Khamis, 22 September 2016

18:99-108 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 99-108.

وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعًا (٩٩) وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِلْكَافِرِينَ عَرْضًا (١٠٠) الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ عَنْ ذِكْرِي وَكَانُوا لا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا (١٠١) أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ إِنَّا أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ نُزُلا (١٠٢) قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأخْسَرِينَ أَعْمَالا (١٠٣) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (١٠٤) أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (١٠٥) ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (١٠٦) إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلا (١٠٧)خَالِدِينَ فِيهَا لا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلا (١٠٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"99. Dan Kami tinggalkan sebahagian mereka pada hari itu bergelombang dengan sebahagian yang lain," 

Pada hari hancurnya bendungan Ya'juj dan Ma'juj itu, Kami biarkan mereka berbaur antara satu dengan yang lain. Iaitu sebelum hari kiamat dan sesudah peristiwa Dajjal, mereka keluar dari dinding itu menuju ke dunia manusia. Mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.

Mereka datang bergelombang menyerang manusia dengan menimbulkan kerosakan pada harta benda dan menghancurkan segala sesuatu yang dimiliki manusia. Mereka meminum banyak air dan orang ramai lari kerana takut kepada mereka.

Hal ini merupakan permulaan hari kiamat. Kemudian tiupan sangkakala yang pertama berlaku tanda kehancuran alam semesta ini iaitu kiamat.

"dan ditiup dalam sangkakala, maka Kami kumpulkan mereka semuanya."

Sesudah peristiwa itu, As Sur atau sangkakala iaitu terompet yang berbentuk tanduk akan ditiup oleh Malaikat Israfil a.s. Semua makhluk dikumpulkan. Semua manusia terdahulu dan terkemudian dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan ke padang Mahsyar untuk perhitungan amal perbuatan.

Sebuah hadis menyebutkan, "Mana mungkin saya merasa senang, sedangkan malaikat pemegang sangkakala telah meletakkan sangkakalanya ke dalam mulutnya seraya mengerutkan dahinya menunggu perintah yang didengarnya. Lalu para sahabat bertanya," Maka apakah yang harus kami ucapkan?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Cukuplah Allah bagi kita, Dia sebaik-baik Pelindung, hanya kepada Allah kita bertawakal."

"100. Dan Kami perlihatkan Jahannam pada hari itu bagi orang-orang kafir dengan jelas." 

Mereka diperlihatkan azab dan pembalasan yang ada di dalamnya sebelum mereka memasukinya agar hal itu menambah sakit, sedih dan takut mereka sebelum mereka mengalaminya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Neraka Jahanam didatangkan pada hari kiamat dengan ditarik oleh tujuh puluh ribu kendali, setiap kendali dipegang oleh tujuh puluh ribu malaikat."

"101. Orang-orang yang adalah mata-mata mereka dalam tertutup dari peringatanKu," 

Iaitu mereka yang matanya dalam keadaan tertutup dari memperhatikan tanda-tanda kebesaranKu. Mata hati mereka tertutup, lalai, tidak mahu tahu, bertekad untuk tidak menerima petunjuk, dan tidak mahu mengikuti kebenaran. Mereka berpaling dari Al Qur'an.

"dan mereka tidak dapat mendengar." 

Mereka tidak mampu memahami perintah dan larangan Allah. Mereka tidak sanggup mendengar dari bacaan Nabi s.a.w. kerana benci kepadanya.

"102. Apakah menyangka orang-orang yang kafir bahawa mereka dapat menjadikan hamba-hambaKu dari selain Aku para penolong?" 

Mereka menyangka bahawa mereka dapat mengambil malaikat, Nabi ‘Isa a.s. dan ‘Uzair untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah dan memberikan pahalaNya. Mereka menyangka bahawa mengambil penolong atau tuhan selain Allah tidak membuatNya murka dan tidak akan dihukum olehNya.

"Sungguh, Kami sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir tempat tinggal." 

