Khamis, 21 November 2019

43:81-89 Tafsir Surah Az Zukhruf, ayat 81-89.

قُلْ إِنْ كَانَ لِلرَّحْمَنِ وَلَدٌ فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ (٨١) سُبْحَانَ رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ (٨٢) فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا حَتَّى يُلاقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ (٨٣) وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَهٌ وَفِي الأرْضِ إِلَهٌ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ (٨٤) وَتَبَارَكَ الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَعِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (٨٥) وَلا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ الشَّفَاعَةَ إِلا مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (٨٦) وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ (٨٧) وَقِيلِهِ يَا رَبِّ إِنَّ هَؤُلاءِ قَوْمٌ لا يُؤْمِنُونَ (٨٨) فَاصْفَحْ عَنْهُمْ وَقُلْ سَلامٌ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ (٨٩)

Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan kepada orang-orang yang mengatakan bahawa Allah mempunyai anak,

"81. Katakanlah, jika ada bagi Ar Rahman anak, maka aku yang mula-mula menyembah."

Jika benar Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak, tentu akulah orang yang pertama menyembah atau memuliakan anak itu, sebab aku adalah salah seorang dari hambaNya yang sentiasa taat kepada semua yang diperintahkanNya kepadaku. Dalam diriku sama sekali tidak ada rasa takabur, tidak ada juga rasa menolak untuk menyembahnya.

Akan tetapi kenyataannya Dia tidak mempunyai anak, sehingga aku tidak menyembahnya. Dia Maha Esa, semua makhluk bergantung kepadaNya, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya. Oleh kerana itulah, aku adalah orang yang pertama mengingkarinya dan menafikannya.

Ayat ini merupakan hujjah yang besar yang menerangkan kebatilan perkataan mereka, dan bahawa tidak ada satu pun kebaikan, kecuali para rasul adalah orang yang pertama melakukannya, dan tidak ada satu pun keburukan kecuali para rasul adalah orang yang pertama meninggalkannya, mengingkarinya dan menjauhinya.

Boleh juga maksud ayat ini adalah, bahawa jika Allah Yang Maha Pengasih punya anak, maka aku sebagai orang yang pertama beribadah kepada Allah, sehingga termasuk beribadah kepada Allah s.w.t. adalah menetapkan apa yang ditetapkanNya dan meniadakan apa yang ditiadakanNya, dan hal ini termasuk ibadah pada perkataan dan keyakinan.

Dengan demikian, jika hal itu benar tentu aku adalah orang yang pertama menetapkannya, sehingga dari sini diketahui kebatilan perkataan orang-orang musyrik yang mengatakan bahawa Allah mempunyai anak baik secara akal maupun naql (nukilan).

"82. Mahasuci Tuhan langit dan bumi, Tuhan 'Arasy, dari apa yang mereka sifatkan."

Mahasuci Tuhan pemilik langit dan bumi, Tuhan pemilik 'Arasy, dari apa yang mereka sifatkan itu, iaitu penisbatan anak, isteri, sekutu, penolong kepadaNya s.w.t. yang dilakukan oleh orang-orang musyrik.

Mahasuci, Mahatinggi, lagi Mahabersih Allah Pencipta segala sesuatu dari sifat beranak. Kerana sesungguhnya Dia Maha Esa, bergantung kepadaNya segala sesuatu, tiada tandingan dan tiada saingan bagiNya, maka tiada anak bagiNya.

"83. Maka biarkanlah mereka tenggelam dan bermain-main"

Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kebodohan dan kesesatan mereka, dan bermain-main dalam dunia mereka. Oleh kerana itu, ilmu mereka merugikan mereka dan tidak bermanfaat; mereka tenggelam dalam mengkaji ilmu-ilmu untuk menolak yang hak dan apa yang dibawa para rasul.

Perbuatan mereka adalah main-main dan kebodohan, tidak membersihkan jiwa dan membuahkan pengetahuan. Oleh kerana itu, pada lanjutan ayatnya Allah s.w.t. berfirman mengancam mereka,

"sehingga mereka menemui hari mereka yang dijanjikan."

Sampai mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka, iaitu hari kiamat. Hari dimana mereka akan mengetahui apa yang mereka dapatkan, ke manakah tempat kembali mereka dan nasib yang akan mereka alami, iaitu kesengsaraan yang kekal dan azab yang tetap.

