Khamis, 2 November 2017

2:180-182 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 180-182.

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالأقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ (١٨٠) فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (١٨١) فَمَنْ خَافَ مِنْ مُوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٨٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"180. Telah diwajibkan atas kalian apabila telah datang seorang dari kalian kematian," 

Diwajibkan atas kalian, apabila seorang di antara kalian kedatangan maut, iaitu tanda-tanda akan meninggal dunia. Antaranya sakit yang membawa kepada kematian.

"jika dia meninggalkan kebaikan, wasiat untuk kedua orang tua dan para kerabat dengan cara yang ma'ruf," 

Jika dia meninggalkan kebaikan yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan karib kerabatnya dengan cara yang baik. Khairan atau kebaikan bermaksud harta benda.

Sebahagian pendapat mengatakan bahawa wasiat itu disyariatkan tanpa memandang apakah harta peninggalan berjumlah banyak ataupun sedikit. Sebahagian yang lain mengatakan bahawa sesungguhnya wasiat itu diwajibkan hanya bila seseorang itu meninggalkan harta yang banyak.

Ma'ruf ialah baik, lemah lembut, adil, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu kedekut. Hendaknya dia berwasiat untuk kaum kerabatnya suatu wasiat yang tidak menghabiskan bahagian ahli warisnya, iaitu tidak melebihi sepertiga dari seluruh harta peninggalan atau berlebihan dan tidak mengutamakan yang kaya atau keluarga yang jauh sedangkan yang dekat tidak diperhatikan.

Ayat ini tidak berlaku untuk ahli waris kerana sudah dinasakh dengan ayat tentang warisan (iaitu An Nisaa' 4:11) dan hadis "laa washiyyata liwaarits" (tidak ada wasiat bagi ahli waris) diriwayatkan oleh Tirmidzi.

Namun sebahagian ulama menggabung antara ayat ini dengan ayat 11 surah An Nisaa’, iaitu dibawa ayat di atas kepada wajibnya berwasiat kepada kedua orang tua dan kerabat yang tidak mendapatkan warisan kerana ada penghalang, seperti berlainan agama, wallahu a’lam.

"kewajiban atas orang-orang bertakwa." 

Ini adalah sebagai kewajiban bagi orang-orang yang bertakwa. Biasanya pemberi wasiat keberatan memberikan wasiat kerana khuatir dirubah setelahnya, maka Allah s.w.t. menghibur agar tidak khuatir.

"181. Maka barang siapa yang mengubahnya setelah dia mendengarnya," 

Barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah dia mendengarnya, iaitu saksi maupun pemenerima wasiat yang mengubah wasiat dan menyelewengkannya hingga menyimpang dari ketentuannya, baik dengan melebihkannya atau menguranginya, sedangkan dia mendengarnya, mengetahuinya dan memahaminya. Termasuk ke dalam pengertian ini ialah orang yang menyembunyikan wasiat.

"maka sungguh hanyalah dosanya atas orang-orang yang mengubahnya."

Maka dosa mengubah wasiat hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya. Adapun pemberi wasiat tetap mendapatkan pahalanya di sisi Allah.

"Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Allah Maha Mendengar semua suara termasuk wasiat yang disampaikan oleh pemberi wasiat. Dia mengetahui hal tersebut. Dia mengetahui apa yang disembunyikan dalam hati dan kecenderungan kepada keadilan atau kezaliman. Jika ada penyelewengan dan perubahan oleh orang-orang yang menerima wasiat, maka Dia akan memberikan balasan terhadapnya.

"182. Maka barang siapa yang khuatir dari pemberi wasiat kesalahan atau berbuat dosa," 

Barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, iaitu orang yang khuatir bahawa pemberi wasiat itu berlaku berat sebelah, berbuat salah, tidak adil atau ada kezaliman dengan tidak sengaja maupun sengaja, seperti menambah wasiat melebihi sepertiga atau mengkhususkan kepada yang kaya saja.

Al janaf ialah keliru yang termasuk segala macam kekeliruan. Contohnya dia menambahkan bahagian salah seorang ahli waris dengan memakai suatu perantara atau suatu cara. Hal ini dia lakukan baik secara tidak sengaja kerana terdorong oleh emosi dan kekuatan kasih sayangnya tanpa berfikir terlebih dahulu ataupun dia lakukan dengan sengaja tanpa memikirkan dosanya.

"lalu dia mendamaikan di antara mereka, maka tidak ada dosa atasnya." 

Hendaknya penerima wasiat atau orang yang hadir ketika wasiat disampaikan melarang pemberi wasiat dari bersikap zalim dan menasihatinya agar wasiatnya mengarah kepada yang lebih baik dan lebih adil sesuai dengan batas-batas yang ditentukan syara'.

Jika tidak berhasil, maka dia mengadakan shulh (damai) antara beberapa pihak (antara pemberi wasiat dan penerima wasiat) dengan mengadakan perubahan wasiat. Maka tidak ada dosa baginya dalam masalah shulh ini.

"Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Dia mengampuni semua ketergelinciran, termasuk ke dalamnya ampunanNya bagi mereka yang merelakan sebahagian haknya untuk saudaranya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...