Memaparkan catatan dengan label Juz 14. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Juz 14. Papar semua catatan

Selasa, 5 Mei 2020

16:125-128 Tafsir Surah An Nahl, ayat 125-128.

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (١٢٥) وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ (١٢٦) وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلا بِاللَّهِ وَلا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ (١٢٧) إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ (١٢٨) 

Allah s.w.t. memerintahkan kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"125. Serulah kepada jalan Tuhan kamu" 

Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu yang lurus; yang di dalamnya mengandung ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. Serulah mereka untuk menyembah Allah.

"dengan hikmah" 

Iaitu tepat sasaran, bijaksana dan dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Termasuk ke dalam hikmah adalah berdakwah dengan ilmu, berdakwah dengan mendahulukan yang terpenting, berdakwah memperhatikan keadaan mad’u (orang yang didakwahi), berbicara sesuai tingkat pemahaman dan kemampuan mereka, berdakwah dengan kata-kata yang mudah difahami mereka, berdakwah dengan membuat permisalan, berdakwah dengan lembut dan halus. Ada juga yang menafsirkan hikmah di sini dengan Al Qur’an.

"dan pelajaran yang baik"

Iaitu nasihat yang baik dan perkataan yang menyentuh. Termasuk juga memerintah dan melarang dengan targhib (dorongan) dan tarhib (menakut-nakuti). Misalnya menerangkan maslahat dan pahala dari mengerjakan perintah dan menerangkan madharrat dan azab apabila mengerjakan larangan.

"dan bantahlah mereka dengan yang dia lebih baik." 

Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Terhadap orang-orang yang dalam rangka menyeru mereka diperlukan perdebatan dan bantahan. Maka hendaklah hal ini dilakukan dengan cara yang baik, iaitu dengan lemah lembut, tutur kata yang baik, serta cara yang bijak.

Jika orang yang didakwahi menyangka bahawa yang dipegangnya adalah kebenaran atau sebagai penyeru kepada kebatilan, maka dibantah dengan cara yang baik; iaitu cara yang dapat membuat orang tersebut mahu mengikuti secara akal maupun dalil.

Termasuk di antaranya menggunakan dalil yang diyakininya, kerana hal itu lebih dapat mencapai kepada maksud, dan jangan sampai perdebatan mengarah kepada pertengkaran dan caci maki yang dapat menghilangkan tujuan serta tidak menghasilkan faedah darinya, bahkan tujuannya adalah untuk menunjukkan manusia kepada kebenaran, bukan untuk mengalahkan atau semisalnya.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan tingkatan (dalam) berdakwah sesuai tingkatan manusia; bagi orang yang menyambut, menerima dan cerdas, di mana dia tidak melawan yang hak (benar) dan menolaknya, maka didakwahi dengan cara hikmah. Bagi orang yang menerima namun ada sisi lalai dan suka menunda, maka didakwahi dengan nasihat yang baik, iaitu dengan diperintahkan dan dilarang disertai targhib (dorongan) dan tarhib (membuat takut), sedangkan bagi orang yang menolak dan mengingkari didebat dengan cara yang baik.”

"Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lebih mengetahui dengan siapa yang tersesat dari jalanNya" 

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya. Dia mengetahui sebab yang dapat mengarah kepada kesesatan. Dia juga mengetahui amal-amal yang timbul dari kesesatannya, dan Dia akan memberikan balasan terhadapnya.

"dan dia lebih mengetahui mengenai orang-orang yang mendapat petunjuk."

Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. Dia mengetahui orang yang sesuai memperoleh hidayah, maka Dia menunjukkan mereka.

Allah telah mengetahui siapa yang celaka dan siapa yang berbahagia di antara mereka, dan hal tersebut telah dicatat di sisiNya serta telah dirampungkan kepastiannya. Maka serulah mereka untuk menyembah Allah, dan janganlah kamu merasa kecewa (bersedih hati) terhadap orang yang sesat di antara mereka. Kerana sesungguhnya bukanlah tugasmu memberi mereka petunjuk. Sesungguhnya tugasmu hanyalah menyampaikan, dan Kamilah yang akan menghisab.

Ubay ibnu Ka'b mengatakan bahawa dalam Perang Uhud telah gugur dari kalangan Ansar sebanyak enam puluh orang lelaki, sedangkan dari kalangan Muhajirin hanya enam orang. Maka para sahabat Rasulullah s.a.w. berkata, "Seandainya kita mendapat kemenangan dalam perang berikutnya dari orang-orang musyrik, sungguh kami akan balas mencincang mereka." Dan ketika hari kemenangan atas kota Mekah terjadi, seorang lelaki berkata, "Sesudah hari ini Quraisy tidak akan dikenal lagi." Maka terdengarlah suara seruan yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memberikan jaminan keamanan kepada semua orang, baik yang berkulit hitam maupun yang berkulit putih, kecuali si anu dan si anu. Disebutkan nama sejumlah orang yang dimaksudkan. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Dan jika kalian membalas, maka balaslah mereka dengan semisal apa yang kalian dibalas dengannya." (An Nahi 16:126), hingga akhir surah. Dan Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kami akan bersabar dan tidak akan membalas."

"126. Dan jika kalian membalas, maka balaslah mereka dengan semisal apa yang kalian dibalas dengannya." 

Jika kalian memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepada kalian. Pembalasan yang dijatuhkan atas mereka janganlah melebihi dari siksaan yang ditimpakan kepada kalian.

Berbuat adillah dalam qisas (pembalasan) dan seimbang dalam menunaikan hak. Jika seseorang mengambil sesuatu dari kalian, maka ambillah darinya yang serupa.

"Dan jika kalian bersabar, sungguh ia lebih baik bagi orang-orang yang bersabar." 

Akan tetapi jika kalian bersabar dengan tidak membalas dendam, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya untuk bersabar ketika mengajak manusia kepada Allah serta meminta pertolongan kepadaNya dan tidak bersandar kepada diri.

"127. Dan bersabarlah dan tidaklah kesabaranmu kecuali dengan Allah" 

Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah. Iaitu Dialah yang membantumu untuk bersabar dan meneguhkanmu di atasnya.

Hal ini mengukuhkan perintah bersabar, sekaligus sebagai pemberitaan bahawa kesabaran itu tidak dapat diraih melainkan berkat kehendak Allah dan pertolonganNya, serta berkat upaya dan kekuatanNya. Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman,

"dan janganlah kamu bersedih hati atas mereka" 

Janganlah kamu bersedih hati terhadap kekafiran mereka. Iaitu janganlah kamu bersedih ketika kamu berdakwah kemudian dakwahmu ditolak. Janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang menentangmu, kerana sesungguhnya Allah telah menakdirkan hal tersebut.

"dan janganlah kamu dalam kesempitan dari apa yang mereka tipu dayakan." 

Janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. Iaitu janganlah kamu pedulikan terhadap tipu daya yang mereka rancangkan kerana makar tersebut kembalinya kepada mereka.

Janganlah kamu merasa duka cita terhadap upaya keras mereka dalam memusuhimu dan memasukkan kemusyrikan terhadapmu, kerana sesungguhnya Allahlah yang mencukupi, menolongmu, menyokongmu, menampakkan kamu, dan memenangkan kamu atas mereka. Adapun kamu, maka kamu termasuk orang-orang yang bertakwa dan berbuat ihsan.

"128. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang mereka berbuat ihsan." 

Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan melalui dukunganNya, pertolonganNya, bantuanNya, petunjuk dan upayaNya. Bertakwa adalah dengan meninggalkan hal-hal yang diharamkan, menjauhi kufur dan kemaksiatan, sedangkan berbuat ihsan adalah dengan mengerjakan ketaatan, beribadah kepada Allah seakan-akan melihatNya, atau merasakan pengawasan dariNya.

Termasuk juga berbuat ihsan kepada manusia, iaitu dengan memberikan manfaat dari berbagai sisi. Mereka adalah orang-orang yang dijaga oleh Allah, dipeliharaNya, ditolongNya, didukungNya, dan dimenangkanNya atas musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita termasuk orang-orang yang bertakwa dan berbuat ihsan.

Selesai tafsir surah An Nahl dengan pertolongan Allah. Walhamdulillahi Rabbil 'aalamiin.

Akhir juz 14.

Rabu, 29 April 2020

16:119-124 Tafsir Surah An Nahl, ayat 119-124.

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ عَمِلُوا السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابُوا مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (١١٩) إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (١٢٠) شَاكِرًا لأنْعُمِهِ اجْتَبَاهُ وَهَدَاهُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (١٢١) وَآتَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ (١٢٢) ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (١٢٣) إِنَّمَا جُعِلَ السَّبْتُ عَلَى الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (١٢٤) 

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan sifat KemuliaanNya dan KelapanganNya terhadap orang-orang mukmin yang derhaka, bahawa barang siapa di antara mereka yang bertaubat kepada Allah, tentulah Allah menerima taubatnya.

"119. Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan," 

Kemudian sesungguhnya Tuhanmu mengampuni orang-orang yang mengerjakan kesalahan seperti syirik kerana kebodohannya. Sebahagian ulama Salaf mengatakan bahawa setiap orang yang berbuat derhaka, dia adalah orang yang bodoh.

"kemudian mereka bertaubat setelah itu dan mereka memperbaiki diri, sesungguhnya Tuhanmu setelahnya sungguh Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Kemudian mereka bertaubat sesudah itu dengan meninggalkan dosa itu dan menyesali perbuatannya, dan memperbaiki dirinya atau amalnya, iaitu mereka berhenti dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan mulai mengerjakan amal-amal ketaatan, sesungguhnya Tuhanmu sesudah taubat itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah s.w.t. berfirman memuji hamba, rasul, dan kekasihNya (iaitu Ibrahim a.s., imam orang-orang yang hanif dan orang tua para nabi) bahawa dia bersih dari kemusyrikan, juga dari Yahudi dan Nasrani.

"120. Sesungguhnya Ibrahim, dia seorang imam yang taat kepada Allah, hanif." 

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan, patuh kepada Allah, iaitu sentiasa taat kepada Allah s.w.t. dan ikhlas, dan hanif (lurus).

Al ummah dalam ayat ini bermaksud imam yang dijadikan panutan. Ada yang mengatakan mu'allim (guru) kebaikan. Ada yang mengatakan, orang yang mengajar manusia akan agama mereka. Ada yang mengatakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

Ada yang mengatakan bahawa Ibrahim a.s. adalah seorang ummah, iaitu orang yang beriman sendirian, sedangkan manusia semuanya di masa itu kafir. Al qanit bermaksud patuh dan taat. Ada yang mengatakan taat kepada Allah dan RasulNya.

Al hanif bermaksud menyimpang dari kemusyrikan dan menempuh jalan tauhid. Ada yang mengatakan, sentiasa berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya. Ada yang mengatakan, menghadap kepada Allah dengan mencintaiNya, kembali dan beribadah kepadaNya, serta berpaling dari selainNya.

"Dan tidak dia termasuk orang-orang musyrik." 

Sekali-kali bukanlah Ibrahim a.s. termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, baik dalam ucapan, amalnya dan semua keadaannya, kerana Beliau adalah imam muwahhid (orang yang mentauhidkan Allah).

"121. Yang mensyukuri kepada nikmatNya," 

Dia mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Beliau sentiasa menetapi syukur atas nikmat-nikmat yang telah dilimpahkan oleh Allah kepadanya.

"Dia memilihnya dan Dia menunjukinya kepada jalan yang lurus." 

Allah telah memilihnya sebagai kekasihNya dan sebagai makhluk pilihanNya, dan menunjukinya ke jalan yang lurus, baik dalam ilmu maupun amal, iaitu menyembah Allah semata, tiada sekutu bagiNya dan menurut syariat yang diridhaiNya.