"84. Dan Dia yang di langit Tuhan dan di bumi Tuhan"

Dialah Allah, Tuhan yang berhak disembah dan dicintai oleh makhluk baik di langit maupun di bumi, semuanya tunduk dan merendahkan diri di hadapanNya. Oleh kerana itu, penghuni langit semuanya dan penduduk bumi yang beriman mereka beribadah kepadaNya, mengagungkanNya, dan tunduk kepada kebesaranNya.

Adapun ZatNya, maka berada di atas ‘ArasyNya, terpisah dengan makhlukNya, sendiri dengan keagunganNya dan mulia dengan kesempurnaanNya.

"dan Dia Mahabijaksana Maha Mengetahui."

Dialah Yang Mahabijaksana. Dia merapihkan ciptaanNya dan merapihkan syariatNya. Oleh kerana itu, Dia tidaklah menciptakan sesuatu kecuali kerana hikmah (kebijaksanaan) dan tidak mensyariatkan sesuatu kecuali kerana hikmah, dan ketetapanNya baik yang qadari (terhadap alam semesta) maupun yang syar’i (dalam agamaNya) juga mengandung hikmah.

Dia Maha Mengetahui terhadap hal yang bermaslahat bagi mereka. Dia mengetahui segala sesuatu, yang kelihatan maupun yang tersembunyi. Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan, apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu usahakan.

Tidak ada satu pun yang luput dari pengetahuan Allah s.w.t. seberat zarrah (debu) pun baik di langit maupun di bumi, begitu juga yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar.

"85. Dan Mahasuci yang milikNya kerajaan langit dan bumi; dan apa yang di antara keduanya;"

Tabaaraka ertinya Mahatinggi, Maha Agung, Mahabanyak kebaikanNya, luas sifatNya dan Maha besar kerajaanNya. Mahasuci Tuhan Yang mempunyai kerajaan yang luas meliputi langit dan bumi, dan apa saja yang ada di antara keduanya. Dialah Yang menciptakan, memiliki dan mengatur keduanya tanpa ada yang menyaingi dan menentangnya.

Maka Mahasuci lagi Mahatinggi Allah dari beranak. Sudah merupakan suatu ketetapan bagiNya bersih dari semua cela dan sifat kekurangan, kerana Dia adalah Tuhan Yang Mahatinggi, Mahabesar, Yang memiliki segala sesuatu, Yang di tangan kekuasaanNyalah kendali semua urusan dipegang, terlaksana atau tidaknya.

Ilmu atau pengetahuanNya juga luas. Dia Maha Mengetahui segala sesuatu, sehingga Dia sendiri saja dalam mengetahui banyak hal ghaib yang tidak ada satu pun makhluk mengetahuinya, baik nabi yang diutus maupun malaikat yang didekatkan.

"dan di sisiNya ilmu hari kiamat"

Di sisiNyalah pengetahuan tentang bila datangnya hari kiamat. Tiada yang mengetahui waktunya kecuali hanya Dia.

"dan kepadaNyalah kalian dikembalikan."

Di antara sempurnanya kerajaanNya dan luasnya adalah bahawa Dia yang memiliki dunia dan akhirat. Hanya kepadaNyalah kalian dikembalikan, iaitu di akhirat, lalu Dia akan memberikan keputusan di antara kalian dengan keputusanNya yang adil.

Dia akan memberikan pembalasan kepada setiap orang sesuai dengan amal perbuatannya. Jika amalnya baik, maka balasannya baik; dan jika amalnya buruk, maka balasannya juga buruk.

Di antara sempurnanya kerajaanNya juga adalah tidak ada seorang pun yang berkuasa terhadap urusanNya, dan tidak ada yang berani memberi syafaat kecuali dengan izinNya.

"86. Dan tidak mendapat orang-orang yang menyeru dari selainNya syafaat,"

Orang-orang yang menyeru kepada selain Allah tidak mendapat syafa'at (pertolongan di akhirat). Sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, iaitu berhala-berhala dan sekutu-sekutu itu tidak mampu memberikan syafaat kepada mereka yang menyembahnya.

Semua yang diibadahi selain Allah, baik para nabi, malaikat, maupun selain mereka tidak memiliki syafaat, dan mereka tidaklah memberi syafaat kecuali dengan izin Allah, dan mereka juga tidak memberi syafaat kecuali kepada orang yang Allah ridhai.

"kecuali orang yang menyaksikan dengan hak dan mereka mengetahui."

