Rabu, 15 Januari 2020

3:59-61 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 59-61.

إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (٥٩) الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلا تَكُنْ مِنَ الْمُمْتَرِينَ (٦٠) فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ (٦١) 

Allah s.w.t. berfirman,

"59. Sesungguhnya perumpamaan Isa di sisi Allah seperti perumpamaan Adam. Dia menciptakannya dari tanah, kemudian Dia berkata baginya, "Jadilah." Maka jadilah."

Sesungguhnya perumpamaan penciptaan Isa a.s. bagi Allah s.w.t. dalam hal kekuasaanNya yang menciptakannya tanpa melalui seorang ayah adalah seperti penciptaan Adam a.s. yang diciptakan tanpa bapa dan ibu. Dia menciptakan Adam a.s. dari tanah, kemudian Dia berfirman kepadanya, "Jadilah" (seorang manusia), maka jadilah dia.

Tuhan yang menciptakan Adam a.s. tanpa melalui ayah dan ibu, jelas lebih mampu menciptakan Isa a.s. Jika ada jalan untuk mendakwakan Isa a.s. sebagai anak Tuhan kerana Beliau diciptakan tanpa melalui seorang ayah, maka terlebih lagi terhadap Adam a.s.

Oleh kerana itu, dakwaan bahawa Isa a.s. adalah tuhan kerana diciptakan tanpa bapa merupakan dakwaan yang batil. Adam a.s. diciptakan tanpa bapa dan ibu, dan semua sepakat bahawa dia adalah hamba Allah.

Allah s.w.t. sengaja melakukan demikian dengan maksud untuk menampakkan kekuasaanNya kepada makhlukNya dengan menciptakan Adam a.s. tanpa kedua orang tua, dan menciptakan Hawa dari lelaki tanpa wanita, serta menciptakan Isa a.s. dari wanita tanpa lelaki, sebagaimana dia menciptakan makhluk lainnya dari jenis jantan dan betina (melalui perkahwinan keduanya).

"60. Kebenaran itu dari Tuhanmu, maka janganlah kamu menjadi termasuk orang-orang yang ragu-ragu." 

Kebenaran itu datang dari Tuhanmu. Inilah pendapat (kisah) yang benar mengenai Isa a.s. yang tidak diragukan lagi, sedangkan yang lainnya tidak benar, dan tiada sesudah perkara yang benar melainkan hanya kesesatan belaka. Kerana itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu.

Dalam ayat ini terdapat peneguhan dan penenteraman hati Rasulullah s.a.w. Dari ayat ini diambil sebuah prinsip, bahawa perkara yang ditegaskan oleh dalil-dalil bahawa hal itu adalah hak (benar) dan meyakinkan hamba baik terkait dengan masalah 'aqidah maupun lainnya, maka wajib diyakini bahawa selain itu adalah batil, dan bahawa semua syubhat yang datang kepadanya adalah fasid (rosak), baik hamba tersebut sanggup menolak syubhat itu maupun tidak.

Dengan prinsip ini, semua kemusykilan yang dilontarkan oleh ahli kalam dan ahli mantiq dapat tersingkirkan, kalau pun seseorang hendak membantah, maka hal itu merupakan kerelaan menambah amalan. Kalau pun tidak membantah, maka tugasnya adalah menerangkan kebenaran dengan dalil-dalilnya dan berdakwah kepadanya.

Selanjutnya Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"61. Maka siapa yang membantahmu di dalamnya setelah apa yang datang kepadamu dari ilmu," 

Siapa yang membantahmu setelah datang ilmu yang meyakinkan kepadamu dan setelah kamu menyampaikan bukti-bukti yang jelas yang menerangkan bahawa Isa a.s. adalah hamba dan utusan Allah, bukan tuhan, namun dia tetap ingkar dan membantahmu, maka mendebatnya lagi tidak ada faedah. Oleh kerana itu, ajaklah mereka melakukan mubahalah.

"maka katakanlah, "Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kalian, dan isteri-isteri kami, dan isteri-isteri kalian, dan diri-diri kami, dan diri-diri kalian.""

Katakanlah kepadanya, "Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kalian, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kalian, diri kami dan diri kalian." Iaitu kita hadirkan mereka semua untuk mubahalah.

"Kemudian kita berbalas laknat, maka kita jadikan laknat Allah atas orang-orang yang berdusta." 

Kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta di antara kami dan kalian. Mubahalah ialah berbalas laknat, masing-masing pihak di antara orang-orang yang berbeda pendapat berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh, agar Allah menjatuhkan laknat kepada pihak yang berdusta.

Nabi s.a.w. mengajak utusan Nasrani Najran bermubahalah. Saat itu, keluar bersama Beliau s.a.w. Al Hasan dan Al Husain, Fatimah dan Ali, Beliau memerintahkan mereka mengamini do'a Beliau, namun utusan Nasrani Najran tidak berani dan berdamai dengan membayar jizyah (pajak). Ini menjadi bukti kebenaran Nabi Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...