Rabu, 26 April 2017

9:128-129 Tafsir Surah At Taubah, ayat 128-129.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (١٢٨) فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (١٢٩)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan limpahan nikmat yang telah diberikanNya kepada orang-orang mukmin melalui seorang rasul yang diutus olehNya,

"128. Sungguh telah datang kepada kalian Rasul dan diri kalian," 

Nabi Ibrahim a.s. telah berdoa, "Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri."

Allah s.w.t. memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman dengan mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan atau dari kalangan mereka sendiri, iaitu dari bangsa mereka dan sebahasa dengan mereka, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mengenal nasab (keturunan)nya, sifatnya, tempat keluar dan tempat masuknya, serta kebenaran (kejujuran) dan amanahnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku dilahirkan dari hasil pernikahan dan bukan dilahirkan dari sifah (perkahwinan ala Jahiliah), sejak Adam hingga ayah dan ibuku melahirkan diriku. Dan tiada sesuatupun dari sifat Jahiliah  yang menyentuhku.”

"berat terasa atasnya apa yang kalian derita," 

Iaitu terasa berat olehnya sesuatu yang membuat umatnya menderita kerananya. Di dalam hadis sahih disebutkan, "Sesungguhnya agama ini mudah, semua syariatnya mudah, penuh dengan toleransi lagi sempurna. Ia mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah dalam mengerjakannya."

Nabi s.a.w. bersabda, "Aku diutus dengan membawa agama Islam yang hanif lagi penuh dengan toleransi."

"sangat menginginkan keselamatan atas kalian," 

Beliau s.a.w. sangat menginginkan kalian mendapat hidayah, keimanan, keamanan, keselamatan, manfaat dunia dan akhirat. Beliau s.a.w. telah mengajarkan ilmu, menjelaskan semua perkara yang mendekatkan kepada syurga dan menjauhkan dari neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali mengharamkan sesuatu melainkan Dia telah mengetahui bahawa kelak akan ada dari kalian yang melanggarnya. Ingatlah, sesungguhnya akulah yang menghalang-halangi kalian agar jangan sampai kalian berhamburan terjun ke neraka sebagaimana berhamburannya laron (kelkatu) atau lalat."

"terhadap orang-orang mukmin sangat penyantun sangat penyayang." 

Beliau s.a.w. mengasihani, menyayangi dan merendah dirinya terhadap orang-orang yang beriman. Oleh kerana itu, hak Beliau s.a.w. harus didahulukan di atas semua hak makhluk, dan wajib bagi umatnya beriman kepadanya, memuliakannya, membantunya dan menghormatinya.

"129. Maka jika mereka berpaling, maka katakanlah, "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan kecuali Dia. AtasNya aku bertawakkal. Dan Dia Tuhan 'Arasy yang agung.""

Jika umatnya menderhaka, berpaling dari keimanan dan berpaling apa yang Beliau s.a.w. sampaikan, iaitu syariat yang agung, suci, sempurna lagi global, maka Allah lah yang memberikan kecukupan kepadanya. Beliau s.a.w. tidak bertanggung jawab terhadap apa yang mereka kerjakan.

Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah. Hanya kepadaNya Beliau s.a.w. bertawakal dalam meraih hal yang bermanfaat dan menghindarkan hal yang bermadharrat. Dialah yang memiliki segala sesuatu, dan Dia juga yang menciptakannya, kerana Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arasy yang agung yang merupakan atap dari semua makhluk.

Disebutan ‘Arasy secara khusus, kerana ia merupakan makhluk Allah yang paling besar. Semua makhluk mulai dari langit, bumi, dan segala sesuatu yang ada pada keduanya serta segala sesuatu yang ada di antara keduanya berada di bawah 'Arasy dan tunduk patuh di bawah kekuasaanNya. Pengetahuan (ilmu) Allah meliputi segala sesuatu, kekuasaanNya menjangkau segala sesuatu, dan Dialah yang melindungi segala sesuatu.

Selesai tafsir surah At Taubah (Bara’ah). Segala puji dan anugerah hanyalah milik Allah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...