Isnin, 26 Februari 2018

21:96-97 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 96-97.

حَتَّى إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ (٩٦) وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ فَإِذَا هِيَ شَاخِصَةٌ أَبْصَارُ الَّذِينَ كَفَرُوا يَا وَيْلَنَا قَدْ كُنَّا فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَذَا بَلْ كُنَّا ظَالِمِينَ (٩٧) 

Allah s.w.t. akan membinasakan Dajjal melalui tangan Isa a.s. Apabila Dajjal melihat Isa a.s., maka leburlah tubuhnya sebagaimana leburnya timah yang dipanaskan.

Allah s.w.t. membinasakan bala tentera Dajjal melalui tangan kaum muslim, sehingga batu-batuan dan pepohonan dapat berbicara, "Hai orang muslim, sesungguhnya di bawahku bersembunyi orang kafir, maka kemarilah dan bunuhlah dia!" Kemudian manusia kembali ke negeri dan tanah airnya masing-masing.

Tibalah saat keluarnya Ya'juj dan Ma'juj. Keluarnya Ya’juj dan Ma’juj merupakan tanda besar hari kiamat yang menunjukkan sudah sangat dekatnya hari kiamat.

Ya’juj dan Ma’juj adalah keturunan Adam a.s, juga termasuk keturunan Nuh a.s. (iaitu anak-anak Yafis, bapa bangsa Turki; dan bangsa Turki adalah sebahagian kecil dari mereka): Ya'juj dan Ma'juj ditinggalkan di balik tembok penghalang yang dibina oleh Zul Qarnain.

Apabila tiba saat keluarnya Ya'juj dan Ma'juj, mereka melubangi tembok itu dengan kapak (peralatan) yang mereka miliki, sehingga orang-orang yang tinggal di balik tembok itu dapat mendengar suara kapak mereka.

Apabila hari telah petang dan malam akan tiba, maka Allah s.w.t. menjadikan lisan seseorang dari mereka berbicara, "Kita datang lagi esok untuk meneruskannya."

Pada keesokan harinya mereka berangkat menuju ke tembok itu, dan mereka menjumpai tembok itu telah diutuhkan kembali oleh Allah s.w.t. seperti semula sebelum dilubangi.

Maka mereka menggali (melubanginya) kembali sehingga manusia yang tinggal di balik tembok mereka dapat mendengar suara kapak mereka.

Apabila malam tiba, Allah s.w.t. menjadikan lisan seseorang dari mereka mengatakan, "Kita akan ulangi lagi galian ini esok, insha' Allah."

Pada keesokan harinya mereka datang, dan mereka menjumpainya dalam keadaan seperti mereka tinggalkan kelmarin (berkat perkataan insha' Allah mereka). Mereka meneruskan pekerjaannya sehingga tembok itu dapat mereka pecahkan, dan mereka keluar dari tembok itu.

Allah s.w.t. berfirman,

"96. Hingga apabila dibukakan Ya'juj dan Ma'juj, dan mereka dari tiap-tiap tempat yang tinggi mereka turun dengan cepat."

Apabila tembok penjara Ya'juj dan Ma'juj dibuka, maka mereka pergi memasuki dunia manusia. Mereka berdatangan dari semua tempat yang tinggi dengan berlari-lari dan kejar mengejar. Lalu mereka menginjak-injak, menutupi dan membuat kerosakan di muka bumi manusia.

Allah s.w.t. menurunkan wahyuNya kepada Isa a.s, "Bahawasanya Aku telah mengeluarkan sebahagian dari hamba-hambaKu yang tidak akan mampu bagimu memerangi mereka, maka selamatkanlah hamba-hambaKu yang beriman ke Bukit Tur."

Tiada ada yang mampu menahan serbuan Ya'juj dan Ma'juj. Tidak ada yang mampu memerangi mereka. Apabila mereka mendatangi sesuatu tempat, mereka binasakan tempat itu. Apabila mereka melintasi sumber air, mereka meminumnya sampai kering.

Gelombang pertama dari mereka melintasi sebuah danau atau sungai yang penuh dengan air, maka mereka meminum airnya sampai kering. Gelombang kedua keluar, lalu mereka menjilati lumpur danau atau sungai itu. Gelombang ketiga keluar dan melintasi tempat itu, lalu mereka berkata, "Dahulu di sini pernah ada airnya."

Manusia kembali bersembunyi ke negerinya masing-masing untuk menghindari kejahatan Ya'juj dan Ma'juj. Kaum muslim bersembunyi di balik benteng kota tempat mereka tinggal dengan membawa ternakan mereka. Hanya manusia yang tinggal di benteng-benteng kota mereka saja yang masih hidup.

Berkatalah juru bicara Ya'juj dan Ma'juj, "Penduduk bumi itu telah kita binasakan semua, sekarang tinggal makhluk yang ada di langit." Seseorang dari mereka melemparkan tombak atau anak panahnya ke langit, dan jatuh kembali di hadapannya dalam keadaan berlumuran darah, sebagai cobaan dan fitnah bagi mereka.

