Khamis, 22 Februari 2018

19:83-87 Tafsir Surah Maryam, ayat 83-87.

أَلَمْ تَرَ أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا (٨٣) فَلا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا  (٨٤) يَوْمَ نَحْشُرُ الْمُتَّقِينَ إِلَى الرَّحْمَنِ وَفْدًا (٨٥) وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَى جَهَنَّمَ وِرْدًا (٨٦) لا يَمْلِكُونَ الشَّفَاعَةَ إِلا مَنِ اتَّخَذَ عِنْدَ الرَّحْمَنِ عَهْدًا (٨٧)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"83. Tidakkah kamu melihat, bahawa Kami mengirimkan syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir mengganggu mereka gangguan?"

Allah s.w.t. telah mengutus syaitan-syaitan untuk mengasung, membisik, mendorong, membujuk, menggoda dan mengobarkan semangat kepada orang-orang kafir dengan bersungguh-sungguh untuk menyesatkan mereka, berbuat maksiat, mengerjakan perbuatan-perbuatan derhaka terhadap Allah s.w.t., memusuhi Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya.

Ini termasuk hukumanNya terhadap orang-orang kafir kerana mereka tidak berpegang dengan tali (agama) Allah, bahkan mereka menyekutukanNya dan mengambil syaitan sebagai walinya. Maka Allah s.w.t. memberikan kekuasaan kepada syaitan untuk membawa mereka (orang-orang kafir) ke mana saja yang mereka inginkan.

"84. Maka janganlah kamu tergesa-gesa atas mereka, sungguh hanyalah Kami hitung bagi mereka perhitungan."

Maka janganlah kamu terburu-buru meminta kepada Allah agar Dia segera menimpakan azabNya kepada mereka, kerana sesungguhnya Dia hanya menghitung datangnya hari siksaan untuk mereka dengan perhitungan yang teliti.

Allah s.w.t. sengaja menangguhkan mereka selama mereka hidup di dunia saja, sampai waktu yang tertentu lagi dipastikan, iaitu hanya beberapa tahun, beberapa bulan, beberapa hari, dan beberapa saat. Apabila ia sudah datang, mereka pasti akan mendapat azab Allah dan pembalasanNya. Maka mereka tidak dapat meminta penundaan.

"85. Pada hari Kami kumpulkan orang-orang yang bertakwa kepada Ar Rahman kafilah."

Ingatlah pada hari kiamat, ketika Allah s.w.t. mengumpulkan kekasih-kekasihNya, iaitu orang-orang yang bertakwa kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah. Mereka takut kepadaNya ketika di dunia, mengikuti dan membenarkan berita yang disampaikan oleh rasul-rasulNya. Mereka juga taat kepada apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang oleh para rasul.

Mereka akan dikumpulkan ke mauqif (padang mahsyar) menghadap kepadaNya mengenderai kenderaan yang dibuat dari nur kenderaan akhirat bagaikan kafilah atau perutusan yang terhormat dan dimuliakan sambil mengharap rahmat, ihsan dan pemberianNya.

Demikian itu disebabkan ketakwaan yang mereka kerjakan dan mencari keridhaanNya, dan bahawa Allah telah menjanjikan pahala itu melalui lisan rasulNya. Maka mereka dengan tenang datang menghadap Tuhan mereka lagi yakin dengan kurniaNya.

"86. Dan Kami akan menggiring orang-orang yang berdosa ke neraka Jahanam keadaan dahaga."

Kami akan menghalau orang-orang yang derhaka secara paksa dan menghinakan ke penjara yang paling besar dan hukuman yang paling hebat, iaitu neraka Jahanam dalam keadaan haus dan letih.

"87. Mereka tidak memiliki syafaat kecuali orang yang mengambil di sisi Ar Rahman perjanjian."

Mereka tidak berhak menerima dan memberi pertolongan. Tidak ada seorang pun yang memberikan syafaat kepada mereka, sebagaimana sebahagian dari orang-orang mukmin memberikan syafaatnya kepada sebahagian yang lain.

Hanya orang yang telah mengadakan perjanjian dengan Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah sajalah yang akan mendapat syafaat dan pertolongan. Perjanjian tersebut adalah kesaksiannya yang mengatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Lalu dia mengamalkan hak dari kalimah tersebut. Dia menjalankan segala perintah Allah dengan beriman dan bertakwa kepadaNya.

Allah s.w.t. menyebut iman dan takwa sebagai perjanjian kerana Dia telah berjanji dalam kitab-kitabNya dan melalui lisan para rasulNya balasan yang baik bagi mereka yang beriman dan bertakwa. Dia juga berlepas diri kepada Allah dari upaya dan kekuatan, serta berharap hanya kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...