Isnin, 11 April 2016

66:1-5 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 1-5.


  يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ تَبْتَغِي مَرْضَاةَ أَزْوَاجِكَ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١) قَدْ فَرَضَ اللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ وَاللَّهُ مَوْلاكُمْ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (٢) وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَى بَعْضِ أَزْوَاجِهِ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتْ بِهِ وَأَظْهَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَنْ بَعْضٍ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِ قَالَتْ مَنْ أَنْبَأَكَ هَذَا قَالَ نَبَّأَنِيَ الْعَلِيمُ الْخَبِيرُ (٣)إِنْ تَتُوبَا إِلَى اللَّهِ فَقَدْ صَغَتْ قُلُوبُكُمَا وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمَلائِكَةُ بَعْدَ ذَلِكَ ظَهِيرٌ (٤)عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا (٥)


Nabi s.a.w. ketika berada bersama Zainab binti Jahsy dan meminum madu, maka Aisyah dengan Hafshah bersepakat bahawa siapa saja di antara mereka yang didatangi Nabi s.a.w. hendaknya berkata, “Sesungguhnya aku mencium bau getah darimu; engkau telah meminum getah.”
Lalu Nabi s.a.w. menemui salah seorang di antara keduanya dan diucapkanlah hal itu kepada Beliau s.a.w., lalu Beliau s.a.w. berkata, “Bahkan yang aku minum adalah madu di sisi Zainab binti Jahsy dan aku tidak akan mengulangi lagi, aku juga telah bersumpah, maka janganlah memberitahukan hal itu kepada seorang pun.”
Rasulullah s.a.w. mempunyai seorang hamba wanita yang Beliau gauli, iaitu ibu Ibrahim iaitu Mariyah Al Qibtiyyah.
Aisyah dan Hafshah selalu merasa cemburu kepada Beliau s.a.w. dan terus-menerus berusaha menghalang-halangi Nabi s.a.w. untuk tidak mendekatinya lagi.
Nabi s.a.w. menggauli Mariyah di rumah Hafsah di hari gilirannya, maka Hafsah mengetahuinya, lalu berkata, "Hai Nabi Allah, sesungguhnya engkau telah melakukan terhadapku suatu perbuatan yang belum pernah engkau lakukan terhadap seorang pun dari isteri-isterimu. Engkau melakukannya di hari giliranku dan di atas peraduanku."
Maka Nabi s.a.w. menjawab, "Puaskah engkau bila aku mengharamkannya atas diriku dan aku tidak akan mendekatinya lagi?" Hafsah menjawab, "Baiklah."
Nabi s.a.w. bersabda kepada Hafsah, "Janganlah engkau ceritakan kepada siapa pun, dan sesungguhnya ibu Ibrahim haram atas diriku.
Hafshah bertanya, "Apakah engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu?" Nabi s.a.w. bersabda, "Demi Allah, aku tidak akan mendekatinya lagi."
Nabi s.a.w. tidak lagi mendekati Mariyah sampai Hafsah tidak tahan, akhirnya ia menceritakan kisah itu kepada Aisyah. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat,
"1. Wahai Nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu? Engkau ingin menyenangkan hati isteri-isterimu?"
Nabi adalah orang yang diberi nikmat oleh Allah dengan kenabian, wahyu dan risalah. Tidak sepatutnya seorang Nabi mengharamkan sesuatu yang baik-baik yang Allah kurniakan kepadanya dan kepada umatnya. Lebih-lebih lagi hanya kerana ingin menyenangkan hati isteri-isterinya yang cemburu itu.
"Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Allah s.w.t. mengampuni RasulNya dan mengangkat celaan terhadapnya serta merahmatinya, dan pengharaman tersebut menjadi sebab pensyariatan hukum yang umum untuk manusia iaitu,
"2. Sungguh, Allah telah mewajibkan kepadamu membebaskan diri dari sumpahmu,"
Pengharaman yang halal ada kifaratnya kerana dianggap sebagai sumpah. Maka wajib atasnya membebaskan diri dari sumpahnya itu dengan membayar kaffarat atau kifarat.
Maka Rasulullah s.a.w. membayar kifarat sumpahnya dan kembali menggauli budak (hamba) perempuannya itu.
"dan Allah adalah Pelindungmu"
Allah s.w.t. yang mengurus urusanmu dan mengajarkan kamu dengan pengajaran yang sebaik-baiknya dalam urusan agama maupun dunia serta mengajarkan sesuatu yang dengannya seseorang dapat terhindar dari keburukan.
Oleh kerana itulah, Dia mewajibkan membebaskan dirimu dari sumpah agar lepas tanggung jawabmu.
"dan Dia Maha Mengetahui lagi Mahabijaksana."
IlmuNya meliputi zahir dan batinmu dan Dia Mahabijaksana dalam ciptaanNya dan dalam keputusanNya, maka Dia mensyariatkan beberapa hukum untuk kamu supaya diketahui bahawa hal itu sesuai dengan maslahat kamu dan keadaan kamu.
"3. Dan ingatlah ketika secara rahsia Nabi membicarakan suatu peristiwa kepada salah seorang isterinya."
Iaitu pengharaman Mariyah, dan Beliau berkata kepada Hafshah, “Jangan memberitahukan kepada seorang pun.”
"Lalu dia menceritakan peristiwa itu"
Tetapi Hafshah menceritakannya kepada Aisyah kerana menyangka bahawa hal itu tidak berdosa.
"dan Allah memberitahukan peristiwa itu kepadanya, lalu memberitahukan sebahagian dan menyembunyikan sebahagian yang lain."
