Ahad, 24 Disember 2017

10:18-20 Tafsir Surah Yunus, ayat 18-20.

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (١٨) وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا وَلَوْلا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (١٩) وَيَقُولُونَ لَوْلا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَقُلْ إِنَّمَا الْغَيْبُ لِلَّهِ فَانْتَظِرُوا إِنِّي مَعَكُمْ مِنَ الْمُنْتَظِرِينَ (٢٠)

Allah s.w.t. berfirman mengingkari sikap orang-orang musyrik.

"18. Dan mereka menyembah dari selain Allah apa yang tidak dapat memberi mudarat pada mereka dan tidak dapat memberi manfaat pada mereka" 

Orang-orang musyrik menyembah Allah s.w.t. disamping menyembah Allah, mereka menyembah patung-patung dan berhala-berhala. Padahal mereka itu tidak mampu melakukan sesuatu pun, tidak akan menimpakan mudarat jika mereka tidak menyembahnya dan tidak akan memberi manfaat jika mereka menyembahnya dan tidak memiliki sesuatu pun.

"dan mereka berkata, "Mereka itu pemberi syafaat kami di sisi Allah.""

Para penyembah berhala itu menyangka bahawa mereka kelak akan mendapat syafaat atau pertolongan dari Allah melalui sesembahan mereka itu. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"Katakanlah, "Apakah kalian mengabarkan kepada Allah dengan apa yang tidak Dia ketahui di langit dan tidak di bumi?""

Allah s.w.t. lebih mengetahui segala-galanya. Tidak ada sesuatu pun yang samar bagiNya. Tidak perlulah kalian memberitahukan kepada Allah apa yang tidak ada baik di langit maupun di bumi.

Tidak ada dalam pengetahuanNya bahawa Dia memiliki sekutu dan bahawa sesembahan itu akan memberikan syafaat kepada kalian. Apa yang kalian sangkakan itu sama sekali tidak akan terjadi selama-lamanya.

"Mahasuci Dia dan Maha Tinggi dari apa yang mereka sekutukan." 

Allah Mahasuci dan Mahatinggi keadaanNya. Dia tidak memiliki sekutu atau tandingan. Tidak ada Tuhan selainNya. Dia Mahamulia dari kemusyrikan dan kekafiran mereka.

"19. Dan tidaklah ada manusia kecuali umat yang satu," 

Kemusyrikan seperti itu akan terjadi di kalangan manusia, walaupun pada mulanya tidak ada. Sejak Adam a.s. sampai ke Nuh a.s., seluruh manusia berada dalam satu agama. Jarak masa antara Adam a.s. dan Nuh a.s. adalah sepuluh generasi, semuanya memeluk agama Islam. Ada juga yang mengatakan, sejak zaman Ibrahim a.s. sampai zaman ‘Amr bin Luhay.

"maka mereka berselisih." 

Setelah manusia berkembang biak dan kepentingan mereka berlainan, timbullah berbagai kepercayaan yang menimbulkan perselisihan dan perpecahan.

Sebahagiannya tetap di atas agama tauhid. Sedangkan sebahagian lagi menurut hawa nafsu dan syaitan. Maka berhala-berhala, sekutu-sekutu dan tandingan-tandingan mulai disembah.

Allah s.w.t. mengutus rasul-rasul untuk memberi petunjuk kepada mereka dengan membawa wahyu, ayat-ayatNya yang jelas, hujah-hujah dan bukti-buktiNya yang kuat lagi mengalahkan.

Demikian itu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata juga.

"Dan kalaulah tidak ketetapan telah berlaku dari Tuhanmu," 

Telah ada sejak dahulu kalimah ketetapan dari Allah yang menyatakan bahawa Dia tidak akan mengazab seorang pun kecuali sesudah tegaknya hujah terhadap dirinya, hukuman ke atas makhlukNya ditangguhkanNya sampai ke masa yang telah dipastikan, perselisihan manusia di dunia itu akan diputuskan dan diberi pembalasannya di akhirat. Seandainya ketetapan itu tidak ada,

"pasti telah diputuskan di antara mereka tentang apa yang di dalamnya mereka perselisihkan." 

