Isnin, 19 Disember 2016

46:26-28 Tafsir Surah Al Ahqaf, ayat 26-28.

وَلَقَدْ مَكَّنَّاهُمْ فِيمَا إِنْ مَكَّنَّاكُمْ فِيهِ وَجَعَلْنَا لَهُمْ سَمْعًا وَأَبْصَارًا وَأَفْئِدَةً فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ سَمْعُهُمْ وَلا أَبْصَارُهُمْ وَلا أَفْئِدَتُهُمْ مِنْ شَيْءٍ إِذْ كَانُوا يَجْحَدُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَحَاقَ بِهِمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (٢٦) وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا مَا حَوْلَكُمْ مِنَ الْقُرَى وَصَرَّفْنَا الآيَاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٢٧) فَلَوْلا نَصَرَهُمُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ قُرْبَانًا آلِهَةً بَلْ ضَلُّوا عَنْهُمْ وَذَلِكَ إِفْكُهُمْ وَمَا كَانُوا يَفْتَرُونَ (٢٨)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan keadaan umat-umat terdahulu.

"26. Dan sungguh, Kami teguhkan mereka dalam apa yang tidak Kami teguhkan kedudukan kalian di dalamnya," 

Kami telah meneguhkan mereka dengan kemakmuran dan kekuatan dalam kehidupan di dunia dalam hal harta benda dan anak-anak, dan Kami telah memberikan kepada mereka sebahagian dari hal itu dalam jumlah yang belum pernah Kami berikan kepadamu hal yang serupa dengannya dan tidak pula mendekatinya.

Oleh kerana itu, jangan kamu menyangka bahawa peneguhan Kami kepada kamu hanya diberikan kepadamu saja, dan bahawa hal itu akan menghindarkan kamu dari azab Allah. Bahkan selain kamu juga diberikan peneguhan. Namun harta, anak-anak dan tentera mereka tidak berguna bagi mereka sedikit pun dari azab Allah.

"dan Kami jadikan kepada mereka pendengaran, dan penglihatan, dan hati;"

Pendengaran, penglihatan dan hati mereka normal.

"maka tidak berguna bagi mereka pendengaran mereka, dan tidak penglihatan mereka, dan tidak hati mereka sedikit pun," 

Mereka meninggalkan kebenaran bukan kerana kebodohan, tidak dapat mengetahui atau kurang akal. Akan tetapi taufiq di Tangan Allah.

"kerana mereka mengingkari pada ayat-ayat Allah," 

Mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Allah yang menunjukkan keesaanNya dan keberhakanNya untuk diibadahi saja.

"dan meliputi pada mereka apa yang mereka padanya memperolok-olok."

Kesudahannya mereka telah diliputi oleh azab dan pembalasan yang dahulunya mereka dustakan dan mereka anggap mustahil kejadiannya. Oleh itu berhati-hatilah dan berwaspadalah kalian. Janganlah kalian meniru mereka. Akibatnya kalian akan ditimpa azab dan pembalasan seperti apa yang telah Allah timpakan kepada mereka, iaitu azab di dunia dan akhirat.

"27. Dan sungguh, Kami binasakan apa yang di sekitar kalian dari negeri-negeri," 

Negeri-negeri di sekitarmu ialah umat-umat yang tinggal di negeri-negeri yang berada di sekitar kota Mekah, iaitu Al Ahqaf, Yaman, Al Hijr, Sadum, Ma'rib dan lain-lain.

"dan Kami ulang-ulang ayat-ayat agar mereka kembali." 

Allah s.w.t. telah menerangkan, menjelaskan dan mengulang-ulang ayat-ayatNya, tanda-tanda kebesaranNya dan menampilkan dengan bermacam cara kepada mereka agar mereka bertaubat kepada Allah, meninggalkan kekafiran dan berhenti mendustakan.

Namun mereka tetap tidak beriman, sehingga Allah menghukum mereka dengan hukuman dari Tuhan yang Mahaperkasa lagi Mahakuasa, dan sesembahan yang mereka sembah selain Allah itu tidak bermanfaat apa-apa bagi mereka.

"28. Maka mengapa tidak menolong mereka orang-orang yang mereka telah menjadikan dari selain Allah mendekatkan diri Tuhan?" 

Sesembahan mereka tidak dapat menolong mereka di saat mereka memerlukan pertolongannya.

"Bahkan mereka lenyap dari mereka;"

Bahkan sesembahan itu tidak ada bersama mereka ketika azab menimpa mereka.

"dan itulah kebohongan mereka" 

Itulah akibat mengambil berhala dan patung sebagai sesembahan selain Allah dengan anggapan bahawa hal itu dapat mendekatkan diri mereka kepadaNya serta dapat memberi manfaat bagi mereka.

"dan apa yang mereka ada-adakan." 

Mereka ada-adakan dari diri mereka sendiri dengan menyembah tuhan-tuhan selain Allah. Sesungguhnya mereka telah teramat rugi dan kecewa kerana menyembah banyak tuhan dan berpegang kepada sesembahan itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...