Iaitu di hari kiamat nanti.

"103. Katakanlah, "Apakah kami beritahu kalian dengan orang-orang yang paling rugi amalan?""

Perlukah Kami beritahukan kepada kalian tentang orang yang paling rugi perbuatannya? Mereka adalah orang-orang fasik yang menyembah Allah bukan melalui jalan yang diridhai.

"104. Orang-orang yang sia-sia usaha mereka dalam kehidupan dunia, dan mereka, mereka menyangka bahawa mereka berbuat baik perbuatan." 

Mereka  menyangka bahawa dirinya berpegang pada sesuatu, jalan yang ditempuhnya benar dan bahawa amal mereka diterima lagi disukai. Padahal kenyataannya, amal-amal mereka batil, bukan pada jalan yang diperintahkan oleh syariat, iaitu tidak diridhai dan tidak diterima. Mereka sebenarnya keliru dan amalnya ditolak.

"105. Mereka itu orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Tuhan mereka" 

Mereka mengingkari bukti-bukti tentang keesaanNya serta kebenaran rasul-rasulNya baik dari Al Qur’an maupun lainnya ketika di dunia.

"dan pertemuan denganNya." 

Mereka mengingkari kebangkitan di hari kiamat, hisab dan pembalasan.

"Maka gugurlah amal-amal mereka, maka Kami tidak tegakkan bagi mereka hari kiamat timbangan." 

Sia-sialah amal mereka. Allah tidak memberikan penimbangan terhadap mereka pada hari kiamat. Dia tidak memberatkan neraca amal kebaikan mereka kerana kosong dari kebaikan. Akan tetapi amal mereka tetap dihitung dan dijumlahkan, lalu dibuat mereka mengakuinya, kemudian mereka dipermalukan di hadapan banyak makhluk lalu diazab.

"106. Demikian itu balasan mereka neraka Jahannam, sebab apa yang mereka kafir, dan menjadikan ayat-ayatKu dan RasulKu olok-olok." 

Demikianlah penyebab terhapusnya amalan mereka dan mereka dibalas dengan azab. Mereka mendustakan semuanya itu dengan pendustaan yang berat.

"107. Sesungguhnya orang-orang yang mereka beriman," 

Hamba-hamba Allah yang berbahagia adalah mereka yang beriman dengan hatinya kepada Allah, para rasulNya, para malaikatNya, kitab-kitabNya, hari kiamat, qada' dan qadarNya. Mereka membenarkan apa yang disampaikan oleh para rasul.

"dan mereka yang mengerjakan amal soleh," 

Mereka beriman dengan anggota badannya. Mereka melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

"adalah bagi merekalah syurga Firdaus" 

Mereka itu mendapat syurga Firdaus, iaitu taman yang terdapat pohon-pohon anggur. Letaknya di bahagian paling tengah dan paling tinggi. Ia adalah syurga yang paling utama dan paling indah. Darinya berhulu semua sungai syurga.

Balasan ini diperuntukkan bagi orang yang menyempurnakan iman dan amal soleh, iaitu para nabi, orang-orang yang didekatkan, orang-orang yang berbakti, dan orang-orang yang pertengahan. Masing-masing sesuai keadaannya.

"tempat tinggal." 

Iaitu sebagai tempat perjamuannya dan peristirehatannya yang penuh dengan kenikmatan, baik bagi hati, ruh maupun badan, di dalamnya terdapat apa saja yang disenangi jiwa dan dinikmati oleh mata.

"108. Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin darinya pindah." 

Seseorang yang tinggal lama di suatu tempat pasti akan merasa jemu dan bosan. Tetapi, walaupun mereka menetap selamanya di dalam syurga Firdaus, mereka tidak ingin berpindah darinya, tidak ingin pula pergi meninggalkannya atau menggantinya dengan tempat yang lain. Yang demikian kerana mereka hanya nampak perkara yang menyenangkan mereka dan mereka tidak melihat kenikmatan yang lebih daripada itu di syurga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...