Sabtu, 22 Februari 2020

14:47-52 Tafsir Surah Ibrahim, ayat 47-52.

فَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ (٤٧) يَوْمَ تُبَدَّلُ الأرْضُ غَيْرَ الأرْضِ وَالسَّمَاوَاتُ وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ (٤٨) وَتَرَى الْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ مُقَرَّنِينَ فِي الأصْفَادِ (٤٩) سَرَابِيلُهُمْ مِنْ قَطِرَانٍ وَتَغْشَى وُجُوهَهُمُ النَّارُ (٥٠) لِيَجْزِيَ اللَّهُ كُلَّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ (٥١) هَذَا بَلاغٌ لِلنَّاسِ وَلِيُنْذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الألْبَابِ (٥٢)

Allah s.w.t. mengikrarkan janjiNya dengan ungkapan yang kukuh melalui firmanNya,

"47. Maka janganlah sekali-kali kamu mengira Allah mengingkari janjiNya rasul-rasulNya."

Kerana itu, janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa Allah akan menyalahi janjiNya kepada rasul-rasulNya akan memberikan kemenangan kepada rasul-rasulNya, membinasakan musuh-musuh mereka, mengecewakan mereka di dunia dan mengazab mereka di akhirat. Dia akan menolong mereka dalam kehidupan di dunia dan pada hari semua saksi di tegakkan.

"Sesungguhnya Allah Maha perkasa mempunyai pembalasan." 

Allah Mahaperkasa. Tidak ada yang dapat melemahkanNya dan menghalang-halangi kehendakNya, Dia tidak terkalahkan, serta mempunyai pembalasan terhadap orang-orang yang kafir, ingkar dan bermaksiat kepadaNya.

"48. Pada hari diganti bumi selain bumi dan langit" 

Iaitu atau ingatlah pada hari ketika bumi diganti dengan bumi yang lain, begitu juga langit. Ada yang menafsirkan, janji Allah ini akan dilaksanakan pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain, yang bentuknya tidaklah seperti sekarang yang kita kenal.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kelak manusia di hari kiamat akan dihimpunkan di bumi yang putih lagi tandus seperti perak yang putih bersih, tiada suatu tanda pun bagi seseorang padanya."

Menurut Syaikh As Sa’diy, penggantian bumi di sini bukan penggantian zat, tetapi penggantian sifatnya, iaitu yang sebelumnya terdapat dataran tinggi dan dataran bawah, maka akan diratakan, dan ketika itu langit seperti cairan tembaga kerana dahsyatnya keadaan di hari itu, kemudian Allah melipat langit itu dengan Tangan KananNya.

Aisyah yang mengatakan bahawa dia adalah orang yang mula-mula bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang makna firmanNya berikut ini, "Pada hari diganti bumi selain bumi dan langit." Dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Di manakah manusia pada saat itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Di atas sirat (jambatan)."

"dan mereka menghadapi kepada Allah Yang Maha Esa Maha Perkasa." 

Semua makhluk keluar dari kuburannya masing-masing dan berkumpul di Padang Mahsyar menghadap kehadirat Tuhan yang akan memberi pembalasan. Allah Maha Esa dengan keagunganNya, nama-namaNya, sifat-sifatNya dan perbuatan-perbuatanNya yang agung.

Dia Mahaperkasa. Dia yang mengalahkan segala sesuatu dan menundukkannya, serta tunduklah kepadaNya semua kepala dan tunduk takutlah kepadaNya semua akal. Dia menundukkan alam semesta, semuanya di bawah pengaturanNya, tidak ada satu pun yang bergerak atau diam kecuali dengan izinNya.

"49. Dan kamu melihat orang-orang yang berbuat dosa pada hari itu mereka bersama-sama dalam belenggu." 

Kamu (wahai Muhammad) akan melihat pada hari itu keadaan orang-orang yang berdosa, disebabkan oleh kekafiran dan kerosakan mereka di ikat bersama-sama dengan belenggu. Mereka adalah orang-orang yang dosa menjadi sifatnya kerana sering melakukannya.

"50. Pakaian mereka dari kuningan yang panas, dan menutupi wajah mereka api neraka." 

Pakaian mereka adalah dari pelangkin, ter atau cairan aspal kerana ia lebih cepat menyalakan api, panas dan bau. Muka mereka ditutup oleh api neraka. Muka merupakan anggota badan yang paling mulia. Jika muka sampai ditutupi api, lalu bagaimana dengan anggota badan yang lain, wal ‘iyaadz billah.

Yang demikian bukanlah kerana Allah Ta’ala zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang menzalimi dirinya sendiri. Oleh kerana itu Dia berfirman pada ayat selanjutnya,

"51. Agar Allah memberi balasan pada tiap-tiap diri apa yang dia usahakan."

Agar Allah memberi balasan kepada setiap orang terhadap apa yang dia usahakan baik perbuatan baik maupun perbuatan buruk dengan adil yang tidak diselipi kezaliman sedikit pun.

"Sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungannya." 

Sesungguhnya Allah Mahacepat hisabNya. Ada yang mengatakan, bahawa maksudnya Allah s.w.t. menghisab makhluk dalam satu waktu sebagaimana Dia memberi rezeki dan mengatur mereka dalam satu detik, tidak disibukkan oleh sesuatu dan yang hal itu tidaklah sulit bagiNya.

"52. Ini penjelasan bagi manusia" 

Al Qur’an ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia. Dengannya mereka dapat mencapai kedudukan yang tinggi kerana kandungannya yang berisi usul (dasar-dasar), furu’ (cabang-cabang), dan segala ilmu yang diperlukan manusia.

"dan agar mereka diberi peringatan dengannya" 

Iaitu supaya mereka mengambil pelajaran dari Al Qur'an kerana di dalamnya terdapat tarhib (ancaman untuk menakut-nakuti) terhadap perbuatan buruk agar manusia menjauhinya.

"dan agar mereka tahu bahawasanya Dia Tuhan Yang Maha Esa" 

Supaya mereka mengetahui bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa, iaitu agar mereka dapat menyimpulkan melalui bukti-bukti dan dalil-dalil yang terkandung di dalamnya, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan yang wajib disembah selain Dia. Di dalam Al Qur’an, Allah s.w.t. mengulang-ulang bukti dan dalil terhadap keesaanNya.

"dan agar mengambil pelajaran orang-orang yang mempunyai akal." 

Ulul Albab bermaksud orang-orang yang berakal. Agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran. Mereka dapat mengingat hal yang memberi manfaat bagi mereka sehingga mereka lakukan, dan dapat mengingat hal yang berbahaya sehingga mereka tinggalkan. Dengan demikian, dengan Al Qur’an pengetahuan dan pandangan mereka semakin dalam dan tajam.

Selesai surah Ibrahim, wal hamdulillahi rabbil ‘aalamiin.

Akhir Juz 13.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...