Ahad, 23 Februari 2020

16:97-102 Tafsir Surah An Nahl, ayat 97-102.

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٩٧) فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (٩٨) إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٩٩) إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ (١٠٠) وَإِذَا بَدَّلْنَا آيَةً مَكَانَ آيَةٍ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوا إِنَّمَا أَنْتَ مُفْتَرٍ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْلَمُونَ (١٠١) قُلْ نَزَّلَهُ رُوحُ الْقُدُسِ مِنْ رَبِّكَ بِالْحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذِينَ آمَنُوا وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ (١٠٢) 

Allah s.w.t. berfirman,

"97. Barang siapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan dan dia beriman, maka sungguh Kami akan beri kehidupan penghidupan yang baik;" 

Barang siapa yang mengerjakan kebajikan, baik dia lelaki ataupun perempuan, sedangkan hatinya dalam keadaan beriman kepada Allah dan RasulNya, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.

Amal soleh atau kebajikan bermaksud amal perbuatan yang mengikuti petunjuk Kitabullah dan Sunnah NabiNya, amal yang diperintahkan serta disyariatkan dari sisi Allah.

Maka Allah berjanji akan memberinya kehidupan yang baik di dunia, iaitu kebahagiaan, ketenteraman hati, ketenangan jiwanya, sikap qana’ah (puas dan menerima apa diberikan kepadanya) atau mendapatkan rezeki yang halal lagi baik, kemampuan beribadah dan sebagainya.

Berdasarkan ayat ini, cara untuk memperoleh kebahagiaan atau ketenangan batin adalah dengan beriman (tentunya dengan memeluk Islam) dan beramal soleh atau mengerjakan ajaran-ajaran Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya beruntunglah orang yang telah masuk Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah menganugerahkan kepadanya sifat qana'ah terhadap apa yang diberikan kepadanya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya beruntunglah orang yang diberi petunjuk kepada Islam, sedangkan rezekinya secukupnya dan dia menerimanya dengan penuh rasa syukur."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan menganiaya orang mukmin dalam suatu kebaikan pun yang Dia berikan kepadanya di dunia dan Dia berikan pahalanya di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia diberi balasan di dunia kerana kebaikan-kebaikannya, hingga manakala dia sampai di akhirat, tiada suatu kebaikan pun yang tersisa baginya yang dapat diberikan kepadanya sebagai balasan kebaikan."

"dan sungguh Kami akan membalas mereka pahala mereka dengan yang lebih baik apa yang mereka kerjakan." 

Bahkan akan Kami beri balasan kepada mereka kelak di akhirat dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dengan memberikan syurga yang penuh kenikmatan, yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di hati manusia.

Ayat ini menunjukkan, bahawa lelaki dan perempuan dalam Islam mendapat pahala yang sama dan bahawa amal soleh harus disertai iman. Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hambaNya melalui lisan NabiNya,

"98. Maka apabila kamu membaca Al Qur'an, maka berlindunglah kamu kepada Allah dari syaitan yang terkutuk." 

Apabila kamu (Muhammad) hendak membaca Al Quran yang di dalamnya terdapat kebaikan bagi hati dan ilmu yang banyak, mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk dengan membaca isti’azah, iaitu mengucapkan, “A’uudzu billahi minasy syaithaanir rajiim” (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk).

Membaca isti’azah pada permulaan membaca Al Qur'an dimaksudkan agar si pembaca tidak mengalami kekeliruan dalam bacaannya yang berakibat campur aduk bacaannya sehingga dia tidak dapat merenungkan dan memikirkan makna apa yang dibacanya.

Hal itu, kerana syaitan berusaha memalingkan manusia dari maksud dan makna Al Qur’an, maka jalan keluarnya adalah dengan meminta perlindungan kepada Allah dari godaannya agar perhatian seseorang tertuju kepada Al Qur’an dan tidak berpaling daripadanya. Perintah ini adalah perintah sunat, bukan perintah wajib.

"99. Sesungguhnya dia tidak baginya kekuasaan atas orang-orang beriman dan kepada Tuhan mereka mereka bertawakkal." 

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atau berpengaruh atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. Dengan tawakkal mereka kepadaNya, Allah singkirkan gangguan syaitan, sehingga tidak ada jalan bagi syaitan untuk masuk menguasainya.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah syaitan tidak mempunyai kekuasaan untuk dapat menjerumuskan hamba-hamba Allah ke dalam suatu dosa yang mereka tidak bertaubat darinya. Ada yang mengatakan bahawa syaitan tidak mempunyai kemampuan untuk menggoda mereka.

"100. Sungguh hanyalah kekuasaannya atas orang-orang yang mereka menjadikannya pemimpin" 

Sesungguhnya pengaruh syaitan hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin, iaitu dengan menaatinya dan ikut ke dalam golongannya. Ada yang mengatakan bahawa orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai penolongnya, bukan Allah. Maka syaitan akan menggiring mereka ke dalam neraka.

