Khamis, 7 Jun 2018

62:1-4 Tafsir Surah Al Jumu’ah, ayat 1-4.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ (١) هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأمِّيِّينَ رَسُولا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٢) وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٣) ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Bertasbih kepada Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi."

Semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, baik yang berakal maupun yang tidak berakal bertasbih kepada Allah, tunduk kepada perintahNya dan beribadah kepadaNya.

"Raja, Mahasuci,"

Dia Maharaja langit dan bumi. MilikNya alam bahagian atas maupun bawah, semua milikNya dan di bawah pengaturanNya dengan hukumNya. Mahasuci Dia dari semua yang tidak layak bagiNya dan dari segala kekurangan lagi menyandang semua sifat yang sempurna.

"Mahaperkasa Mahabijaksana."

Dia Mahaperkasa yang menundukkan segala sesuatu. Dia Mahabijaksana dalam ciptaan dan perintahNya. Sifat-sifat agung yang disebutkan dalam ayat ini mengajak untuk beribadah kepada Allah saja; tidak ada sekutu bagiNya.

"2. Dialah yang mengutus pada kaum yang buta huruf rasul di antara mereka,"

Dialah yang mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul kepada bangsa Arab di masa itu yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri. Mereka telah mengetahui nasabnya, sifat-sifatnya yang baik, amanahnya dan kejujurannya. Anugerah ini terasa oleh mereka lebih menyentuh dan lebih banyak berkahnya berbanding dengan selain mereka.

"dia membacakan atas mereka ayat-ayatNya, dan dia menyucikan mereka,"

Allah s.w.t. menurunkan kepada kitabNya. Beliau s.a.w. membacakan ayat-ayat Allah s.w.t. kepada mereka. Beliau menyucikan jiwa mereka dari syirik, mendorong mereka berakhlak mulia dan mencegah mereka dari akhlak yang buruk.

"dan dia mengajar mereka Kitab dan Hikmah,"

Beliau s.a.w. mengajarkan kepada mereka Al Qur'an dan As Sunnah.

Ayat ini merupakan ijabah dari Allah terhadap kekasihnya (Ibrahim a.s.). Beliau telah berdoa semoga Allah mengutus di kalangan penduduk Mekah seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan mereka, mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Hikmah.

"dan meskipun mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,"

Sesungguhnya sebelum Beliau s.a.w. diutuskan, mereka benar-benar tidak berilmu dan tidak di atas kebaikan, bahkan mereka berada di dalam kebodohan yang dalam terhadap ilmu para nabi dan di dalam kesesatan yang nyata. Mereka menyembah patung, batu dan pepohonan serta berakhlak seperti binatang, di mana yang kuat memakan yang lemah.

Setelah ta’lim (pengajaran) dan pembersihan ini mereka (para sahabat) menjadi manusia yang berilmu, bahkan menjadi imam dalam ilmu dan agama, sempurna akhlaknya, paling baik petunjuk dan jalannya.

Mereka juga dijadikan rujukan yang benar oleh Rasulullah s.a.w. dalam beragama ketika terjadi perselisihan di zaman setelah Beliau sebagaimana sabdanya, “Kerana barang siapa yang hidup di antara kamu (setelah ini), maka dia akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham, dan jauhilah perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesat."

"3. Dan yang lain dari mereka belum bertemu dengan mereka."

Allah s.w.t. juga memberikan nikmat kepada kaum yang lain selain orang-orang Arab yang datang setelah mereka, dan dari kalangan Ahli Kitab yang belum berhubungan dengan mereka sehingga mereka juga beriman.

Boleh juga maksudnya, bahawa mereka belum berhubungan dengan mereka dalam hal keutamaan (belum sampai seperti mereka dalam keutamaan).

Dan boleh juga maksudnya, bahawa mereka belum berhubungan dengan mereka dalam hal waktu, iaitu sisa-sisa dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. di kemudian hari.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam sulbi, sulbi, sulbi kaum lelaki dan kaum wanita dari kalangan umatku terdapat orang-orang yang kelak akan masuk syurga tanpa hisab." Kemudian Nabi s.a.w. membaca firmanNya, "Dan yang lain dari mereka belum bertemu dengan mereka."

Misi risalah Rasulullah s.a.w. adalah umum ke seluruh manusia. Maka Beliau s.a.w. mengirimkan surat-suratnya menyeru penduduk negeri Persia, Romawi, dan umat-umat lainnya menyembah Allah s.w.t. dan mengikuti apa yang disampaikan olehnya.

Semua maksud itu adalah benar, kerana mereka yang mendapat kiriman rasul oleh Allah menyaksikan Rasul tersebut dan mengikuti dakwahnya, maka mereka mendapat keutamaan dan kelebihan yang tidak dicapai oleh yang lain.

"Dan Dia Mahaperkasa Mahabijaksana."

Dialah Tuhan Yang mempunyai keperkasaan dan kebijaksanaan dalam syariat dan ketentuanNya. Di antara keperkasaan dan kebijaksanaanNya adalah Dia tidak membiarkan hamba-hambaNya begitu saja, bahkan Dia mengutus rasul kepada mereka, memerintah dan melarang.

"4. Demikian itu kurnia Allah, Dia memberikannya siapa yang Dia kehendaki;"

Kenabian besar yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan pengutusan Beliau s.a.w. secara khusus kepada umatnya merupakan kurniaNya yang besar yang Dia berikan kepada hamba-hambaNya.

Bahkan yang demikian merupakan nikmatNya yang paling besar berbanding nikmat sihat, rezeki dan nikmat-nikmat duniawi lainnya. Dia memberikan kurnia itu kepada Beliau s.a.w. dan orang-orang yang disebutkan bersamanya.

"dan Allah mempunyai kurnia yang besar."

Tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat agama. Di sanalah letaknya keuntungan dan kebahagiaan yang abadi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...