Tetapi orang yang dapat memberi syafaat ialah orang yang mengakui yang hak (tauhid) dan mereka meyakininya dengan penuh kesedaran dan pengetahuan, iaitu mengucapkan dengan lisannya, mengakui dengan hatinya dan mengetahui (meyakini) apa yang diikrarkannya itu. Maka syafaat yang diberikannya itu dapat memberi manfaat dengan izin dari Allah s.w.t.

Begitu juga disyaratkan pengakuan ini terhadap yang hak, iaitu bersaksi bahawa hanya Allah saja yang berhak disembah (Laailaahaillallah), mengakui kenabian dan kerasulan para rasulNya dan benarnya apa yang mereka bawa, baik yang berkaitan dengan dasar agama maupun cabang, hakikat maupun syariat.

Mereka inilah orang yang bermanfaat bagi mereka syafaat orang-orang yang memberi syafaat dan mereka inilah orang-orang yang selamat dari azab Allah serta mendapatkan pahalaNya. Dengan demikian, Nabi Muhammad s.a.w. dan nabi-nabi yang lain ‘alaihimus salaatu was salam dapat memberi syafa'at setelah diberi izin oleh Allah s.w.t. dan kepada orang yang diridhaiNya.

"87. Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, "Siapa yang telah menciptakan mereka?" 

Seandainya kamu tanyakan kepada mereka yang mempersekutukan Allah, yang menyembah selainNya di samping Dia, "Siapakah yang menciptakan mereka?"
"Tentu mereka mengatakan, "Allah." Maka bagaimana mereka dipalingkan?"

Mereka mengakui bahawa Dialah Allah Yang menciptakan segala sesuatu keseluruhannya, hanya Dia semata tiada sekutu bagiNya dalam hal ini. Pengakuan mereka bahawa Allah Pencipta mereka mengharuskan mereka untuk beribadah hanya kepadaNya. Hal ini merupakan dalil terbesar yang menunjukkan batilnya perbuatan syirik.

Tetapi walaupun dengan pengakuan ini, mereka masih tetap menyembah selainNya di samping Dia, iaitu menyembah makhluk yang tidak memiliki sesuatu pun dan tidak mampu berbuat sesuatu pun. Bagaimana mereka dapat dipalingkan dari menyembah Allah? Mereka dengan perbuatannya itu adalah orang-orang yang sangat bodoh, pandir dan sangat lemah akalnya.

"88. Dan perkataannya, "Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.”" 

Allah s.w.t. mendengar dan mengetahui ucapan atau keluhan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaNya kerana pendustaan kaumnya dan rasa sedihnya Beliau terhadapnya kerana mereka tidak mahu beriman.

Maka Allah s.w.t. mengetahui keadaan Beliau, mampu segera menyiksa mereka, akan tetapi Dia Maha Halim (santun), Dia menundanya agar mereka bertaubat dan kembali. Kerana itu Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"89. Maka berpalinglah dari mereka dan katakanlah, "Salam.”" 

Berpalinglah kamu dari orang-orang musyrik itu dan katakanlah, "Selamat tinggal." Maafkanlah gangguan yang datang kepadamu dari mereka baik yang berupa perkataan maupun perbuatan. Janganlah kamu menjawab perkataan dan ucapan buruk yang mereka tujukan kepadamu.

Bujuklah mereka dan maafkanlah mereka melalui sikap dan ucapan. Jangan kamu sikapi selain dengan sikap yang dilakukan oleh orang-orang yang berakal dan berpandangan tajam terhadap orang-orang yang bodoh, iaitu sikap salam (selamat tinggal).

Maka Beliau s.a.w. melakukan perintah Tuhannya, dan menyikapi gangguan kaumnya dengan membiarkan dan memaafkan serta tidak membalas selain dengan berbuat ihsan kepada mereka serta ucapan yang baik. Semoga Allah melimpahkan salawat dan salam kepada Beliau atas kesabarannya.

"Maka kelak mereka akan mengetahui."

Kelak mereka akan mengetahui nasib mereka yang buruk akibat perbuatan mereka. Ini merupakan ancaman dari Allah s.w.t. ditujukan kepada orang-orang musyrik itu. Kerana itu, maka mereka ditimpa oleh azabNya yang tidak dapat ditolak lagi.

Dan Allah meninggikan agama dan kalimahNya, juga memerintahkan sesudah itu kepada NabiNya untuk berjihad dan berperang melawan mereka, hingga akhirnya manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah, dan Islam tersebar dibelahan timur dan belahan barat. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Selesai tafsir surah Az Zukhruf dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kelembutanNya walhamdulillahi awwalan wa aakhiran wa zhaahiran wa baathinan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...