"122. Dan Kami berikannya di dunia kebaikan." 

Kami himpunkan baginya kebaikan dunia dari seluruh apa yang diperlukan oleh orang mukmin dalam kehidupannya yang sempurna lagi baik, iaitu pujian yang baik di setiap umat, lisan yang benar, rezeki yang banyak, isteri yang cantik, keturunan yang soleh dan akhlak yang diridhai.

"Dan sungguh dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh." 

Sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh, yang mendapatkan darjat yang tinggi dan dekat dengan Allah s.w.t.

"123. Kemudian Kami wahyukan kepadamu, "Agar ikutilah agama Ibrahim hanif,""

Kemudian kerana kesempurnaannya dan kebenaran tauhid dan jalannya, maka Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), hai penutup para rasul, penghulu para nabi, "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang lurus." Begitu juga umat Nabi Muhammad s.a.w.

"dan tidak dia termasuk orang-orang musyrik." 

Bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Diulangi lagi kata-kata "tidak dia termasuk orang-orang musyrik” untuk membantah orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menganggap bahawa Beliau di atas agama mereka.

"124. Sungguh hanyalah dijadikan hari Sabtu atas orang-orang yang berselisih di dalamnya." 

Sesungguhnya hanya diwajibkan menghormati hari Sabtu atas orang-orang Yahudi yang berselisih padanya. Menghormati hari Sabtu adalah dengan memperbanyak ibadah dan amalan-amalan yang soleh serta meninggalkan pekerjaan sehari-hari.

Orang-orang Yahudi memperselisihkannya kepada nabi mereka. Saat mereka diperintahkan memperbanyak ibadah pada hari Jumaat, lalu mereka berkata, “Kami tidak mahu hari Jumaat.” Mereka kemudian memilih hari Sabtu, padahal hari Jumaat memiliki keutamaan, maka Nabi mereka memberatkan mereka pada hari Sabtu.

"Dan sungguh Tuhanmu sungguh akan memutuskan di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka di dalamnya perselisihkan." 

Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar akan memberi keputusan di antara mereka di hari kiamat terhadap apa yang telah mereka perselisihkan itu. Tentang perintahNya, iaitu dengan menerangkan siapa yang yang benar dan siapa yang salah, memberikan pahala kepada orang yang taat dan mengazab orang yang bermaksiat.


Ahad, 19 April 2020

16:114-118 Tafsir Surah An Nahl, ayat 114-118.

فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلالا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (١١٤) إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١١٥) وَلا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لا يُفْلِحُونَ (١١٦) مَتَاعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (١١٧) وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا مَا قَصَصْنَا عَلَيْكَ مِنْ قَبْلُ وَمَا ظَلَمْنَاهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ (١١٨) 

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman,

"114. Maka makanlah dari apa yang Allah rezekikan pada kalian halal yang baik;"

Makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kalian. Iaitu bersenang-senanglah dengan apa yang diciptakan Allah untuk kalian tanpa berlebihan dan melampaui batas.

"dan bersyukurlah kalian nikmat Allah, jika kalian kepadaNya menyembah." 

Syukurilah nikmat Allah, iaitu dengan mengakuinya di hati, memuji Allah di lisan, dan mengarahkan nikmat itu untuk ketaatan kepadaNya, jika kalian hanya kepadaNya saja menyembah. Sesungguhnya Allahlah yang mengurniakan nikmat itu kepada kalian, Dialah yang berhak disembah semata, tiada sekutu bagiNya.

"115. Sungguh hanyalah Dia haramkan atas kalian bangkai," 

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atas kalian sesuatu yang mengandung mudarat atau bahaya bagi kalian, baik menyangkut agama maupun urusan dunia kalian. Dia mengharamkan kalian memakan bangkai. Termasuk juga binatang yang matinya tanpa disembelih. Namun dikecualikan daripadanya bangkai ikan dan belalang.

"dan darah," 

Dia mengharamkan kalian memakan darah. Iaitu darah yang mengalir. Adapun darah yang menempel di urat dan di daging, maka tidak mengapa.

"dan daging khinzir," 

Dia mengharamkan kalian memakan daging babi, baik dagingnya, lemaknya maupun anggota badannya yang lain.

"dan apa yang disembelih demi selain Allah dengannya;" 

Dia mengharamkan kalian memakan haiwan yang disembelih bukan dengan menyebut nama Allah. Termasuk juga yang disembelih untuk patung, kuburan dan sebagainya. Kerana maksud daripadanya adalah perbuatan syirik.

"maka barang siapa yang terpaksa, tidak menginginkan dan tidak melampaui batas," 

Tetapi barang siapa terpaksa memakannya, iaitu dalam keadaan terdesak dan darurat, di mana dia khuatir akan binasa jika tidak memakannya, bukan kerana menginginkannya, dengan tidak menganiaya dan tidak melampaui batas, seperti melebihi batas darurat.

"maka sungguh Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Kemudian Allah melarang menempuh jalan orang-orang musyrik, iaitu mereka yang menghalalkan dan mengharamkan sesuatu hanya berdasarkan nama-nama dan istilah-istilah yang mereka ada-adakan menurut pendapat mereka sendiri.

Misalnya mereka mengharamkan bahirah, saibah. wasilah, dan ham serta lain-lainnya yang diberlakukan di kalangan mereka oleh buatan mereka sendiri di masa Jahiliah.

"116. Dan janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang menyebutkan lisan kalian kedustaan, "Ini halal dan ini haram," untuk kalian ada-adakan terhadap Allah kedustaan." 

Janganlah kalian mengatakan secara dusta terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kalian, "Ini halal" terhadap apa yang diharamkan Allah s.w.t., dan, "Ini haram," terhadap apa yang dihalalkan Allah s.w.t., atau menghalalkan dan mengharamkan berasal dari dirinya, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.

Termasuk ke dalam pengertian ini setiap orang yang mengadakan suatu bid'ah yang tidak ada sandarannya dari hukum syara', atau dia menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah, atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah, hanya berdasarkan pendapat sendiri dan kemahuan hawa nafsunya.

"Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan terhadap Allah kedustaan mereka tidak beruntung."

Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak akan beruntung baik di dunia maupun di akhirat, dan Allah akan menampakkan kehinaannya walaupun mereka bersenang-senang di dunia. Adapun di dunia, yang didapat hanyalah kesenangan yang sementara; sedangkan di akhirat nanti para pelakunya akan mendapat azab yang pedih.

"117. Kesenangan yang sedikit dan bagi mereka azab yang pedih." 

Itu adalah kesenangan yang sedikit di dunia, dan bagi mereka azab yang pedih di akhirat.

Allah s.w.t. tidaklah mengharamkan kepada kita kecuali yang kotor sebagai kurniaNya. Adapun orang-orang Yahudi, maka kepada mereka Allah haramkan sesuatu yang baik yang sebelumnya dihalalkan kepada mereka sebagai hukuman terhadap kezaliman mereka.

"118. Dan atas orang-orang Yahudi Kami haramkan apa yang Kami ceritakan atas kamu sebelumnya." 

Terhadap orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) dahulu.

Iaitu firmanNya, "Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku: dan dari lembu dan biri-biri. Kami haramkan atas mereka lemak dari kedua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung keduanya" sampai dengan firmanNya, "benar-benar Mahabenar." (Al An'am 6:146)

"Dan tidaklah Kami menzalimi mereka akan tetapi mereka diri mereka menzalimi." 

Kami tidak menganiaya mereka dengan mengharamkan atau mempersempitkan hal itu atas diri mereka. Akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri dengan mengerjakan maksiat. Mereka berhak untuk mendapatkan perlakuan itu.

Selasa, 7 April 2020

16:111-113 Tafsir Surah An Nahl, ayat 111-113.

يَوْمَ تَأْتِي كُلُّ نَفْسٍ تُجَادِلُ عَنْ نَفْسِهَا وَتُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ (١١١) وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ (١١٢) وَلَقَدْ جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْهُمْ فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمُ الْعَذَابُ وَهُمْ ظَالِمُونَ (١١٣) 

Allah s.w.t. berfirman,

"111. Pada hari datang tiap-tiap diri membela dari dirinya" 

Ingatlah pada hari ketika setiap orang datang untuk membela dirinya sendiri. Tiada seorang pun yang membela ayahnya, anaknya, saudaranya atau isterinya. Hari itu adalah hari kiamat. Ketika itu, tidak ada yang diperhatikan selain dirinya.

"dan disempurnakan balasannya tiap-tiap diri apa yang telah dikerjakan" 

Bagi setiap orang diberi balasan penuh sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya, perbuatan baik atau perbuatan buruk.

"dan mereka tidak dizalimi." 

Sedangkan mereka tidak dianiaya atau dirugikan sedikit pun. Balasan keburukan mereka tidak ditambah, dan pahala kebaikan mereka tidak dikurangi.

"112. Dan Allah membuat perumpamaan suatu negeri adalah aman tenteram datang kepadanya," 

Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri, iaitu Mekah. Dahulunya ia aman dari serangan musuh lagi tenteram. Iaitu tidak perlu pindah darinya kerana sempit atau khuatir sesuatu.

Sesungguhnya Mekah adalah kota yang aman, tenteram dan tenang; sedangkan orang-orang yang tinggal di sekitarnya tinggal dalam keadaan tidak aman. Barang siapa yang memasuki kota Mekah, amanlah dia dan tidak takut lagi.

"rezekinya melimpah ruah dari tiap-tiap tempat, tetapi dia mengingkari dengan nikmat-nikmat Allah," 

Rezekinya datang kepadanya melimpah ruah, enak dan mudah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah. Mereka mengingkari tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada padanya; dan mendustakan Nabi Muhammad s.a.w. yang mereka kenal amanah dan kejujurannya.

Kerana itulah maka Allah mengganti kedua keadaan yang mereka peroleh itu dengan dua keadaan yang kebalikannya. Untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"maka Allah merasakan pada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan dengan apa yang mereka perbuat."

Kerana itu Allah merasakan dan menimpakan secara menyeluruh kepada mereka kelaparan. Mereka merasakan kemarau panjang selama tujuh tahun. Padahal sebelumnya didatangkan kepada mereka segala macam buah-buahan; dan rezekinya datang kepadanya dengan melimpah ruah dari segenap tempat.

Demikian itu kerana mereka derhaka kepada Rasulullah s.a.w. dan selalu menentangnya. Maka Rasulullah s.a.w. berdoa memohon kepada Allah semoga Dia menimpakan musim kebuluran kepada mereka, seperti musim kebuluran yang dialami oleh Nabi Yusuf.

Maka mereka tertimpa kebuluran yang menghabiskan segala sesuatu milik mereka, sehingga mereka terpaksa memakan bulu unta yang dicampur dengan darahnya bilamana mereka menyembelihnya.

Allah merasakan kepada mereka ketakutan kerana mereka mengganti keamanan mereka dengan rasa takut kepada Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya setelah Beliau dan para sahabatnya hijrah ke Madinah.

Orang-orang kafir Mekah selalu dicekam oleh rasa takut terhadap, pembalasan Nabi s.a.w. dan pasukan kaum muslim. Dan mereka membuat semua yang mereka miliki menjadi hancur dan rendah, sehingga Allah memberikan kemenangan kepada RasulNya atas kota Mekah.

Demikian itu terjadi disebabkan perbuatan orang-orang kafir Mekah sendiri, kezaliman serta kedustaan mereka terhadap Rasulullah s.a.w. yang diutus oleh Allah kepada mereka dari kalangan mereka sendiri. Padahal kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang diangkat dari kalangan mereka merupakan suatu anugerah yang diberikan kepada mereka.

