Jumaat, 17 Januari 2020

4:1 Tafsir Surah An Nisa, ayat 1.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا (١) 

Allah s.w.t. memulai surah ini dengan berfirman memerintahkan,

"1. Wahai manusia! Bertakwalah kalian kepada Tuhan kalian yang menciptakan kalian dari diri yang satu" 

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kalian kepada Tuhan Kalian, iaitu menyembah kepadaNya semata dan tidak membuat sekutu bagiNya. Dia telah menciptakan kalian dari seorang diri berkat kekuasaanNya. Orang tersebut adalah Adam a.s.

Disebutkan bahawa manusia berasal dari seorang diri adalah agar manusia menyedari bahawa bapa mereka adalah sama (Adam a.s.), di mana hal ini menghendaki mereka untuk saling menyayangi antara satu dengan lainnya.

Oleh kerananya, disebutkan pula perintah memelihara hubungan silaturrahim dan tidak memutuskannya untuk memperkuat masalah ini. Disebutkan sebelumnya perintah bertakwa kepada Allah adalah agar manusia semuanya sama-sama menyembah kepada Allah dan bersatu di atasnya.

"dan Dia ciptakan darinya pasangannya" 

Dari Adam a.s. Allah s.w.t. menciptakan isterinya, iaitu Hawa a.s. Menurut jumhur (majoriti) mufassirin Hawa diciptakan dari bahagian tubuh Adam, iaitu dari tulang rusuk sebelah kiri bahagian belakangnya ketika Beliau sedang tidur. Saat Adam terbangun, Beliau merasa terkejut setelah melihatnya, lalu Beliau langsung jatuh cinta kepadanya. Begitu juga sebaliknya, Hawa jatuh cinta kepada Adam.

Namun ada juga yang menafsirkan darinya di sini adalah dari unsur yang serupa, iaitu tanah yang daripadanya Adam a.s. diciptakan.

Ibnu Abbas mengatakan, "Wanita diciptakan dari lelaki, maka keinginan wanita dijadikan terhadap lelaki; dan lelaki itu dijadikan dari tanah, maka keinginannya dijadikan terhadap tanah, maka pingitlah wanita-wanita kalian."

Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan, "Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Maka jika kamu bertindak untuk meluruskannya, nescaya kamu akan membuatnya patah. Tetapi jika kamu bersenang-senang dengannya, bererti kamu bersenang-senang dengannya, sedangkan padanya terdapat kebengkokan."

"dan Dia kembangbiakkan dari keduanya lelaki yang banyak dan perempuan."

Dari Adam dan Hawa Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak, lalu menyebarkan mereka ke seluruh dunia dengan berbagai macam jenis, sifat, warna kulit dan bahasa mereka. Kemudian sesudah itu hanya kepadaNya mereka kembali dan dihimpunkan.

"Dan bertakwalah kalian kepada Allah yang kalian saling meminta dengan namaNya dan hubungan keluarga."

Bertakwalah kalian kepada Allah dengan taat kepadaNya, yang dengan mempergunakan namaNya kalian saling meminta dan peliharalah hubungan kekeluargaan (silaturrahim).

Menurut kebiasaan orang Arab, apabila mereka menanyakan sesuatu atau memintanya kepada orang lain mereka mengucapkan nama Allah seperti, "Aku bertanya atau meminta kepadamu dengan nama Allah dan hubungan silaturahim."

Digunakannya nama Allah adalah kerana orang yang meminta mengetahui bahawa orang yang diminta tentu mengagungkan Allah Tuhannya, oleh kerananya dia tentu akan memenuhi permintaannya.

Ada yang mengatakan bahawa maksud ayat adalah, bertakwalah kalian kepada Allah yang kalian telah berjanji dan berikrar dengan menyebut namaNya. Bertakwalah kalian kepada Allah dalam silaturahim. Janganlah kalian memutuskannya. Hubungkanlah dan berbaktilah untuknya.

"Sesungguhnya Allah, Dia atas kalian penjaga."

Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kalian. Dia sentiasa mengawasi semua keadaan dan semua perbuatan kalian. Dia Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan, "Sembahlah Tuhanmu seakan-akan kamu melihatNya; jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu."

Disebutkan bahawa asal mula manusia itu dari seorang ayah dan seorang ibu ialah agar sebahagian dari mereka saling mengasihi dengan sebahagian yang lain, dan menganjurkan kepada mereka agar menyantuni orang-orang yang lemah dari mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...