Ahad, 26 Jun 2016

51:38-46 Tafsir Surah Az Zariyat, ayat 38-46.

وَفِي مُوسَى إِذْ أَرْسَلْنَاهُ إِلَى فِرْعَوْنَ بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ (٣٨) فَتَوَلَّى بِرُكْنِهِ وَقَالَ سَاحِرٌ أَوْ مَجْنُونٌ (٣٩) فَأَخَذْنَاهُ وَجُنُودَهُ فَنَبَذْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ وَهُوَ مُلِيمٌ (٤٠) وَفِي عَادٍ إِذْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الرِّيحَ الْعَقِيمَ (٤١) مَا تَذَرُ مِنْ شَيْءٍ أَتَتْ عَلَيْهِ إِلا جَعَلَتْهُ كَالرَّمِيمِ (٤٢) وَفِي ثَمُودَ إِذْ قِيلَ لَهُمْ تَمَتَّعُوا حَتَّى حِينٍ (٤٣) فَعَتَوْا عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ فَأَخَذَتْهُمُ الصَّاعِقَةُ وَهُمْ يَنْظُرُونَ (٤٤) فَمَا اسْتَطَاعُوا مِنْ قِيَامٍ وَمَا كَانُوا مُنْتَصِرِينَ (٤٥) وَقَوْمَ نُوحٍ مِنْ قَبْلُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ (٤٦)

Allah s.w.t. berfirman, 

"38. Dan pada Musa ketika Kami mengutusnya kepada Fir'aun dengan keterangan yang nyata." 

Pada Nabi Musa a.s. terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah ketika Beliau diutus kepada Fir’aun dengan membawa bukti yang jelas dan alasan yang kukuh.

"39. Maka dia berpaling dengan tenteranya" 

Biruknihi bererti Fir'aun memperkuatkan dirinya dengan menggabungkan teman-temannya, berpaling dari iman dan kebenaran, bahkan mencela kebenaran yang disampaikan oleh Musa a.s., padahal kebenaran itu sudah jelas dan terang.

"dan berkata, "Tukang sihir atau orang gila.""

Maksudnya, apa yang Musa a.s. datangkan itu hanyalah perbuatan seorang penyihir atau seorang yang gila. Fir’aun dan kaumnya sebenarnya meyakini bahawa Musa a.s. adalah benar, mengetahui bahawa Tuhan yang memelihara langit dan bumi yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu sebagai bukti-bukti yang nyata. Mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan.

"40. Maka Kami siksa dia dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut dan dia tercela." 

Fir'aun dan tenteranya dimusnahkan, ditenggelamkan semasa melakukan perbuatan yang tercela iaitu kafir, mendustakan Nabi Musa a.s., mengaku sebagai tuhan, mengingkari kebenaran, menderhaka, dan membangkang terhadap perkara yang hak.

"41. Dan pada kaum 'Ad ketika Kami kirimkan atas mereka angin yang membinasakan." 

Kaum 'Ad iaitu kaum Nabi Hud a.s. dikirimkan angin dabur iaitu angin yang membinasakan, tiada kebaikannya, tiada manfaatnya kerana tidak membawa air hujan dan tidak menyuburkan pohon-pohon. Angin tersebut dikenal dengan nama Janub (angin selatan).

"42. Tidak membiarkan dari sesuatu ia melanda atasnya kecuali ia jadikannya seperti abu."

Segala sesuatu baik jiwa maupun harta yang dilanda oleh angin yang sangat keras itu akan binasa lagi hancur menjadi serbuk. Tuhan yang membinasakan mereka dengan keadaan mereka yang kuat menunjukkan bahawa Tuhan tersebut Mahakuasa dan Mahakuat, tiada sesuatu pun yang dapat melemahkanNya.

"43. Dan pada Samud" 

Terdapat tanda yang besar terhadap kekuasaan Allah. Ketika Dia mengutus Nabi Salih a.s. kepada mereka, lalu mereka mendustakannya dan membangkangnya. Maka Allah mengirimkan unta kepada Nabi Salih a.s. sebagai mukjizat baginya, tetapi mukjizat itu tidak membuat mereka beriman, bahkan semakin ingkar. Lebih dari itu, mereka sampai membunuh unta tersebut. Setelah unta itu dibunuh,

"ketika dikatakan pada mereka, "Bersenang-senanglah hingga waktu.""

Iaitu sampai waktu habisnya ajal.

"44. Maka mereka angkuh perintah Tuhan mereka," 

Mereka telah diberi petunjuk, tetapi mereka lebih menyukai buta dan sesat dari petunjuk itu. Mereka menunggu-nunggu azab tersebut selama tiga hari,

"maka menyambar mereka petir mereka melihat." 

Ternyata azab yang menghinakan itu menimpa mereka pada pagi hari yang keempatnya. Dan mereka melihatnya sendiri.

"45. Maka mereka tidak bangun dan tidak mereka adalah mendapat pertolongan." 

Mereka tidak dapat menyelamatkan diri dan tidak dapat pula bangun dari tempatnya, mereka juga tidak mampu menolong dirinya sendiri dari azab yang menimpa mereka.

"46. Dan kaum Nuh dari sebelumnya. Sungguh mereka, mereka kaum yang fasik." 

Begitu juga yang Allah s.w.t. lakukan terhadap kaum Nuh a.s. ketika mereka mendustakannya dan melanggar perintah Allah, maka Allah kirimkan kepada mereka air yang melimpah dari langit dan bumi, lalu Allah tenggelamkan mereka dengannya. Inilah sunnah atau kebiasaan Allah terhadap orang-orang yang menderhakaiNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...