Khamis, 27 April 2017

11:69-76 Tafsir Surah Hud, ayat 69-76.

وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَى قَالُوا سَلامًا قَالَ سَلامٌ فَمَا لَبِثَ أَنْ جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ (٦٩) فَلَمَّا رَأَى أَيْدِيَهُمْ لا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً قَالُوا لا تَخَفْ إِنَّا أُرْسِلْنَا إِلَى قَوْمِ لُوطٍ (٧٠) وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِنْ وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ (٧١) قَالَتْ يَا وَيْلَتَا أَأَلِدُ وَأَنَا عَجُوزٌ وَهَذَا بَعْلِي شَيْخًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عَجِيبٌ (٧٢) قَالُوا أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ رَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ إِنَّهُ حَمِيدٌ مَجِيدٌ (٧٣) فَلَمَّا ذَهَبَ عَنْ إِبْرَاهِيمَ الرَّوْعُ وَجَاءَتْهُ الْبُشْرَى يُجَادِلُنَا فِي قَوْمِ لُوطٍ (٧٤) إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَحَلِيمٌ أَوَّاهٌ مُنِيبٌ (٧٥) يَا إِبْرَاهِيمُ أَعْرِضْ عَنْ هَذَا إِنَّهُ قَدْ جَاءَ أَمْرُ رَبِّكَ وَإِنَّهُمْ آتِيهِمْ عَذَابٌ غَيْرُ مَرْدُودٍ (٧٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"69. Dan sesungguhnya telah datang para utusan Kami Ibrahim dengan membawa khabar gembira," 

Allah s.w.t. mengutus sejumlah malaikat kepada Ibrahim a.s. dengan membawa berita gembira kepadanya. Maka para malaikat itu menyerupakan dirinya sebagai pemuda yang tampan-tampan; mereka berjalan dan singgah di rumah Nabi Ibrahim a.s., bertamu kepadanya.

"mereka berkata, "Salam." Dia menjawab, "Salam.""

Para malaikat mengucapkan, "Semoga keselamatan terlimpahkan atas kalian.” Ibrahim a.s. menjawab, "Semoga keselamatan juga terlimpahkan atas kalian.” Ungkapan ini merupakan ungkapan salam penghormatan yang baik, kerana bacaan rafa menunjukkan pengertian tetap dan selamanya.

Dalam ayat ini terdapat dalil disyari’atkannya mengucapkan salam, dan bahawa ia termasuk ajaran Nabi Ibrahim, dan bahawa salam didahulukan sebelum berbicara, begitu juga sepatutnya menjawab salam melebihi ucapan yang pertama mengucapkan.

"Maka tidaklah lama, lalu dia datang dengan membawa daging anak lembu yang dipanggang." 

Ayat ini mengandungi etika penghormatan kepada tetamu. Haniz ertinya dipanggang di atas batu yang dipanaskan. Ibrahim a.s. pergi dengan diam-diam, lalu segera kembali seraya membawa hidangan daging lembu muda gemuk yang dipanggang buat tetamunya itu. Ibrahim a.s. duduk bersama mereka, sedangkan Sarah (isteri Nabi Ibrahim a.s.) berdiri melayani tetamu itu. Apabila jamuan telah terhidang, Ibrahim a.s. berkata, "Silakan kalian makan.”

Mereka menjawab, "Hai Ibrahim, sesungguhnya kami tidak mahu memakan sesuatu makanan kecuali dengan membayar harga (imbalan)nya." Ibrahim a.s. berkata, "Sesungguhnya makanan ini pun ada harganya." Mereka bertanya, "Apakah harganya?" Ibrahim berkata, "Kalian sebutkan asma Allah pada permulaannya, kemudian kalian memuji kepadaNya di akhirnya." Maka Jibril melihat kepada Mikail seraya berkata, "Orang ini berhak bila dijadikan oleh Tuhannya sebagai kekasihNya."

"70. Maka tatkala melihat tangan mereka tidak sampai kepadanya, dia mencurigai mereka dan dia merasa kepada mereka ketakutan." 

Ibrahim a.s. melihat tetamunya sama sekali tidak menjamah hidangannya. Beliau merasa terkejut dan pelik. Timbullah rasa takut dan curiga di hatinya terhadap mereka. Beliau menyangka bahawa mereka datang membawa keburukan atau hal yang tidak diinginkan. Ketika itu Beliau belum mengetahui tentang mereka.

Lain halnya dengan Sarah. Ketika dia melihat bahawa Ibrahim a.s. telah menghormati mereka, ia bangkit melayani mereka dengan tersenyum ramah seraya berkata, "Sungguh aneh tetamu kita ini, mereka kita layani secara langsung sebagai penghormatan kita kepada mereka, tetapi mereka tidak mahu menyantap sajian kita ini."

Demikian itu kerana malaikat tidak memerlukan makanan, tidak menginginkannya dan tidak pernah memakannya. Para malaikat melihat Ibrahim a.s. sedang cemas.

"Mereka berkata, "Janganlah kamu takut sungguh kami diutus kepada kaum Lut.""