Kelaparan dan ketakutan itu meliputi mereka seperti halnya pakaian meliputi tubuh mereka. Allah tidaklah menzalimi mereka, akan tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Sebagaimana keadaan orang-orang kafir terbalik, dari aman menjadi takut, dan dari hidup makmur menjadi kelaparan; maka Allah mengganti keadaan orang-orang mukmin sesudah mereka hidup dalam ketakutan, kini mereka hidup aman. Allah memberi mereka rezeki yang berlimpah sesudah mereka hidup miskin. Allah juga menjadikan mereka para raja, para penguasa, para pemimpin, para panglima, dan para imam.

Ayat ini menunjukkan bahawa jalan keluar dari musibah yang menimpa di berbagai negeri adalah dengan bersyukur kepada Allah, iaitu dengan beriman kepada rasul dan bertakwa kepada Allah (masuk Islam dan mengamalkan ajaran-ajarannya), dan bahawa musibah yang menimpa tidak lain disebabkan melakukan yang sebaliknya.

Ada banyak faedah dari musibah, di antaranya sebagai penebus dosa bagi orang mukmin, sebagai azab bagi orang kafir, dan sebagai pelajaran bagi orang-orang yang masih hidup agar mereka tidak melakukan hal yang sama. Orang yang cerdas adalah orang yang dapat mengambil pelajaran dari musibah yang menimpa orang lain.

"113. Dan sungguh datang kepada mereka rasul dari mereka, lalu mereka mendustakannya, maka menimpa kepada mereka azab dan mereka orang-orang yang zalim." 

Sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., tetapi mereka mendustakannya; kerana itu mereka dimusnahkan azab, iaitu kelaparan dan ketakutan, dan mereka adalah orang-orang yang zalim.

Sabtu, 28 Mac 2020

16:110 Tafsir Surah An Nahl, ayat 110.

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا فُتِنُوا ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَرُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (١١٠) 

Ibnu Abbas r.a. berkata, “Ada segolongan kaum di antara penduduk Mekah yang masuk Islam. Mereka meremehkan Islam, maka orang-orang musyrik memaksa mereka keluar bersama mereka pada perang Badar. Sebahagian di antara mereka tertangkap, dan sebahagian lagi terbunuh.

Maka kaum muslim berkata, “Para tawanan kita ini adalah kaum muslim, mereka dipaksa, maka mintakanlah ampunan untuk mereka.” Maka turunlah ayat kepada mereka, “Innalladziina tawaffaahumum malaa’ikatu zhaalimii anfusihim…dst.” (An NIsaa’: 97) Ibnu Abbas berkata, “Maka dikirimlah surat berisi ayat tersebut kepada kaum muslim yang tinggal di Mekah.

Mereka (kaum muslim) pun keluar, lalu ditemui oleh kaum musyrik, kemudian mereka menimpakan fitnah (gangguan kepada kaum muslimin), maka turunlah ayat ini, “Dan di antara manusia ada orang yang berkata, "Kami beriman kepada Allah", maka apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah…dst.” (Al ‘Ankabut: 10), maka kaum muslimin mengirimkan surat kepada mereka berisikan ayat tersebut.

Mereka pun keluar (dari Mekah) dan nampak beputus asa dari semua kebaikan, kemudian turunlah ayat tentang mereka, “Kemudian Tuhanmu (pelindung) bagi orang yang berhijrah setelah menderita cobaan, kemudian mereka berjihad dan bersabar, sungguh, Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Kaum muslim kemudian mengirimkan surat berisikan ayat tersebut dan menerangkan kepada mereka, “Bahawa Allah telah memberikan jalan keluar kepada kamu.” Mereka pun keluar dan ditemui oleh kaum musyrik, lalu mereka diperangi, di antara mereka ada yang selamat dan di antara mereka ada yang terbunuh.

"110. Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu bagi orang-orang yang berhijrah setelah apa yang mereka difitnahkan, kemudian mereka berjihad dan bersabar," 

Kemudian Tuhanmu pelindung bagi orang yang berhijrah setelah menderita ujian atau cobaan, kemudian mereka berjihad dan bersabar di atas ketaatan.

Mereka adalah golongan lain yang dahulu di Mekah dalam keadaan lemah dan tertindas oleh kaumnya, keadaan mereka yang lemah itu membuat mereka terpaksa menyetujui fitnah yang menimpa mereka.

Kemudian mereka dapat meloloskan dirinya dengan berhijrah. Mereka rela meninggalkan negerinya, keluarga, dan harta bendanya demi mencari keridaan Allah dan ampunanNya.

Kemudian mereka bergabung ke dalam barisan orang-orang mukmin dan berjihad melawan orang-orang kafir bersama saudara-saudara seiman mereka, dan mereka bersabar dalam menghadapi semua cabaran.

"sesungguhnya, Tuhanmu setelahnya sungguh Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Sesungguhnya Allah s.w.t. sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada mereka atas perbuatan (terpaksa menyetujui fitnah) yang telah dilakukannya kelak di hari mereka dikembalikan ke sisiNya.

Allah s.w.t. mengurus hamba-hambaNya yang ikhlas dengan kelembutan dan ihsanNya, Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang bagi orang yang berhijrah di jalanNya, meninggalkan tempat tinggal dan hartanya kerana mencari keridhaanNya.

Walaupun dia mendapat gangguan dalam menjalankan agamanya agar kembali kafir, namun dia tetap berada di atas keimanan, dan dapat pergi membawa iman, kemudian dia berjihad melawan musuh-musuh Allah untuk memasukkan mereka ke dalam agama Allah dengan lisan dan tangannya, dan bersabar dalam melakukan ibadah-ibadah yang berat itu.

Ini merupakan sebab paling besar untuk mendapatkan pemberian yang paling baik, iaitu ampunan Allah terhadap semua dosa besar maupun kecil. Di dalamnya mengandung selamat dari setiap perkara yang tidak diinginkan dan mendapat rahmatNya yang besar.

Dengan rahmatNya keadaan mereka menjadi baik, urusan agama dan dunia mereka semakin lurus. Mereka juga akan mendapatkan rahmat Allah di hari kiamat.


Jumaat, 13 Mac 2020

16:103-109 Tafsir Surah An Nahl.

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّمَا يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ لِسَانُ الَّذِي يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِيٌّ وَهَذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُبِينٌ (١٠٣) إِنَّ الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ لا يَهْدِيهِمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (١٠٤) إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْكَاذِبُونَ (١٠٥)مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (١٠٦) ذَلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّوا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الآخِرَةِ وَأَنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (١٠٧) أُولَئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (١٠٨) لا جَرَمَ أَنَّهُمْ فِي الآخِرَةِ هُمُ الْخَاسِرُونَ (١٠٩) 

Dahulu Rasulullah s.a.w. sering duduk di Marwah di khemah seorang hamba beragama Nasrani bernama Jabar, dia adalah seorang hamba milik seseorang dari Banil Hadrami. Maka Allah menurunkan firmanNya, "Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka mengatakan, "Sungguh hanyalah mengajarinya seorang manusia." Lisan yang mereka tuduhkan kepadanya 'Ajam dan ini lisan Arab yang nyata." Ada yang mengatakan bahawa nama hamba itu Ya'isy.

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. pernah mengajarkan kepada seorang penyanyi di Mekah, namanya Bal'am, padahal dia berbahasa 'Ajam. Orang-orang musyrik melihat Rasulullah s.a.w. sering mengunjunginya, lalu mereka mengatakan, "Sesungguhnya dia diajari oleh Bal'am," Maka Allah menurunkan firmanNya, "Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka mengatakan, "Sungguh hanyalah mengajarinya seorang manusia." Lisan yang mereka tuduhkan kepadanya 'Ajam dan ini lisan Arab yang nyata."

Di dalam riwayat lain, Ubaidillah ibnu Muslim mengatakan, "Dahulu kami mempunyai dua orang hamba Romawi yang membaca kitab milik keduanya dengan bahasanya. Dan tersebutlah bahawa Nabi s.a.w. singgah kepada keduanya, lalu berdiri dan mendengarkan bacaan yang dilakukan keduanya. Maka orang-orang musyrik mengatakan, "Muhammad sedang belajar dari kedua orang itu." Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini.

Di dalam riwayat lain, mereka (sebahagian Bani Hadhrami) memiliki dua orang hamba dari penduduk selain Yaman. Keduanya masih kecil, yang satu bernama Yasar, sedangkan yang satu lagi bernama Jabr. Keduanya suka membaca Taurat. Rasulullah s.a.w. terkadang duduk dengan keduanya, lalu orang-orang kafir Quraisy berkata, “Beliau duduk dengan keduanya adalah untuk belajar dari kedua anak itu.” Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, “Lisan yang mereka tuduhkan kepadanya 'Ajam dan ini lisan Arab yang nyata.”

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang kedustaan, buat-buatan, dan kebohongan orang-orang musyrik dalam tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w.,

"103. Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka mengatakan, "Sungguh hanyalah mengajarinya seorang manusia."

Mereka mengatakan bahawa sesungguhnya Al Quran yang dibacakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada mereka tiada lain diajarkan oleh seorang manusia kepadanya. Lalu mereka mengisyaratkan kepada seorang lelaki 'Ajam yang ada di antara mereka, iaitu seorang pelayan milik salah satu puak dari kabilah Quraisy.

Lelaki itu seorang pedagang yang menjajakan barang-barangnya di Safa. Adakalanya Rasulullah s.a.w. duduk dengannya dan berbincang-bincang dengannya mengenai sesuatu hal.

"Lisan yang mereka tuduhkan kepadanya 'Ajam"

Padahal orang tersebut berbahasa 'Ajam, tidak mengetahui bahasa Arab, atau hanya mengetahui sedikit bahasa Arab, menyangkut keperluannya yang darurat untuk berkomunikasi.

Bahasa 'Ajam adalah bahasa selain bahasa Arab dan dapat juga bererti bahasa Arab yang tidak baik. Hal itu, kerana orang yang dituduh mengajarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu bukan orang Arab dan hanya tahu sedikit tentang bahasa Arab.

"dan ini lisan Arab yang nyata."

Sedangkan Al Qur’an adalah dalam bahasa Arab yang terang, yang sangat fasih, berparamasastra sangat tinggi, dan mengandung makna-makna yang sempurna lagi mencakup segalanya. Tidak mungkin Beliau diajarkan oleh orang ‘Ajam (selain Arab). Jelas hal ini tidak akan dikatakan oleh seorang yang berakal rendah pun.

Orang yang melancarkan tuduhan ini adalah seorang lelaki dari kalangan kaum musyrik yang pernah bertugas menjadi juru tulis wahyu bagi Rasulullah s.a.w. Tetapi dia murtad sesudah masuk Islam, lalu dia melancarkan tuduhan ini; semoga Allah melaknatnya.

Rasulullah s.a.w. bukanlah orang yang mengada-ada, bukan pendusta, bahkan sebaliknya hanyalah makhluk yang jahatlah yang berani membuat kedustaan terhadap Allah dan RasulNya. Mereka adalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dari kalangan orang-orang kafir dan orang-orang ateis yang terkenal kedustaannya di kalangan manusia.

Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling benar, paling bertakwa, serta paling sempurna ilmu, pengamalan, iman, dan keyakinannya. Dia terkenal dengan kejujurannya di kalangan kaumnya. Tiada seorang pun yang meragukan hal ini dari kalangan mereka, sehingga mereka menggelar Beliau "Al Amin".

"104. Sesungguhnya orang-orang yang mereka tidak beriman kepada ayat-ayat Allah,"

Sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah (Al Quran) yang menunjukkan kebenaran secara tegas, lalu mereka menolaknya dan tidak mahu menerimanya.