Allah s.w.t. memberitahu kepada Nabi s.a.w. perbicaraan Hafshah dan Aisyah itu. Kemudian Nabi s.a.w. memberitahu kepada Hafshah kerana keramahannya dan santunnya.
Maka ketika dia memberitahukan pembicaraan itu kepadanya, dia bertanya,
"Siapa yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?" Nabi menjawab, "Yang memberitahukan kepadaku adalah Allah Yang Maha Mengetahui lagi Mahateliti."
Ketika Nabi s.a.w. menjauhi isteri-isterinya, Umar bin Khattab masuk ke masjid. Orang-ramai berkata, "Rasulullah s.a.w. telah mentalak isteri-isterinya."
Hal itu terjadi ketika mereka belum diperintahkan berhijab. Umar berkata pada dirinya sendiri, "Aku benar-benar akan memberitahukan kepada beliau hari ini."
Maka Umar menemui Aisyah dan berkata, "Wahai puteri Abu Bakar, apakah engkau sampai menyakiti Rasulullah s.a.w.?" Aisyah menjawab, "Apa urusanmu terhadapku wahai Ibnul Khattab, urusilah aibmu sendiri."
Maka Umar menemui anaknya, Hafshah dan berkata, "Wahai Hafshah! Apakah engkau sampai menyakiti Rasulullah s.a.w. Demi Allah, sesungguhnya saya tahu bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menyukaimu. Kalau bukan kerana saya, tentu Rasulullah s.a.w. sudah mentalakmu." Hafshah pun menangis dengan tangisan yang begitu serius.
Umar pun bertanya kepadanya, "Di mana Rasulullah s.a.w.?" Ia menjawab, "Dia sedang berada di dekat almarinya di kamar."
Umar berkata kepada pelayan Rasulullah s.a.w., "Hai Rabah, mintakanlah izin masuk kepada Rasulullah s.a.w. untukku." Setelah diizinkan, maka Umar masuk menemui Rasulullah s.a.w., tampak marah di mukanya.
Maka Umar berkata, "Wahai Rasulullah, para isteri tidak akan menyusahkan dirimu. Jika engkau mentalak mereka, maka sesungguhnya Allah bersamamu, demikian pula, malaikatNya, Jibril, Mikail, saya, Abu Bakar, dan kaum mukmin bersamamu."
Maka turunlah ayat At Tahrim: 4-5.
Maka Umar bertanya kepada Nabi s.a.w., "Apakah engkau telah menceraikan mereka?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tidak." Maka Umar berdiri di pintu masjid, dan menyeru dengan sekuat suaranya bahawa Nabi s.a.w. tidak menceraikan isteri-isterinya.
"4. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sungguh, hati kamu berdua telah condong; dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, Maka sesungguhnya Allah menjadi Pelindungnya dan Jibril dan orang-orang mukmin yang baik;"
Kamu berdua adalah Aisyah dan Hafshah r.a. Keduanya menjadi sebab Nabi s.a.w. mengharamkan untuk dirinya sesuatu yang Beliau sukai.
Allah s.w.t. menawarkan keduanya untuk bertaubat dan mencela atas sikap mereka berdua itu serta memberitahukan bahawa hati mereka berdua telah menyimpang dari sikap yang seharusnya dilakukan iaitu sikap wara’ dan beradab terhadap Rasulullah s.a.w., menghormatinya dan tidak menyusahkannya.
"dan selain itu malaikat-malaikat adalah penolongnya."
Jika mereka itu yang menjadi penolongnya, maka jelaslah bahawa yang ditolong itulah yang menang. Begitulah keutamaan dan kemulian Nabi Muhammad s.a.w.
Berita yang terjadi di antara Ummahatul Mu’minin dan Nabi s.a.w ini sampai kepada Umar ibnul Khattab. Maka ia menasihati mereka seorang demi seorang.
Umar mengatakan kepada mereka, "Sungguh kamu harus menghentikan sikap kamu terhadap Rasulullah s.a.w. yang demikian, atau benar-benar Allah akan memberikan ganti kepadanya dengan isteri-isteri lain yang lebih baik daripada kamu."
Hingga sampailah Umar kepada Ummahatul Mu’minin yang terakhir iaitu Ummu Salamah r.a., tetapi ia disanggahnya dengan ucapan, "Hai Umar, ingatlah, Rasulullah s.a.w. sendiri tidak menasihati isteri-isterinya terlebih kamu."
Akhirnya Umar diam.
"5. Jika dia menceraikan kamu, boleh Jadi Tuhan akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik dari kamu,"
"perempuan-perempuan yang patuh,"
Iaitu melaksanakan syariat Islam yang tampak.
"yang beriman,"
Iaitu yang melaksanakan syariat Islam yang tidak tampak (batin) berupa ‘aqidah (keyakinan) dan amalan hati.
"yang taat, yang bertaubat, yang beribadah, yang berpuasa,"
Iaitu yang meninggalkan apa yang dibenci Allah s.w.t. dan sentiasa mengerjakan apa yang dicintai Allah s.w.t.
"yang janda dan yang perawan."
Di antara mereka ada yang janda dan ada pula yang perawan, agar pelbagaian ini lebih menambah dorongan selera dan lebih menyenangkan hati Beliau s.a.w.
Ketika isteri-isteri Nabi s.a.w. mendengar peringatan ini, maka segeralah mereka mencari keridhaan Rasulullah s.a.w. dan sifat mulia pun menjadi melekat pada diri mereka sehingga mereka menjadi wanita mukminah paling utama. Allah s.w.t. hanya memilih untuk RasulNya s.a.w. wanita yang keadaannya yang paling utama dan isteri-isterinya adalah wanita paling baik dan paling utama.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...