Ahad, 31 Julai 2016

4:29-31 Tafsir Surah An Nisa, ayat 29-31.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا (٢٩) وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا (٣٠) إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلا كَرِيمًا (٣١)

Allah s.w.t. berfirman, 

"29. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian memakan harta-harta kalian di antara kalian dengan cara batil," 

Janganlah kalian saling memakan harta sesama kalian dengan jalan yang batil, iaitu meraih harta melalui usaha yang tidak diakui oleh syariat atau dengan cara yang haram iaitu merampas, merompak, mencuri, sumpah yang dusta, rasuah, riba, khianat ketika diamanahkan atau diberi pinjaman dan jalan-jalan rendah lainnya.

Mu'amalah yang haram seperti riba, judi, penipuan (ghisy) dalam jual beli dan sewa-menyewa, jual beli gharar (berunsur penipuan), tidak membayar gaji pekerja, mengambil upah dari pekerjaan yang tidak dilakukan dan sebagainya.

Melakukan ibadah dengan niat mendapat dunia, contohnya tidak mahu menjadi muazzin kerana tidak mendapat imbalan. Mengambil zakat, sedekah, waqaf maupun wasiat padahal tiada hak atau melebihi haknya.

Adakalanya terjadi pertengkaran dan kemudian dibawa kepada hakim. Orang yang hendak memakan harta orang lain dengan jalan yang batil mengemukakan hujjah-hujjah yang batil untuk mengalahkan orang yang sebenarnya berhak, lalu hakim memutuskan demikian.

Maka ketetapan hakim tersebut walau bagaimana pun tidak menghalalkan yang haram. Hakim hanyalah memutuskan menurut apa yang didengarinya. Maka ia memakan harta itu dengan jalan yang batil dan berbuat dosa dalam keadaan mengetahui. Hukumannya di akhirat akan lebih berat lagi.

Seorang wakil atau peguam jika telah mengetahui bahawa yang melantiknya batil dalam dakwaannya, maka tidak halal baginya menjadi pengacara atau pembela bagi orang-orang yang berkhianat.

Sepatutnya seorang muslim mencintai agar orang lain mendapat apa yang ingin diperolehnya dan menjaga harta orang lain sebagaimana dirinya menjaga hartanya sendiri.

Memakan harta orang lain dengan jalan yang batil terdapat bahaya bagi pemakannya maupun orang yang diambil hartanya. Juga akan menjadikan orang lain akan memakan harta kita ketika mampu.

"kecuali ia adalah perniagaan atas dasar suka sama suka di antara kalian." 

Kecuali dengan jalan perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama-suka di antara kalian. Allah s.w.t. menghalalkan semua yang bermaslahat seperti berbagai bentuk perdagangan dan berbagai jenis usaha dan keterampilan. 

Disyaratkan atas dasar suka sama suka atau sama-sama berpuas hati dalam perdagangan untuk menunjukkan bahawa akad perdagangan tersebut bukan akad riba, kerana riba bukan termasuk perdagangan, bahkan menyelisihi maksudnya, dan bahawa kedua belah pihak harus suka sama suka dan melakukannya atas dasar pilihan bukan paksaan.

Jual beli gharar (tidak jelas) dengan segala bentuknya adalah haram kerana jauh dari rasa suka sama suka. Termasuk sempurnanya rasa suka sama suka adalah barangnya diketahui dan boleh diserahkan. Jika tidak boleh diserahkan mirip dengan perjudian.

Akad itu sah baik dengan ucapan maupun perbuatan yang menunjukkan demikian, kerana Allah mensyaratkan ridha, oleh kerananya dengan cara apa pun yang dapat menghasilkan keridhaan, maka akad itu sah.

"Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri." 

Janganlah membinasakan dirimu dan orang lain dengan mengerjakan hal-hal yang diharamkan Allah. Membunuh orang lain juga bererti membunuh diri sendiri, kerana umat merupakan suatu kesatuan seperti satu jasad, di mana iman yang menyatukan mereka atas maslahat agama maupun dunia.

Dilarang juga melakukan sesuatu yang menyebabkan dirinya binasa di dunia atau akhirat. Barang siapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu, maka kelak pada hari kiamat dia akan diazab dengan sesuatu itu di dalam neraka Jahannam dalam keadaan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

"Sesungguhnya Allah Dia kepada kalian Maha Penyayang."

Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kalian, iaitu dalam semua perintahNya kepada kalian dan dalam semua larangannya. Di antara kasih sayangNya adalah menjaga darah dan hartamu dan melarang kamu merosaknya.

"30. Dan barang siapa yang mengerjakan hal itu, permusuhan dan aniaya," 


Barang siapa berbuat demikian dengan cara melanggar hukum dan zalim, iaitu orang-orang yang berani dan sengaja memakan harta dengan jalan yang batil atau membunuh diri dan orang lain, sedangkan mereka mengetahui keharaman perbuatannya.

"maka akan Kami masukkan dia ke neraka. Dan adalah demikian itu atas Allah mudah." 

Oleh itu, semua orang yang berakal, mempunyai pendengaran dan menyaksikan akan bersikap hati-hati dan berwaspada.

"31. Jika kalian menjauhi dosa-dosa besar apa yang kalian dilarang darinya, akan Kami hapus dari kalian kesalahan-kesalahan kalian dan akan Kami masukkan kalian tempat masuk yang terpuji." 

Dosa besar adalah dosa yang ada had (hukumannya) di dunia, ancamannya di akhirat, adanya penafian keimanan, adanya laknat atau kemurkaan. Antaranya adalah membunuh, berzina, mencuri dan sebagainya. 

Menjauhi dosa-dosa besar dan mengerjakan kewajiban seperti solat lima waktu, solat Jumaat, puasa Ramadan, menunaikan zakat akan menghapuskan semua dosa dan kesalahan serta akan dimasukkan ke syurga kerana ketaatan yang telah dilakukan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...