Sabtu, 30 Disember 2017

17:70-72 Tafsir Surah Al Isra, ayat 70-72.

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلا (٧٠) يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلا يُظْلَمُونَ فَتِيلا (٧١) وَمَنْ كَانَ فِي هَذِهِ أَعْمَى فَهُوَ فِي الآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيلا (٧٢)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang penghormatanNya dan kemuliaan yang diberikanNya kepada kepada manusia.

"70. Dan sungguh Kami telah memuliakan anak cucu Adam," 

Allah s.w.t. telah menciptakan manusia dalam bentuk fizikal yang paling baik, seimbang dan sempurna di antara makhluk lainnya. Mereka diberikan ilmu, penglihatan, pendengaran, pembicaraan dan hati.

Manusia dijadikan berjalan pada dua kakinya dengan tegak dan makan dengan tangannya, sedangkan makhluk lainnya ada yang berjalan dengan keempat kakinya dan makan dengan mulutnya.

Berkat kesemua hal itu manusia dapat memahami, mendapat banyak manfaat, membedakan di antara segala sesuatu, mengenal kegunaan, manfaat dan bahayanya bagi urusan agama dan duniawinya.

"dan Kami lebihkan mereka di darat dan laut." 

Allah s.w.t. telah memberi kemudahan kepada manusia untuk menggunakan berbagai kenderaan pengangkutan di darat dan di laut, bahkan di udara.

"Dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik" 

Allah s.w.t. telah memberikan kepada manusia berbagai jenis makanan dari hasil tanam-tanaman, buah-buahan, daging, susu dan berbagai jenis makanan lain yang lazat dan bergizi. Dia juga telah memberikan kepada manusia penampilan yang baik serta pakaian-pakaian yang berbagai jenis dan warna.

"dan Kami lebihkan mereka atas kebanyakan dari orang yang Kami telah ciptakan kelebihan." 

Allah s.w.t. telah mengutamakan dan menyempurnakan manusia melebihi semua makhluk lain yang telah Dia ciptakan, termasuklah para malaikat. Dia telah berikan dunia kepada manusia.

Manusia dapat makan, minum, berpakaian, berkahwin, berkenderaan, tidur, berehat dan bersenang-senang. Sedangkan para malaikat tidak diberikan semua itu. Mereka hanya bertasbih dengan memujiNya, tanpa makan, minum dan bersenang-senang.

Demikian itu kerana Allah s.w.t. tidak menjadikan kebaikan keturunan orang yang Dia ciptakan dengan kedua tangan (kekuasaan)Nya sendiri dan yang Dia tiupkan ke dalamnya sebahagian dari roh (ciptaan)Nya, seperti kebaikan makhluk yang Dia ciptakan dengan "Jadilah kamu! Maka jadilah dia."

Oleh kerana itu, sepatutnya manusia menggunakan nikmat-nikmat itu untuk bersyukur kepada Tuhan yang telah memuliakan dan melebihkan mereka di atas makhluk-makhlukNya dengan sibuk beribadah kepada Tuhan mereka.

"71. Hari Kami memanggil tiap-tiap manusia dengan imam mereka." 

Ingatlah hari kiamat. Pada hari itu Allah s.w.t. menghisab semua manusia. Dia menyeru setiap kumpulan manusia bersama pemimpin masing-masing. Imam atau pemimpin mereka bermaksud nabi mereka, kitab yang diturunkan kepada nabi mereka, kitab-kitab mereka atau orang-orang yang menjadi pemimpin mereka.

Namun, pendapat yang paling kuat ialah mereka dipanggil bersama kitab catatan amal perbuatan mereka.

"Maka barang siapa diberikan kitabnya dengan tangan kanannya, maka mereka itu akan membaca kitab mereka," 

Orang beriman akan membaca kitab catatan amalannya dengan sangat sukacita, gembira, senang dan bahagia kerana melihat catatan amal solehnya yang ada di dalamnya.

"dan mereka tidak dizalimi sedikit pun." 

Mereka tidak akan dianiaya atau dirugikan. Pahala amal-amal baik mereka tidak dikurangkan atau dihilangkan sedikit pun.

"72. Dan barang siapa yang dia pada ini buta, maka dia di akhirat buta, dan dia lebih tersesat jalan." 

Orang-orang yang berada di dunia ini dalam keadaan buta hatinya terhadap kebenaran, hujah Allah, tanda-tanda kebesaranNya, keterangan-keterangan dariNya dan tidak mahu tunduk kepadanya, nescaya di akhirat nanti dia akan lebih buta dari jalan yang mengarah kepada syurga.

Mereka akan jauh lebih sesat dari apa yang dialaminya di dunia. Demikian itu kerana mereka ketika di dunia tidak mahu menempuh jalan ke syurga. Maka balasan yang diberikan kepadanya adalah seperti amal yang dikerjakannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...