"Allah tidak memberi mereka petunjuk dan bagi mereka azab yang pedih."

Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang berpaling dari mengingatNya dan berpura-pura tidak tahu terhadap apa yang Dia turunkan kepada RasulNya, serta tidak ada niat dalam dirinya untuk beriman kepada apa yang disampaikan oleh RasulNya dari sisiNya. Manusia yang berkarakter seperti ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah untuk beriman kepada ayat-ayatNya dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasulNya di dunia.

Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka ketika datang hidayah irsyad (bimbingan) kerana mereka menolaknya, sehingga diberi hukuman dengan terhalang mendapatkan hidayah dan dibiarkan oleh Allah. Bagi mereka di akhirat nanti ada azab'yang pedih lagi sangat menyakitkan.

"105. Sungguh hanyalah mengada-adakan kedustaan orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah,"

Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan hanyalah orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, yang mengatakan bahawa Al Qur’an itu ucapan manusia.

"dan mereka itu orang-orang pendusta."

Mereka itulah pembohong, iaitu kedustaan ada dalam diri mereka, dan mereka lebih layak disebut pendusta daripada selain mereka. Diulangi kata-kata “dusta” terhadap mereka untuk menguatkan dan sebagai bantahan terhadap perkataan mereka kepada Nabi s.a.w., “Sesungguhnya engkau (Muhammad) hanya mengada-ada saja.”

Adapun Nabi Muhammad s.a.w., maka Beliau beriman kepada ayat-ayat Allah dan tunduk kepada Tuhannya. Oleh kerana itu, mustahil jika Beliau berdusta atas nama Allah dan berkata apa yang tidak difirmankanNya. Oleh kerana musuh-musuh Beliau menuduh Beliau berdusta, maka Allah menampakkan kehinaan dan menerangkan aib mereka.

"106. Barang siapa yang kafir kepada Allah setelah imannya,"

Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman dan menyaksikan kebenaran, dia mendapat kemurkaan Allah. Buruknya keadaan mereka, seakan-akan mereka adalah orang yang buta setelah melihat dan kembali kepada kesesatan setelah mendapat petunjuk.

"kecuali orang yang dipaksa, dan hatinya tenteram dengan iman,"

Kecuali orang yang dipaksa kafir, padahal hatinya tetap tenang dalam beriman kepada Allah dan RasulNya, dia tidak berdosa dan boleh baginya mengucapkan kata-kata kufur ketika dipaksa dan dalam keadaan tekanan, pukulan dan penindasan.

Fiqih yang dapat diambil dari ayat ini adalah bahawa ucapan orang yang dipaksa tidaklah dipandang dan tidak membuah hukum syar’i, baik dalam urusan talak, memerdekakan, jual-beli dan akad lainnya. Hal ini, kerana apabila seseorang tidak berdosa mengucapkan kata-kata kufur ketika dipaksa, maka urusan lain tentu lebih berhak tidak mendapatkan dosa.


"akan tetapi barang siapa yang melapangkan dengan kekafiran dada, maka atas mereka kemurkaan dari Allah dan bagi mereka azab yang besar."

Akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, iaitu hatinya tenang dan rela dengan kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya. Jika Dia murka, maka tidak ada satu pun makhluk yang berani berdiri, dan segala sesuatu akan ikut murka. Di hari akhirat nanti mereka akan mendapat siksaan yang besar.

"107. Demikian itu kerana sesungguhnya mereka sangat mencintai kehidupan dunia atas akhirat dan bahawasanya Allah tidak memberi petunjuk kaum yang kafir."

Murtadnya mereka dari agama Islam itu disebabkan kerana mereka lebih mencintai kehidupan di dunia daripada akhirat. Mereka lebih memilih kekafiran daripada keimanan kerana mencintai kesenangan dunia.

Maka Allah mencegah mereka dari beriman, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. Allah tidak memberi petunjuk kepada hati mereka serta tidak mengukuhkan mereka pada agama yang hak.

"108. Mereka itu orang-orang yang Allah mengunci mati atas hati-hati mereka, dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka dan mereka itu orang-orang yang lalai."

Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah. Oleh kerana itu, hatinya tidak boleh dimasuki kebaikan, sedangkan pendengaran dan penglihatan tidak boleh menerima manfaat yang akan sampai ke dalam hati mereka. Mereka tidak dapat memikirkan sesuatu pun yang bermanfaat bagi diri mereka di hari kemudian. Mereka dalam keadaan lalai akan akibat buruk yang ditakdirkan atas diri mereka.

"109. Pastilah bahawa mereka di akhirat, mereka orang-orang yang rugi."

Pastilah mereka di akhirat nanti adalah orang-orang yang rugi kerana tempat kembali mereka ke neraka dan mereka kehilangan nikmat yang kekal. Sudah pasti dan tidak menghairankan, begitulah sifatnya, mereka adalah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya kelak di hari kiamat.

Ahad, 23 Februari 2020

16:97-102 Tafsir Surah An Nahl, ayat 97-102.

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٩٧) فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (٩٨) إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٩٩) إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ (١٠٠) وَإِذَا بَدَّلْنَا آيَةً مَكَانَ آيَةٍ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوا إِنَّمَا أَنْتَ مُفْتَرٍ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْلَمُونَ (١٠١) قُلْ نَزَّلَهُ رُوحُ الْقُدُسِ مِنْ رَبِّكَ بِالْحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذِينَ آمَنُوا وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ (١٠٢) 

Allah s.w.t. berfirman,

"97. Barang siapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan dan dia beriman, maka sungguh Kami akan beri kehidupan penghidupan yang baik;" 

Barang siapa yang mengerjakan kebajikan, baik dia lelaki ataupun perempuan, sedangkan hatinya dalam keadaan beriman kepada Allah dan RasulNya, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.

Amal soleh atau kebajikan bermaksud amal perbuatan yang mengikuti petunjuk Kitabullah dan Sunnah NabiNya, amal yang diperintahkan serta disyariatkan dari sisi Allah.

Maka Allah berjanji akan memberinya kehidupan yang baik di dunia, iaitu kebahagiaan, ketenteraman hati, ketenangan jiwanya, sikap qana’ah (puas dan menerima apa diberikan kepadanya) atau mendapatkan rezeki yang halal lagi baik, kemampuan beribadah dan sebagainya.

Berdasarkan ayat ini, cara untuk memperoleh kebahagiaan atau ketenangan batin adalah dengan beriman (tentunya dengan memeluk Islam) dan beramal soleh atau mengerjakan ajaran-ajaran Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya beruntunglah orang yang telah masuk Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah menganugerahkan kepadanya sifat qana'ah terhadap apa yang diberikan kepadanya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya beruntunglah orang yang diberi petunjuk kepada Islam, sedangkan rezekinya secukupnya dan dia menerimanya dengan penuh rasa syukur."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan menganiaya orang mukmin dalam suatu kebaikan pun yang Dia berikan kepadanya di dunia dan Dia berikan pahalanya di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia diberi balasan di dunia kerana kebaikan-kebaikannya, hingga manakala dia sampai di akhirat, tiada suatu kebaikan pun yang tersisa baginya yang dapat diberikan kepadanya sebagai balasan kebaikan."

"dan sungguh Kami akan membalas mereka pahala mereka dengan yang lebih baik apa yang mereka kerjakan." 

Bahkan akan Kami beri balasan kepada mereka kelak di akhirat dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dengan memberikan syurga yang penuh kenikmatan, yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di hati manusia.

Ayat ini menunjukkan, bahawa lelaki dan perempuan dalam Islam mendapat pahala yang sama dan bahawa amal soleh harus disertai iman. Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hambaNya melalui lisan NabiNya,

"98. Maka apabila kamu membaca Al Qur'an, maka berlindunglah kamu kepada Allah dari syaitan yang terkutuk." 

Apabila kamu (Muhammad) hendak membaca Al Quran yang di dalamnya terdapat kebaikan bagi hati dan ilmu yang banyak, mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk dengan membaca isti’azah, iaitu mengucapkan, “A’uudzu billahi minasy syaithaanir rajiim” (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk).

Membaca isti’azah pada permulaan membaca Al Qur'an dimaksudkan agar si pembaca tidak mengalami kekeliruan dalam bacaannya yang berakibat campur aduk bacaannya sehingga dia tidak dapat merenungkan dan memikirkan makna apa yang dibacanya.

Hal itu, kerana syaitan berusaha memalingkan manusia dari maksud dan makna Al Qur’an, maka jalan keluarnya adalah dengan meminta perlindungan kepada Allah dari godaannya agar perhatian seseorang tertuju kepada Al Qur’an dan tidak berpaling daripadanya. Perintah ini adalah perintah sunat, bukan perintah wajib.

"99. Sesungguhnya dia tidak baginya kekuasaan atas orang-orang beriman dan kepada Tuhan mereka mereka bertawakkal." 

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atau berpengaruh atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. Dengan tawakkal mereka kepadaNya, Allah singkirkan gangguan syaitan, sehingga tidak ada jalan bagi syaitan untuk masuk menguasainya.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah syaitan tidak mempunyai kekuasaan untuk dapat menjerumuskan hamba-hamba Allah ke dalam suatu dosa yang mereka tidak bertaubat darinya. Ada yang mengatakan bahawa syaitan tidak mempunyai kemampuan untuk menggoda mereka.

"100. Sungguh hanyalah kekuasaannya atas orang-orang yang mereka menjadikannya pemimpin" 

Sesungguhnya pengaruh syaitan hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin, iaitu dengan menaatinya dan ikut ke dalam golongannya. Ada yang mengatakan bahawa orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai penolongnya, bukan Allah. Maka syaitan akan menggiring mereka ke dalam neraka.

"dan orang-orang yang mereka dengannya menyekutukan Tuhan." 

Sedangkan mereka mempersekutukan syaitan dengan Allah dalam penyembahannya. Ada yang mengatakan bahawa disebabkan ketaatan mereka kepada syaitan, jadilah mereka orang-orang yang mempersekutukan Allah s.w.t. Ada yang mengatakan mereka bersekutu dengan syaitan dalam harta benda dan anak-anaknya.

Allah s.w.t. menyebutkan kelemahan akal orang-orang musyrik, rapuhnya pendirian, dan tipisnya keyakinan mereka; sehingga tidak tergambarkan mereka mahu beriman,

"101. Dan apabila Kami ganti suatu ayat di tempat ayat, dan Allah lebih mengetahui dengan apa yang Dia turunkan," 

Apabila Kami mengganti suatu ayat dengan ayat yang lain, iaitu dengan menasakh(hapus)nya, dan menurunkan ayat yang lain untuk maslahat hamba, padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkanNya,

Orang-orang yang mendustakan Al Qur’an berusaha mencari sesuatu yang boleh menjadi hujjah bagi mereka, Sesungguhnya mereka telah dipastikan menjadi orang-orang yang celaka. Demikian itu apabila mereka melihat ada perubahan hukum-hukum yang dimansukh oleh hukum yang baru dari Allah,

"mereka berkata, "Sungguh hanyalah kamu mengada-adakan.""

Dengan spontan mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Sesungguhnya kamu (Muhammad) hanya mengada-ada saja.” Mereka mencela Rasulullah s.a.w. dan apa yang Beliau bawa. Mereka menuduhnya sebagai seorang pendusta.

Padahal sesungguhnya penggantian hukum itu hanyalah dari Allah s.w.t. belaka, Dia berbuat menurut apa yang dikehendakiNya dan memutuskan menurut apa yang disukaiNya. Dia adalah hakim yang Mahabijaksana yang menetapkan hukum-hukum dan mengganti hukum yang satu dengan hukum yang lain kerana hikmah dan rahmatNya.

"Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui."

