Ahad, 26 Februari 2017

46:33-35 Tafsir Surah Al Ahqaf, ayat 33-35.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلَمْ يَعْيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٣٣) وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَلَيْسَ هَذَا بِالْحَقِّ قَالُوا بَلَى وَرَبِّنَا قَالَ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ (٣٤) فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ (٣٥)

Sebahagian manusia ingkar kepada adanya hari berbangkit di hari kiamat. Mereka menganggap mustahil tubuh-tubuh ini akan dihidupkan kembali di hari kemudian. Allah s.w.t. berfirman,

"33. Dan apakah tidak mereka lihat bahawasanya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi," 

Perhatikanlah langit dan bumi. Dialah yang menciptakan keduanya dengan keadaannya yang besar, luas dan sempurna.

"dan tidak merasa payah kerana menciptakannya," 

Menciptakan langit dan bumi itu adalah perkara mudah bagi Allah s.w.t. Dia hanya mengatakan, "Jadilah kamu!" Maka jadilah ia tanpa dapat dicegah atau ditolak, melainkan tunduk patuh memenuhi perintahNya dengan rasa takut.

"berkuasa untuk Dia menghidupkan orang mati?"

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. Maka menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati hanyalah perkara yang sangat mudah bagiNya.

"Begitulah, sesungguhnya Dia atas segala sesuatu Maha Kuasa." 

Oleh kerana itu, menciptakan atau menghidupkan manusia yang telah mati bukanlah hal yang mustahil kerana Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.

Sebahagian manusia mendustakan adanya pembalasan di akhirat. Allah s.w.t. berfirman mengancam dan memperingatkan mereka.

"34. Dan pada hari dihadapkan orang-orang yang kafir kepada neraka,"

Pada hari itu keadaan mereka sangat mengerikan. Mereka akan dicela dan akan dikatakan kepada mereka dengan nada kecaman,

"Bukankah ini benar?" 

Bukankah azab neraka ini benar? Apakah ini sihir atau kalian tidak nampak?

"Mereka berkata, "Ya, demi Tuhan kami.""

Tiada lagi alasan dan jalan lain bagi mereka. Mereka pun mengakui dosa mereka dan jelaslah kedustaan mereka.

"Dia berkata, "Maka rasakanlah azab kerana adalah kalian, kalian mengingkarinya."" 

Rasakanlah azab yang kekal ini kerana kekafiranmu sentiasa melekat dalam dirimu padahal hujjah telah ditegakkan.

Allah s.w.t. berfirman kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w.,

"35. Maka bersabarlah sebagaimana bersabar orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul" 

Bersabarlah kamu dalam menghadapi gangguan orang-orang yang mendustakan dan menentangmu. Sentiasalah mengajak manusia kepada Allah. Bersabarlah seperti kesabaran para rasul ulul ‘azmi (yang mempunyai keteguhan hati dan cita-cita yang tinggi) dalam menghadapi kaum masing-masing yang mendustakan mereka. Mereka adalah para pemimpin manusia yang kuat kesabarannya, sempurna keyakinannya dan mereka adalah manusia yang paling berhak diteladani dan diikuti jejaknya.

Maka Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan perintah Tuhannya. Bahkan Beliau s.a.w. bersabar dengan kesabaran yang tidak pernah dilakukan oleh nabi sebelumnya. Musuh-musuhnya berkumpul bersama menentang dakwahnya. Tetapi Beliau s.a.w. tegar mendakwahi manusia kepada Allah. Bahkan sampai melakukan jihad melawan musuh-musuh Allah. Beliau s.a.w. bersabar terhadap gangguan yang menimpanya sampai Allah memberikan kekuasaan kepadanya, memenangkan agamaNya di atas semua agama serta melebihkan umatnya di atas semua umat. Semoga salawat dan salam dilimpahkan ke atas Beliau s.a.w.

Kaum kafir mencabar Beliau s.a.w. agar menyegerakan azab ke atas mereka. Allah s.w.t. berfirman kepada Beliau s.a.w.,

"dan janganlah kamu minta disegerakan bagi mereka." 

Mereka meminta disegerakan azab adalah kerana kebodohan mereka, oleh kerana itu jangan terpengaruh olehnya sehingga membuatmu mendoakan keburukan atas mereka. Tugasmu hanya menyampaikan. Biarkanlah Aku saja yang bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar.

"Seakan-akan mereka pada hari mereka melihat apa yang diancamkan, tidak mereka tinggal kecuali sesaat dari siang hari."

Pada hari itu mereka akan merasa seolah-olah mereka tinggal di dunia hanya sebentar diwaktu petang atau pagi hari. Oleh kerana itu, janganlah kamu disedihkan kerana mereka bersenang-senang. Mereka hanya bersenang-senang sebentar saja dan mereka akan kembali kepada azab yang pedih dan kekal selamanya.

"Penjelasan." 

Cukuplah menjadi pelajaran. Balagh bermaksud masa tinggal di dunia itu adalah masa yang cukup. Kehidupan dan kesenangan dunia itu keadaannya memadai namun kurang.

Balagh juga bermaksud Al Qur'an ini adalah pelajaran yang cukup. Allah s.w.t. telah jelaskan dengan penjelasan yang sempurna, cukup dan menyampaikan ke akhirat. Ia adalah sebaik-baik bekal yang dapat menyampaikan ke syurga dan memelihara seseorang dari neraka.

Ia merupakan bekal paling utama yang harus dipegang oleh seseorang agar sampai ke sana, dan merupakan nikmat yang paling besar yang Allah anugerahkan kepada mereka. Penerangan yang demikian sudah cukup menjadi pelajaran bagi orang-orang yang mahu insaf.

"Maka tidaklah dibinasakan kecuali kaum yang fasik." 

Mereka adalah orang-orang yang sudah tidak ada lagi kebaikannya, telah keluar dari ketaatan kepada Tuhan mereka dan tidak menerima kebenaran yang dibawa para rasul. Allah s.w.t. telah memperingatkan mereka, namun mereka tetap berada di atas pendustaan dan kekafiran.

Tiada yang dibinasakan oleh Allah kecuali hanyalah orang yang binasa. Ini merupakan keadilan dariNya. Dia hanya mengazab orang-orang yang berhak mendapat azab. Kita berlindung kepada Allah dari hal tersebut. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Selesai tafsir surah Al Ahqaf dengan pertolongan Allah dan taufiqNya wal hamdulillahi Rabbil ‘alamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...