Isnin, 30 Mei 2016

4:150-152 Tafsir Surah An Nisa, ayat 150-152.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلا (١٥٠) أُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا (١٥١) وَالَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَمْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ أُولَئِكَ سَوْفَ يُؤْتِيهِمْ أُجُورَهُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (١٥٢)

Orang-orang Yahudi beriman kepada semua nabi, kecuali Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Nasrani beriman kepada semua nabi, kecuali Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Samiri (sebahagian dari Yahudi) tidak beriman kepada seorang nabi pun sesudah Yusya', pengganti (khalifah) Nabi Musa ibnu Imran. Orang-orang Majusi pada mulanya beriman kepada seorang nabi mereka iaitu Zaradesy (Zoroaster), kemudian mereka kafir kepada syariatnya, maka nabi mereka diangkat oleh Allah dari kalangan mereka.

"150. Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasulNya, dan mereka bermaksud untuk mereka membedakan di antara Allah dan rasul-rasulNya, dan mereka berkata, "Kami beriman kepada sebahagian dan kami kafir kepada sebahagian yang lain," dan mereka bermaksud mereka menjadikan di antara yang demikian itu jalan." 

Mereka bermaksud mengambil jalan tengah, iaitu jalan lain yang tersendiri di antara iman dan kafir. Mereka dalam imannya membeda-bedakan antara iman kepada Allah dan iman kepada rasul-rasulNya. Mereka beriman kepada Allah tetapi ingkar kepada rasul-rasulNya atau beriman hanya kepada sebahagian rasul tetapi ingkar kepada sebahagian yang lain.

Mereka beriman kepada sebahagian para nabi dan mengingkari sebahagian yang lainnya, hanya berdasarkan selera dan tradisi serta apa yang mereka ketahui dari nenek moyang mereka semata, sama sekali tidak berdasarkan kepada dalil yang melandasi keyakinan mereka.

Imannya kepada nabi yang ia percayai bukanlah berdasarkan iman yang diakui oleh syariat, melainkan hanya semata-mata kerana maksud tertentu, dorongan hawa nafsu, dan fanatisme. Mereka menyangka bahawa hal itu dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah, padahal yang demikian hanyalah angan-angan kosong mereka.

Diwajibkan bagi kita beriman kepada setiap nabi yang diutus oleh Allah kepada penduduk bumi ini. Barang siapa yang kafir kepada seseorang dari kalangan para nabi, bererti ia kafir kepada semua nabi.

"151. Mereka itulah orang-orang kafir sebenar-benarnya." 

Tidak ada kesan bahawa mereka berada di tengah-tengah antara keimanan dan kekafiran. Kekufuran mereka terbukti dan tiada alasan untuk dikatakan beriman bagi seseorang yang berkeyakinan demikian, sebab iman seperti itu tidak diakui oleh syariat.

Seandainya mereka benar-benar beriman kepada seorang rasul kerana diutus oleh Allah, pastilah mereka beriman juga kepada rasul lainnya, terlebih lagi imannya kepada rasul yang lebih jelas dalilnya dan lebih kuat buktinya daripada rasul yang diimaninya. Atau setidaknya ia mempertimbangkan dengan pertimbangan yang sesungguhnya mengenai kenabiannya.

"Dan Kami menyediakan bagi orang-orang kafir azab yang menghinakan." 

Mereka menghina rasul yang mereka ingkari, tidak mahu memandang sebelah mata pun kepada apa yang disampaikannya dari Allah dan berpaling darinya, serta kesukaan mereka dalam menghimpun perhiasan duniawi yang fana, padahal mereka tidak harus mengumpulkannya.

Kebanyakan para rahib Yahudi di masa Rasulullah s.a.w. kafir kepadanya sesudah mengetahui kenabiannya. Mereka dengki kerana Beliau s.a.w. mendapat kenabian yang besar, lalu mereka menentangnya, mendustakan, memusuhi, dan memeranginya.

Maka Allah menimpakan kepada mereka nista dan kehinaan di dunia yang terus berlanjut dengan kehinaan di akhirat serta kemurkaan dari Allah.

"152. Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya" 

Beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya adalah beriman kepada semua yang diberitakan Allah tentang DiriNya dan mengimani semua yang dibawa para rasul berupa berita dan hukum-hukum.

"dan tidak membedakan antara seorang pun di antara mereka," 

Umat Nabi Muhammad s.a.w. sesungguhnya beriman kepada semua kitab yang diturunkan Allah dan beriman kepada semua nabi yang diutus olehNya.

"mereka itu kelak akan Dia berikan kepada mereka pahala-pahala mereka." 

Allah s.w.t. telah menyediakan bagi mereka pahala yang berlimpah, pembalasan yang agung, dan pemberian yang indah sebagai balasan atas iman mereka kepada Allah dan semua rasulNya.

"Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Dia mengampuni semua kesalahan atau dosa-dosa mereka yang kembali dan menerima semua kebaikan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...