Sebenarnya kebanyakan mereka tidak mengetahui tentang Tuhan mereka yang Mahabijaksana dan syari’atNya serta faedah naskh.

"102. Katakanlah, "Menurunkannya Ruhul Qudus dari Tuhanmu dengan benar""

Jibril menurunkan Al Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar, iaitu dengan sesungguhnya dan adil, turunnya benar-benar dari sisi Allah, di dalamnya mengandung kebenaran, baik pada beritanya, perintah maupun larangannya.

Jika telah diketahui, bahawa Al Qur’an adalah kebenaran, maka bererti sesuatu yang bertentangan atau berlawanan dengannya adalah batil. Jibril disebut Ruhul Qudus, kerana dia bersih dari aib, khianat dan penyakit.

"untuk meneguhkan orang-orang yang beriman" 

Al Qur’an meneguhkan hati orang-orang yang telah beriman. Maka pastilah mereka membenarkan ayat yang diturunkan pertama, juga yang diturunkan kemudian serta hati mereka tunduk patuh kepadaNya.

Oleh kerana kebenaran senantiasa sampai ke dalam hati mereka sedikit demi sedikit, maka iman mereka akan semakin kukuh bagai gunung kukuh yang menancap. Di samping itu, dengan turunnya ayat sedikit-demi sedikit, maka lebih sedia diterima oleh jiwa daripada turun secara sekaligus yang seakan-akan mereka menerima banyak beban.

Oleh kerana itulah, dengan Al Qur’an keadaan para sahabat berubah; akhlak, tabi’at, kebiasaan dan amal mereka berubah sampai mengalahkan orang-orang terdahulu dan yang akan datang kemudian.

Maka dari itu, sepatutnya generasi yang datang setelah para sahabat terdidik di atas ilmu-ilmu yang ada dalam Al Qur;an, berakhlak dengan akhlaknya, menggunakannya sebagai penerang dalam gelapnya kesesatan dan kebodohan, sehingga dengannya urusan agama dan dunia mereka menjadi baik.

"dan petunjuk dan khabar gembira bagi orang-orang muslim."

Al Qur’an menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri kepada Allah, yang beriman kepada Allah dan RasulNya.

Allah menjadikannya sebagai petunjuk yang menunjukkan kepada mereka hakikat segala sesuatu, menerangkan mana yang benar dan mana yang batil, mana petunjuk dan mana kesesatan, serta khabar gembira kepada mereka, bahawa mereka akan memperoleh kebaikan, iaitu syurga dan mereka akan kekal di sana selama-lamanya.

Sabtu, 8 Februari 2020

16:94-96 Tafsir Surah An Nahl, ayat 94-96.

وَلا تَتَّخِذُوا أَيْمَانَكُمْ دَخَلا بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمٌ بَعْدَ ثُبُوتِهَا وَتَذُوقُوا السُّوءَ بِمَا صَدَدْتُمْ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (٩٤) وَلا تَشْتَرُوا بِعَهْدِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلا إِنَّمَا عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (٩٥) مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٩٦) 

Allah s.w.t. berfirman memperingatkan hamba-hambaNya,

"94. Dan janganlah kalian menjadikan sumpah kalian tipu daya di antara kalian, maka tergelincir kaki setelah tegaknya" 

Diulangi lagi larangan ini untuk menguatkannya. Janganlah kalian jadikan sumpah-sumpah kalian sebagai alat untuk menipu dan makar di antara kalian, di mana jika kalian mahu, kalian akan memenuhi dan jika kalian mahu, kalian melanggar sesuai hawa nafsu kalian sehingga kaki kalian tergelincir dari jalan yang lurus atau jalan Islam setelah kukuhnya.

"dan kalian akan rasakan keburukan dengan apa yang kalian menghalang-halangi dari jalan Allah" 

Kalian juga akan merasakan keburukan atau kemelaratan, iaitu hukuman di dunia kerana kalian tersesat dan menyesatkan orang lain, atau dengan menghalangi orang lain memenuhi janji.

"dan bagi kalian azab yang besar."

Kalian juga akan mendapat azab yang besar.

Hal ini merupakan perumpamaan bagi orang yang tadinya berada pada jalan yang lurus, lalu menyimpang dan tergelincir dari jalan petunjuk disebabkan sumpah yang dilanggarnya dan berakibat terhalangnya jalan Allah.

Dikatakan demikian kerana apabila orang kafir melihat ada orang mukmin yang bersumpah menjamin keselamatannya, tetapi kemudian orang mukmin itu melanggar sumpahnya, maka tiada kepercayaan lagi bagi si kafir terhadap agama si mukmin. Akibatnya, maka si kafir itu merasa anti pati untuk masuk Islam.

Allah s.w.t. berfirman memperingatkan hamba-hambaNya agar tidak membatalkan perjanjian kerana kepentingan duniawi.

"95. Dan janganlah kalian menukar perjanjian Allah harga yang sedikit," 

Janganlah kalian jual perjanjian kalian dengan Allah dengan harga yang murah, iaitu janganlah kalian menukar iman kepada Allah dengan harta benda duniawi dan perhiasannya, kerana sesungguhnya harta duniawi itu sedikit.

"sungguh hanyalah di sisi Allah, ia lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui." 

Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, iaitu pahala dan balasan di dunia dan di akhirat bagi orang yang berharap kepada Allah, beriman kepadaNya, memohon kepadaNya, mengutamakan keridhaanNya dan memenuhi janjinya dengan Allah, itulah yang lebih baik bagi kalian daripada dunia bersama isinya yang akan lenyap, jika kalian mengetahui.

"96. Apa yang ada di sisi kalian akan lenyap" 

Perhiasan dunia yang ada di sisi kalian akan habis dan lenyap, kerana sesungguhnya hal itu mempunyai batas waktu yang tertentu dan ada masa habisnya.

"dan apa yang di sisi Allah kekal."

Pahala Allah yang ada di sisiNya untuk kalian di syurga nanti adalah kekal, tiada habis-habisnya dan tiada putus-putusnya, kerana sesungguhnya pahala di syurga itu bersifat kekal, tidak berubah, dan tidak akan lenyap. Oleh kerana itu, utamakanlah yang kekal daripada yang fana.

Dalam ayat ini terdapat dorongan untuk bersikap zuhud (tidak berlebihan) terhadap dunia, dan bahawa di antara cara untuk bersikap zuhud adalah dengan membandingkan kenikmatan dunia dengan kenikmatan akhirat, di mana dia akan menemukan perbedaan yang ketara antara keduanya.

"Dan sungguh Kami akan memberi balasan orang-orang yang sabar pahala mereka dengan yang lebih baik apa yang mereka kerjakan." 

Sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar kerana memenuhi janji, atau sabar dengan tetap menaati Allah dan tetap menjauhi maksiat dengan pahala yang lebih baik daripada amal perbuatan mereka. Selain itu Allah memaafkan keburukan-keburukan amal perbuatan mereka.

Satu kebaikan dilipatgandakan menjadi sepuluh, dan terus meningkat menjadi tujuh ratus dan meningkat sampai gandaan yang banyak, kerana Allah tidak akan menyia-nyiakan orang yang memperbagus amalan.

Selasa, 21 Januari 2020

16:91-93 Tafsir Surah An Nahl, ayat 91-93.

وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْتُمْ وَلا تَنْقُضُوا الأيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلا إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ (٩١) وَلا تَكُونُوا كَالَّتِي نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنْكَاثًا تَتَّخِذُونَ أَيْمَانَكُمْ دَخَلا بَيْنَكُمْ أَنْ تَكُونَ أُمَّةٌ هِيَ أَرْبَى مِنْ أُمَّةٍ إِنَّمَا يَبْلُوكُمُ اللَّهُ بِهِ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ (٩٢) وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَلَتُسْأَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (٩٣)

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan perkara wajib dalam asal (dasar) syara’, maka Dia memerintahkan agar seorang hamba memenuhi apa yang diwajibkan terhadap dirinya.

"91. Dan tepatilah janji Allah apabila kalian berjanji"

Tepatilah janji dengan Allah apabila kalian berjanji, baik berupa ibadah, nazar, sumpah yang dibuatnya dan lain-lain. Termasuk juga akad antara kalian dengan orang lain, seperti mengadakan perjanjian, dan berjanji akan memberikan sesuatu kepada orang lain, lalu kalian perkuat janji itu. Maka kalian harus memenuhi janji itu dan menyempurnakannya ketika mampu serta tidak membatalkannya.

"dan janganlah kalian langgar sumpah-sumpah setelah peneguhannya"

Al aiman (sumpah-sumpah) bermaksud janji-janji dan ikatan-ikatan, bukan hanya sekadar sumpah-sumpah yang diutarakan untuk mengerjakan sesuatu atau meninggalkannya. Janganlah kalian membatalkan sumpah-sumpah kalian itu sesudah diikrarkan atau dikukuhkan dengan menggunakan nama Allah Ta’ala.

"dan sungguh kalian menjadikan Allah atas kalian jaminan."

Sedangkan kalian telah menjadikan Allah sebagai saksi kalian terhadap sumpah-sumpah itu. Jika tetap melanggarnya, padahal Allah sebagai saksinya, maka sama saja tidak mengagungkan Allah dan sama saja meremehkanNya.

"Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kalian kerjakan." 

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kalian perbuat. Dia akan memberikan balasan terhadap amal kalian. Ayat ini mengandung makna ancaman dan peringatan terhadap orang yang membatalkan sumpahnya sesudah mengukuhkannya.

"92. Dan janganlah kalian menjadi seperti yang mengurai benangnya setelah kuat tenunan," 

Janganlah kalian seperti seorang wanita dungu atau kurang akal yang tinggal di Mekah di masa silam, yang telah sekian lama mengikat benangnya dan sesudah kuat pintalannya, lalu diuraikannya menjadi cerai-berai kembali. Dia hanya mendapat kekecewaan.

Hal ini merupakan perumpamaan bagi orang yang gemar melanggar atau membatalkan sumpahnya sesudah mengukuhkannya. Oleh kerana itu, barang siapa yang telah mengadakan perjanjian, lalu dilanggarnya, maka dia adalah orang yang zalim, bodoh dan kurang akal, kurang agama dan kehormatannya.

"kalian menjadikan sumpah-sumpah kalian tipu daya di antara kalian, bahawa ada suatu umat dia lebih banyak dari golongan."

Arba bermaksud lebih banyak atau lebih kuat. Kalian menjadikan sumpah (perjanjian) kalian sebagai alat penipu, iaitu makar dan tipu muslihat di antara kalian, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya daripada golongan yang lain.

Ada yang menafsirkan, bahawa kaum muslimin yang jumlahnya masih sedikit itu telah mengadakan perjanjian yang kuat dengan Nabi s.a.w. Ketika mereka melihat orang-orang Quraisy berjumlah banyak, lalu timbullah keinginan mereka untuk membatalkan perjanjian dengan Nabi Muhammad s.a.w. itu. Perbuatan tersebut dilarang oleh Allah s.w.t.

Ada juga yang menafsirkan, bahawa kaum muslimin bersekutu dengan golongan lain, namun ketika mereka mendapatkan golongan yang lebih banyak jumlahnya dan lebih kuat, mereka membatalkan perjanjiannya dengan golongan yang lama, dan mengikat perjanjian baru dengan golongan yang lebih banyak itu. Semua itu dilakukan mengikuti hawa nafsu dan kepentingan duniawi, wallahu a’lam.

"Sungguh hanyalah menguji kalian Allah dengannya."

Sesungguhnya Allah hanya menguji kalian dengan perintahNya untuk memenuhi janji, agar Dia melihat siapa di antara kamu yang taat dan siapa yang bermaksiat. Boleh juga maksudnya, Dia menguji kalian dengan golongan yang lebih banyak dan lebih kuat, agar Dia melihat adakah kalian tetap memenuhi janji atau tidak.

