Selasa, 20 Disember 2016

53:1-18 Tafsir Surah An Najm, ayat 1-18.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (١) مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (٢) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (٣) إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (٤) عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (٥) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (٦) وَهُوَ بِالأفُقِ الأعْلَى (٧) ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (٨) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (٩) فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى (١٠) مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى (١١) أَفَتُمَارُونَهُ عَلَى مَا يَرَى (١٢) وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (١٣) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (١٤) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (١٥) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (١٦) مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى (١٧) لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى (١٨)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Demi bintang apabila terbenam." 

Allah s.w.t. bersumpah dengan bintang ketika terbenam di ufuk di akhir malam ketika malam pergi dan siang datang. Pada waktu itu terdapat ayat-ayat Allah yang besar.

Allah s.w.t. bersumpah dengan bintang untuk menerangkan kebenaran wahyu ilahi yang dibawa Rasulullah s.a.w. kerana di sana terdapat persesuaian yang menakjubkan.

Pencipta boleh saja bersumpah dengan menyebut nama makhlukNya yang dikehendakiNya, tetapi bagi makhluk tidak boleh bersumpah dengan menyebut nama selain Tuhan Yang Maha Pencipta (Allah s.w.t.).

Allah s.w.t. menjadikan bintang-bintang sebagai hiasan bagi langit, demikian pula wahyu dan atsar (pengaruh)nya sebagai hiasan bagi bumi. Jika tidak ada ilmu yang diwariskan dari para nabi, tentu manusia berada dalam kegelapan, bahkan lebih gelap dari malam yang kelam.

Bintang yang dimaksudkan adalah bintang surayya, iaitu apabila terbenam bersamaan dengan munculnya fajar, bintang zahrah (venus) atau bintang dilemparkan ke arah syaitan-syaitan. Maksudnya juga waktu di mana Al Qur'an diturunkan.

"2. Tidak sesat kawan kalian dan tidak keliru." 

Inilah isi sumpah di atas, iaitu untuk membersihkan Nabi Muhammad s.a.w. dari tuduhan sesat dan keliru dalam ilmunya dan dalam niatnya. Orang yang sesat ialah orang yang menempuh jalan menyimpang tanpa pengetahuan. Dan orang yang keliru ialah orang yang mengetahui kebenaran, tetapi dengan sengaja menyimpang darinya.

Disebutkan “kawanmu” untuk mengingatkan mereka, bahawa mereka telah mengenal keadaan dan peribadi Beliau yang penuh dengan kejujuran dan petunjuk, dan bahawa keadaan Beliau tidak samar bagi mereka.

Isi sumpah itu juga adalah kesaksian terhadap Rasulullah s.a.w. bahawa Beliau adalah orang yang berada pada jalan yang lurus dan mengikuti kebenaran.

"3. Dan tidak dia berkata dari hawa nafsu." 

Beliau s.a.w. ma’sum dalam hal yang Beliau sampaikan dari Allah. Al Qur'an dan As Sunnah (hikmah) yang diucapkannya itu bukanlah keluar dari hawa nafsunya dan bukan pula kerana dilatarbelakangi tujuan.

Beliau s.a.w. adalah orang yang mendapat petunjuk dalam ilmunya dan memberi petunjuk yang baik niatnya serta bersikap tulus kepada umatnya.

"4. Tidak lain ia kecuali wahyu yang diturunkan." 

Al Qur'an dan As Sunnah yang diucapkannya itu hanyalah semata-mata berdasarkan wahyu yang diperintahkan kepadanya untuk ia sampaikan kepada manusia dengan sempurna dan apa adanya tanpa penambahan atau pengurangan.

"5. Mengajarkan padanya sangat kuat." 

Malaikat Jibril a.s. telah mengajarkan kepadanya apa yang harus ia sampaikan kepada manusia. Jibril a.s. adalah malaikat yang paling utama, paling mulia, paling sempurna dan paling kuat. Jibril a.s. sangat kuat fizikalnya maupun batinnya, kuat melaksanakan perintah Allah, kuat menyampaikan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. dan kuat menjaganya dari disentuh oleh syaitan serta dimasukkan oleh syaitan sesuatu yang bukan darinya.

"6. Mempunyai kekuatan, lalu dia cukup sempurna." 

Jibril a.s. mempunyai kekuatan yang hebat, fizikal yang indah, bentuk yang tinggi dan penampilan yang baik. Pertama kali Beliau s.a.w. melihat Jibril a.s. dalam bentuk asal semasa berada di bumi.

Pada masa permulaan Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi utusan, iaitu pada saat pertama kalinya Jibril a.s. datang menemuinya, lalu Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya permulaan surah Al 'Alaq. Setelah itu wahyu mengalami fatrah (kesenjangan).

Di masa-masa itu acapkali Nabi s.a.w. pergi ke puncak bukit untuk menjatuhkan diri dari atas. Tetapi setiap kali Beliau s.a.w. hendak menjatuhkan dirinya, Jibril memanggilnya dari angkasa, "Hai Muhammad, engkau adalah utusan Allah, dan aku Malaikat Jibril!" Maka tenanglah hati beliau s.a.w., tidak gelisah lagi.

Ketika masa berlalu cukup lama, maka Nabi s.a.w. kembali hendak melakukan tindakan tersebut. Nabi s.a.w. meminta kepada Jibril a.s. agar menampakkan rupa asalnya kepada Beliau. Maka Jibril a.s. berkata, "Berdoalah kepada Allah." Maka Nabi s.a.w. berdoa memohon hal tersebut kepada Allah s.w.t. Maka Jibril a.s. menampakkan rupa asalnya sejak ia diciptakan oleh Allah s.w.t. kepada Beliau s.a.w.

