Rabu, 27 Disember 2017

13:28-29 Tafsir Surah Ar Ra’d, ayat 28-29.

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ (٢٨) الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ طُوبَى لَهُمْ وَحُسْنُ مَآبٍ (٢٩)

Allah s.w.t. memberi petunjuk ke jalan agamaNya hanya kepada orang yang rujuk, kembali, bertaubat, memohon pertolongan, merendah diri kepadaNya dan mencari keridhaanNya.

"28. Orang-orang yang beriman dan menjadi tenteram hati mereka dengan zikrullah." 

Iaitu mereka yang beriman dan hatinya senang dan tenang berada di sisi Allah, merasa tenteram dengan mengingatNya, rela kepadaNya sebagai Pelindung dan Penolong(nya). Tidak ada yang lebih nikmat dan manis bagi hati daripada mencintai Tuhannya, dekat denganNya dan mengenalNya.

Semakin tinggi tingkat ma’rifat (mengenal)nya kepada Allah dan kecintaan kepadaNya, maka semakin banyak menyebut nama Tuhannya dan mengingatNya, seperti dengan bertasih, bertahlil, bertakbir dan sebagainya.

"Ingatlah, dengan zikrullah menjadi tenteram hati." 

Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah lah hati manusia menjadi tenteram dan sememangnya Allah s.w.t. berhak untuk diingati. Ada yang menafsirkan mengingat Allah di sini dengan mengingat janji Allah s.w.t. Ada juga yang menafsirkan mengingat Allah dengan kitabNya yang diturunkan sebagai pengingat bagi orang-orang mukmin.

Hati akan menjadi semakin tenteram apabila mengenali kandungan Al Qur’an dan hukum-hukumnya kerana kandungannya menunjukkan kebenaran lagi diperkuat dalil-dalil dan bukti. Hati hanya akan tenteram dengan ilmu dan keyakinan. Hal itu ada di dalam kitab Allah.

"29. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh," 

Iaitu orang-orang yang beriman kepada rukun iman yang enam dan membuktikan keimanannya dengan mengerjakan kebajikan.

"kebahagiaan bagi mereka" 

Tuba lahum bermaksud mereka mendapat kebahagiaan, kebaikan, kegembiraan, kenikmatan, sejuk hati dan syurga (taman), kerana mereka mendapat keridhaan Allah dan kemuliaanNya di dunia dan di akhirat. Mereka juga mendapat istirehat dan ketenangan yang sempurna, di antaranya adalah dengan mendapat pohon Tuba.

Pohon Tuba adalah sebuah pohon yang sangat besar di dalam syurga. Allah s.w.t. telah menanamnya sendiri dengan tangan kekuasaanNya dari butir mutiara. Naungannya terbentang luas sehingga jika seseorang menunggang kuda yang berlari kencang selama seratus tahun masih belum dapat melampauinya.

Pohon itu menjalar menurut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Pada tiap-tiap rumah (binaan) syurga terdapat ranting yang berasal darinya. Semua pepohonan syurga berasal darinya, ranting-rantingnya berasal dari balik tembok syurga. Dari bawah akarnya memancar sumber air sungai-sungai syurga yang berasa madu, khamr dan air susu.

Padanya terdapat kupu-kupu emas, buahnya seakan-akan sebesar tempayan. Kuntum-kuntum bunganya mekar dan mengeluarkan pakaian-pakaian yang berbagai warna untuk ahli syurga. Maka mereka mengambil darinya pakaian yang disukainya. Kuntum-kuntum bunganya juga mengeluarkan kuda dan unta lengkap dengan pelana dan kendalinya.

"dan kebaikan tempat kembali." 

Mereka juga mendapat tempat kembali yang terbaik, menakjubkan dan indah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...