Selasa, 19 Julai 2016

41:53-54 Tafsir Surah Fussilat, ayat 53-54.

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الآفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ (٥٣) أَلا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَاءِ رَبِّهِمْ أَلا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُحِيطٌ (٥٤)

Allah s.w.t. berfirman, 

"53. Akan Kami perlihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami pada segenap penjuru," 

Iaitu ayat-ayat atau tanda-tanda kekuasaanNya yang ada di langit dan di bumi, serta segala kejadian yang besar. Akan tampak bagi mereka bukti-bukti dan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Al Qur'an itu benar diturunkan dari sisi Allah kepada rasulNya. Bukti-bukti yang di luar itu yang terdapat di segenap ufuk.

"dan pada diri mereka," 

Kemenangan-kemenangan yang diperoleh Islam, kejadian Perang Badar, jatuhnya kota Mekah ke tangan kaum muslim dan kejadian-kejadian lainnya yang menimpa orang-orang kafir sehingga Islam muncul dan syiar di seluruh belahan bumi dan berada di atas agama lainnya membuktikan pertolongan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya, dan terhinanya kebatilan bersama bala tenteranya pada kejadian-kejadian tersebut.

Pada diri manusia, bentuk tubuhnya, organ-organ tubuhnya, dan segala sesuatu yang ada dalam diri manusia seperti yang dijelaskan dalam ilmu bedah tubuh. Watak-watak yang diciptakanNya pada diri manusia, akhlak yang berbeda-beda, baik dan buruk dan sebagainya.

Juga pengalaman hidup yang berjalan di bawah garis takdir Allah s.w.t. yang tidak dapat dilampaui dan tidak dapat pula dilanggar atau diwaspadai. Semuanya itu menunjukkan kepada tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Penciptanya.

"sehingga jelas bagi mereka bahawa ia benar." 

Semua tanda itu menunjukkan bahawa seluruh isi kandungan Al Qur'an itu benar. Allah s.w.t. telah melakukannya, Dia telah memperlihatkan kepada hamba-hambaNya ayat-ayat yang dengannya semakin jelas kebenaran. Akan tetapi, Allah akan memberi taufik kepada keimanan siapa yang Dia kehendaki dan akan menelantarkan siapa yang Dia kehendaki.

"Dan apakah tidak cukup dengan Tuhanmu bahawa Dia atas segala sesuatu menjadi saksi?" 

Cukuplah Allah sebagai saksi terhadap segala perbuatan dan ucapan hamba-hambaNya. Dia bersaksi bahawa Muhammad s.a.w. benar dalam menyampaikan apa yang dia terima dariNya.

"54. Ingatlah, sesungguhnya mereka dalam keraguan dari pertemuan Tuhan mereka." 

Orang-orang yang mendustakan hari kiamat adalah orang yang pasti akan binasa. Mereka tidak memikirkannya, tidak mengetahuinya dan tidak bersikap waspada terhadap kebangkitan dan hari Kiamat. Menurut mereka yang ada hanyalah dunia saja. Bahkan masalah hari kiamat tidak terlintas sekali dalam fikiran mereka. Mereka sama sekali tidak mempedulikannya dan tidak mengerjakan amalan untuk akhirat, padahal hari kiamat pasti terjadi, tiada keraguan padanya.

Orang-orang yang membenarkan urusan kiamat di mulutnya saja adalah orang yang dungu. Mereka tidak mahu beramal untuk menyambut kedatangannya, tidak bersikap waspada, serta tidak merasa takut dengan kengerian dan kedahsyatan peristiwa yang terjadi padanya. Mereka tenggelam di dalam permainan, kelalaian, nafsu syahwat, dan dosa-dosanya. Dalam waktu yang sama mereka membenarkannya dan meyakini akan kejadiannya.

"Ingatlah, sesungguhnya Dia dengan segala sesuatu Maha Meliputi." 

Semua makhluk berada di bawah pengaturan dan genggaman kekuasaanNya serta berada di bawah liputan pengetahuanNya. Dialah yang mengatur kesemuanya dengan keputusanNya. Menjadikan hari kiamat adalah urusan yang teramat mudah bagiNya. Dia akan membalas mereka kerana kekafirannya. 

Maka apa yang dikehendakiNya pasti ada, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tiada. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...