"7. Dan dia di ufuk yang tinggi." 

Jibril a.s. berada di ufuk atau cakerawala langit yang tertinggi dari bumi, iaitu tempat yang datang darinya cahaya subuh, tempat terbitnya matahari, tempat datangnya siang atau dari arah timur. Kelihatan oleh Nabi s.a.w. bayangan hitam yang kian lama kian menaik dan menyebar menutupi ufuk atau cakerawala langit kerana besarnya yang tidak terperi.

Jibril a.s. memiliki enam ratus sayap. Setiap sayapnya memenuhi ufuk. Dari bulu-bulu sayapnya bertebaran beraneka warna permata, mutiara dan yaqut. Hanya Allah sendirilah Yang Mengetahui keindahan dan banyaknya.

"8. Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat." 

Jibril a.s. turun ke bumi mendekati Nabi Muhammad s.a.w.

"9. Maka dia jarak dua busur atau lebih dekat." 

Jaraknya terlalu dekat hingga tidak ada lagi perantara antara malaikat Jibril a.s. dengan Nabi Muhammad s.a.w. Maka sejak saat itu Nabi s.a.w. mengetahui besarnya malaikat yang membawakan wahyu kepadanya, juga mengetahui tentang keagungan dan ketinggian kedudukan malaikat itu di sisi Penciptanya yang telah mengangkat dia sebagai rasul.

"10. Maka Dia mewahyukan kepada hamba-hamba apa yang Dia wahyukan." 

Lalu Jibril mewahyukan kepadanya syariat yang besar dan berita yang lurus seperti yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepadanya.

"11. Tidak mendustakan hati apa yang dia lihat." 

Hati, penglihatan dan pendengaran Rasulullah s.a.w. percaya, tidak ragu-ragu, tidak mendustakan, meyakininya dengan sepenuh hati bahawa apa yang dilihat matanya adalah malaikat Jibril a.s. dan apa yang disampaikan kepadanya adalah wahyu yang sempurna dari Allah s.w.t.

"12. Maka apakah kalian membantahnya atas apa yang dia lihat?" 

Kaum musyrikin Mekah tidak percaya bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat malaikat Jibril a.s.

"13. Dan sungguh, dia telah melihatnya pada waktu yang lain." 

Nabi Muhammad s.a.w. melihat Jibril a.s. dalam rupanya yang asalnya seperti yang diciptakan oleh Allah s.w.t. kedua kalinya pada waktu yang lain.

"14. Di sisi Sidhratil Muntaha." 

Penglihatan kedua itu berlaku ketika Rasulullah s.a.w. menjalani Isra, semasa Beliau s.a.w. sampai di Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Sidratul Muntaha adalah pohon bidara yang sangat besar. Dahan-dahan Sidrah terdiri dari mutiara, yaqut, dan zabarjad.

Dari situlah berhenti semua yang naik dari bumi, lalu diambil darinya. Darinya juga berhenti segala sesuatu yang turun dari atasnya, lalu diambil darinya. Tempat itu adalah tempat ruh-ruh yang tinggi, bersih, indah, tidak didekati oleh syaitan serta ruh jahat lainnya.

"15. Di sisinya syurga tempat tinggal." 

Syurga berada di tempat yang paling tinggi, di langit yang ketujuh. Tempat yang mencakup semua kenikmatan. Tempat tersebut adalah tempat kembali segala cita-cita dan harapan dan tempat dimana para malaikat, ruh para syuhada’ dan orang-orang yang bertakwa kembali kepadanya.

"16. Ketika meliputi Sidratil Muntaha apa yang meliputi." 

Ketika itu Sidrah diliputi oleh nur Tuhan Yang Maha Pencipta. Para malaikat yang berdiri pada setiap daunnya seraya bertasbih menyucikan Allah s.w.t. Permandangannya seperti burung-burung gagak yang menghinggapi sebuah pohon. Sidrah juga diliputi kupu-kupu emas, beraneka warna dan lain-lain lagi.

"17. Tidak berpaling penglihatan dan tidak melampaui batas." 

Nabi s.a.w. tidak menoleh ke kanan atau ke kirinya. Penglihatannya tidak menyimpang dari maksud yang diinginkan. Pandangannya juga tidak melampaui dari apa yang diperintahkan kepadanya. Allah s.w.t. menempatkan kepada Beliau tempat yang Allah tempatkan; tidak kurang darinya dan tidak melewatinya.

Nabi s.a.w. tidak berbuat melainkan berdasarkan apa yang diperintahkan kepadanya, tidak pula pernah meminta lebih dari apa yang diberikan kepadanya. Seandainya Beliau s.a.w. melihat hal yang lain dari apa yang telah dilihatnya, tentulah pandangannya akan tersesat. Ini merupakan sifat yang agung yang menggambarkan keteguhan hati, ketaatan, dan sempurnanya adab Nabi Muhammad s.a.w.

"18. Sungguh, dia telah melihat dari ayat-ayat Tuhannya yang paling besar." 

Rasulullah s.a.w. telah melihat Tuhannya dengan pandangan hatinya. Beliau s.a.w. telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah yang paling besar seperti syurga, neraka, bentuk asal Malaikat Jibril a.s. dan perkara-perkara lain semasa isra’ mi’raj.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...