Ahad, 23 Februari 2020

18:29-31 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 29-31.

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا (٢٩) إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلا (٣٠) أُولَئِكَ لَهُمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الأنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الأرَائِكِ نِعْمَ الثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا (٣١)

Allah s.w.t, berfirman kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w.,

"29. Dan katakanlah, "Kebenaran dari Tuhan kalian.""

Kebenaran itu datangnya dari Tuhan kalian. Apa yang aku sampaikan kepada kalian dari Tuhan kalian adalah perkara yang hak yang tiada kebimbangan serta tiada keraguan padanya. Telah jelas mana petunjuk dan mana kesesatan. Telah jelas kebenaran dan tidak ada lagi syubhat. Allah telah menerangkannya melalui lisan rasulNya.

"Maka barang siapa menghendaki, maka dia beriman; dan barang siapa yang menghendaki, maka dia kafir."

Maka barang siapa yang ingin beriman, hendaklah dia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir, biarlah dia kafir. Maka telah tegak hujjah baginya kerana telah jelas yang benar, dan dia tidak dipaksa beriman.

Kalimat ini sebagai ancaman dan peringatan yang keras bagi mereka, dan bukan bererti tidak diperanginya orang-orang yang kafir. Namun perlu diketahui dan diingat.

"Sungguh Kami telah menyediakan bagi orang-orang zalim neraka meliputi mereka gejolaknya."

Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka bagi orang-orang yang menzalimi dirinya dengan kufur, kefasikan, kemaksiatan, ingkar kepada Allah, RasulNya, dan KitabNya, yang gejolaknya mengepung mereka.

Suradiquha bermaksud tembok-tembok neraka. Tembok yang berupa api yang mengepung mereka. Tidak ada lagi jalan keluar bagi mereka untuk meloloskan diri.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya pembatas-pembatas neraka itu ada empat tembok, ketebalan masing-masingnya sama dengan sejauh perjalanan empat puluh tahun."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jahannam itu tiada ubahnya dengan lautan. Ketika ditanyakan kepada beliau, "Mengapa demikian?" Rasulullah s.a.w. membaca firmanNya, "meliputi mereka gejolaknya." Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Allah, aku tidak akan memasukinya selama-lamanya; atau selama aku hidup, tiada sepercik pun darinya yang mengenaiku."

"Dan jika mereka meminta minum, mereka diberi minum dengan air seperti logam yang mendidih menghanguskan wajah."

Jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka kerana panasnya. Dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit mereka.

Muhl bermaksud air yang kental seperti minyak goreng yang mendidih. Ada yang mengatakan seperti darah dan nanah. Ada yang mengatakan sesuatu yang panasnya tak terperikan. Ada yang mengatakan sesuatu yang dilebur dengan api.

Ada yang mengatakan bahawa muhl adalag mirip dengan emas yang dileburkan dan berbuih. Ada yang mengatakan bahawa air neraka Jahannam itu hitam, neraka Jahannam itu sendiri hitam, dan para penduduknya juga hitam. Semua pendapat yang telah disebutkan tidaklah bertentangan.

"Paling buruk minuman."

Itulah minuman yang paling buruk kerana tidak menghilangkan dahaga dan tidak meringankan siksa, bahkan menambah azab di atas azab.

"Dan paling buruk tempat istirahat."

Itulah tempat istirahat yang paling buruk. Seburuk-buruk tempat tinggal, tempat berbaring, tempat berkumpul, dan tempat istirahat adalah neraka. Kemudian Allah s.w.t. berfirman menyebutkan kelompok yang kedua.

"30. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sungguh Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang yang lebih baik amal." 

Sesungguhnya mereka yang beriman kepada rukun iman yang enam dan mengerjakan kebajikan yang wajib maupun yang sunat, tentulah Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.

Iaitu orang yang mengerjakannya kerana mencari keridhaan Allah dan sesuai sunnah RasulNya. Amal orang yang seperti ini tidak akan disia-siakan Allah, bahkan Allah akan menjaganya dan akan membalasnya dengan penuh sesuai amal mereka, sesuai kurnia Allah dan ihsanNya.

"31. Mereka itu bagi mereka syurga 'Adn, mengalir dari bawah mereka sungai-sungai" 

Mereka itulah orang-orang yang mendapat syurga 'Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, iaitu di bawah bangunan-bangunan dan tempat-tempat kediaman mereka. Al 'Adn ertinya tempat tinggal.

"mereka diberi perhiasan di dalamnya dari gelang-gelang dari emas dan mereka memakai pakaian yang hijau dari sutera halus dan sutera tebal" 

Dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal baik lelakinya maupun wanitanya.

Sundus bermaksud kain sutera yang tipis lagi lembut, seperti kain untuk baju gamis dan untuk kegunaan lainnya. Istabraq bermaksud kain sutera yang tebal lagi mengkilap warnanya.

"mereka duduk di dalamnya kursi panjang yang indah."

Sedangkan mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan atau pelamin-pelamin yang indah.

Al ittika menurut suatu pendapat maknanya ialah berbaring, sedangkan menurut pendapat lainnya duduk bersila. Pendapat kedua inilah yang lebih mendekati maksud ayat.

Al araik adalah bentuk jamak dari lafaz arikah, ertinya dipan yang berkelambu. Ada yang mengatakan kelambunya.

"Sebaik-baik pahala dan indah tempat istirahat."

Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat istirahat yang indah. Sebaik-baik pembalasan amal perbuatan mereka adalah syurga. Iaitu syurga adalah sebaik-baik tempat tinggal, tempat istirahat, dan rumah.

Hal ini menunjukkan sempurnanya peristirahatan mereka, dan telah hilang rasa lelah dari mereka, kerana mereka telah bermujahadah (berkorban) di jalan Allah ketika di dunia dengan kemampuannya.

Di samping itu, mereka dilayani oleh para pelayan untuk membawakan apa yang mereka inginkan. Kita memohon kepada Allah agar Dia memasukkan kita ke dalamnya walaupun amal kita begitu sedikit, Allahumma amin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...