Rabu, 21 Februari 2018

17:73-77 Tafsir Surah Al Isra, ayat 73-77.

وَإِنْ كَادُوا لَيَفْتِنُونَكَ عَنِ الَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ لِتَفْتَرِيَ عَلَيْنَا غَيْرَهُ وَإِذًا لاتَّخَذُوكَ خَلِيلا (٧٣) وَلَوْلا أَنْ ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدْتَ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئًا قَلِيلا (٧٤) إِذًا لأذَقْنَاكَ ضِعْفَ الْحَيَاةِ وَضِعْفَ الْمَمَاتِ ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا (٧٥) وَإِنْ كَادُوا لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ الأرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا وَإِذًا لا يَلْبَثُونَ خِلافَكَ إِلا قَلِيلا (٧٦) سُنَّةَ مَنْ قَدْ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنْ رُسُلِنَا وَلا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحْوِيلا (٧٧)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan nikmat-nikmatNya yang diberikan kepada rasulNya Nabi Muhammad s.a.w., sokonganNya dan penjagaanNya dari tipu daya musuh-musuhNya yang ingin menggelincirkan Beliau dengan berbagai cara.

"73. Dan sungguh mereka hampir akan memalingkan kamu dari yang Kami wahyukan kepadamu, agar kamu mengada-adakan atas Kami selainnya,"

Orang-orang kafir Quraisy hampir memalingkan Beliau s.a.w. dari apa yang telah Allah s.w.t. wahyukan kepadanya, agar Beliau mengada-ada yang lain terhadapNya dengan membawa sesuatu yang sesuai dengan hawa nafsu mereka dan meninggalkan apa yang diturunkan Allah.

"dan jika demikian tentu mereka mengambil kamu teman setia."

Jika Beliau melakukan sesuatu yang sesuai hawa nafsu mereka, tentu mereka menjadikan Beliau sebagai sahabat setia mereka.

Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada Beliau akhlak yang mulia dan adab yang baik yang dicintai oleh orang-orang yang dekat maupun yang jauh, kawan maupun musuh. Akan tetapi, mereka memusuhi Beliau hanyalah kerana Beliau membawa kebenaran.

"74. Dan kalau tidak bahawa Kami tetapkan kamu, sungguh kamu hampir condong kepada mereka sesuatu sedikit;"

Kalau Allah s.w.t. tidak meneguhkan pendirian Beliau, menguatkan hatinya di atas kebenaran dan memberinya nikmat dengan tidak memenuhi seruan mereka, nescaya Beliau hampir condong sedikit kepada mereka kerana begitu besarnya tipu daya atau muslihat mereka.

"75. Jika demikian, nescaya Kami rasakan kepadamu lipat ganda waktu hidup dan lipat ganda sesudah mati,"

Allah s.w.t. telah berikan kenikmatan yang sempurna dan pengetahuan yang cukup untuk Beliau s.a.w. yang mengharuskannya untuk tetap di atas hak (kebenaran). Jika Beliau mengikuti keinginan mereka, Dia pasti menimpakan kepada Beliau siksaan berkali ganda di dunia dan sesudah Beliau wafat.

"kemudian kamu tidak dapatkan bagimu atas Kami seorang pelindung."

Kemudian Beliau s.a.w. tidak akan mendapat seorang pun yang dapat menolong atau menyelamatkan Beliau dari azabNya yang ditimpakan kepada Beliau. Akan tetapi, Dia telah menjaga Beliau dari sebab-sebab keburukan, meneguhkannya dan menunjukkannya jalan yang lurus.

Orang-orang kafir Quraisy bertekad untuk mengusir Rasulullah s.a.w. dari kampung halaman mereka. Mereka memberi Beliau s.a.w. tekanan yang sangat berat. Allah s.w.t. berfirman mengancam mereka.

"76. Dan sungguh hampir-hampir mereka sungguh membuatmu gelisah di bumi kerana mereka mengusirmu darinya"

Kebencian orang-orang kafir Quraisy yang begitu dalam terhadap Beliau benar-benar hampir membuatnya gelisah di Mekah dan merasa harus keluar darinya.

"dan jika demikian, mereka tidak tinggal dibelakangmu melainkan sedikit."

Jika mereka mengusir Nabi s.a.w. keluar dari Mekah, nescaya sepeninggalannya mereka tinggal di sana hanya sedikit masa atau sebentar saja, lalu mereka pasti dibinasakan.

"77. Sunnah orang yang telah Kami utus sebelummu dari rasul-rasul Kami"

Allah s.w.t. menjadikan yang demikian itu sebagai suatu ketetapan terhadap para rasulNya yang Dia utus sebelum Beliau. Setiap umat yang kafir kepada rasul-rasulNya dan menyakitinya dengan mengusirnya dari tempat tinggal mereka, pasti Dia turunkan azab dan membinasakan mereka.

Seandainya Rasulullah s.a.w. bukan rasul pembawa rahmat, tentulah mereka ditimpa pembalasan di dunia ini dengan azab yang tak pernah dialami oleh seorang manusia pun.

"dan kamu tidak mendapatkan bagi sunnah Kami perubahan."

Itulah ketetapanNya yang tidak mengalami perubahan. Orang-orang kafir terus membuat makar terhadap Beliau s.a.w. Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan Beliau berhijrah ke Madinah.

Satu setengah tahun kemudian, Allah mempertemukan mereka dengan Beliau di medan Badar tanpa mereka duga. Allah memberikan kemenangan kepada Beliau atas mereka, sehingga ramai pemimpin mereka yang terhormat gugur dan yang lainnya ditawan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...