Tetamu Ibrahim a.s. itu sebenarnya para malaikat yang diutuskan untuk membinasakan kaum Lut a.s. Jibril a.s. berkata kepada Ibrahim a.s., "Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk negeri (Sodom) ini."

"71. Dan isterinya berdiri lalu dia tertawa, maka Kami beri khabar gembira kepadanya dengan kelahiran Ishaq. Dan dari Ishaq akan lahir Ya'qub." 

Sarah berdiri di samping Ibrahim a.s. Dia tersenyum mendengar berita bahawa mereka akan dibinasakan. Mereka telah banyak menimbulkan kerosakan, kekufuran dan keingkaran mereka sudah terlalu berat. Sedangkan mereka dalam keadaan lalai.

Kepada Sarah pula diberikan berita gembira akan lahir darinya Ishaq a.s. Sesudah Ishaq a.s., akan lahir pula cucunya Ya'qub a.s., sedangkan Ibrahim a.s. masih hidup dan menyaksikannya. Sarah tercengang, lalu menepuk mukanya sendiri.

"72. Dia berkata, "Aduhai! Apa aku akan melahirkan dan aku sudah tua dan ini suamiku sudah tua? Sesungguhnya ini sungguh sesuatu yang sangat aneh."

Sarah sudah lama putus asa dari mempunyai anak. Dia seorang perempuan tua yang mandul. Usianya sudah 99 tahun. Ibrahim a.s. juga sudah sangat tua. Ketika itu usianya sudah 100 tahun atau 120 tahun. Kelahiran anak dari kedua orang yang sudah sangat tua benar-benar sesuatu yang ajaib. Para malaikat menjawab kepada Sarah,

"73. Mereka berkata, "Apakah kamu merasa hairan dari ketetapan Allah? Rahmat Allah dan berkahNya atas kalian wahai ahlul bait.""

Janganlah kamu merasa hairan tentang kekuasaan Allah terlebih lagi dalam hal tadbir (pengaturan dan pengurusan)Nya untuk penghuni rumah yang diberkahi ini. Sesungguhnya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya mengatakan kepadanya, 'Jadilah.' Maka jadilah ia. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Itu adalah rahmat dan berkahNya, iaitu tambahan kebaikan dari Allah kepada hambaNya, yang dicurahkan kepada kamu, wahai ahlul bait Ibrahim a.s.

"Sungguh Dia Maha Terpuji Maha Mulia."

Dia Maha Terpuji dalam semua perbuatan, ucapan, sifat dan zatNya. SifatNya sempurna, dan perbuatanNya adalah ihsan, kepemurahan, baik, penuh hikmah, dan adil.

"74. Maka tatkala lenyap dari Ibrahim rasa takut dan datang kepadanya berita gembira, dia mendebat Kami tentang kaum Lut." 

Ibrahim a.s. berkata kepada para malaikat, "Apakah kalian akan menghancurkan suatu kota yang di dalamnya terdapat tiga ratus orang mukmin?" Mereka menjawab, "Tidak." Ibrahim a.s. berkata, "Apakah kalian akan membinasakan suatu kota yang didalamnya terdapat dua ratus orang mukmin?" Mereka menjawab, "Tidak."

Ibrahim a.s. berkata, "Apakah kalian akan menghancurkan suatu kota yang di dalamnya terdapat empat puluh orang mukmin?" Mereka menjawab, "Tidak." Ibrahim a.s. berkata, "Tiga puluh orang mukmin?" Mereka menjawab, "Tidak," hingga sampai menyebut lima orang mukmin, dan mereka menjawab, "Tidak."

Ibrahim a.s. bertanya, "Bagaimanakah pendapat kalian jika di dalamnya terdapat seorang lelaki muslim, apakah kalian akan menghancurkan mereka juga?" Mereka menjawab, "Tidak." Maka pada saat itu juga Ibrahim a.s. berkata, "Sesungguhnya di kota itu ada Lut.”

Para malaikat berkata, "Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya.” Maka Ibrahim a.s. diam tidak membantah mereka dan hatinya tenang.

"75. Sesungguhnya Ibrahim sangat penyantun, penghiba yang suka kembali." 

Ibrahim a.s. itu seorang yang penyantun, penyabar, berakhlak mulia, lapang dada, dan tidak lekas marah bila ada tindakan bodoh dari orang-orang yang bodoh. Beliau seorang penghiba, bertimbang rasa, lembut hati dan sentiasa merendahkan diri kepada Allah di setiap waktu. Beliau suka kembali kepada Allah dengan mengenaliNya dan mencintaiNya, menghadapkan diri kepadaNya, berpaling dari selainNya dan dengan mengerjakan amal bakti.

Ketika soal jawab dilakukan cukup lama, maka para malaikat berkata,

"76. Wahai Ibrahim! Tinggalkanlah masalah ini. Bahawasanya sungguh telah datang ketetapan Tuhan kamu, dan sungguh mereka datang kepada mereka azab tidak dapat ditolak." 

Wahai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini. Ketetapan Allah telah dilangsungkan terhadap mereka, ketentuan perintah Tuhan telah berhak mereka terima untuk kebinasaan mereka, dan azabNya yang tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa dengan bantahan atau pun doa permohonan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...