Khamis, 28 Disember 2017

16:35-40 Tafsir Surah An Nahl, ayat 35-40.

وَقَالَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا عَبَدْنَا مِنْ دُونِهِ مِنْ شَيْءٍ نَحْنُ وَلا آبَاؤُنَا وَلا حَرَّمْنَا مِنْ دُونِهِ مِنْ شَيْءٍ كَذَلِكَ فَعَلَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَهَلْ عَلَى الرُّسُلِ إِلا الْبَلاغُ الْمُبِينُ (٣٥) وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ (٣٦) إِنْ تَحْرِصْ عَلَى هُدَاهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ يُضِلُّ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (٣٧) وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ لا يَبْعَثُ اللَّهُ مَنْ يَمُوتُ بَلَى وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٣٨) لِيُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي يَخْتَلِفُونَ فِيهِ وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّهُمْ كَانُوا كَاذِبِينَ (٣٩) إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَيْءٍ إِذَا أَرَدْنَاهُ أَنْ نَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman tentang teperdayanya orang-orang musyrik oleh kemusyrikan mereka dan alasan mereka yang berpegang kepada takdir. Hal ini terungkapkan melalui ucapan mereka.

"35. Dan berkata orang-orang yang melakukan kemusyrikan, "Jika Allah menghendaki, tidak kami menyembah dari selain Dia sesuatu pun, kami dan tidak bapa-bapa kami, dan tidak pula kami mengharamkan dari selain Dia sesuatu pun.""

Orang-orang kafir musyrik beralasan bahawa perbuatan syirik mereka dan nenek moyang mereka adalah dengan kehendak Allah, iaitu jika Allah menghendaki tentu mereka tidak akan berbuat syirik dan jika Allah tidak mengizinkan, tentu mereka tidak mengharamkan sesuatu yang dihalalkanNya, seperti haiwan ternakan bahirah, saibah, wasilah dan sebagainya.

Jika alasan ini benar, tentu Allah s.w.t. tentu tidak akan menyiksa orang-orang sebelum mereka yang telah berbuat syirik. Jika perbuatan mereka itu dipaksa, tentu Dia tidak akan menghukum mereka. Dia telah memerintah, melarang, memberi kemampuan untuk memikul beban dan memberi kehendak yang memunculkan perbuatan mereka.

Mereka mengatakan hal itu hanyalah untuk menolak kebenaran yang dibawa para rasul. Sebenarnya mereka mengetahui bahawa mereka tidak memiliki alasan di hadapan Allah. Mereka membuat-buat sendiri hukum itu tanpa ada keterangan dari Allah yang menjelaskannya.

"Demikianlah berbuat orang-orang yang sebelum mereka;"

Orang-orang yang terdahulu sebelum mereka juga melakukan perkara yang sama. Mereka berpendapat bahawa seandainya Allah s.w.t. tidak suka dengan perbuatan mereka, tentulah Dia mengingkari perbuatan itu dengan menurunkan hukuman dan tidak akan memberikan kesempatan kepada mereka untuk melakukannya.

Alasan mereka dengan taqdir apabila berbuat maksiat adalah alasan yang paling batil, salah, bertentangan dengan dalil wahyu maupun dalil akal. Allah s.w.t. berfirman membantah alasan mereka yang keliru itu,

"maka tidaklah atas para rasul melainkan penyampaian yang nyata."

Perkara yang sebenarnya tidaklah seperti yang kalian sangkakan. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengingkari perbuatan kalian dengan pengingkaran yang keras. Dia telah melarang kalian melakukannya dengan larangan yang kuat.

Para rasul itu telah diwajibkan dan dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan amanat Allah dengan jelas dan terang, iaitu kehendak dan hukum Allah. Namun mereka tidak ditugaskan untuk memberi hidayah. Dengan demikian, hujahNya telah ditegakkan kepada semua umat. Tidak ada alasan sedikit pun bagi seseorang di hadapan Allah jika Dia mengazab mereka.

"36. Dan sungguh Kami telah mengutus pada tiap-tiap umat rasul bahawa, "Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut.""

Allah s.w.t. terus-menerus mengutus rasul-rasulNya kepada setiap umat, setiap generasi dan sejumlah manusia untuk mengingatkan mereka. Mereka membawa risalah (tauhid) sejak terjadinya kemusyrikan di kalangan Bani Adam, iaitu sejak kaum Nabi Nuh.

Allah s.w.t. mengutus Nabi Nuh a.s. sebagai rasul yang pertama kepada penduduk bumi, lalu diakhiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang menyeru semua manusia dan jin, ke seluruh bumi. Semua rasul menyerukan hal yang sama, iaitu tidak ada Tuhan selain Allah.

Semua rasul menyeru supaya menyembah Allah saja dan melarang dari menyembah Taghut, iaitu syaitan dan apa saja yang disembah selain Allah. Dia tidak pernah menentukan tuhan-tuhan untuk disembah selainNya. Maka terhadap seruan para rasul tersebut, manusia terbahagi menjadi dua golongan.

