Selasa, 7 April 2020

16:111-113 Tafsir Surah An Nahl, ayat 111-113.

يَوْمَ تَأْتِي كُلُّ نَفْسٍ تُجَادِلُ عَنْ نَفْسِهَا وَتُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ (١١١) وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ (١١٢) وَلَقَدْ جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْهُمْ فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمُ الْعَذَابُ وَهُمْ ظَالِمُونَ (١١٣) 

Allah s.w.t. berfirman,

"111. Pada hari datang tiap-tiap diri membela dari dirinya" 

Ingatlah pada hari ketika setiap orang datang untuk membela dirinya sendiri. Tiada seorang pun yang membela ayahnya, anaknya, saudaranya atau isterinya. Hari itu adalah hari kiamat. Ketika itu, tidak ada yang diperhatikan selain dirinya.

"dan disempurnakan balasannya tiap-tiap diri apa yang telah dikerjakan" 

Bagi setiap orang diberi balasan penuh sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya, perbuatan baik atau perbuatan buruk.

"dan mereka tidak dizalimi." 

Sedangkan mereka tidak dianiaya atau dirugikan sedikit pun. Balasan keburukan mereka tidak ditambah, dan pahala kebaikan mereka tidak dikurangi.

"112. Dan Allah membuat perumpamaan suatu negeri adalah aman tenteram datang kepadanya," 

Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri, iaitu Mekah. Dahulunya ia aman dari serangan musuh lagi tenteram. Iaitu tidak perlu pindah darinya kerana sempit atau khuatir sesuatu.

Sesungguhnya Mekah adalah kota yang aman, tenteram dan tenang; sedangkan orang-orang yang tinggal di sekitarnya tinggal dalam keadaan tidak aman. Barang siapa yang memasuki kota Mekah, amanlah dia dan tidak takut lagi.

"rezekinya melimpah ruah dari tiap-tiap tempat, tetapi dia mengingkari dengan nikmat-nikmat Allah," 

Rezekinya datang kepadanya melimpah ruah, enak dan mudah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah. Mereka mengingkari tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada padanya; dan mendustakan Nabi Muhammad s.a.w. yang mereka kenal amanah dan kejujurannya.

Kerana itulah maka Allah mengganti kedua keadaan yang mereka peroleh itu dengan dua keadaan yang kebalikannya. Untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"maka Allah merasakan pada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan dengan apa yang mereka perbuat."

Kerana itu Allah merasakan dan menimpakan secara menyeluruh kepada mereka kelaparan. Mereka merasakan kemarau panjang selama tujuh tahun. Padahal sebelumnya didatangkan kepada mereka segala macam buah-buahan; dan rezekinya datang kepadanya dengan melimpah ruah dari segenap tempat.

Demikian itu kerana mereka derhaka kepada Rasulullah s.a.w. dan selalu menentangnya. Maka Rasulullah s.a.w. berdoa memohon kepada Allah semoga Dia menimpakan musim kebuluran kepada mereka, seperti musim kebuluran yang dialami oleh Nabi Yusuf.

Maka mereka tertimpa kebuluran yang menghabiskan segala sesuatu milik mereka, sehingga mereka terpaksa memakan bulu unta yang dicampur dengan darahnya bilamana mereka menyembelihnya.

Allah merasakan kepada mereka ketakutan kerana mereka mengganti keamanan mereka dengan rasa takut kepada Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya setelah Beliau dan para sahabatnya hijrah ke Madinah.

Orang-orang kafir Mekah selalu dicekam oleh rasa takut terhadap, pembalasan Nabi s.a.w. dan pasukan kaum muslim. Dan mereka membuat semua yang mereka miliki menjadi hancur dan rendah, sehingga Allah memberikan kemenangan kepada RasulNya atas kota Mekah.

Demikian itu terjadi disebabkan perbuatan orang-orang kafir Mekah sendiri, kezaliman serta kedustaan mereka terhadap Rasulullah s.a.w. yang diutus oleh Allah kepada mereka dari kalangan mereka sendiri. Padahal kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang diangkat dari kalangan mereka merupakan suatu anugerah yang diberikan kepada mereka.

Kelaparan dan ketakutan itu meliputi mereka seperti halnya pakaian meliputi tubuh mereka. Allah tidaklah menzalimi mereka, akan tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Sebagaimana keadaan orang-orang kafir terbalik, dari aman menjadi takut, dan dari hidup makmur menjadi kelaparan; maka Allah mengganti keadaan orang-orang mukmin sesudah mereka hidup dalam ketakutan, kini mereka hidup aman. Allah memberi mereka rezeki yang berlimpah sesudah mereka hidup miskin. Allah juga menjadikan mereka para raja, para penguasa, para pemimpin, para panglima, dan para imam.

Ayat ini menunjukkan bahawa jalan keluar dari musibah yang menimpa di berbagai negeri adalah dengan bersyukur kepada Allah, iaitu dengan beriman kepada rasul dan bertakwa kepada Allah (masuk Islam dan mengamalkan ajaran-ajarannya), dan bahawa musibah yang menimpa tidak lain disebabkan melakukan yang sebaliknya.

Ada banyak faedah dari musibah, di antaranya sebagai penebus dosa bagi orang mukmin, sebagai azab bagi orang kafir, dan sebagai pelajaran bagi orang-orang yang masih hidup agar mereka tidak melakukan hal yang sama. Orang yang cerdas adalah orang yang dapat mengambil pelajaran dari musibah yang menimpa orang lain.

"113. Dan sungguh datang kepada mereka rasul dari mereka, lalu mereka mendustakannya, maka menimpa kepada mereka azab dan mereka orang-orang yang zalim." 

Sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., tetapi mereka mendustakannya; kerana itu mereka dimusnahkan azab, iaitu kelaparan dan ketakutan, dan mereka adalah orang-orang yang zalim.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...