Nescaya Allah s.w.t. akan segera memberikan keputusan hukuman ke atas mereka di dunia tentang agama yang mereka perselisihkan itu. Maka orang-orang yang beriman akan selamat dan berbahagia, sedangkan orang-orang yang kafir akan celaka dan diazabNya.

Akan tetapi, Dia berkehendak untuk menguji mereka agar nampak jelas siapa yang jujur imannya dan siapa yang berdusta.

"20. Dan mereka berkata, "Mengapa tidak diturunkan kepadanya suatu keterangan dari tuhannya?""

Penduduk Mekah dahulu yang kafir, pendusta dan pengingkar itu meminta agar Allah s.w.t. menurunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. satu bukti atau mukjizat seperti yang telah diturunkan kepada nabi-nabi yang tedahulu, iaitu seperti mukjizat unta, tongkat menjadi ular, tangan yang bercahaya dan sebagainya.

Atau Bukit Safa diubah menjadi emas, bukit-bukit di Mekah dilenyapkan dan digantikan dengan taman-taman dan sungai-sungai, atau hal lainnya yang serupa, yang Allah s.w.t. mampu melakukannya.

Allah Mahabijaksana dalam semua perbuatan dan ucapanNya. Jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya yang lebih baik daripada yang mereka minta. Tidak ada yang menghalangNya untuk mengirimkan mukjizat. Tetapi semua mukjizat telah didustakan oleh orang-orang dahulu.

Sesungguhnya sunnah (ketetapan)Nya terhadap makhlukNya, apabila Dia berikan apa yang mereka minta itu, hendaklah mereka beriman kepadaNya. Tetapi jika mereka tidak beriman kepadaNya, nescaya Dia segerakan siksaanNya terhadap mereka.

Rasulullah s.a.w. diperintahkan untuk memilih antara memberikan apa yang mereka minta itu dengan syarat mereka mestilah beriman. Jika mereka tidak beriman, maka mereka akan diazab atau Beliau menangguhkan mereka. Maka Rasulullah s.a.w. memilih penangguhan bagi mereka. Begitulah sikap Beliau yang sangat penyantun kepada umatnya.

Mereka sebenarnya telah pun menyaksikan suatu mukjizat bumi terbesar yang diperlihatkan oleh Nabi s.a.w. kepada mereka. Iaitu ketika Nabi s.a.w. berada di hadapan mereka, lalu mengisyaratkan tangannya ke arah bulan di malam purnama, maka bulan itu terbelah dua. Sebahagiannya berada di belakang bukit, sedangkan bahagian yang lainnya berada di hadapan bukit.

Allah s.w.t. mengetahui bahawa tujuan mereka meminta hal tersebut bukanlah kerana ingin mendapat hidayah dan bukti penguat. Tidak ada seorang pun dari mereka yang mahu beriman. Mereka meminta hanya semata-mata terdorong oleh keingkaran mereka dan ingin menguji.

Kerana itu Allah s.w.t. tidak mengabulkan permintaan mereka dan Dia membiarkan mereka dalam keraguannya. Dia berfirman memberikan petunjuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam menjawab permintaan mereka.

"Maka katakanlah, "Sungguh hanyalah ghaib kepunyaan Allah,""

Ghaib di sini bermaksud mukjizat. Semua perkara itu adalah milik Allah dan tertentu bagiNya. Dia mengetahui akibat dari semua urusan. Tugasku hanyalah menyampaikan. Jika kalian tidak mahu beriman sebelum kalian menyaksikan apa yang kalian minta,

"maka tunggulah oleh kalian. Sungguh aku bersama kalian termasuk orang-orang yang menunggu." 

Tunggulah kalian keputusan Allah tentang kita. Aku juga menunggunya bersama kalian. Kita akan mengetahui siapakah di antara kita yang akan ditimpa hukuman Allah dan siapakah yang akan mendapat kesudahan yang baik.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...