"Sungguh akan dijelaskan kepada kalian pada hari kiamat apa yang kalian di dalamnya kalian perselisihkan."

Sesungguhnya di hari kiamat akan dijelaskanNya kepada kalian apa yang dahulu kalian perselisihkan itu. Iaitu tentang masalah perjanjian maupun lainnya, iaitu dengan mengazab orang yang melanggar janji dan memberi balasan orang yang memenuhinya.

"93. Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kalian umat yang satu," 

Jika Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kalian satu umat atau di atas satu agama saja, iaitu Islam.

"akan tetapi Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan Dia memberi petunjuk siapa yang Dia kehendaki."

Hidayah dan penyesatanNya termasuk perbuatanNya yang mengikuti ilmu dan kebijaksanaanNya, Dia memberikan hidayah kepada yang berhak menerimanya kerana kurniaNya, dan menyesatkan kepada yang layak disesatkan kerana keadilanNya.

"Dan sungguh kalian akan ditanya tentang apa yang kalian kerjakan." 

Tetapi di hari kiamat kalian pasti akan ditanya atau diminta pertanggungjawaban tentang semua amal perbuatan kalian, lalu Dia akan membalaskannya terhadap kalian, baik yang besar, yang pertengahan, maupun yang terkecil, tanpa ada yang terlepas.

Selasa, 31 Disember 2019

16:90 Tafsir Surah An Nahl, ayat 90.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٩٠) 

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada hamba-hambaNya,

"90. Sesungguhnya Allah menyuruh untuk berbuat keadilan" 

Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berlaku adil, iaitu pertengahan dan seimbang. Adil bermaksud menempatkan sesuatu pada tempatnya dan memberikan hak kepada masing-masing yang mempunyai hak. Adil yang diperintahkan Allah ini mencakup adil terhadap hakNya dan adil terhadap hak hambaNya. Caranya adalah dengan menunaikan kewajibannya secara sempurna.

Kepada Allah s.w.t., misalnya dengan mentauhidkanNya dan tidak berbuat syirik, menaatiNya dan tidak menderhakai, mengingatNya dan tidak melupakan, serta bersyukur kepadaNya dan tidak kufur.

Kepada manusia, misalnya dengan memenuhi haknya. Jika sebagai pemimpin, maka dia memenuhi kewajibannya terhadap orang yang berada di bawah pimpinannya, baik dia sebagai pemimpin dalam ruang lingkup yang besar (imamah kubra), menjabat sebagai qadhi (hakim), wakil khalifah atau wakil qadhi.

Adil juga berlaku dalam mu’amalah, iaitu dengan bermu’amalah dalam akad jual beli dan tukar-menukar dengan memenuhi kewajiban kita, tidak mengurangi hak orang lain (seperti mengurangi takaran dan timbangan), tidak menipu dan tidak menzalimi.

Ada yang mengatakan bahawa berlaku adil bermaksud mengucapkan persaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Ada yang mengatakan sikap pertengahan antara zahir dan batin bagi setiap orang yang mengamalkan suatu amal kerana Allah s.w.t.

"dan kebaikan" 

Allah menyuruh kalian berbuat kebajikan atau berbuat ihsan. Adil hukumnya wajib, sedangkan ihsan adalah keutamaan dan disukai, misalnya dengan memberikan lebih dari yang diwajibkan, seperti memberikan manfaat kepada orang lain dengan harta, badan, ilmu atau lainnya.

Jika dalam ibadah, maka dengan mengerjakan kewajiban atau beribadah kepada Allah seakan-akan melihatNya. Ada yang mengatakan bahawa ihsan bermaksud bilamana hatinya lebih baik daripada lahiriahnya.

"dan memberikan yang mempunyai hubungan kerabat" 

Allah menyuruh kalian memberi kaum kepada kaum kerabat. Disebutkan memberikan sesuatu kepada kerabat walaupun masuk dalam keumuman, agar mendapatkan perhatian lebih.

Kerabat di sini mencakup kerabat dekat maupun jauh, akan tetapi semakin dekat, maka semakin berhak mendapat kebaikan. Ada yang menafsirkan bahawa hendaknya dia menganjurkan untuk bersilaturahim.

"dan melarang dari perbuatan keji dan mungkar," 

Allah melarang kalian dari melakukan perbuatan keji, iaitu dosa besar yang dianggap keji baik oleh syara’ maupun fitrah, seperti syirik, membunuh dengan tanpa hak, zina, mencuri, ‘ujub, sombong, merendahkan manusia dan lain-lain. Allah juga melarang kalian dari melakukan kemungkaran, iaitu perbuatan dosa yang terkait dengan hak Allah.

Ada yang mengatakan bahawa al fahsya ialah hal-hal yang diharamkan, dan munkar ialah segala sesuatu yang ditampakkan dari perkara haram itu oleh pelakunya. Ada yang mengatakan bahawa al fahsya serta al munkar bermaksud bila lahiriahnya lebih baik daripada hatinya.

"dan kederhakaan" 

Allah melarang kalian dari melakukan kederhakaan. Ada yang menafsirkan baghyu dengan permusuhan dengan orang lain. Ada yang menafsirkan baghyu dengan perbuatan dosa yang terkait dengan manusia.

Di dalam sebuah hadis diterangkan, "Tiada suatu dosa pun yang lebih berhak Allah menyegerakan siksaan terhadap (pelaku)nya di dunia ini, di samping siksaan yang disediakan buat pelakunya di akhirat nanti, selain dari permusuhan dan memutuskan tali silaturahim."

"Dia mengajarkan kalian agar kalian mengerti."

Allah memberi pengajaran kepada kalian melalui perintah berbuat kebaikan dan larangan dari perbuatan yang jahat agar kalian dapat mengambil pelajaran. Apabila kalian sudah mengambil pelajaran darinya, memahami dan mengerti, maka kalian dapat mengamalkannya, sehingga kalian dapat berbahagia.

Abdullah ibnu Abbas mengatakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. berada di halaman rumahnya sedang duduk-duduk, tiba-tiba melintaslah Usman ibnu Maz'un (yang tuna netra). Lalu Usman ibnu Maz'un tersenyum kepada Rasulullah s.a.w., dan Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya, "Mengapa engkau tidak duduk (bersamaku)?" Usman ibnu Maz'un menjawab, "Baiklah." Maka duduklah Usman ibnu Maz'un berhadapan dengan Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. sedang berbincang-bincang dengannya, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. menatapkan pandangan matanya ke arah langit, lalu memandang ke arah langit sebentar, setelah itu Beliau menurunkan pandangan matanya ke arah sebelah kanannya, dan saat itu juga Rasulullah s.a.w. beralih duduk ke tempat yang tadi dipandang oleh matanya, sedangkan teman duduknya (Usman ibnu Maz'un) ditinggalkannya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. menundukkan kepalanya, seakan-akan sedang mencerna apa yang diucapkan kepadanya, sementara itu Ibnu Maz'un terus mengamatinya (dengan indera perasanya). Sesudah keperluannya selesai dan memahami apa yang diucapkan kepadanya, maka Rasulullah s.a.w. kembali menatapkan pandangannya ke arah langit, sebagaimana tatapannya yang mula tadi. Nabi s.a.w. menatapkan pandangan matanya ke arah langit seakan-akan mengikuti pemergian (malaikat) hingga malaikat itu tidak kelihatan tertutup oleh langit. Kemudian Rasulullah s.a.w. menghadap kepada Usman di tempat duduknya yang mula tadi. Maka Usman ibnu Maz'un bertanya, "Hai Muhammad, selama saya duduk denganmu saya belum pernah melihatmu melakukan perbuatan seperti yang kamu lakukan siang hari ini." Rasulullah s.a.w. bertanya, "Apakah yang kamu lihat aku melakukannya?" Usman ibnu Maz'un berkata, "Saya lihat engkau menatapkan pandanganmu ke arah langit, kemudian kamu turunkan pandangan matamu ke suatu tempat di sebelah kananmu, lalu kamu pindah ke tempat itu sambil meninggalkan diriku. Setelah itu engkau menundukkan kepala seakan-akan sedang menerima sesuatu yang diucapkan kepadamu." Rasulullah s.a.w. bertanya, "Apakah kamu (yang tuna netra) dapat melihat hal tersebut?" Usman ibnu Maz'un menjawab, "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku baru saja kedatangan utusan Allah saat kamu sedang duduk." Usman Ibnu Maz'un bertanya, "Utusan Allah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ya." Usman ibnu Maz'un bertanya, "Apakah yang dia sampaikan kepadamu?" Rasulullah s.a.w. bersabda membacakan firmanNya, "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan." (An Nahl 16:90), hingga akhir ayat. Usman ibnu Maz'un mengatakan, "Yang demikian itu terjadi di saat imanku telah mantap dalam hatiku dan aku mulai mencintai Muhammad s.a.w."

Di dalam riwayat lain, Usman ibnu Abul As mengatakan, "Dahulu saya pernah duduk di hadapan Rasulullah s.a.w., tetapi tiba-tiba Rasulullah s.a.w. menatapkan pandangan matanya (ke arah langit). Setelah itu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jibril baru datang kepadaku, dan memerintahkan kepadaku agar meletakkan ayat berikut pada suatu tempat dari surah (An-Nahl) ini, iaitu firmanNya, "Sesungguhnya Allah menyuruh (kalian) berlaku adil dan berbuat kebajikan." (An Nahl 16:90), hingga akhir ayat."

Khamis, 12 Disember 2019

16:84-89 Tafsir Surah An Nahl, ayat 84-89.

وَيَوْمَ نَبْعَثُ مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا ثُمَّ لا يُؤْذَنُ لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَلا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ (٨٤) وَإِذَا رَأَى الَّذِينَ ظَلَمُوا الْعَذَابَ فَلا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ وَلا هُمْ يُنْظَرُونَ (٨٥) وَإِذَا رَأَى الَّذِينَ أَشْرَكُوا شُرَكَاءَهُمْ قَالُوا رَبَّنَا هَؤُلاءِ شُرَكَاؤُنَا الَّذِينَ كُنَّا نَدْعُوا مِنْ دُونِكَ فَأَلْقَوْا إِلَيْهِمُ الْقَوْلَ إِنَّكُمْ لَكَاذِبُونَ (٨٦) وَأَلْقَوْا إِلَى اللَّهِ يَوْمَئِذٍ السَّلَمَ وَضَلَّ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَفْتَرُونَ (٨٧) الَّذِينَ كَفَرُوا وَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ زِدْنَاهُمْ عَذَابًا فَوْقَ الْعَذَابِ بِمَا كَانُوا يُفْسِدُونَ (٨٨) وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِمْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَى هَؤُلاءِ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ (٨٩)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal orang-orang musyrik atau kafir kelak di kala mereka dikembalikan di hari akhirat.

"84. Dan pada hari Kami membangkitkan dari tiap-tiap umat seorang saksi," 

Ingatlah akan hari ketika Kami membangkitkan dari setiap umat seorang saksi, iaitu rasul mereka. Rasul akan menjadi saksi pada hari kiamat terhadap kebaikan dan keburukan umatnya, serta bagaimana sikap atau sambutan mereka terhadap seruannya.

"kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang yang kafir dan mereka tidak dibolehkan minta maaf." 

Kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang yang kafir mengemukakan alasan untuk membela diri kerana mereka sendiri mengetahui kebatilan dan kedustaan alasannya, dan mereka juga  tidak dibolehkan meminta maaf. Tidak akan diterima uzur mereka dan tidak akan diangkat siksa dari mereka.

