Isnin, 1 Januari 2018

19:77-82 Tafsir Surah Maryam, ayat 77-82.

أَفَرَأَيْتَ الَّذِي كَفَرَ بِآيَاتِنَا وَقَالَ لأوتَيَنَّ مَالا وَوَلَدًا (٧٧) أَطَّلَعَ الْغَيْبَ أَمِ اتَّخَذَ عِنْدَ الرَّحْمَنِ عَهْدًا (٧٨) كَلا سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ الْعَذَابِ مَدًّا (٧٩) وَنَرِثُهُ مَا يَقُولُ وَيَأْتِينَا فَرْدًا (٨٠) وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لِيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا (٨١) كَلا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا (٨٢)

Khabbab ibnul Art adalah seorang pandai (tukang) besi di Mekah. Dia membuatkan sebilah pedang pesanan Al As ('Ashiy) ibnu Wa il As Sahmi. Setelah kerjanya selesai dan bayarannya masih kurang sejumlah wang dirham, maka Khabbab datang untuk menagih hutangnya daripada Al As.

Tetapi Al As berkata, “Demi Tuhan, aku tidak akan membayarmu sebelum kamu kafir kepada Muhammad.” Maka Khabbab berkata, "Tidak, demi Allah, aku tidak akan kafir kepada Muhammad sampai kamu mati pun, kemudian kamu dibangkitkan."

Al As berkata, “Apakah aku akan mati lalu dibangkitkan?” Khabbab berkata, “Ya.” Al As berkata, "Kalau demikian, biarlah aku mati, lalu aku dibangkitkan dan kamu datang kepadaku, kerana saat itu aku mempunyai harta dan anak, dan aku akan membayarmu."

Khabbab menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Maka Allah menurunkan firmanNya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"77. Maka apakah kamu telah melihat orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami dan dia berkata, "Sungguh aku akan diberi harta dan anak?""

Sungguh aneh dan menghairankan sekali keadaan orang yang di dunia ini mengingkari ayat-ayat keterangan Allah, sedangkan dia menyangka bahawa dirinya di akhirat akan diberikan kesenangan, kebahagiaan dan masuk syurga. Dia hanya menurut dakwaannya sendiri, sehingga dia berani bersumpah menyatakan hal tersebut dan menganggapnya sebagai suatu kepastian.

Walaupun ayat ini turun berkenaan dengan orang kafir tertentu, tetapi sesungguhnya mengena juga kepada setiap orang kafir yang menyangka bahawa dia berada di atas kebenaran, dan bahawa setelah mati dia akan mendapatkan kebahagiaan.

"78. Adakah dia melihat yang ghaib, atau dia mengambil di sisi Ar Rahman perjanjian?" 

Dia tidak nampak perkara yang belum berlaku dan tidak mengetahui keadaannya setelah mati nanti. Perjanjian itu ialah kalimah, "Tidak ada Tuhan selain Allah." Tidak ada suatu perjanjian pun bahawa Allah akan memberikan kesenangan dan kebahagiaan di akhirat kepada orang yang kafir dan tidak beriman kepadaNya.

"79. Sekali-kali tidak! Kami akan menulis apa yang dia katakan, dan Kami akan memperpanjangkan baginya dari azab panjang." 

Keadaannya tidak seperti yang dia sangka. Allah tidak akan memberikan kepadanya. Bahkan dia akan mendapat yang sebaliknya. Kata-katanya itu telah dicatatkan. Allah s.w.t. akan menambah siksaan berganda-ganda untuknya kelak di hari akhirat atas ucapannya, keingkarannya dan kekafirannya terhadap Allah ketika di dunia.

"80. Dan Kami akan mewarisinya apa yang dia katakan" 

Di akhirat kelak Allah s.w.t. akan merampas atau mengambil kembali semua harta, anak-anak, apa saja yang dia himpunkan menjadi miliknya selama di dunia dan semua yang dia amalkan. Di samping itu dia akan mendapat tuntutan dari orang yang memberikan hutang kepadanya di dunia.

"dan dia akan datang kepada Kami seorang diri." 

Dia akan datang menghadap Allah dengan bersendirian saja tanpa membawa apa yang dia dakwakan itu, iaitu harta dan anak, baik sedikit ataupun banyak. Dia akan nampak di hadapannya adalah azab yang pedih.

"81. Dan mereka menjadikan dari selain Allah tuhan-tuhan, supaya mereka menjadi bagi mereka pelindung." 

Orang-orang berbuat syirik terhadap Allah menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan mereka. Dengan benda-benda yang mereka sembah itu mereka membanggakan diri dan meminta pertolongan supaya diberikan kemuliaan dan pengaruh.

Mereka menganggap bahawa sesembahan itu akan memberi syafaat di sisi Allah agar mereka tidak diazab. Keadaan sebenarnya tidaklah seperti yang mereka sangka. Apa yang mereka harapkan itu tidak ada sama sekali dan kosong belaka.

"82. Sekali-kali tidak! Kelak mereka mengingkari dengan peribadatan mereka dan mereka atas mereka lawan." 

Bahkan kelak di hari kiamat sesembahan mereka itu akan mendebat dan mendustakan pemujaan-pemujaan mereka terhadapnya. Sesembahan itu akan menjadi lawan yang sangat sengit, malapetaka, penyesalan dan kehinaan bagi mereka.

Mereka dan sesembahan mereka akan saling melaknat dan mengingkari. Akhirnya sesembahan itu akan menjadi teman-teman mereka di dalam neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...