Sabtu, 4 Jun 2016

12:58-62 Tafsir Surah Yusuf, ayat 58-62.

وَجَاءَ إِخْوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُوا عَلَيْهِ فَعَرَفَهُمْ وَهُمْ لَهُ مُنْكِرُونَ (٥٨) وَلَمَّا جَهَّزَهُمْ بِجَهَازِهِمْ قَالَ ائْتُونِي بِأَخٍ لَكُمْ مِنْ أَبِيكُمْ أَلا تَرَوْنَ أَنِّي أُوفِي الْكَيْلَ وَأَنَا خَيْرُ الْمُنْزِلِينَ (٥٩) فَإِنْ لَمْ تَأْتُونِي بِهِ فَلا كَيْلَ لَكُمْ عِنْدِي وَلا تَقْرَبُونِ (٦٠) قَالُوا سَنُرَاوِدُ عَنْهُ أَبَاهُ وَإِنَّا لَفَاعِلُونَ (٦١) وَقَالَ لِفِتْيَانِهِ اجْعَلُوا بِضَاعَتَهُمْ فِي رِحَالِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَعْرِفُونَهَا إِذَا انْقَلَبُوا إِلَى أَهْلِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٦٢)

Ketika Nabi Yusuf a.s. menjabat sebagai perdana menteri Mesir, berlalulah masa tujuh tahun yang subur, kemudian diiringi dengan tujuh tahun musim kemarau yang melanda seluruh negeri Mesir hingga sampai ke Kan'an, tempat tinggal Nabi Ya'qub a.s. dan anak-anaknya.

Yusuf a.s. mempergunakan bahan makanan pokok mereka dan menghimpunnya dengan baik, sehingga bahan makanan pokok berjaya dikumpulkan dalam jumlah yang sangat besar. Beliau tidak pernah makan sampai kenyang; Beliau dan raja Mesir serta seluruh pasukannya hanya makan sekali saja, iaitu di tengah siang hari, agar jumlah makanan pokok yang ada itu cukup buat semua orang selama tujuh tahun musim kemarau.

Orang-orang dari berbagai kawasan dan bahagian negeri Mesir berdatangan kepadanya untuk mendapatkan bekalan makanan. Yusuf a.s. memberi seseorang bekalan hanya semuatan seekor unta bagi satu tahunnya.

Telah sampai kepada Nabi Ya'kub a.s. suatu berita bahawa Aziz negeri Mesir (Yusuf a.s.) menjual makanan kepada semua orang. Maka Beliau memerintahkan saudara-saudara Yusuf a.s. datang ke Mesir.

"58. Dan datang saudara-saudara Yusuf, lalu mereka masuk kepadanya," 

Maka mereka berangkat sepuluh orang ke Mesir bersama barang-barang untuk ditukarkan dengan bahan makanan pokok. Nabi Ya'qub a.s. menahan Bunyamin untuk tinggal bersamanya.

"Maka dia mengenal mereka, dan mereka kepadanya orang-orang yang tidak mengenal." 

Kerana mereka sudah lama tidak berjumpa dan menyangka bahawa Yusuf a.s. telah binasa. Mereka berbicara dengan Yusuf a.s. menggunakan bahasa Ibrani, lalu Yusuf berkata seperti orang yang tidak kenal, “Apa yang membuat kamu datang ke negeriku?” Mereka berkata, “Untuk mendapatkan bekalan.”

Yusuf a.s. berkata, “Mungkin kamu mata-mata.” Mereka berkata, “Ma’adzallah (seperti ucapan na’uudzubillah).” Yusuf berkata, “Dari mana kamu?” Mereka menjawab, “Dari negeri Kan’an dan bapa kami adalah Ya’kub seorang nabi Allah.”

Yusuf a.s. berkata, “Apakah ia memiliki anak selain kalian?” Mereka menjawab, “Ya, kami berjumlah 12 orang saudara. Yang paling kecil di antara kami pergi dan binasa di gurun, dan dia adalah orang yang paling dicintainya. Tinggallah saudaranya, ia menahannya agar ia merasa terhibur dengannya.”

Kemudian Yusuf a.s. memerintahkan agar mereka diberi tempat dan dimuliakan.

"59. Dan tatkala dia menyiapkan mereka dengan bekal mereka," 

Setelah Yusuf a.s. menyempurnakan sukatannya kepada mereka, bekalan gandum itu dinaikkan ke atas unta kenderaan mereka.

"dia berkata, "Datangkanlah kepadaku dengan saudara bagi kalian dari ayah kalian,""

Iaitu Bunyamin, agar Beliau dapat mengetahui kebenaran dari kisah mereka.

"tidakkah kalian lihat bahawa aku sempurnakan takaran dan aku sebaik-baik penerima tetamu?"

Dikatakan demikian untuk menarik mereka agar datang lagi kepadanya.

"60. Maka jika tidak kalian datangkan kepadaku dengannya, maka tidak ada takaran bagi kalian dari sisiku dan janganlah kalian mendekatiku." 

Yusuf a.s. mempertakuti dan mengancam mereka.

"61. Mereka berkata, "Kami akan membujuk darinya ayahnya dan sungguh kami benar-benar orang yang melaksanakannya.""

Untuk membawa Bunyamin bersama.

"62. Dan dia berkata kepada pelayan-pelayannya, "Masukkan barang-barang mereka dalam karung mereka,""

Yusuf a.s. mengarahkan pelayan-pelayannya memasukkan barang-barang yang saudara-saudaranya bawa sebagai alat penukar bahan makanan, iaitu kulit dan sandal ke dalam peti barang-barang mereka tanpa pengetahuan mereka.

"agar mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarga mereka, agar mereka kembali." 

Saudara-saudaranya akan menyedarinya apabila mereka sampai di Kan'an. Tindakan ini diambil oleh Yusuf sebagai siasat, dengan cara menaruh budi baiknya kepada mereka, agar mereka nantinya bersedia kembali lagi ke Mesir dengan membawa Bunyamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...