Selasa, 28 November 2017

34:6-9 Tafsir Surah Saba’, ayat 6-9.

وَيَرَى الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ الَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ هُوَ الْحَقَّ وَيَهْدِي إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ (٦) وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ نَدُلُّكُمْ عَلَى رَجُلٍ يُنَبِّئُكُمْ إِذَا مُزِّقْتُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُمْ لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ (٧) أَفْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَمْ بِهِ جِنَّةٌ بَلِ الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ فِي الْعَذَابِ وَالضَّلالِ الْبَعِيدِ (٨) أَفَلَمْ يَرَوْا إِلَى مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ إِنْ نَشَأْ نَخْسِفْ بِهِمُ الأرْضَ أَوْ نُسْقِطْ عَلَيْهِمْ كِسَفًا مِنَ السَّمَاءِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِكُلِّ عَبْدٍ مُنِيبٍ (٩)

Orang-orang yang mengingkari kebangkitan berpendapat bahawa wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah tidak benar. Allah s.w.t. berfirman,

"6. Dan berpendapat orang-orang yang diberi ilmu yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu ia benar" 

Ahli Ilmu atau orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan adalah hamba-hamba Allah yang diberi taufik olehNya. Sebahagian mufassir mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang beriman dari kalangan Ahli Kitab. Pengetahuan mereka telah mencapai darjat yakin. Mereka meyakini bahawa wahyu yang Allah s.w.t. turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. mengenai hari kiamat dan lain-lain adalah benar.

"dan ia memberi petunjuk kepada jalan Yang Maha Perkasa Maha Terpuji." 

Mereka juga meyakini bahawa wahyu itu memimpin dan memberi petunjuk bagi manusia kepada ke jalan yang lurus, iaitu jalan Allah. Al 'Aziz ertinya Yang Mahaperkasa ZatNya. Dia tidak dapat dikalahkan dan tidak dapat pula dihalang-halangi. Bahkan Dia mengalahkan segala sesuatu dan menguasainya. Al Hamid ertinya Yang Maha Terpuji dalam semua ucapan, syariat dan takdirNya.

Wahyu itu mengandungi perintah kepada setiap sifat yang menyucikan jiwa, menumbuhkan pahala, memberi faedah bagi orang yang mengamalkannya dan selainnya, seperti perintah bersikap jujur, ikhlas, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali silauturrahim, berbuat ihsan kepada semua makhluk dan sebagainya.

Wahyu itu juga mengandungi larangan yang melarang setiap sifat tercela yang menodai jiwa, menghapuskan pahala, menghendaki dosa, seperti syirik, zina, riba, berlaku zalim terhadap darah, harta dan kehormatan.

Mereka membenarkannya kerana pengetahuan mereka tentang benarnya orang yang memberitakannya, kesesuaiannya dengan kenyataan, kesesuaiannya dengan kitab-kitab terdahulu, berita yang mereka saksikan di hadapan mereka secara langsung, ayat-ayat yang besar yang mereka saksikan yang menunjukkan kebenarannya baik di berbagai ufuk maupun dalam diri mereka sendiri, kesesuaiannya dengan yang ditunjukkan oleh nama-nama dan sifatNya.

Mereka juga meyakini bahawa orang-orang yang menyelisihinya dan bertentangan dengannya adalah batil. Ini adalah keutamaan, kelebihan dan tanda ahli ilmu.

Setiap kali ilmu seseorang semakin dalam, sentiasa membenarkan berita yang dibawa rasul dan semakin dalam pengetahuannya terhadap perintah dan larangan, maka dia termasuk ahli Ilmu yang Allah jadikan sebagai hujjah terhadap yang dibawa Rasul. Allah menjadikan mereka sebagai hujjah terhadap orang-orang yang mendustakan lagi membangkang.

"7. Dan berkata orang-orang yang kafir," 

Mereka berkata kepada sesama sendiri dengan maksud mendustakan, mengejek, menganggap mustahil dan menyebutkan sisi kemustahilannya.

"Mahukah kami tunjukkan pada kalian atas seorang lelaki" 

Seorang lelaki yang mereka maksudkan itu ialah Nabi Muhammad s.a.w. Menurut mereka, Beliau telah datang membawa sesuatu yang aneh bagi mereka sehingga Beliau menjadi bahan ejekan mereka.

"dia akan menjelaskan pada kalian, apabila kalian hancur sehancur-hancurnya," 

Dia memberitahukan bahawa setelah kalian mati, tubuh kalian telah hancur luluh, terpisah dan bercerai-berai di dalam kubur,

"sesungguhnya kalian sungguh dalam ciptaan yang baru?"

Kalian pasti akan dibangkitkan, dihidupkan kembali dalam bentuk kejadian yang baru dan diberi rezeki. 


Menurut mereka yang ingkar kepada hari berbangkit itu, Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak terlepas dari dua kemungkinan. Mereka berkata,

"8. Apakah dia mengada-adakan terhadap Allah kebohongan" 

Mungkin dia sengaja berbuat kedustaan terhadap Allah. Dia mengatakan bahawa Allah telah mewahyukan kepadanya berita tersebut.

