Khamis, 28 Mei 2020

105:1-5 Tafsir Surah Al Fil, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ (١) أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ (٢) وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ (٣) تَرْمِيهِمْ بِحِجَارَةٍ مِنْ سِجِّيلٍ (٤) فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَأْكُولٍ (٥) 

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Tidakkah kamu perhatikan" 

Tidakkah kamu (Muhammad) memperhatikan kekuasaan Allah s.w.t., keagunganNya, rahmatNya kepada hamba-hambaNya, dalil-dalil terhadap keesaanNya, dan benarnya RasulNya Muhammad s.a.w. pada peristiwa tentera bergajah; bagaimana tindakan Allah s.w.t. terhadap mereka yang hendak menghancurkan rumahNya itu ketika penduduk di sekitar rumahNya itu tidak sanggup menghadapi tentera itu.

"bagaimana berbuat Tuhanmu terhadap pasukan gajah?" 

Bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah. Tentera bergajah di sini bermaksud tentera yang dipimpin oleh Abrahah Gubernur Yaman yang hendak menghancurkan Ka'bah.

"2. Tidakkah Dia jadikan tipu daya mereka dalam kesia-siaan?" 

Dia telah menjadikan tipu daya mereka untuk menghancurkan Ka'bah itu sia-sia. Sebelum masuk ke kota Mekah tentera tersebut diserang burung-burung yang melemparinya dengan batu-batu sehingga mereka musnah.

Disebutkan dalam riwayat, bahawa Abrahah Al Asyram membangun gereja yang megah, mewah, indah dan tinggi di Shan’a (ibukota Yaman). Orang-orang Arab menamainya dengan Al Qulayyas kerana bangunannya yang tinggi, dimana orang yang melihatnya boleh membuat pecinya jatuh. 

Abrahah bermaksud mengalihkan haji orang-orang Arab dari ke Ka’bah di Mekah menuju ke gereja itu, bahkan ia umumkan hal itu di kerajaannya, namun orang-orang Arab tidak suka hal itu, bahkan orang-orang Quraisy marah kerananya, sehingga di antara mereka ada yang pergi mendatangi gereja itu dan masuk ke dalamnya lalu meletakkan kotoran di dalamnya.

Ketika para juru kuncinya melihat hal itu, maka mereka melaporkan kejadikan itu kepada raja mereka, iaitu Abrahah dan mereka memberitahukan, bahawa yang melakukannya adalah sebahagian orang Quraisy kerana marah demi membela rumah mereka yang hendak disaingi. 

Maka Abrahah bersumpah akan berangkat menuju Ka’bah dan merobohkan batu-batunya satu persatu, ia pun mempersiapkan pasukannya yang terdiri dari tentera bergajah dengan maksud menghancurkan Ka’bah kemudian berangkat menuju Mekah, hingga ketika dia hampir tiba di kota Makkah, gajah-gajah diam dan tidak mahu beranjak maju ke Ka’bah.

Tetapi ketika gajah tersebut diarahkan ke arah lain, gajah-gajah tersebut bangkit dan bergegas melangkah. Saat diarahkan lagi ke Ka’bah, gajah-gajah tersebut diam. 

"3. Dan Dia mengirimkan atas mereka burung berbondong-bondong." 

Ketika itulah Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. 

"4. Melempar mereka dengan bebatuan dari tanah liat yang terbakar." 

Burung-burung itu melempari mereka dengan batu berasal dari tanah liat yang terbakar. 

"5. Lalu menjadikan mereka seperti daun yang dimatikan." 

Dan menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat.

Pada tahun terjadinya penyerangan tentera bergajah itu, lahir pula Nabi Muhammad s.a.w. sehingga yang demikian merupakan permulaan risalah Beliau s.a.w. Maka segala puji bagi Allah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...