Selasa, 23 Ogos 2016

4:160-162 Tafsir Surah An Nisa, ayat 160-162.

فَبِظُلْمٍ مِنَ الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَاتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ كَثِيرًا (١٦٠) وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (١٦١) لَكِنِ الرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ مِنْهُمْ وَالْمُؤْمِنُونَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَالْمُقِيمِينَ الصَّلاةَ وَالْمُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالْمُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أُولَئِكَ سَنُؤْتِيهِمْ أَجْرًا عَظِيمًا (١٦٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang orang-orang Yahudi.

"160. Maka disebabkan kezaliman dari orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka yang baik-baik yang sebelumnya dihalalkan bagi mereka;" 

Disebabkan perbuatan aniaya mereka yang telah melakukan berbagai macam dosa besar, maka Allah mengharamkan kepada mereka beberapa jenis makanan yang dahulunya dihalalkan bagi mereka.

Pengharaman ini adakalanya bersifat qadri atas kemahuan mereka sendiri. Pada mulanya Allah s.w.t. memberikan keluasaan kepada mereka.

FirmanNya, "Semua makanan adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Ya’qub) untuk dirinya sendiri sebelum Taurat diturunkan." (Ali Imran: 93)

Nabi Ya'qub a.s. mengharamkan daging dan susu unta hanya ke atas dirinya sendiri, sebagai nazarnya jika sembuh dari penyakit di kakinya.

Tetapi mereka melakukan penakwilan dalam kitab mereka, mengubah, mengganti banyak hal yang dihalalkan dan mengharamkannya bagi mereka. Akibatnya menyulitkan dan menyempitkan diri mereka sendiri.

Adakalanya pengharaman ini bersifat syar'i. Allah s.w.t. mengharamkan kepada mereka di dalam kitab Taurat banyak hal dan makanan yang dahulunya dihalalkan kepada mereka.

FirmanNya, "Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku dari sapi dan domba. Kami haramkan atas mereka lemak dari kedua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung keduanya atau yang di perut besar dan usus atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kedurhakaan mereka; dan sesungguhnya Kami adalah Mahabenar." (Al An'am: 146)

Allah s.w.t. haramkan atas mereka hal tersebut kerana mereka memang berhak menerimanya disebabkan kezaliman, kederhakaan mereka, dan mereka selalu menentang rasul mereka serta banyak bertanya kepadanya.

"dan kerana mereka menghalangi dari jalan Allah banyak." 

Yakni mereka menghalang-halangi manusia dan diri mereka sendiri dari mengikuti perkara yang hak. Sikap tersebut merupakan watak mereka sejak zaman dahulu hingga sekarang tanpa ada perubahan. Kerana itulah mereka adalah musuh para rasul; mereka banyak membunuh nabi-nabi, juga mendustakan Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w.

"161. Dan kerana mereka mengambil riba, dan sungguh mereka dilarang darinya," 

Allah s.w.t. telah melarang mereka melakukan riba dan telah disebutkan dalam Taurat, tetapi mereka menjalankannya dan menjadikannya sebagai pekerjaan, lalu mereka melakukan berbagai macam kilah dan pengelabuan untuk menutupinya, dan mereka memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

"dan kerana mereka makan harta manusia dengan cara batil." 

Seperti menerima suap atau rasuah dalam hukum.

"Dan Kami sediakan bagi orang-orang kafir dari mereka azab yang pedih." 

Iaitu sebagai balasan di akhirat pula.

Setelah disebutkan aib-aib Ahli Kitab, Allah s.w.t. menyebutkan orang-orang yang terpuji di antara mereka.

"162. Akan tetapi orang-orang yang mendalam dalam ilmu di antara mereka," 

Maksudnya, orang-orang yang kuat agamanya; mereka mempunyai kedudukan yang kuat dalam bidang ilmu yang bermanfaat. Keyakinan tertanam dalam hati mereka dan membuahkan keimanan.

"dan orang-orang yang beriman," 

Seperti kaum Muhajirin, Ansar dan selain mereka, di mana iman mereka membuahkan amal yang soleh.

"mereka beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu, dan apa yang diturunkan sebelummu," 

Mereka semuanya masuk Islam dan beriman kepada Al Qur'an dan kitab-kitab sebelumnya seperti Abdullah ibnu Salam, Sa'labah ibnu Sa'ih, Asad ibnu Sa'ih, dan Asad ibnu Ubaid.

"dan orang-orang yang mendirikan solat" 

Mereka juga mendirikan solat yang merupakan amal yang paling utama. Mereka mengakui kewajiban solat dan kefarduannya atas diri mereka. Di dalam solat terdapat sikap ikhlas kepada Allah.

"dan orang-orang yang menunaikan zakat" 

Menunaikan zakat juga merupakan amal yang paling utama. Dalam zakat terdapat ihsan kepada hamba-hamba Allah. Zakat di sini bermaksud zakat harta benda, zakat badan (fitrah) atau kedua-duanya.

"dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir." 

Mereka percaya bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah. Mereka juga beriman kepada hari akhir, adanya hari berbangkit sesudah mati, dan hari pembalasan semua amal yang baik dan buruk. Mereka takut terhadap ancaman dan mengharap balasan yang telah dijanjikan.

"Mereka itu akan Kami beri semua pahala yang besar."

Oleh kerana mereka berilmu, mendirikan solat, menunaikan zakat, beramal soleh, beriman kepada kitab-kitab dan rasul-rasul yang dahulu maupun yang datang kepada mereka, maka Allah s.w.t. akan berikan kepada mereka pahala yang besar iaitu syurga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...