Sabtu, 29 April 2017

13:5-7 Tafsir Surah Ar Ra’d, Ayat 5-7.

وَإِنْ تَعْجَبْ فَعَجَبٌ قَوْلُهُمْ أَئِذَا كُنَّا تُرَابًا أَئِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ الأغْلالُ فِي أَعْنَاقِهِمْ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (٥) وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمُ الْمَثُلاتُ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِلنَّاسِ عَلَى ظُلْمِهِمْ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ الْعِقَابِ (٦) وَيَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِنْ رَبِّهِ إِنَّمَا أَنْتَ مُنْذِرٌ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ (٧)

Allah s.w.t. berfirman kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"5. Dan jika kamu merasa hairan," 

Kamu hairan melihat orang-orang musyrik mendustakan hari kebangkitan, padahal mereka menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah dan bukti-bukti kebesaranNya pada makhlukNya, yang menunjukkan bahawa Dia Mahakuasa atas semua apa yang dikehendakiNya. Mereka juga telah mengakui bahawa Allah lah yang memulai penciptaan segala sesuatu. Dialah yang mengadakannya, padahal sebelum itu tidak ada.

"maka yang menghairankan perkataan mereka, "Apakah apabila kami menjadi tanah apakah kami sungguh dalam ciptaan yang baru?""

Maka hal yang lebih menghairankan adalah mereka mendustakan berita dari Allah yang menyatakan bahawa Dia kelak akan menghidupkan kembali semua umat dalam penciptaan yang baru, padahal mereka telah mengakui dan menyaksikan hal-hal yang lebih menakjubkan daripada apa yang mereka dustakan terhadap Allah itu.

Setiap orang yang berilmu dan berakal telah mengetahui bahawa penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, dan bahawa Tuhan yang telah memulai penciptaan makhlukNya, lebih mudah bagiNya untuk menghidupkannya kembali setelah semuanya mati.

Menurut mereka, hal itu adalah mustahil, jika makhluk tidak mampu, Al Khaliq (Allah s.w.t.) juga tidak mampu. Kerana kebodohan mereka, mereka mengqiaskan kemampuan Allah dengan kemampuan makhluk.

"Mereka itu orang-orang yang kafir kepada Tuhan mereka; dan mereka itu dibelenggu pada leher mereka." 

Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah. Merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka, yang menghalangi mereka dari mengikuti petunjuk. Ketika mereka diajak beriman, mereka tidak mahu beriman. Ketika disodorkan petunjuk kepada mereka, namun mereka tidak mahu mengambilnya. Dengan belenggu-belenggu itu mereka diseret ke dalam neraka.

"Dan mereka itu para penghuni neraka. Mereka di dalamnya kekal."

Mereka tinggal di dalam neraka untuk selama-lamanya, tidak akan dipindahkan darinya, tidak pula dilenyapkan.

Betapa bodohnya orang-orang yang mendustakan rasul lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu. Mereka diberi nasihat namun tidak mahu menerimanya, yang telah ditegakkan hujjah namun tidak mahu tunduk kepadanya, bahkan terang-terangan menampakkan keingkaran. Mereka berdalih dengan santunnya Allah terhadap mereka dan tidak mengazab mereka segera bahawa mereka di atas kebenaran.

"6. Dan mereka memintamu untuk dipercepat keburukan, sebelum kebaikan," 

Orang-orang musyrik mendustakan sambil mengejek, meminta kepada Nabi Muhammad s.a.w. agar dipercepatkan datangnya siksaan kepada mereka. Sepatutnya mereka meminta rahmat dan keselamatan terlebih dahulu.

"dan sungguh telah terjadi dari sebelum mereka beberapa contoh." 

Begitu banyak contoh azab Allah yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang mendustakan rasul. Dia jadikan mereka sebagai pelajaran bagi orang-orang yang mahu mengambil pelajaran atas apa yang telah menimpa mereka. Namun mereka tidak memikirkan keadaan itu dan tidak meninggalkan sikap bodohnya.

"Dan sungguh Tuhan kamu sungguh mempunyai ampunan bagi manusia atas kezaliman mereka," 

Sesungguhnya Allah mempunyai rahmat, ampunan dan pemaafan yang luas serta menutupi kesalahan manusia, walaupun mereka berbuat zalim dan berbuat kesalahan di siang dan malam harinya. Seandainya setiap kezaliman diberikan hukuman, jika tiada kesabaran dan pemaafan dari Allah, nescaya Dia akan menyegerakan azabNya atas mereka. Tentu tidak ada makhluk yang tersisa di bumi.

