Selasa, 28 November 2017

37:75-82 Tafsir Surah As Saffat, ayat 75-82.

وَلَقَدْ نَادَانَا نُوحٌ فَلَنِعْمَ الْمُجِيبُونَ (٧٥) وَنَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ (٧٦) وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الْبَاقِينَ (٧٧) وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الآخِرِينَ (٧٨) سَلامٌ عَلَى نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ (٧٩) إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (٨٠) إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ (٨١) ثُمَّ أَغْرَقْنَا الآخَرِينَ (٨٢)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan contoh kesudahan yang menimpa orang-orang yang mendustakan. Hamba dan RasulNya Nuh a.s. seorang rasul pertama. Beliau telah berdakwah kepada kaumnya dalam waktu yang cukup lama, iaitu sembilan ratus lima puluh tahun. Namun mereka mendustakannya. Tiada yang beriman dari kalangan kaumnya kecuali hanya sedikit. Seruannya hanya membuat mereka semakin jauh dari kebenaran.

"75. Dan sungguh telah menyeru Kami Nuh," 

Nuh a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. untuk kebinasaan kaumnya, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolonglah aku." Maka Allah s.w.t. murka dengan marahnya Nuh a.s. terhadap kaumnya. Dia binasakan mereka dengan ditenggelamkan.

"maka sebaik-baik yang memperkenankan." 

Allah lah sebaik-baik yang memperkenankan seruan atau doa.

"76. Dan Kami telah menyelamatkannya dan keluarganya dari bencana yang besar." 

Allah s.w.t. telah menyelamatkan Nuh a.s., keluarganya dan pengikutnya dari bencana banjir besar, pendustaan kaumnya dan gangguan mereka yang menyakitkan.

"77. Dan Kami jadikan keturunannya mereka orang yang melanjutkan." 

Setelah Allah s.w.t. binasakan kaumnya yang kafir, Dia jadikan hanya zuriat keturunan Nuh a.s. saja yang hidup. Nuh a.s. mempunyai tiga anak, iaitu Sam, Ham, dan Yafis.

Nabi s.a.w. bersabda, "Sam menurunkan bangsa Arab, Ham menurunkan bangsa Habsyah, dan Yafis menurunkan bangsa Romawi." Romawi bermaksud bangsa Romawi terdahulu, iaitu bangsa Yunani yang nasabnya sampai pada Rumi ibnu Liti ibnu Yunan ibnu Yafis ibnu Nuh a.s.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa Sam, Ham, dan Yafis, masing-masing mereka mempunyai tiga orang anak. Sam menurunkan bangsa Arab, Persia, dan Romawi. Ham menurunkan bangsa Mesir, bangsa berkulit hitam dan bangsa Barbar. Yafis menurunkan bangsa Turki, Saqalibah (Sicilia) dan Ya'juj Ma'juj.

Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa Sam menurunkan bangsa Arab, Persia dan Romawi. Ham menurunkan orang-orang Sudan (hitam). Yafis menurunkan bangsa Turki, Khazar (bangsa yang bermata sepet) dan Ya’juj Ma’juj. Hanya Allah lah Yang Maha Mengetahui.

"78. Dan Kami tinggalkan atasnya pada orang-orang yang kemudian." 

Allah s.w.t. kekalkan nama yang harum, sebutan dan pujian yang baik untuk Nuh a.s. di kalangan semua nabi dan orang-orang yang datang kemudian sampai hari Kiamat.

"79. Kesejahteraan atas Nuh di seluruh alam." 

Sebagai realisasi dari keabadian nama yang harum, sebutan dan pujian yang baik untuk Nuh a.s., Beliau didoakan sejahtera oleh semua golongan dan semua umat manusia di dunia. Beliau juga akan mendapat balasan yang baik di akhirat.

"80. Sesungguhnya Kami demikianlah membalas orang-orang yang berbuat baik." 

Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat ihsan. Inilah sunnatullah kepada mereka. Nuh a.s. berbuat ihsan dalam ketaatannya beribadah kepada Allah s.w.t. dan berbuat ihsan kepada manusia.

"81. Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman." 

Nuh a.s. adalah seorang di antara hamba-hamba Allah membenarkan, mengesakan, dan meyakini kebenaran. Mukmin merupakan kedudukan tertinggi seorang hamba. Iman mencakup semua syariat agama, baik usul (pokok) maupun furu’ (cabang). Allah s.w.t. memuji dengannya makhluk pilihanNya.

"82. Kemudian Kami tenggelamkan yang lain." 

Kami binasakan kaumnya yang kafir sehingga tiada seorang pun dari mereka yang tinggal. Begitu juga peninggalan-peninggalan mereka. Mereka hanya dikenali dengan sifat-sifat yang buruk.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...