tuhan Yang patut kita bertakwa kepadaNya. Iaitu berhak untuk ditakuti, ditujukan takwa dan diibadahi kerana Dia adalah Tuhan yang tidak ada yang berhak disembah selain Dia.

"dan Pemilik ampunan." 

Dia yang berhak memberi ampun bagi orang-orang yang bertakwa dan mengikuti keridhaanNya. Dia berhak untuk memberi ampun terhadap dosa orang yang bertaubat kepadaNya dan kembali ke jalanNya.

Selesai tafsir surah Al Muddassir dengan pertolongan Alah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...