"85. Dan ketika menyaksikan orang-orang yang zalim azab, maka tidak diringankan dari mereka dan mereka tidak diberi penangguhan." 

Apabila orang-orang musyrik itu telah menyaksikan azab, maka mereka tidak mendapat keringanan. Azab itu tiada putus-putusnya menimpa mereka dan tidak pernah berhenti barang sebentar pun. Mereka juga tidak diberi penangguhan.

Sesungguhnya neraka Jahanam itu didatangkan dengan ditarik oleh tujuh puluh ribu kendali, pada tiap kendali terdapat tujuh puluh ribu malaikat yang menyeretnya.

Lalu muncullah salah satu leher neraka Jahanam kepada makhluk sambil mengeluarkan suara gemuruh, nyalanya sekali nyala, sehingga semua manusia pasti melutut kerana sangat ketakutan.

Kemudian neraka Jahanam berkata, "Sesungguhnya aku diperintahkan untuk menyiksa setiap orang yang berlaku sewenang-wenang lagi keras kepala, iaitu orang-orang yang menjadikan tuhan lain di samping Allah," disebutkan juga macam-macam manusia lainnya.

Kemudian neraka Jahanam langsung mengambil mereka dari Mauqif (tempat mereka dihentikan) tanpa hisab lagi, sebagaimana burung mengambil (menyambar) biji-bijian.

Mereka tidak perlu dihisab kerana mereka tidak memiliki kebaikan, bahkan amal mereka akan dijumlahkan, lalu dihadapkan kepada mereka dan mereka mengakuinya, lalu dipermalukan di hadapan yang lain.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang sikap berlepas diri tuhan-tuhan mereka dari perbuatan mereka di saat mereka sangat memerlukan sembahan-sembahan mereka.

"86. Dan apabila melihat orang-orang yang menyekutukan sekutu-sekutu mereka," 

Apabila orang-orang yang mempersekutukan Allah melihat apa yang mereka sembah selain Allah sewaktu di dunia atau syaitan-syaitan yang mengajak mereka menyembah selain Allah s.w.t.,

"mereka berkata, "Ya Tuhan kami, mereka ini sekutu-sekutu kami yang kami seru dari selain Engkau.""

Mereka menyebutkan kebatilannya, mengingkarinya dan tampak kebencian dan permusuhan antara mereka dengan yang mereka sembah, seakan-akan mereka menimpakan kesalahan kepada sesembahan mereka. Para sekutu mereka berlepas diri dari mereka.

"Maka mereka sampaikan kepada mereka perkataan, "Sesungguhnya kalian sungguh orang-orang pendusta.""

Lalu sekutu-sekutu atau sembahan-sembahan mereka menjawab, "Sesungguhnya kalian benar-benar orang-orang yang pendusta. Kalian yang menjadikan kami sebagai sekutu bagi Allah, kalian yang menyembah kami, sedangkan kami tidak memerintahkan demikian, dan kami tidak menyatakan bahawa kami berhak disembah. Oleh kerana itu, kalianlah yang salah."

"87. Dan mereka menyatakan kepada Allah pada hari itu tunduk dan hilang dari mereka apa yang mereka ada-adakan." 

Pada hari itu mereka menyatakan ketundukannya kepada Allah dan lenyaplah segala yang mereka ada-adakan, iaitu kepercayaan bahawa Allah s.w.t. mempunyai sekutu-sekutu, dan bahawa sekutu-sekutu itu dapat memberi syafa'at kepada mereka di hadapan Allah s.w.t.

Mereka mengakui kekafiran mereka kepada Allah dan berdusta atas namaNya. Maka tiada yang dapat menolong mereka, tiada yang dapat membantu mereka, dan tiada yang dapat melindungi mereka.

"88. Orang-orang yang kafir dan mereka menghalang-halangi dari jalan Allah, Kami tambahkan mereka azab di atas azab disebabkan mereka membuat kerosakan." 

Orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari agama Allah, Kami tambahkan kepada mereka siksaan demi siksaan. Mereka mendapat siksaan yang berlipatganda, sebagaimana kesalahan mereka yang juga berlipatganda, iaitu selalu berbuat kerosakan dengan menjauhi perkara yang hak dan menghalangi manusia dari mengikuti perkara yang hak.

Hal ini menunjukkan bahawa orang-orang kafir itu berbeda-beda dalam menerima azabnya. Sebagaimana orang-orang mukmin, berbeda-beda tingkatannya di dalam syurga, begitu juga darjat (kedudukan)nya. Allah s.w.t. berfirman kepada hamba dan rasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"89. Dan pada hari Kami membangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas kamu dari diri mereka" 

Ingatlah akan hari ketika Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri, iaitu rasul mereka. Ingatlah kamu akan hari itu dan kengerian yang ada padanya serta kemuliaan yang besar dan kedudukan yang tinggi yang diberikan oleh Allah kepadamu pada hari itu.

"dan Kami datangkan denganmu saksi atas mereka itu." 

Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi terhadap umatmu, baik atau buruk sikap mereka. Hal ini termasuk keadilan Allah s.w.t., iaitu setiap rasul menjadi saksi terhadap umatnya, kerana para rasul lebih tahu daripada orang lain tentang umatnya, lebih adil dan lebih sayang. Tidak mungkin rasul bersaksi melebihi yang Beliau saksikan dengan menambah-nambah atau bahkan mengurangi.

"Dan Kami turunkan atas kamu Al Kitab untuk menjelaskan bagi tiap-tiap sesuatu, dan petunjuk, dan rahmat, dan khabar gembira bagi orang-orang muslim." 

Kami turunkan kepadamu Al Qur'an untuk menjelaskan segala sesuatu yang diperlukan manusia tentang urusan syari’at; baik tentang usuluddin maupun cabangnya. Sesungguhnya Al Qur'an itu mencakup semua ilmu yang bermanfaat, menyangkut berita yang terdahulu dan pengetahuan tentang masa mendatang.

Disebutkan semua perkara halal dan haram, serta segala sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam urusan dunia, agama, penghidupan, dan akhiratnya. Al Quran menerangkan secara jelas, dengan lafaz-lafaznya yang jelas dan maknanya yang terang.

Allah s.w.t. mengulang perkara-perkara besar di dalamnya yang memang diperlukan hati kerana biasa dilalui di setiap waktu, terulang di setiap saat, ditampilkan dengan lafaz yang berbeda-beda dan dalil yang bermacam-macam agar menancap di hati, sehingga membuahkan kebaikan yang banyak tergantuh sejauh mana hal itu menancap di hatinya.

Bahkan Allah s.w.t. menggabung dalam lafaz yang sedikit lagi jelas makna-makna yang banyak, sehingga lafaznya seperti kaidah dan asas. Oleh kerana Al Qur’an menerangkan segala sesuatu, maka ia merupakan hujjah Allah terhadap hamba-hambaNya.

Ada yang mengatakan bahawa menjelaskan dalam ayat ini bermaksud menjelaskan Al Qur'an dengan Sunnah. Al Qur’an adalah petunjuk buat manusia yang berhati, agar mereka tidak tersesat dalam meniti hidup ini.

Al Qur’an adalah rahmat yang dengannya mereka mendapat kebaikan dan pahala di dunia dan akhirat, seperti menjadi baik hatinya dan tenteram, akalnya menjadi sempurna kerana menyelami makna-maknanya, amalnya mulia, akhlaknya utama, mendapatkan rezeki yang luas, mendapat pertolongan terhadap musuh, mendapatkan keridhaan Allah dan karamah (kemuliaan) yang besar, iaitu syurga.

Al Qur’an adalah khabar gembira dengan syurga bagi orang yang berserah diri kepada Allah.

Ahad, 27 Oktober 2019

16:80-83 Tafsir Surah An Nahl, ayat 80-83.

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ جُلُودِ الأنْعَامِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَى حِينٍ (٨٠) وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلالا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ كَذَلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ (٨١) فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا عَلَيْكَ الْبَلاغُ الْمُبِينُ (٨٢) يَعْرِفُونَ نِعْمَةَ اللَّهِ ثُمَّ يُنْكِرُونَهَا وَأَكْثَرُهُمُ الْكَافِرُونَ (٨٣)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan hamba-hambaNya akan nikmat-nikmatNya yang serba lengkap, mengajak mereka untuk mensyukuriNya dan mengakuiNya,

"80. Dan Allah menjadikan bagi kalian dari rumah-rumah kalian tempat tinggal"

Allah menjadikan rumah-rumah bagi kalian sebagai tempat menetap, menutupi diri kalian dari pandangan manusia, melindungi kalian dari hujan, panas dan dingin, untuk berbagai manfaat dan untuk kegunaan lain.

"dan Dia menjadikan bagi kalian dari kulit-kulit binatang ternak rumah-rumah kalian ringan membawanya pada waktu perjalanan kalian dan pada waktu bermukim kalian" 

Dia menjadikan bagi kalian rumah-rumah (khemah-khemah) dari kulit haiwan ternak yang kalian merasa ringan membawanya pada waktu kalian dalam perjalanan (bepergian) dan kalian memasangnya bila hendak bermukim. Khemah-khemah itu dapat kalian gunakan sebagai tempat tinggal kalian, baik dalam perjalanan maupun di tempat tinggal kalian.

"dan dari bulu-bulunya, dan dari bulu-bulunya dan rambutnya,"

DijadikanNya juga dari bulu domba (biri-biri), bulu unta dan bulu kambing. Istilah suf untuk bulu domba (biri-biri), aubar untuk bulu unta, dan asy'ar untuk bulu kambing, sedangkan damir yang ada kembali kepada al an'am (haiwan ternak).

"perkakas rumah tangga"

Asas bermaksud alat-alat rumah tangga. Ada yang mengatakan perhiasan. Ada yang mengatakan pakaian. Ada yang mengatakan harta.

Tetapi pendapat yang benar lebih umum daripada semuanya itu, kerana sesungguhnya hal tersebut dapat dibuat menjadi permadani, pakaian, keranjang dan lain-lain, serta dapat dijadikan harta dengan memperjualbelikannya.

"dan kesenangan sampai waktu."

Iaitu kesenangan atau perhiasan yang kalian pakai sampai batas waktu tertentu atau sehingga membuatnya menjadi usang. Ini semua termasuk yang ditundukkan Allah kepada hamba-hambaNya sehingga mereka mampu membuatnya.

"81. Dan Allah menjadikan bagi kalian dari apa yang telah Dia ciptakan naungan,"

Allah menjadikan tempat bernaung yang melindungi kalian dari terik panas matahari dari apa yang telah Dia ciptakan tanpa ada tindakan dari kalian seperti bukit, pepohonan, awan dan sebagainya.

"dan Dia jadikan bagi kalian dari gunung-gunung tempat tinggal,"

Dia jadikan bagi kalian tempat-tempat tinggal di gunung-gunung seperti gua-gua, benteng-benteng dan tempat-tempat perlindungan yang dapat melindungi diri kalian dari panas, dingin, hujan dan serangan musuh.

"dan menjadikan untuk kalian pakaian melindungi kalian panas"

Dia menjadikan bagi kalian pakaian yang dibuat dari katun, kapas dan bulu yang memelihara kalian dari panas. Begitu juga dari dingin.

Tidak disebutkan 'dingin' di ayat ini kerana bahagian pertama surah ini menerangkan usul (pokok-pokok) nikmat, sedangkan di akhirnya pelengkap dan penyempurna kenikmatan, sedangkan perlindungan dari dingin jelas termasuk usul nikmat.

"dan pakaian melindungi kalian peperangan kalian."

Dan pakaian seperti baju besi, tameng (perisai) dan sebagainya yang digunakan untuk memelihara atau melindungi diri kalian dalam peperangan.

"Demikianlah Dia menyempurnakan nikmatNya atas kalian agar kalian muslim."