"ataukah dengannya penyakit gila?" 

Mungkin juga dia tidak sengaja, tetapi akalnya mengalami gangguan sebagaimana gangguan akal yang dialami oleh orang yang cacat mental atau gila. Tidak, perkara yang sebenarnya tidaklah seperti yang mereka sangkakan dan tuduhkan. Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah mengada-adakan kebohongan, berdusta terhadap Allah atau terkena penyakit gila.

Bahkan Beliau s.a.w. adalah orang yang benar, berbakti lagi berakal yang datang membawa perkara yang hak. Sebenarnya mereka mengetahuinya, tetapi mereka menampakkan permusuhan dengan Beliau. Mereka rela korbankan diri dan harta untuk menghalangi manusia dari Beliau s.a.w. Orang yang dusta, bodoh, lagi dungu adalah mereka sendiri.

Seandainya Beliau s.a.w. adalah seorang pendusta atau orang gila tentu mereka tidak patut mendengar dan tidak akan mempedulikan Beliau. Sebenarnya semua ini kerana pembangkangan dan kezaliman mereka.

Kalau bukan kerana demikian, tentu mereka akan segera memenuhi panggilannya dan menyambut dakwahnya. Akan tetapi ayat-ayat dan peringatan tidaklah berguna bagi orang-orang yang tidak beriman. Mereka tidak percaya akan terjadinya hari kiamat.

"Tetapi orang-orang yang mereka tidak beriman kepada akhirat dalam siksaan dan kesesatan yang jauh." 

Orang-orang yang tidak percaya kepada kebangkitan dan azab pada hari Kiamat berada dalam kekufuran yang menjerumuskan mereka kepada azab Allah s.w.t. Mereka tetap akan mendapat azab seksa yang seburuk-buruknya di sana. Mereka ketika di dunia tetap berada dalam kesengsaraan yang besar dan kesesatan yang jauh terpesong dari kebenaran.

Kesengsaraan dan kesesatan yang paling besar adalah pengingkaran mereka terhadap kekuasaan Allah dalam hal membangkitkan, mendustakan RasulNya, mengejeknya dan memastikan bahawa yang mereka pegang adalah hak sedangkan yang RasulNya bawa menurut mereka adalah batil, dan menganggap yang batil dan yang sesat sebagai kebenaran dan petunjuk.

"9. Maka tidaklah mereka memperhatikan kepada apa yang dihadapan mereka dan apa yang di belakang mereka dari langit dan bumi?"

Jika mereka lihat ke arah atas dan ke bawah, ke kanan, ke kiri, ke depan atau ke belakang, nescaya mereka akan nampak langit dan bumi. Ke mana pun mereka pergi, langit tetap menaungi mereka dan bumi berada di bawah mereka.

Perhatikanlah kekuasaanNya yang mampu menciptakan langit dan bumi. Penciptaan keduanya itu lebih besar daripada penciptaan manusia. Dia juga berkuasa menciptakan yang serupa dengan itu. Dia bangunkan langit dan menghamparkan bumi. Keduanya berada dalam pengaturanNya, kekuasaanNya dan tidak akan menderhakaiNya.

"Jika Kami menghendaki, Kami benamkan mereka bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka kepingan-kepingan dari langit." 

Jika Dia menghendaki, Dia akan memerintahkan bumi menimbus mereka, atau Dia perintahkan langit menggugurkan kepingan-kepingan, ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit sebagai azab yang akan membinasakan mereka disebabkan kezaliman mereka. Mereka tidak akan dapat melarikan diri.

Tetapi Dia sengaja menangguhkan hal tersebut kerana sifat penyantun dan pemaafNya. Jika mereka menggunakan akal, tentu mereka akan nampak tanda bahawa kebangkitan itu bukanlah hal yang mustahil. Oleh kerana itu, berhati-hatilah. Janganlah tetap terus mendustakan agar Dia tidak mengazab dengan azab yang keras.

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat ayat bagi setiap hamba yang kembali."

Al munib bermaksud bertaubat dan kembali kepada jalan Allah s.w.t. Seorang hamba yang cerdik pandai lagi banyak mengingat Allah, apabila memperhatikan penciptaan langit yang begitu tinggi lagi luas dan bumi yang terhampar luas benar-benar dapat menyimpulkan bahawa Allah s.w.t. berkuasa untuk mengembalikan jasad-jasad yang telah mati dan tulang belulang yang telah bercerai-berai menjadi satu, membangkitkannya dan menghidupkannya kembali.

Penciptaan langit dan bumi itu juga memberi keinsafan bagi setiap hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya dengan taat dan berbakti. Semakin besar kembalinya kepada Allah, maka semakin banyak manfaat yang diambilnya dari tanda-tanda itu.

Keinginan dan perhatiannya tertuju kepada Tuhannya, kembali kepadaNya dalam setiap masalah, dekat dengan Tuhannya dan yang difikirkannya hanyalah mencari keridhaanNya. Pandangannya terhadap makhluk ciptaanNya adalah pandangan dengan penuh pemikiran dan mengambil pelajaran, bukan pandangan yang kosong, lalai dan tidak bermanfaat apa-apa.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...