"dan orang-orang yang mereka dengannya menyekutukan Tuhan." 

Sedangkan mereka mempersekutukan syaitan dengan Allah dalam penyembahannya. Ada yang mengatakan bahawa disebabkan ketaatan mereka kepada syaitan, jadilah mereka orang-orang yang mempersekutukan Allah s.w.t. Ada yang mengatakan mereka bersekutu dengan syaitan dalam harta benda dan anak-anaknya.

Allah s.w.t. menyebutkan kelemahan akal orang-orang musyrik, rapuhnya pendirian, dan tipisnya keyakinan mereka; sehingga tidak tergambarkan mereka mahu beriman,

"101. Dan apabila Kami ganti suatu ayat di tempat ayat, dan Allah lebih mengetahui dengan apa yang Dia turunkan," 

Apabila Kami mengganti suatu ayat dengan ayat yang lain, iaitu dengan menasakh(hapus)nya, dan menurunkan ayat yang lain untuk maslahat hamba, padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkanNya,

Orang-orang yang mendustakan Al Qur’an berusaha mencari sesuatu yang boleh menjadi hujjah bagi mereka, Sesungguhnya mereka telah dipastikan menjadi orang-orang yang celaka. Demikian itu apabila mereka melihat ada perubahan hukum-hukum yang dimansukh oleh hukum yang baru dari Allah,

"mereka berkata, "Sungguh hanyalah kamu mengada-adakan.""

Dengan spontan mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Sesungguhnya kamu (Muhammad) hanya mengada-ada saja.” Mereka mencela Rasulullah s.a.w. dan apa yang Beliau bawa. Mereka menuduhnya sebagai seorang pendusta.

Padahal sesungguhnya penggantian hukum itu hanyalah dari Allah s.w.t. belaka, Dia berbuat menurut apa yang dikehendakiNya dan memutuskan menurut apa yang disukaiNya. Dia adalah hakim yang Mahabijaksana yang menetapkan hukum-hukum dan mengganti hukum yang satu dengan hukum yang lain kerana hikmah dan rahmatNya.

"Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui."

Sebenarnya kebanyakan mereka tidak mengetahui tentang Tuhan mereka yang Mahabijaksana dan syari’atNya serta faedah naskh.

"102. Katakanlah, "Menurunkannya Ruhul Qudus dari Tuhanmu dengan benar""

Jibril menurunkan Al Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar, iaitu dengan sesungguhnya dan adil, turunnya benar-benar dari sisi Allah, di dalamnya mengandung kebenaran, baik pada beritanya, perintah maupun larangannya.

Jika telah diketahui, bahawa Al Qur’an adalah kebenaran, maka bererti sesuatu yang bertentangan atau berlawanan dengannya adalah batil. Jibril disebut Ruhul Qudus, kerana dia bersih dari aib, khianat dan penyakit.

"untuk meneguhkan orang-orang yang beriman" 

Al Qur’an meneguhkan hati orang-orang yang telah beriman. Maka pastilah mereka membenarkan ayat yang diturunkan pertama, juga yang diturunkan kemudian serta hati mereka tunduk patuh kepadaNya.

Oleh kerana kebenaran senantiasa sampai ke dalam hati mereka sedikit demi sedikit, maka iman mereka akan semakin kukuh bagai gunung kukuh yang menancap. Di samping itu, dengan turunnya ayat sedikit-demi sedikit, maka lebih sedia diterima oleh jiwa daripada turun secara sekaligus yang seakan-akan mereka menerima banyak beban.

Oleh kerana itulah, dengan Al Qur’an keadaan para sahabat berubah; akhlak, tabi’at, kebiasaan dan amal mereka berubah sampai mengalahkan orang-orang terdahulu dan yang akan datang kemudian.

Maka dari itu, sepatutnya generasi yang datang setelah para sahabat terdidik di atas ilmu-ilmu yang ada dalam Al Qur;an, berakhlak dengan akhlaknya, menggunakannya sebagai penerang dalam gelapnya kesesatan dan kebodohan, sehingga dengannya urusan agama dan dunia mereka menjadi baik.

"dan petunjuk dan khabar gembira bagi orang-orang muslim."

Al Qur’an menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri kepada Allah, yang beriman kepada Allah dan RasulNya.

Allah menjadikannya sebagai petunjuk yang menunjukkan kepada mereka hakikat segala sesuatu, menerangkan mana yang benar dan mana yang batil, mana petunjuk dan mana kesesatan, serta khabar gembira kepada mereka, bahawa mereka akan memperoleh kebaikan, iaitu syurga dan mereka akan kekal di sana selama-lamanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...