Selasa, 20 Februari 2018

16:41-42 Tafsir Surah An Nahl, ayat 41-42.

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلأجْرُ الآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (٤١) الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٤٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"41. Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah setelah mereka dizalimi,"

Sesudah mereka dianiaya, mereka berhijrah di jalan Allah meninggalkan tempat kelahirannya, tempat tinggalnya, teman-temannya, sanak keluarganya dan harta bendanya kerana menegakkan agamaNya, mengharapkan pahalaNya, balasanNya dan keridhaanNya. Mereka ini adalah Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya.

Dapat juga dikatakan bahawa penyebab turunnya ayat ini berkenaan dengan orang-orang muslim yang berhijrah ke negeri Habsyah (Abesinia), iaitu mereka yang mendapat tekanan keras dari kaumnya di Mekah, hingga terpaksa keluar meninggalkan kaumnya menuju negeri Habsyah, agar mereka dapat menyembah Tuhannya dengan tenang, tiada yang mengganggu.

Di antara mereka yang hijrah ke negeri Habsyah dan yang termasuk orang yang paling terhormat di kalangan mereka ialah Usman ibnu Affan dan isterinya (Siti Ruqayyah binti Rasulullah), Ja'far ibnu Abu Talib (anak pakcik Rasulullah), Abu Salamah ibnu Abdul Aswad bersama sejumlah orang (lebih kurang lapan puluh orang) yang terdiri daripada lelaki dan wanita, dan isteri Abu Bakar As Siddiq.

Sesudah itu Allah s.w.t. memerintahkan mereka mempersiapkan diri hijrah ke Madinah, lalu kota itu dijadikan kota hijrah dan mereka diberi penolong-penolong yang terdiri orang-orang yang beriman".

"pasti Kami tempatkan mereka di dunia kebaikan."

Pasti Allah s.w.t. akan menggantikannya dengan tempat tinggal yang baik (Madinah), rezeki yang luas dan kehidupan yang menyenangkan kepada mereka di dunia ini. Barang siapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik.

Begitulah kenyataannya, Allah s.w.t. memperkuat mereka tinggal di berbagai negeri, menjadikan mereka berkuasa atas hamba-hambaNya, menang terhadap musuh mereka, berjaya menaklukkan negeri-negeri, mendapat banyak ghanimah dan kebaikan lainnya.

Jadilah mereka para raja dan para penguasa, dan masing-masing mereka menjadi pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

"Dan sungguh pahala akhirat lebih besar, jika mereka mengetahui,"

Pahala di hari akhirat yang telah dijanjikan Allah melalui lisan para rasulNya bagi orang-orang yang berhijrah pasti jauh lebih besar daripada apa yang diberikan kepada mereka di dunia.

Seandainya orang-orang yang tidak ikut hijrah bersama kaum Muhajirin mengetahui pahala yang disimpan oleh Allah s.w.t. di sisiNya bagi orang-orang yang taat kepadaNya dan mengikuti RasulNya. Kemudian Allah s.w.t. berfirman menyebutkan ciri-ciri khas mereka,

"42. Orang-orang yang bersabar dan kepada Tuhan mereka mereka bertawakkal."

Iaitu orang-orang yang sabar terhadap gangguan dari kaumnya, sabar berhijrah agar dapat menampakkan agama, sabar menjalankan perintah Allah, sabar menjauhi larangan Allah, sabar menerima taqdir Allah yang pedih dan sabar terhadap cobaan.

Mereka bersandar hanya kepada Allah yang memberikan kesudahan yang baik bagi mereka di dunia dan akhirat. Mereka bersandar hanya kepada Allah dalam mewujudkan apa yang mereka inginkan. Mereka tidak bersandar kepada diri sendiri.

Oleh kerana itu, jika kebaikan luput dari seseorang, maka hal itu adalah kerana tidak ada kesabaran, kurang bersungguh-sungguh dan tidak bertawakkal kepada Allah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...