Akan tetapi Dia memberikan tangguh mereka agar mereka kembali dan bertaubat. Kebaikan, ihsan dan maafNya sentiasa turun kepada hamba, akan tetapi keburukan mereka yang naik kepadaNya. Mereka menderhakaiNya, namun Dia mengajak mereka untuk kembali kepadaNya, mereka berbuat dosa, tetapi kebaikan dan ihsanNya tidak dihalangi dari mereka.

Jika mereka bertaubat, maka Dia cinta kepada mereka. Jika mereka tidak bertaubat, maka Dia tabib (doktor) mereka, Dia uji mereka dengan musibah untuk membersihkan mereka dari cela dan kekurangan. Hendaknya manusia sentiasa mengharapkan keampunanNya dan tidak berputus asa dari rahmatNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

"dan sungguh Tuhanmu sangat keras siksaanNya."

SiksaanNya amat cepat, pedih, keras dan tidak dapat ditolak bagi mereka yang tidak berhenti dari dosa-dosa, enggan bertaubat, beristighfar, dan enggan kembali kepada Allah yang Mahaperkasa lagi Maha Pengampun.

Hendaknya manusia sentiasa takut terhadap siksaanNya kepada pelaku dosa. Ketetapan keampunanNya disertai dengan ketetapan siksaanNya agar seimbang antara harapan dan rasa takut.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seandainya tidak ada pemaafan dan ampunan Allah, tentulah tiada seorang manusia pun yang hidup tenang; dan seandainya tidak ada ancaman dan siksaNya, nescaya semua orang akan bertawakal."

"7. Dan berkata orang-orang yang kafir, "Mengapa tidak diturunkan kepadanya suatu ayat dari Tuhannya?""

Orang-orang musyrik dengan nada kafir dan ingkar mengusulkan suatu tanda kebesaran Allah, iaitu mukjizat sesuai yang mereka inginkan sebagaimana yang pernah didatangkan oleh rasul-rasul terdahulu. Mereka juga pernah meminta agar Nabi s.a.w. mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka, dan semua bukit di Mekah dilenyapkan, lalu digantikan dengan ladang-ladang dan sungai-sungai.

Sekali-kali tidak ada yang menghalangi Allah untuk mengirimkan tanda-tanda kekuasaanNya. Akan tetapi, setiap kali tanda-tanda itu didatangkan, semuanya telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Mereka tidak beriman bukan kerana tidak ada bukti yang menunjukkan kebenarannya, akan tetapi kerana mengikuti hawa nafsunya.

Kata-kata ini mereka jadikan sebagai uzur untuk tidak mengikuti seruan rasul. Usulan mereka sebenarnya timbul dari kezaliman dan kebodohan hanyalah sebatas usulan yang batil dan dusta. Kalau pun mukjizat itu datang, mereka tetap tidak akan beriman dan tidak akan tunduk.

"Sungguh hanyalah kamu pemberi peringatan; dan bagi tiap-tiap kaum pemberi petunjuk."

Tugasmu hanyalah memberi peringatan dan menyampaikan risalah Allah yang diperintahkan kepadamu untuk menyampaikannya. Kamu tidak dibebani mendatangkan mukjizat. Allah lah yang mendatangkannya. Sebenarnya Allah s.w.t. telah menguatkan Beliau s.a.w. dengan mukjizat yang tidak samar bagi orang-orang yang berakal, dan dengannya orang yang mencari petunjuk mendapatkan hidayah.

Bagi setiap umat ada seorang nabi menyerukan untuk menyembah Allah, yang mengajak mereka kepada Tuhan mereka dengan membawa mukjizat yang menunjukkan kebenarannya, namun tidak mengikuti permintaan kaumnya.

Bagi setiap kaum ada pemimpin yang memberi petunjuk. Al hadi ertinya pemimpin, pemimpin itu adalah imam, dan imam ertinya beramal. Allah memberi petunjuk (taufik) kepada siapa yang dikehendakiNya. Dia membiarkan sesat siapa yang dikehendakiNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...