Isnin, 25 Disember 2017

11:109-113 Tafsir Surah Hud, ayat 109-113.

فَلا تَكُ فِي مِرْيَةٍ مِمَّا يَعْبُدُ هَؤُلاءِ مَا يَعْبُدُونَ إِلا كَمَا يَعْبُدُ آبَاؤُهُمْ مِنْ قَبْلُ وَإِنَّا لَمُوَفُّوهُمْ نَصِيبَهُمْ غَيْرَ مَنْقُوصٍ (١٠٩) وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ فَاخْتُلِفَ فِيهِ وَلَوْلا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّهُمْ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مُرِيبٍ (١١٠) وَإِنَّ كُلا لَمَّا لَيُوَفِّيَنَّهُمْ رَبُّكَ أَعْمَالَهُمْ إِنَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (١١١) فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (١١٢) وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لا تُنْصَرُونَ (١١٣)

Allah s.w.t. berfirman menghibur hati Nabi Muhammad s.a.w.,

"109. Maka jangan kamu berada dalam keraguan dari apa yang menyembah mereka itu." 

Janganlah kamu ragu-ragu bahawa perbuatan orang-orang musyrik menyembah berhala itu adalah perbuatan yang batil, bodoh, sesat, sia-sia dan buruk akibatnya.

"Tidaklah mereka menyembah kecuali sebagaimana menyembah bapa-bapa mereka sebelumnya." 

Mereka menyembah berhala hanya kerana meneruskan tradisi bodoh nenek moyang mereka yang juga musyrik. Mereka hanya menurut perbuatan itu tanpa alasan dan sandaran yang benar.

"Dan sesungguhnya Kami pasti akan sempurnakan mereka bahagian mereka tanpa dikurangi." 

Kelak Allah s.w.t. pasti akan menyempurnakan dengan secukup-cukupnya balasan kebaikan dan balasan keburukan yang telah dijanjikan kepada mereka dengan tidak dikurangi sedikit pun. Kerana itu, Dia akan mengazab mereka sebagaimana generasi terdahulu dengan azab yang tidak pernah Dia timpakan kepada seorang pun.

Jika mereka mempunyai kebaikan-kebaikan, maka Allah akan menunaikan balasan yang ditentukan untuk mereka di dunia dengan sempurna sebelum mereka memasuki alam akhirat, walaupun kenikmatan yang ditentukan untuk mereka itu banyak.

Namun yang demikian tidaklah menunjukkan baiknya keadaan mereka, kerana Allah s.w.t. memberikan dunia kepada orang-orang yang Dia cintai dan yang Dia tidak cintai. Tetapi Dia memberikan iman dan amal soleh hanya kepada orang-orang yang Dia cintai.

Kerana itu, janganlah kalian tertipu oleh kesepakatan orang-orang zalim dengan orang-orang terdahulu yang tersesat. Janganlah kalian tertipu kerana kenikmatan yang Allah berikan kepada mereka.

Nabi Muhammad s.a.w. menghadapi penolakan dan pendustaan orang kafir Mekah terhadap Al Quran. Beliau merasa bimbang tentang keingkaran kaumnya. Allah s.w.t. berfirman menghibur hati Beliau,

"110. Dan sungguh Kami datangkan Musa kitab, lalu diperselisihkan di dalamnya." 

Beliau s.a.w. mempunyai teladan dari kalangan para nabi sebelumnya. Allah s.w.t. telah memberikan kitab Taurat kepada Musa a.s., lalu berlaku juga perselisihan dan pertentangan mengenainya.

Di antara umatnya ada yang beriman kepadanya. Ada juga yang menolak, mendustakan, kafir dan tidak bersetuju kepadanya.

"Dan kalaulah tidak kerana kalimat terdahulu dari Tuhanmu," 

Kalaulah bukan kerana telah ada ketetapan atau takdirNya untuk menangguhkan ajal, hisab, pembalasan, hukuman dan azabNya terhadap mereka hingga ke suatu masa yang telah ditentukan atau sampai hari kiamat,

"nescaya diputuskan di antara mereka." 

Tentulah telah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan mereka dibinasakan pada waktu itu juga.

Allah s.w.t. tidak akan mengazab seseorang kecuali setelah rasul telah diutuskan kepadanya dan tegaknya hujah atasnya. Kerana itu, bersabarlah kamu. Janganlah sekali-kali kamu marah bila mereka mendustakanmu, janganlah pula hal tersebut menggoyahkanmu.

"Dan sungguh mereka benar-benar dalam keraguan darinya kebimbangan." 

Orang-orang kafir Mekah masih menaruh perasaan ragu, curiga dan bimbang tentang kebenaran Al Quran. Pada hari kiamat kelak, Allah s.w.t. akan menghimpunkan seluruh umat, dari orang-orang yang terdahulu hingga yang kemudian. Lalu Dia memutuskan masalah mereka dengan hukumNya yang adil.

"111. Dan sungguh masing-masing pasti akan sempurnakan mereka Tuhanmu pekerjaan mereka." 

Allah s.w.t. pasti akan memberi balasan secara penuh, cukup dan sesuai yang layak atas perbuatan masing-masing. Jika amal perbuatannya baik, maka balasannya baik juga. Jika amal perbuatannya buruk, maka balasannya buruk juga.

"Sungguh Dia dengan apa yang mereka kerjakan Maha Mengetahui." 

Allah Mahateliti dan amat mendalam pengetahuanNya tentang semua amal perbuatan mereka yang mulia, yang rendah, yang besar dan yang kecil. Tiada suatu amal perbuatan pun yang samar bagiNya. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"112. Maka berlaku luruslah kamu," 

Tetap teguhlah kamu di atas jalan yang betul dan mengerjakan perintah Tuhanmu. Janganlah kamu meremehkannya atau malas mengerjakannya. Tetaplah mengajak manusia kepadanya walaupun ramai yang mendustakan.

"sebagaimana kamu diperintahkan dan orang yang bertaubat bersama kamu," 

Lakukanlah ia sebagaimana yang telah diperintahkan kepada kamu dan orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran bersama dengan kamu.

"dan janganlah kalian melampaui batas." 

Janganlah kalian melanggar batasan-batasan, hukum-hukum dan aturan Allah. Berjalanlah kalian di atas Sunnah Rasulullah s.a.w. Janganlah kalian menambah-nambah atau berbuat bid’ah dalam agama.

"Dan sungguh dengan apa yang kalian kerjakan Maha Melihat." 

Allah nampak semua perbuatan kalian. Oleh kerana itu, Dia akan memberikan balasan terhadapnya.

"113. Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang zalim," 

Janganlah kalian bergaul dengan orang-orang zalim, bersikap diplomasi, rela atau meridhai perbuatan mereka, mengadakan pendekatan, cenderung kepada kemusyrikan, meminta pertolongan kepada mereka atau sepakat dengan kezaliman mereka.

Akan tetapi jika bergaul dengan mereka tanpa meridhai perbuatannya dengan maksud agar mereka kembali kepada kebenaran atau memelihara diri dari gangguan mereka, maka diperbolehkan.

"maka akan menimpa kalian neraka, dan tidaklah bagi kalian dari selain Allah para penolong, kemudian kalian tidak diberi pertolongan." 

Kalian tidak akan mempunyai seorang penolong pun yang dapat menyelamatkan diri kalian dan tidak akan mempunyai seorang pelindung pun yang dapat membebaskan kalian dari azab Allah selain Allah sendiri.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...