Demikianlah Allah menyempurnakan nikmatNya atas kalian dengan menciptakan semua yang kalian perlukan untuk urusan kalian, untuk mengerjakan ketaatan dan beribadah kepadaNya, agar kalian berserah diri kepadaNya, iaitu mentauhidkanNya, tunduk kepada perintahNya dan mengarahkan nikmat-nikmat yang diberikanNya untuk ketaatan kepadaNya.

Surah ini juga dinamakan surah An Niam. Banyaknya nikmat yang diberikan seharusnya semakin menambah hamba bersyukur dan memujiNya, akan tetapi orang-orang zalim tidak menghendaki selain kederhakaan. Oleh kerana itu, di ayat selanjutnya, Allah s.w.t. berfirman,

"82. Maka jika mereka berpaling,"

Jika mereka tetap berpaling dari masuk ke dalam Islam, atau dari Allah, dari menaatiNya setelah disebutkan nikmat-nikmat dan ayat-ayatNya, iaitu sesudah adanya keterangan ini dan penjelasan akan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah, maka tiada tanggung jawab bagimu (Muhammad) atas perbuatan mereka.

"maka sungguh hanyalah atasmu penyampaian yang nyata."

Maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang. Dan sesungguhnya kamu telah menyampaikan tugasmu itu kepada mereka.

Nabi Muhammad s.a.w. tidak dapat memberi taufiq untuk mengikuti hidayah kepada seseorang sehingga dia beriman. Menurut penyusun tafsir Al Jalaalain, ayat ini sebelum turun perintah memerangi orang-orang kafir.

Seorang Arab Badui datang kepada Nabi s.a.w., lalu berbicara dengan Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w. membacakan kepadanya firmanNya berikut ini, "Dan Allah menjadikan bagi kalian dari rumah-rumah kalian tempat tinggal." (An Nahl 16:80) Maka orang Badui itu menjawab, "Ya."

Lalu Rasulullah s.a.w. membacakan lagi firmanNya, "dan Dia menjadikan bagi kalian dari kulit-kulit binatang ternak rumah-rumah kalian." (An Nahl 16:80), hingga akhir ayat. Kemudian orang Badui itu menjawab, "Ya."

Lalu Nabi s.a.w. membacakan lagi kepadanya ayat lain yang semuanya dia jawab dengan kalimat, "Ya." Hingga manakala Nabi s.a.w. membacakan firmanNya, "Demikianlah Dia menyempurnakan nikmatNya atas kalian agar kalian muslim." (An Nahl 16:81) Maka orang Badui itu berpaling pergi, dan Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"83. Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya"

Mereka mengetahui bahawa nikmat-nikmat yang mereka peroleh itu berasal dari Allah, Dialah yang memberikan dan mengurniakan semua itu kepada mereka. Tetapi walaupun demikian, mereka mengingkarinya, berbuat syirik kepadaNya dan menyembah selainNya bersama Dia, dan mereka sandarkan pertolongan dan rezeki kepada selainNya.

Maksudnya adalah kata-kata seseorang, “Ini adalah harta kekayaan yang aku warisi dari nenek moyangku.” Atau, "Kalau bukan kerana fulan, tentu tidak akan menjadi begini.” Atau, ‘ini adalah sebab syafaat sesembahan-sesembahan kami.”

Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah berfirman, “Pagi ini sebahagian hambaku ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kufur …"

Hal ini banyak terdapat dalam Al Qur’an maupun As Sunnah, Allah s.w.t. mencela orang yang menyekutukanNya dengan menisbatkan nikmat yang telah diberikan kepada selainNya.

Sebahagian ulama salaf mengatakan, “iaitu seperti ucapan mereka, “Anginnya bagus, nahkodanya cerdik pandai, dan sebagainya, yang biasa muncul dari ucapan ramai orang.”

"dan kebanyakan mereka orang-orang yang kafir."

Kebanyakan mereka adalah orang-orang kafir. Tidak ada kebaikan dalam diri mereka dan pengulangan ayat-ayatNya tidaklah bermanfaat bagi mereka kerana sudah rosaknya perasaan dan tujuan mereka.

Kelak mereka akan melihat balasan Allah terhadap orang yang sombong lagi keras, kufur nikmat lagi derhaka kepada Allah dan RasulNya.

Ahad, 14 Julai 2019

16:77-79 Tafsir Surah An Nahl, ayat 77-79.

وَلِلَّهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا أَمْرُ السَّاعَةِ إِلا كَلَمْحِ الْبَصَرِ أَوْ هُوَ أَقْرَبُ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٧٧) وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٧٨) أَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرَاتٍ فِي جَوِّ السَّمَاءِ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلا اللَّهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٧٩)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang pengetahuan dan kekuasaanNya Yang Mahasempurna atas segala sesuatu,

"77. Dan bagi Allah keghaiban langit dan bumi."

Kepunyaan atau milik Allahlah segala apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Tidak ada yang mengetahui hal yang tersembunyi lagi samar kecuali Dia. Termasuk di antaranya adalah pengetahuan tentang waktu kiamat.

"Dan tidaklah urusan kiamat, melainkan seperti sekejap penglihatan mata atau dia lebih dekat."

Kejadian kiamat itu hanyalah seperti sekelip mata atau lebih cepat lagi. Dia mengetahui apa yang ghaib yang ada di langit dan di bumi, dan hanya Allahlah yang mempunyai pengetahuan tentang perkara ghaib. Maka tiada seorang pun yang diberiNya ilmu ghaib ini kecuali bila Allah menghendakinya untuk memperlihatkan kepadanya apa yang dikehendakiNya.

Kekuasaan Allah Mahasempurna, tiada dapat ditentang dan tiada dapat dicegah. PerintahNya hanyalah satu perkataan seperti kelipan mata. Apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berfirman kepadanya, “Kun” (terjadilah), maka terjadilah ia. Apa yang dikehendakiNya akan terjadi dalam sekelip mata.

"Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu Mahakuasa."

Sesungguhnya Allah Mahakuasa atas segala sesuatu. Allah menciptakan dan membangkitkan kalian dari kubur itu hanyalah seperti menciptakan dan membangkitkan satu jiwa saja. Ketika itu, manusia bangkit dari kuburnya dan telah hilang kesempatan bagi orang yang meminta penangguhan.

Kemudian Allah s.w.t. menyebutkan kurniaNya yang telah Dia limpahkan kepada hamba-hambaNya,

"78. Dan Allah mengeluarkan kalian dari perut-perut ibu-ibu kalian, kalian tidak mengetahui sesuatu, dan Dia jadikan bagi kalian pendengaran, dan penglihatan, dan hati, agar kalian bersyukur."

Allah mengeluarkan kalian dari perut ibu kalian dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun. Sesudah itu Dia memberi kalian pendengaran supaya kalian dapat mendengar suara. Dia memberi kalian penglihatan supaya kalian dapat melihat.

Dia memberi kalian hati nurani, iaitu akal yang pusatnya berada di hati. Menurut pendapat yang lain adalah otak. Dengan akal itu manusia dapat membedakan di antara segala sesuatu, mana yang bermanfaat dan mana yang berbahaya.

Kemampuan dan indera ini diperoleh oleh seseorang secara bertahap, iaitu sedikit demi sedikit. Semakin besar seseorang, maka bertambah juga kemampuan pendengaran, penglihatan, dan akalnya hingga sampailah dia pada usia matang dan dewasanya.

Ketiga indera ini merupakan kunci bagi setiap ilmu. Seorang hamba tidaklah mendapatkan ilmu kecuali melalui salah satu pintu ini. Sesungguhnya Allah menjadikan kesemuanya dalam diri manusia agar manusia mampu melaksanakan penyembahan kepada Tuhannya. Dia memberi kalian pemberian itu agar kalian bersyukur terhadapnya sehingga kalian beriman.

Bersyukur terhadapnya adalah dengan menggunakan pemberian itu untuk ketaatan kepada Allah. Maka dengan bantuan semua anggota tubuh kalian dan kekuatan yang ada padanya, kalian dapat menjalankan amal ketaatan kepada Tuhan kalian.

Barang siapa yang tidak menggunakan untuk berfikir mencari kebenaran atau untuk ketaatan kepada Allah, maka semua itu akan menjadi hujah terhadapnya (berbalik menimpanya), dan sama saja membalas nikmat dengan keburukan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Barang siapa yang memusuhi kekasihKu, bererti dia mencabar perang denganKu. Dan tiadalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai selain dari mengerjakan apa yang telah Aku fardukan (wajibkan) baginya. HambaKu terus-menerus mendekatkan dirinya kepadaKu dengan mengerjakan amalan-amalan sunat hingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku selalu bersama pendengaran yang dipakainya untuk mendengar, selalu bersama penglihatan yang dipakainya untuk melihat, selalu bersama tangan yang dipakainya untuk berbuat, dan selalu bersama kaki yang dipakainya untuk melangkah. Dan sesungguhnya jika dia meminta kepadaKu, Aku benar-benar akan memberinya. Dan sesungguhnya jika dia berdoa kepadaKu, Aku benar-benar akan memperkenankannya. Dan sesungguhnya jika dia meminta perlindungan kepadaKu. Aku benar-benar akan melindunginya. Dan tidaklah Aku ragu-ragu terhadap sesuatu yang akan Aku kerjakan seperti keragu-raguanKu dalam mencabut nyawa hambaKu yang mukmin. Dia tidak suka mati dan Aku tidak suka menyakitinya, tetapi maut merupakan suatu keharusan baginya.”

Dalam riwayat lain, sesudah kalimat "dan selalu bersama kaki yang dipakainya untuk melangkah" disebutkan, "Maka bersama Akulah dia mendengar, bersama Akulah dia melihat, dan bersama Akulah dia melangkah (berjalan)."

Apabila seorang hamba ikhlas dalam ketaatannya terhadap Allah, maka semua perbuatannya hanyalah kerana Allah. Untuk itu tiadalah dia mendengar kecuali kerana Allah, tiadalah dia melihat kecuali kerana Allah, iaitu apa yang diperintahkan oleh Allah untuknya.

Tiadalah dia berbuat dan tiadalah dia melangkah melainkan dalam ketaatan kepada Allah sambil meminta pertolongan kepada Allah dalam mengerjakan kesemuanya itu.

Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman mengingatkan hamba-hambaNya,

"79. Tidakkah mereka memperhatikan kepada burung ditundukkan di awan langit?"

Hendaknya kalian memperhatikan kepada burung-burung yang telah ditundukkan berada di antara langit dan bumi. Mereka dimudahkan terbang bebas di angkasa. Allah yang menciptakan burung dan menjadikannya dapat terbang dengan kedua sayapnya. Dia yang menciptakan angkasa dan memudahkan burung-burung terbang di sana.

"Tidak ada yang menahannya melainkan Allah."

Tiada yang menahan burung-burung itu di udara ketika mereka mengatupkan atau mengembangkan sayapnya kecuali Allah yang dengan kekuasaanNya, Dia membekali burung-burung itu dengan kekuatan yang dapat membuatnya berbuat demikian.

Dialah yang menundukkan udara untuk dapat membawanya terbang di udara dan yang menahan mereka agar tidak jatuh.

"Sesungguhnya pada yang demikian sungguh terdapat ayat-ayat bagi kaum yang beriman."

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kebesaran Allah, sempurnanya kebijaksanaanNya, luasnya ilmuNya, perhatianNya kepada semua makhluk dan sempurnanya kekuasaanNya bagi orang-orang yang beriman.

Ayat-ayat atau tanda-tanda Allah bermanfaat hanyalah bagi orang-orang yang beriman. Adapun selain mereka, maka pandangan mereka hanya sekadar pandangan main-main dan kelalaian.

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...