Sabtu, 9 Jun 2018

71:5-12 Tafsir Surah Nuh, ayat 5-12.

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلا وَنَهَارًا (٥) فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلا فِرَارًا (٦) وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا (٧) ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا (٨) ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا (٩) فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (١٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal hamba dan RasulNya Nuh a.s. Beliau tetap bersabar menerangkan, menjelaskan dan menyeru kaumnya ke jalan petunjuk dan jalan yang lurus dalam masa yang cukup panjang, iaitu seribu tahun kurang lima puluh tahun.

Walaupun mereka telah didakwahi berkali-kali, mereka tetap kafir dan tidak mahu beriman. Setelah nyata bagi Nabi Nuh a.s. bahawa mereka tidak akan beriman dan tidak akan tunduk kepada perintahnya. Maka Beliau mengeluh mengadu kepada Allah s.w.t. keadaan kaumnya.

"5. Dia berkata, "Tuhanku, sungguh aku telah menyeru kaumku malam dan siang,""

Nuh a.s. terus menerus dan tiada hentinya menyeru kaumnya kerana menjalankan perintah Allah s.w.t. dan mencari pahala ketaatan kepadaNya.

"6. Maka tidak menambah mereka seruanku kecuali lari."

Tetapi seruan Nuh a.s. untuk mendekati perkara yang hak itu tidak menambah iman mereka dan tidak ada faedahnya. Sebaliknya mereka semakin lari darinya dan semakin jauh menyimpang darinya.

"7. Dan sungguh aku setiap kali menyeru mereka agar Engkau mengampuni bagi mereka, mereka menjadikan jari-jari mereka pada telinga mereka"

Sesungguhnya setiap kali Nuh a.s. menyeru mereka untuk beriman agar Allah s.w.t. mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya kerana tidak mahu mendengar kata-kata Beliau.

Padahal jika mereka memenuhi seruan itu, maslahatnya adalah untuk mereka sendiri. Allah s.w.t. akan mengampuni mereka. Tetapi mereka menolaknya.

"pada telinga mereka baju mereka"

Mereka menutupkan bajunya ke mukanya agar mereka tidak melihat Nuh a.s. Ada yang mengatakan bahawa mereka menyembunyikan jati dirinya agar Nuh a.s. tidak mengenal mereka. Ada yang mengatakan bahawa mereka menutupi kepalanya agar tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh Beliau. Mereka benci kepada Beliau dan kepada apa yang Beliau serukan.

"dan mereka tidak berubah"

Mereka tetap mengingkari dan di atas kebatilan. Mereka terus-menerus dalam kemusyrikan dan kekafirannya yang berat lagi sangat parah.

"dan mereka menyombongkan diri sangat sombong."

Mereka terlalu sombong terhadap kebenaran, tidak mahu mengikutnya dan tidak mahu tunduk kepadanya, sehingga keburukan mereka semakin bertambah dan mereka semakin jauh dari kebaikan. Dakwah Nuh a.s. secara sembunyi-sembunyi tidak berhasil.

"8. Kemudian sungguh aku telah menyeru mereka terang-terangan,"

Kemudian Nuh a.s. menyeru mereka kepada iman secara terang-terangan. Beliau memperdengarkannya kepada mereka semua. Namun tidak juga berhasil.

"9. Kemudian sungguh aku telah umumkan bagi mereka dan aku rahsiakan bagi mereka rahsia,"

Kemudian Nuh a.s. menyeru mereka secara terbuka, iaitu dengan pembicaraan yang jelas dan suara yang kuat. Beliau juga menyeru mereka secara sembunyi-sembunyi, iaitu antara Beliau dan mereka saja.

Di dalam diri Beliau terdapat perhatian dan sikap nasihat. Beliau menggunakan berbagai cara agar mereka mahu menerima dakwahnya. Beliau menggunakan kedua cara serentak agar seruannya lebih berkesan pada mereka.

"10. Maka aku katakan, "Mohonlah ampun kalian Tuhan kalian. Sungguh Dia, Dia Maha Pengampun.""

Nuh a.s. menyeru agar mereka bertaubat kepada Allah, kembali ke jalanNya, meninggalkan dosa-dosa yang biasa mereka kerjakan, memohon ampunan kepada Allah dan taat kepadaNya. Beliau mendorong mereka agar mereka mahu diampuni dosa-dosanya, mendapatkan pahala dan terhindar dari siksa.

Jika mereka bertaubat kepadaNya, Dia akan menerima taubatnya. Sesungguhnya Dia banyak mengampuni orang yang bertaubat dan beristighfar, walaupun dosa-dosanya besar dalam kekafiran dan kemusyrikannya.

Nuh a.s. menyeru mereka dengan cara targib (anjuran). Beliau mendorong mereka agar meraih kebaikan di dunia. Beliau berkata,

"11. Dia akan mengirimkan langit atas kalian hujan yang lebat,"

Nescaya Allah s.w.t. akan menyirami kalian dengan keberkahan dari langit. Dia akan menurunkan dari langit hujan yang lebat terus-menerus kepada kalian, yang menyirami tanah tinggi dan tanah rendah, menghidupkan negeri dan penghuninya.

Kerana itu disunatkan membaca surah ini dalam solat istisqa (memohon hujan) kerana maknanya sangat relevan dengannya. Amirul Mu’minin Umar ibnul Khattab r.a. menaiki mimbar untuk memanjatkan doa istisqa. Maka Beliau beristigfar dan membaca beberapa ayat dalam istigfarnya yang antara lain adalah ayat ini (Nuh 71:10-11).

Kemudian Umar r.a. berkata, "Sesungguhnya aku telah menunggu-nunggu datangnya hujan melalui bintang-bintang yang merupakan pertanda akan datangnya hujan." Datanglah awan secara beriringan, sebahagian darinya berurutan dengan sebahagian yang lainnya.

"12. Dan Dia memperbanyak dengan harta dan anak-anak,"

Allah s.w.t. akan memperbanyakkan rezeki kalian, memberi kalian banyak harta dan anak-anak. Maka kalian akan mendapat apa yang kalian inginkan di dunia dengannya.

"dan Dia menjadikan untuk kalian kebun-kebun dan Dia menjadikan bagi kalian sungai-sungai."

Allah s.w.t. akan menumbuhkan keberkatan bumi bagi kalian sehingga bumi menjadi subur menumbuhkan tetanamannya, menyuburkan bagi kalian air susu ternakan kalian, menjadikan bagi kalian kebun-kebun yang terdapat berbagai jenis buah-buahan dan membelahkan bagi kalian sungai-sungai yang mengalir di dalamnya. Ini termasuk kenikmatan dunia yang disukai.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...