Rabu, 18 Julai 2018

21:104-106 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 104-106.

يَوْمَ نَطْوِي السَّمَاءَ كَطَيِّ السِّجِلِّ لِلْكُتُبِ كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ وَعْدًا عَلَيْنَا إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ (١٠٤) وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الأرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ (١٠٥) إِنَّ فِي هَذَا لَبَلاغًا لِقَوْمٍ عَابِدِينَ (١٠٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"104. Pada hari Kami gulung langit seperti gulungan kertas untuk tulisan-tulisan."

As sijil adalah lembaran kertas. Ingatlah kalian, pada hari kiamat Allah s.w.t. pasti akan menggulung langit langit yang luas dan besar ini seperti menggulung lembaran-lembaran kertas. Lalu bintang-bintang berserakan, matahari dan bulan dilipat dan menyingkir dari tempatnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah kelak di hari kiamat menggulung bumi, dan begitu pula langit dengan tangan kananNya."

Dia akan menggulung tujuh lapis langit bersama semua makhluk yang ada di dalamnya dan tujuh lapis bumi bersama semua makhluk yang ada di dalamnya. Semuanya itu digulungNya dengan tangan kananNya. Dan semuanya itu di tanganNya sama dengan sebiji sawi. Segala sesuatu binasa semuanya

"Sebagaimana Kami memulai pertama penciptaan, Kami mengulanginya. Janji atas Kami;"

Sebagaimana Dia telah memulai penciptaan pertama yang sebelumnya tidak ada, begitulah Dia akan mengulangi kembali penciptaan seperti mengawali penciptaan. Dia akan mengembalikan semua makhluk dalam kejadiannya yang baru.

Kalian akan digiring menghadap kepada Allah s.w.t. dalam keadaan tak beralas kaki, telanjang lagi tidak disunat. Itulah suatu janji yang pasti akan Dia tepati. Ia tidak akan diingkari dan tidak akan diganti.

"Sungguh Kami, adalah Kami, Kami akan melaksanakan petunjuk."

Sesungguhnya Dialah yang akan melaksanakan janji tersebut kerana sempurnanya kekuasaanNya.

"105. Dan sungguh Kami tuliskan dalam Zabur setelah Az Zikr,"

Ada yang mengatakan bahawa Zabur adalah kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi, iaitu semua kitab sesudah Az Zikr, sedangkan Az Zikr ialah Ummul Kitab, kitab pertama, kitab yang ada di langit, kitab yang ada di sisi Allah, iaitu Lauh Mahfuz yang telah tercatat di dalamnya segala sesuatu sebelum itu.

Ada yang mengatakan Zabur adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s., sedangkan Az Zikr adalah kitab Taurat. Ada yang mengatakan Az Zikr ialah kitab Taurat, Injil dan Al Qur'an.

Hal ini telah tertulis di dalam kitab-kitab syariat, juga takdir; hal ini pasti akan terjadi. Allah s.w.t. telah menyebutkan di dalam kitab Taurat dan kitab Zabur serta pengetahuanNya yang terdahulu sebelum ada langit dan bumi,

"bahawasanya bumi mewarisinya hamba-hambaKu yang soleh."

Ada yang menafsirkan bumi di sini bermaksud syurga. Ada juga yang menafsirkannya bumi yang kita tempati ini, iaitu bahawa orang-orang soleh akan Allah berikan kekuasaan di muka bumi.

Dia akan mempusakakan bumi ini kepada umat Muhammad s.a.w. dan Dia akan memasukkan mereka yang soleh ke dalam syurgaNya, iaitu mereka yang mengerjakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

"106. Sesungguhnya dalam ini benar-benar menjadi petunjuk bagi kaum menyembah."

Sesungguhnya apa yang disebutkan di dalam Al Qur'an ini, benar-benar mengandungi manfaat, kecukupan dan menjadi petunjuk yang lengkap bagi orang-orang yang menyembah Allah. Mereka taat, menyukai dan rela dengan syariatNya.

Mereka lebih memilih taat kepada Allah daripada tunduk kepada syaitan dan hawa nafsu mereka. Dengan petunjuk Al Qur’an mereka dapat sampai kepada Allah dan sampai ke syurgaNya. Bagi mereka kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...