"Maka di antara mereka orang yang Allah beri petunjuk, dan di antara mereka orang yang pasti atasnya kesesatan." 

Di antara umat itu ada yang menerima seruan para rasul itu. Mereka mengikuti baik dalam hal ilmu maupun amal. Di antara umat itu juga ada yang berhak ditimpa kesesatan. Mereka tidak mengikuti dan tetap dalam kesesatannya. Inilah orang yang disesatkan Allah s.w.t.

Allah s.w.t. telah pun mengingkari perbuatan mereka dengan menimpakan siksaan kepada mereka di dunia sesudah para rasul memberikan peringatan kepada mereka.

"Maka berjalanlah di bumi lalu perhatikanlah bagaimana ada akibat orang-orang yang pendusta."

Kalian pergilah mengembara di bumi. Kemudian kalian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan para rasulNya. Akhir kehidupan mereka semua adalah dengan dibinasakan.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"37. Jika kamu mengharapkan agar mereka mendapat petunjuk," 

Kamu sangat menginginkan, mengharapkan dan mendambakan agar orang-orang kafir itu diberikan petunjuk. Demikian itu tidak ada manfaatnya bagi mereka apabila Allah telah menghendaki kesesatan mereka.

Kamu sekali-kali tidak akan mampu menolak sesuatu pun yang datang dari Allah. Perihal dan urusanNya ialah bahawa apa yang dikehendakiNya pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi.

"maka sungguh Allah tidak memberi petunjuk orang yang Dia sesatkan" 

Allah s.w.t. telah membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan. Maka tiada sesiapa pun yang mampu memberi mereka petunjuk kecuali Dia.

"dan tidak bagi mereka dari para penolong."

Tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah dan belenggu siksaanNya.

"38. Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sungguh-sungguh sumpah mereka, "Allah tidak membangkitkan orang yang mati.""

Orang-orang musyrik bersungguh-sungguh bersumpah dengan sumpah yang berat dengan nama Allah bahawa Allah tidak akan akan menghidupkan kembali orang yang mati. Mereka menganggap bahawa kebangkitan itu adalah mustahil.

Mereka tidak percaya kepada berita yang disampaikan oleh para rasul dan bersumpah menentang hal itu. Maka Allah s.w.t. berfirman mendustakan dan membantah mereka.

"Bahkan janji atasnya benar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." 

Apa yang mereka katakan itu tidak benar. Hal itu bukanlah seperti yang mereka sangka, bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati tetap benar. Kebangkitan itu pasti akan terjadi.

Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui tentangnya. Kerana itu mereka menentang rasul-rasul dan terjerumus ke dalam kekafiran. Hikmah Allah s.w.t. mengadakan hari kembali dan kebangkitan semua orang mati pada hari pembalasan adalah,

"39. Kerana Dia jelaskan kepada mereka yang mereka berselisih di dalamnya," 

Dia akan menerangkan segala perselisihan mereka dengan kaum mukmin tentang perkara agama, baik perkara besar seperti ‘aqidah, maupun perkara yang ringan, seperti masalah furu’(cabang). Pada hari itu, Allah s.w.t. menerangkan kepada manusia perkara yang sebenarnya.

"dan agar mengetahui orang-orang yang kafir bahawa sesungguhnya mereka, mereka orang-orang yang berdusta." 

Mereka akan mengetahui bahawa mereka sebenarnya berdusta dalam sumpah mereka itu. Mereka akan menyesal apabila melihat amal mereka. Sesembahan mereka tidak memberi mereka manfaat sedikit pun. Bahkan sesembahan mereka itu menjadi bahan bakar api neraka.

Matahari, bulan dan bintang-bintang di gulung lalu dijatuhkan ke dalam neraka. Ketika itu jelaslah bagi penyembahnya bahawa semua itu adalah makhluk yang ditundukkan, dan bahawa semuanya perlu kepada Allah. Tidaklah sulit bagi Allah untuk memenuhi semua keperluan makhlukNya.

Allah s.w.t. berkuasa atas segala sesuatu yang dikehendakiNya. Tidak ada sesuatu pun yang tidak mampu dilakukanNya, baik di bumi maupun di langit.

"40. Sungguh hanyalah firman Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, untuk Kami katakan kepadanya, "Jadilah," maka jadilah ia." 

Begitu juga apabila Dia berkehendak membangkitkan makhluk yang telah mati. Dia hanya memerintahkannya dengan sekali perintah, hanya satu perkataan seperti kelipan mata, maka dengan serta merta terjadilah apa yang dikehendakiNya.

Allah tidak memerlukan penegasan apa pun dalam perintahNya untuk mengadakan sesuatu. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mencegah, menghalang, menolak dan menentang kehendakNya.

Hanya Dia sematalah Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Mahabesar, segala sesuatu tunduk di bawah kekuasaan dan keagunganNya. Maka tidak ada Tuhan selain Dia dan tidak ada Rabb kecuali hanya Dia semata.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...