Mereka berkata, "Kita telah kalahkan penduduk bumi dan penduduk langit." Isa a.s. dan dan para sahabatnya berlindung di balik gunung. Beliau berdoa, "Ya Allah, tiada kekuatan dan tiada upaya bagi kami untuk menghadapi mereka, maka lindungilah kami dari mereka dengan apa yang Engkau kehendaki."

Maka Allah s.w.t. menimpakan wabak penyakit ulat yang menjangkiti tengkuk Ya'juj dan Ma'juj yang dikenal dengan nama 'ulat penyakit unta', seperti ulat yang menyerang hidung unta. Akhirnya mereka binasa semuanya. Suasana menjadi hening.

Isa a.s. dan para sahabatnya turun. Mereka menjumpai semua rumah dipenuhi dengan bangkai Ya'juj dan Ma'juj. Bumi ini cemar berat kerana bau bangkai mereka yang sangat busuk.

Kaum muslim keluar dari benteng dan kota-kota tempat perlindungan mereka, lalu mereka melepaskan ternakannya. Tetapi tiada lagi tempat penggembalaan bagi ternakan mereka kecuali bangkai Ya'juj dan Ma'juj. Isa a.s. memohon kepada Allah s.w.t. agar dibebaskan dari bencana itu.

Maka Allah s.w.t. mengirimkan burung-burung yang besar tiap ekornya sama dengan unta yang paling besar untuk membawa bangkai Ya'juj dan Ma'juj dengan paruh dan cakarnya ke tempat yang dikehendaki oleh Allah, iaitu Al Mahyal (tempat terbitnya matahari) atau ke laut.

Allah s.w.t. mengirimkan hujan lebat yang diberi nama 'hujan kehidupan' yang melanda semua bangunan di kota dan kampung-kampung selama empat puluh hari tanpa henti. Hujan itu menjadikan bumi bersih dan licin, menyapu bersih semua bangkai mereka, lalu menghanyutkannya ke laut.

Lalu dikatakan kepada bumi, "Keluarkanlah tumbuhan-tumbuhanmu dan keluarkanlah keberkatanmu." Bumi mengeluarkan tumbuhan-tumbuhannya kembali, sehingga satu buah delima dapat mengenyangkan seisi rumah (satu keluarga). Mereka dapat bernaung di bawah daunnya.

Haiwan ternakan juga diberkati. Perahan susu seekor unta dapat mencukupi untuk minum sejumlah besar orang, perahan susu seekor lembu dapat mencukupi ramai orang, dan perahan susu seekor kambing cukup untuk satu keluarga.

Ketika manusia dalam keadaan hidup makmur seperti itu, tiba-tiba terdengarlah suara yang meminta tolong, menyerukan bahawa Zus Suwaiqataini (bangsa yang berbetis panjang) sedang merosakkan Ka'bah.

Lalu Isa a.s. berangkat bersama sejumlah pasukan yang terdiri daripada tujuh ratus hingga lapan ratus orang untuk memerangi Zus Suwaiqataini. Tetapi mereka hanya sampai di tengah perjalanan.

Allah s.w.t. mengirimkan angin Yamaniyah yang berbau harum. Lalu angin itu menerpa bahagian bawah ketiak dan mencabut semua roh orang mukmin, sehingga yang tinggal di bumi ini hanyalah orang-orang yang jahat saja.

Mereka hidup bagaikan haiwan ternakan. Sikap mereka sama seperti sekumpulan keldai liar. Maka kejadian hari kiamat sama seperti seseorang sedang menunggu kudanya yang akan melahirkan. Dia tidak mengetahui jam berapakah kudanya akan melahirkan.

"97. Dan telah dekat janji yang benar,"

Telah dekatlah kedatangan hari kebangkitan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t., iaitu hari kiamat. Apabila telah terjadi huru-hara, kegoncangan dan kekacauan tersebut, maka hari kiamat telah dekat. Apabila hari kiamat terjadi, orang-orang kafir berkata, "Ini adalah hari yang sangat sulit."

"maka tiba-tiba dia terbelalak mata orang-orang yang kafir."

Tiba-tiba mata orang-orang kafir terbeliak kerana menyaksikan peristiwa-peristiwa yang besar, dahsyat dan ngeri di hari kiamat itu. Mereka berkata,

"Aduhai, celaka kami. Sungguh kami dalam kelalaian dari ini,"

Malanglah mereka pada hari itu. Mereka semasa hidup di dunia benar-benar dalam kelalaian, lengah dan tak peduli tentang adanya hari kiamat, sehingga mereka tidak beramal soleh dan mengisi hidup mereka dengan hanya bersenang-senang.

"bahkan kami orang-orang yang zalim.""

Mereka mengakui kezaliman mereka terhadap dirinya sendiri kerana mendustakan para rasul. Tetapi tidak ada gunanya lagi. Pengakuan mereka itu tidak dapat menolong mereka. Ketika hari kiamat itulah, mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah dihadapkan ke neraka dan sedia menjadi bahan bakarnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...